Pakcik Hulkogen

Others Series 850

Al-kisah, berkenaan padang bola, seperti yang diceritakan Basri padaku:

“Berapa nak?”

“Turun di mana kita makcik?”

“Batu satu setengah..”

“Seringgit makcik…” Basri menggapai duit kertas yang dihulurkan penumpang.

Hari itu, hari pertamanya bekerja sebagai konduktor bas mini. Ilmu tambang dipelajari dan dihafalnya sebaik mungkin agar tidak ada kesilapan yang akan menaikkan amarah pemandunya. Deruan bas mini Toyota tua berkeroncong semenjak usai ceramah Subuh di masjid. Pagi itu hampir sesak dengan sekumpulan peniaga yang berlumba-lumba turun ke pasar.

Ditemani lagu-lagu dari artis pop wanita melayu sekitar 70 dan 80-an, kelihatan beberapa penumpang ikut menggetarkan bibir seirama dengan lagu terutama ketika lagu yang dipopularkan oleh Aisyah, Janji Manismu berkumandang. Lagu yang pernah memenangi anugerah lagu terbaik itu sememangnya ranum ditelan dan lunak dihadam. Hal sederhana yang paling mengajarnya hari itu, melihat ragam-ragam manusia yang dipenuhi dengan bermacam jenis jadual kehidupan. Ada yang sering melihat waktu pada jam tangan, ada juga yang santai menutup tirai mata yang di cumbu deruan angin, tidak kalah juga yang duduk berengsot-engsot seperti cicak ditebas ekornya.

Jalan-jalan raya masih lagi lengang walaupun sang bulan sudah lama beredar pergi dari paksinya. Sedikit demi sedikit pancaran sang matahari menyilau timbul secara perlahan-lahan, meneteskan buih-buih embun yang melekat pada helaian dedaunan pokok-pokok tua yang berjejeran di sepanjang pembahagi jalan. Bauan embun membelai dengan sangat lembut. Betapa indahnya pagi.

Namun, menjelang awal tengahari, kesesakan pasti menghimpit. Sang mentari mula cemburu. Sinaran jingganya dibiar bebas menghangatkan setiap celah yang dilihatnya. Memakan masa lapan minit sahaja untuk sampai ke Bumi mengikuti kelajuan cahaya. Angin ikut bersekongkol. Hembusan hawanya hanya terasa selang sepurnama. Cukup menyeksa.

Sikap pemadunya yang dingin agak menyukarkan Basri pada mulanya. Tindak tanduknya sering diintip dari cctv cermin pandang belakang. Waktu makan tengahari sendirian, tidak pernah diajak atau diterima pelawanya. Suara dari mulut pemandunya hanya dilontarkan untuk hal-hal yang tidak boleh diisyaratkan. Pernah sekali Basri tersalah sebut dan kutip harga tambang, hampir jatuh semangatnya dibentak-bentak.

Dia faham. Berhubungan hal apa pun dengan lelaki tua itu, semuanya harus sempurna. Jelas buktinya, tidak pernah ada seorangpun yang bekerja dibawah lelaki tua itu yang tahan lebih dari 3 minggu. Sifatnya yang ‘Intovert’ memadai baginya untuk terus fokus dengan apa yang ada di hadapan. Basri tidak mengalah. Larian yang belum sampai ke garisan penamat perlu dihabiskan walaupun harus merangkak. Sebeku manapun hati seseorang, tetap akan ada satu bongkah kecil yang boleh dicairkan.

Bas mini Toyota mengambil trip terakhir antara pukul 6 ke 7 petang. Masa untuknya rehat dan perlu di mandikan terlebih dahulu. Peraturannya, Basri hanya boleh gunakan 2 baldi air sahaja, 15 liter setiap satu, untuk sepenuhnya membersihkan segala macam kotoran yang melekat. Terserah dengan cara apa sekalipun, Toyota tua itu mesti berkilat.

Akan ada dua proses ‘Inspection’. Perbezaan dengan ‘Pre-Delivery Inspection’ , untuk bas tua ini hanya melibatkan luaran dan dalaman. Tidak perlu kompartmen injin, bahagian bawah, uji pandu mahupun persiapan terakhir dengan memeriksa keadaan warna cat dan logo Toyota yang terpampang megah di depan sebelum disambut keluar dari rahim. Syukur. Tapi, lebih dari tiga kali Basri didenda hanya gara-gara sekelumit kotoran menempal pada si Tua. Hukuman yang perlu dibayar, mengulangi proses cucian menggunakan 8 gallon air.

Masuk minggu ke tiga, Basri percaya yang pekerjaannya sekarang layak disenaraikan dalam top three senarai kerjaya paling disukainya. Biarpun hari demi hari disuguhkan suasana kosong antara dia dan sang pemandu, pekerjaannya itu tetap dia hidupkan dengan menumpahkan sepenuh kudratnya. Dia suka membiarkan otaknya bermain dengan angka. Biarpun hanya menggunakan matematik asas yang walau budak sekolah rendah sekalipun mampu selesaikan, dia menganggap yang otaknya perlu diasah biar tidak tumpul dan berkulat.

Besok adalah hari bersejarah dimana minggu ke empat akan masuk mengenjut-enjut, dan nama Basri sudah sedia untuk disenaraikan dalam list ‘Guinness World Of Record’ sebagai manusia pertama berjaya bertahan lebih tiga minggu. Namun, sebelum sempat mengecapinya, dasar curam yang digalinya dibadai gempa bumi submarin. Plat-plat tektonik yang terapung di bahunya hilang arah. Bergeser, berlanggaran satu dengan yang lain.

“Besok kau tidak payah datang kerja. Nah ini gaji mu.”

Menghulurkan sampul berwarna coklat diikat getah sayur yang hampir putus. Basri kelu, penglihatannya membidik ke arah sampul, tapi tubuhnya tidak bergerak. Sampul diletakkan di atas anak tangga bermozek. Berjalan melewatinya, menuju pintu pemandu Toyota tua. Pintu di buka, kain lap kering digapai dan kaca hadapan di lap perlahan-lahan. Tidak ada ‘QC’ malam itu.

Fikiran Basri sepi. Semua yang dirancangnya jatuh berderai ke lantai. Pecah. Tidak mungkin dapat di cantum kembali. Segala hal yang dia lakukan adalah hal yang sia-sia. Lelaki tua itu membunuh impiannya. Menjerut, dan melemparnya ke dalam pusaran air yang mematikan. Basri perlahan-lahan lemas dalam dimensi gelap yang tidak berpenghujung. Semangatnya bukan setakat di bentak, tapi di injak-injak sampai lumat. Dia tetap kelu.

“Pak Cik minta maaf banyak-banyak...Selama kau kerja dengan pak cik, tidak pernah kau ku layan bagus-bagus...” Tangannya diletakkan diatas riba. Kain lap di genggam sekuat hati. Keluar dari tempat duduk, menuju ke kerusi plastik di tepi pokok mangga yang lebat memayungi deretan karung berisi botol-botol kosong. Nafasnya yang panas dihembus perlahan lahan.

“Dulu..Pak cik bukan begini..” Menghayunkan pandangannya ke arah sudut kaki lima yang dihiasi berbagai jenis bunga kertas beraneka warna. Rumah itu adalah tempat tinggal pertama sekali sebelum mendapatkan rumah keduanya di kampung kami beberapa tahun lepas.

“Bunga-bunga ni lah yang teman pakcik bila sunyi...”

“Makcik mu yang tanam semua. Hari-hari dia siram. Dua kali.”

“Satu kali dalam dua minggu mesti dia tabur baja tahi ayam, campur baja biasa. Dia biarlah tu dulu kalau ada bunga yang gugur. Lepas botak, dia potong ranting, nanti tumbuh la tu balik bunganya. Tumbuh lebat...”

Siapa sangka, bunga yang berasal dari Benua Amerika Selatan, yang terbentuk dari dua belas negara berdaulat, diwarnai 450 jenis bahasa, boleh dijadikan hobi oleh hampir setiap ibu di benua Asia Tenggara. Berkat penjelajahan seorang peneliti alam, Philip Commerson pada tahun 1766, bunga kertas berjaya ditemukan tumbuh secara alami dan berbunga sepanjang tahun di Brazil serta sebahagian Peru dan Argentina berdasarkan peta masa kini. Lalu, bunga itu diberinya nama sempena nama seorang Komander tertinggi angkatan laut yang berlayar bersamanya, Louis-Antoine de Bougainville.

Basri tidak dapat mendengar apa pun selain dari bait-bait kata yang keluar dari mulut seorang lelaki tua yang bermandi rahsia. Dia duduk dengan hemat di anak tangga menumpukan seluruh inderanya tanpa bersuara sepatah pun. Malam itu, kegelapan yang murung harus dibebaskan dari belenggu yang merantai entah berapa lamanya.

“Dulu..masa si Yusri kecil lagi...manja betul tu dengan maknya...Umur sudah sebelas, masih mau di suap emaknya...percaya kau?” Lalu dia tersenyum menggelengkan kepala.

Bola mata lelaki tua itu membesar. Gerak badannya beralun. Secara spontan, dia kelihatan sangat segar. Senyuman nya adalah hal paling menginsafkan Basri. Majikannya itu bukan seperti yang selalu sahabat-sahabatnya gambarkan. Mata yang dilihatnya malam itu sesuci dakapan setiap lelaki yang berdedikasi, tapi terhimpit oleh arus keegoan.

“Ada satu hari tu, makcik mu sakit. Demam teruk. Panas badannya tu...Tuhan saja yang tahu.” Membetulkan duduknya.

“Si Yusri tidak mahu turun sekolah. Di jaga nya maknya siang malam. Pakcik macam biasa...kerja..kerja..ker...” Matanya bergenang. Pipinya bergetar.

Ditutupnya tabir mata supaya air kenangan yang bergenang di kelopak mata terputus, di biar jatuh mengalir ke kepala bibir tak diusap. Basri tersembam. Matanya pedih dan kemerahan. Menusuk jiwanya yang dangkal. Jiwa yang tak sedikitpun mampu menyaingi walau segumpal rasa sedih dari sebuah keheningan yang lama terpendam.

“Abangnya jarang balik rumah...Selalu tidur tempat kawan terus. Nanti pakcik marah, dia diam. Tidak ada suara. 10 minit paling lama di rumah, dia hilang lagi. Begitu terus...”

“Pak Cik ada dua rumah ni pun sebab si Yusri sama abangnya nanti tidak perlu beli rumah sudah.” Katanya lagi.

“Setiap kali pakcik pulang rumah, tidak pernah seumur hidup pakcik ni..tidak pernah pakcik tidak disambut di depan pintu..disalam..ditanya khabar...”

“Apa pun yang makcik mu mahu buat, semuanya dia mulakan dengan minta keizinan pakcik ” Bahunya tenang. “Kata maaf dari mulutnya tidak pernah lepas. Pakcik yang salah, dia yang minta maaf...”

“Lantai kamar mandi tu berkilat terus. Tidak ada langsung bekas-bekas debu tanah, becak ditangga tu. Semuanya bersih…”

“Kau boleh baring dimana pun kau mahu...”

“Pernah dulu, masa abangnya si Yusri baru mahu masuk tingkatan kalau pakcik tidak salah...Mengamuk mahu minta beli kasut bola. Pakcik tidak mahu. Mati-mati makcik mu pujuk. Tiiiidak pakcik cakap.”

“Sanggup makcik mu tu jual pokok bunga yang paling dia sayang buat belikan kasut bola...”

Diurut-urutnya jari manis tangan kanan yang berurat dilapis kulit berwarna coklat kehitaman dan semakin bersisik ditelan waktu. Sekujur kebahagiaan adalah segalanya yang ada dalam menggambarkan keperibadian wanita yang satu-satunya memberikan kesan yang mendalam atas tinggalan hidupnya.

“Basri...Jangan pernah nak kau sia-siakan apa pun kebaikan didepan matamu...” Menerawang langit yang bertatahkan sepuhan bintang-bintang. Selepas beberapa ketika, menghunjam penglihatannya tepat ke mata Basri.

“Cukuplah pakcik alami sakitnya memeluk semua kenangan-kenangan yang tidak ada lagi, tidak mungkin akan ada untuk dirasa sekarang...”

“Yang paling pakcik kesal...masa makcikmu masih hidup, ada saja hal yang pakcik buat menyakitkan hatinya. Tidak pernah sekalipun pak cik minta maaf.”

“Tapi makcikmu...tidak pernah ambil hati...Tidak tahu la kalau dia simpan dalam hati, tapi...cara layanan nya sama pakcik tetap tidak pernah berubah.”

“Pakcik marah ka, tidak marah ka, sama. Selama ini, pakcik lah yang maknya si Yusri paling manjakan.”

“Raut mukanya masih pakcik bayangkan terus sampai sekarang nak. Bergetar dada pakcik. Terasa jantung ni dikoyak-koyak dari dalam. Dihiris-hiris. Beratnya rindu yang tidak terbalas…”

“Kalau ikut kan hati, tanpa iman yang tipis ni, sudah lama pakcik kejar makcikmu ke alam kubur!” Air matanya berhamburan. Mengalir deras tak terhentikan.

“Semuanya salah pendosa ini!” Menepuk nepuk dadanya.

“Kalaulah pakcik ikut saja kemahuannya hari itu, makcik mu masih ada hari ni. Masih disebelah pakcik saat bangun tidur. Masih disisi saat penat, dijaga siang malam saat sakit, dinasihatkan saat kecewa…Si Yusri sama abangnya masih boleh merasakan kasih sayang dari maknya…”

Gemerisik malam itu menjadi saksi suci rintihan seorang lelaki. Lelaki yang hidupnya diabadikan untuk menggali kembali nikmat bahagia yang dia kubur secara tidak sengaja sekian lama. Baginya, tidak ada apa-apa lagi yang perlu dia perjuangkan sekarang selain dibelenggu rasa kosong yang menggonggong. Sekiranya malam mampu bersedih, tangisannya pasti memeluk lantai bumi seerat-eratnya. Curahannya akan bergema menghapuskan semua frekuensi bunyi yang bergetar.

Selama 5 tahun selepas ketiadaan isteri tercinta, tidurnya tidak pernah nyenyak. Redup dan terumbang ambing. Sekelilingnya penuh dengan memori indah yang mencemar gelodak hatinya. Sehingga hampir gila. Bau sabun wangian lemon yang sering dituang isterinya ke lantai tandas membenam diingatannya. Getah rambut kelabu bersimpai di dalam laci memberkas tunas pengharapannya. Semua yang ada didepan mata, didalam rumah itu adalah cinta. Cinta yang agung.

“Begitulah manusia nak…Tidak tahu kebaikan bagaimana lagi yang dikejar. Pakcik sangka, dengan apa yang dikerjakan, apa yang diberi, segala apa yang diusahakan adalah sifat syukur yang membalas semua kebaikan dari makcikmu. Tapi…Pakcik salah…”

“Rasa kosong yang ada sekarang, dibentuk dari bermacam inti yang secara tidak sedar, pak cik tuangkan tanpa dicuba dulu rasanya dalam tekak sendiri. Mulut ini, dengan penuh marah, melempar semua! berlebih-lebihan ke mata hening makcikmu.”

“Kasih sayang tidak terhenti di batas jari manis, di meja makan, di ruang tamu, ataupun di tempat paling indah kau jumpa di dunia, tapi di seluruh hayat nak. Selagi kau faham apa erti kasih sayang dan percaya nyawa mu diatur Tuhan.”

Basri menyulam jiwanya malam itu dengan tertib, menghiasi rasa syahdu dan bangganya menjadi seorang lelaki biasa-biasa yang dijadikan sebagai ruang untuk Pak Cik Musa melepaskan kesedihan. Pak Cik Hulkogen tua itu mengagumi semangat basri yang tak mengalah dengan gaya barannya. Wang dalam sampul digertaknya supaya diambil oleh Basri tapi bukan sebagai tanda perpisahan hari terakhirnya bekerja.
Hari-hari sesudahnya bersalut kebahagiaan. Dia dan Pak Cik Hulkogen Tua senang duduk makan semeja, sering berbual, selalu di pelawa masuk ke dalam rumah, sehinggakan Basri merasa hubungan itu sehampir keakraban antara anak dan ayah. Basri melengkapkan sebulan waktu bekerja bersama Pak Cik Musa. Dia perlu kembali bekerja sebagai nelayan untuk mengotakan janji.

Inti nawaitu Basri untuk memujuk agar di beri peluang menyiapkan projek padang bola langsung dia tak suarakan namun, mungkin asbab keperibadian Basri, Pak Cik Hulkogen ikhlas merelakan kawasan lapang tepi rumahnya dimuatkan kedalam sejarah hidup anak-anak Jambatan Lima. Sebagai balasan, Basri merangkup tekad penuh-penuh untuk meyakinkan Yusri yang Ayahnya perlukan kasih dari anaknya untuk menempuh sisa-sisa masa. Semua kebisuan yang ada harus dicairkan agar tak kan ada kelewatan seorang anak untuk berbakti sepenuh raga pada jalan yang membimbing ke syurga.

“Patutlah dalam sebulan ni, mesti kau ada tiap Ahad. Kalau naik laut mana pernah tentu masamu kan.” Kataku pada Basri.

“Bas mini pun jalan Taman Mawar bah kan. Batu 5. Patutlah kami semua sini tiada yang tahu...Memang kau gila geng.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience