“Aidil! Ke mana kamu?” Dengan cepat menghampiri kami sambil memegang keras pinggang seluarnya.
“Pergi lawan budak kuburan. Jom lah! Kita kasi kalah dorang kali ni” Aku mengajak Bunnyuk ikut sekali.
“Jom jom jom!...” Seluar pendeknya ditarik-tarik. Longgar. Poketnya kiri kanan disumpalkan botol.
“Cari la tali bikin ikat seluarmu...nampak burung mu nanti” Kataku sambil mengisyaratkan jari telunjuk berjoget-joget seperti cacing disula mata kail. Getah seluarnya kendur bak barisan jemaah disurau.
“Kali ni, aku kasi habis semua guli diorang, lepas tu aku jual sama diorang balik. Baru aku beli seluar baru!”
Titis hujan baru sahaja menarik balik peluhnya. Awan April berjujai menurunkan butir-butir air disebabkan sifat topografi-nya sejak minggu lepas. Kesan monsun timur laut yang dimulakan sekitar Disember sampai Mac. April, berbuah secara minimum dan kekal selamat untuk bot-bot kecil sehingga November. Langit bersimpu membuka ruang. Lopak-lopak jalan yang ditiarap air bernafas semula. Maharaja siang tegak diatas kepala. Membakar halus. Para ibu diduga letihnya. Kain dijemuran belum kering, pontang-panting ditarik ke dalam bakul. Tak sampai dua puluh minit, sinaran matahari kembali menggelodak. Sabar ya makkk~.
Musim bulan ni, jatuh kepada benda bulat yang diperbuat daripada kaca, batu akik mahupun tanah liat, disebut guli. Barang siapa bapaknya kaya, mesti memiliki banyak guli. Tapi amatur, cepat kehabisan. Seperti kami, memiliki bapak yang kurang kaya, hasilnya main profesional. Budak kuburan dan kami, budak tanah merah adalah musuh ketat dalam apa sahaja jenis musim. Layang-layang, gambar terup, laga kumbang, laga pelaga, biji getah, penutup botol minuman, bedil bambu, kayu lele, Rounders dan macam-macam lagi.
Ada tiga gelanggang. Gelanggang pertama paling berprestij, dekat dengan tangga. Pemainnya bukan sebaya kami, abang-abang akhil baligh dan yang sudah pecah pita suara. Gelanggang kedua, tiga meter dibelakang. Gelanggang ketiga, setengah dibawah kolong, setengah lagi diasak terik mentari. Aku dan Bunnyuk masuk gelanggang 2, Aidil gelanggang 3. Ting Ting! Permainan dimulakan. Bunyi guli berlanggar-langgar. Ada yang berkaki ayam, yang belum mandi, yang belum sarapan, yang tidak berbaju, dan paling teruk, anak laki-laki kecil yang dibiar telanjang bulat duduk mencangkung kebingungan. Dia belum tahu bahawa ada perjuangan hidup mati disebalik semua ini.
Si Bunnyuk, bukan asli budak kami. Dia dari geng budak jambatan. Musim guli sahaja masa untuk dia menyertai pasukan tanah merah. Kawasan rumahnya tidak mengizinkan guli untuk memonopoli. Satu jam pun tidak, satu musim lempar keluar dari fikiranmu. Bawah kolong becak, seperti halaman belakang rumahku, guli hanya sesuai untuk mainan sang ketam. Rumahku, halaman depan secara teknikal boleh diangkat menjadi gelanggang tapi payah memandangkan tanah dibungkus batu-batu kecil yang sering dilalui kenderaan keluar masuk.
Dia kami gelar Raja Sniper! Seorang pemain guli yang hebat. Meninggalkan aku jauh dibelakang, masih terkial-kial. Cabaran tidak cukup dalam gelanggang 2, dia membuat keputusan gila dengan menyelam di dasar gelanggang 1. Mata dan jarinya ibarat bunga kenanga dan tanah perkuburan. Takkan terpisah. Tenaga dari jari panjangnya sungguh kuat. Tumpuan matanya tepat dan tajam. Tidak mustahil enam biji guli modalnya bertukar menjadi dua botol guli.
Di sebelah tepi, Aidil duduk tertangkup mensasarkan gulinya kearah susunan guli didalam bulatan. Melepaskan lastikan kuat, meletup. Empat belas biji dalam bulatan, yang tinggal hanya lima. Boleh tahan. Dia juga pembawa masalah dalam gelanggang. Sepupu satu kali, ibunya kakak kepada ayahku. Tidak padan dengan umur, nakal bukan main. Gigi kacipnya tercampak dicium lantai gara-gara lumba lari dengan jirannya dalam rumah. Meraung tak sampai beberapa minit, tup-tup dilongkang dekat masjid berpanas memancing haruan.
Kawasan budak kuburan merupakan kawasan tanah rata yang didiami rumah-rumah tinggi dan tegap. Hampir semua rumah dilindungi grill besi berukiran pada bahagian pintu, tingkap dan pagar kecil didepan tangga. Akan ada minima sebuah kereta parking dibawah kolong. Tuan rumah kebanyakannya orang-orang kerajaan. Kalau bukan, pasti ada perusahaan sendiri. Kalau ku ceritakan keadaan dalam rumah geng, wow! Dinding-dinding penuh dengan perhiasan, lantainya kayu ber-Varnish yang diturap permaidani dari tanah arab setebal tilam. Ada yang gunakan pemantul bayang, mozek. Kerusi diruang tamu berkilat dibentuk dari jati, meja ditengahnya kontot tetapi berkarisma. Siling-siling megah ditemani cahaya lampu dari bingkai bergantung yang unik seperti Chandelier dan Pendant. Belum lengkap, langsirnya elegen dengan corak ala eropah yang berpangkalan di pakistan dan india.
Menjelang lewat petang, kami berangkat pergi meninggalkan gelanggang. Hasrat Bunnyuk untuk membolot semua guli-guli budak kuburan tidak kesampaian. Mereka ada jaguh tak terkalahkan. Tapi kalau nak dirumuskan, kami sedikit sebanyak berjaya menakluk jiwa segelintir budak kuburan agar sentiasa berwaspada dengan kehebatan kami. Budak tanah merah miskin tapi, hatinya keras, jiwanya kekar, master of manipulation. Kalau setakat guli, sudah di khatam awal sebelum Al-Quran Al Karim.
Hari demi hari, bulan bertukar bulan, musim berganti musim, persengkataan dinyanyikan dengan nada yang merdu. Setiap orang budak bebas menghentak kakinya, mengotori tubuhnya, menangis dan dipujuk dimana-mana sahaja. Tidak kira samada kayakah ayah dia atau miskinkah ayah dia. Musim permainan tercipta dari acuannya sendiri. Tidak ber-Tuan tapi ber-Pengikut, malah menjadi semacam epidemik menggila. Setiap kali kalendar memadamkan hari semalam, bulan baru akan menetas dengan permainan yang sentiasa ditunggu-tunggu.
Geng, paling kugemari, bilamana nenek menyuruhku membeli barang di supermarket Hong Tiong, disisi jalan besar menuju ke bandar. Pemandangan sekeliling dipenuhi liur-liur basi kenderaan dan manusia. Boleh dikatakan antara pusat sosial tersibuk di negeri bawah bayu. Sempit dan merapat dengan pasar basah dan kering, saloon-saloon, rombengan, gerai-gerai makanan dan pujaanku, apabila melalui jambatan gantung, singgah membeli cucur udang tersedap didunia. Dengan upah seringgit dari nenek, perutku berdengkur kenikmatan.
Warung-warung bakso sentiasa penuh. Bau kuahnya boleh dihidu sejauh kolam renang olimpik. Gaya bahasa dikelimuni dialek-dialek pengaruh kuat negara jiran, Indonesia dan Filipina. Kepulan asap dari gulungan sate dan sayap ayam bakar membadai ruang tempat duduk kenderaan yang tak putus sejak pagi. Buah-buahan disusun semanisnya diatas meja. Budak-budak kecil berkejaran melalui ceruk-ceruk ketat dengan mudah tanpa melanggar apa pun dihadapan mereka. Membesar di kawasan setinggan tidak lari dari memiliki ramai kawan sepermainan. Lebih-lebih lagi bagi budak lasak yang berkiblatkan aktiviti mencabar.
Sudah dua hari aku tidak bertemu Izhar. Jiranku, genius tak terkalahkan. Seorang yang menjunjung tinggi kebersihan, dia sangat sukar diajak untuk aktiviti yang melibatkan kekotoran. Disekolah, namanya berada dikedudukan paling top dalam apa sahaja senarai pencapaian akademik. Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, English, umpama buku komik yang dibaca tiap-tiap hari sebelum tidur. Setiap tahun naik pentas untuk anugerah pelajar terbaik. Malahan dia, jaguh gambar terup dalam kategori main tepuk. Ramai yang sanggup datang ke rumahnya untuk beradu kepakaran. Semua pulang ditempeleng kekecewaan.
Namun, hebat taraf mana sekalipun dia dalam permainan terbalikkan gambar, disiplinnya bertafakur dalam martabat yang lebih mengawang. Masanya untuk aktiviti bukan akademia diperuntukkan sehari hanya 3 jam tanpa terlebih seminit pun. Kecuali sabtu dan ahad termasuk public holiday, ditambah lagi 2 jam, tetap tidak lebih walau seminit. Bilik tidurnya serapi bilik superior hetol lima bintang, bukan hasil tangan ibunya. Kasut sekolah senantiasa mulus. Jangan cerita lah perihal cara berpakaian. Dari sudut pandang tepi, seperti almarhum Tun Abdul Rahman. Sudut belakang, lagak pemimpin prolifik Nelson Mandela. Pemerhatian dari arah hadapan? Sebiji muka pakcik Sulaiman, ayahnya.
“Kau tunggu aku nanti ya depan pagar sekolah. Jangan kau balik terus. Ada aku mau bagi tahu kau..” Menyapa dan menyantunku dengan penuh kasih sayang. Rambutnya yang disikat rapat ke tepi, kemas tak bergerak sehelai pun ditiup angin lalu berjalan laju keluar dari perkarangan kantin sekolah.
“Kau pernah sampai Airport ka? Bisiknya padaku memastikan tiada telinga yang mendengar.
“Uish..Kau ni. Pernah dan tidak pernah” Ku angkat-angkat kening mata kananku yang tebal.
“Pernah tengok dalam gambar, tapi tidak pernah pijak kaki kau di sana. Kan?. Betul-betul bah...” Matanya merayu.
“Tidak pernah bah. Kenapa?...Kau mau ajak aku ke sana?” Soal ku.
“Iya. Kita dua. Untuk tujuan apa, nanti sampai sana aku bagitahu boleh?”
“Maksudnya...ibu sama ayahmu tidak tahu pasal ni? Dia mengangguk. “Mencabar ni...Nanti dulu. Aku pun mana pernah sampai ke sana, kenapa lah aku yang kau ajak? Naik bas apa pun aku tidak tahu. Duit tambang pun tiada. Macam mana?”
“Pasal duit kau jangan risau. Aku ada duit tambang, makan kita sekali aku sudah bajet. Sama-sama lah kita nanti cari bas mana satu ke sana. Aku perlu kau sebab kau sudah biasa kan ikut bas. Jalan-jalan dengan kawan kau.” Kayuhan kakinya dihentikan. Menghalakan badannya ke arah permaidani lalang yang rimbun di tengah kepesatan rumah-rumah kayu berjejeran.
“Ibu sama ayahku kau jangan risau. Aku ada rancangan suda macam mana mau lepas.” Sambungnya.
“Sabtu ni kita jalan, ok?”
“OK!” Pertama kali aku merasa keterujaan yang sangat tinggi. Bukan sebab arah tujuan kami, tapi sebab Izhar. Aku tidak pernah menyangka dia berani melakukan sesuatu tanpa pengetahuan orang tuanya. Jelas geng, semua ini berada di jalur kepentingan teratas.
Jumaat malam aku masuk lebih awal ke bilik tidur. Aku tidak memerlukan sebarang alasan seperti Izhar untuk dihidangkan pada orang tua. Ibu akan beranggapan yang anaknya cuma keluar bermain seperti sabtu-sabtu sebelumnya. Padahal, esok adalah kesempatan untukku melihat dunia baru tanpa pengawasan sesiapapun. Fikiran ku berlayang. Aku tidak pernah pergi ke kawasan yang jauh tanpa penjaga. Esok, aku akan menjadi seperti Almarhum Abu Abdullah Muhammad, mencatat segalanya di dalam ‘Rihlah’ ku yang nanti akan ku khabarkan pada semua kenalan yang tidak pernah sampai ke sana.
Selesai mandi, aku mengenakan pakaian yang elok-elok tapi tidak terlalu menyerlah. Rambut kubiarkan tidak bersikat. Sebelum keluar dari bilik, dompet alien workshop ku selitkan di pinggang seluar walakin isinya kontang dan kering. Dadaku meluap-luap menuju ke lokasi rahasia dan memastikan tiada mata memerhatiku. Izhar berdiri dan pandangan nya jelek.
“Aik, baju biasa ja? Seluar pendek lagi. Tidak jadi kah pertualangan kita?”
“Ada masalah lain. Tidak jadi hari ni...” Jawabnya penuh kesal bagai kaca terhempas ke batu. “Boleh lah hari selasa minggu depan...” Cadangnya.
“Kasi jadi. Aku ok.”
“Sekolah macam mana? Tidak payah datang? Gila kau?”
“Kau mau atau tidak? Sekarang ni, aku ndak mau tahu apa tujuan kita ke sana tapi, apa yang aku tahu, kita kesana mesti sebab hal yang betul-betul penting?. Kalau tidak, mana kan kau berani bohong ibumu..” Tingkahnya resah gelisah. Tanpa sedar, punggungnya didudukkan diatas lantai rerumputan yang lembap.
“Jan (Jangan) risau, aku tolong kau peras otak cari apa alasan yang ngam kau bagitahu ibumu”. Ku ketuk bahu Izhar dan menyusupkan bayu ketenteraman. “Alasanmu yang mula-mula tidak boleh pakai sudah?”
“Ndak sesuai. Kena cari alasan baru.” Diurutnya dahinya atas bawah. Risau berlebihan boleh mengundang kecelaruan keresahan panik. Penghidap ‘panic disorder’ tidak memerlukan sebarang sebab untuk risau. Sedang lalat yang terbang didepan mata pun risau kalau-kalau menerpa masuk ke dalam lubang hidung lalu bertelur dan membiak di sinus maxilla. Hanya mati yang memisahkan. Kesian, kebanyakan orang hanya menganggap panik sebegitu sebagai satu hal yang di ada adakan untuk memeluk perhatian.
Aku teringat satu cabang ilmu sains yang pernah diajarkan padaku. Ilmu ini akan ku turunkan pada Izhar, berharap satu hari nanti, kisah ini akan diceritakan pada cucu-cucunya. Kredit kepada abang sepupuku. Bermodalkan kertas minyak, aku yakin dapat mengkaburkan penglibatan pihak-pihak yang berkenaan. Caranya, pemalsuan dokumen dan tanda tangan. Dia yang natijahnya berbelah bagi, ditambah pula imbuh bergantang-gantang, urat wajahnya makin berserabut.
Seksyen 463 Kanun Keseksaan (Akta 574) mengutuk sekerasnya dan hukuman boleh dikenakan dibawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dalam akta yang sama. Jelas, aku tak peduli. Syorku pada Izhar, mencetak surat cuti sebagai jenayah kolar putih untuk rujukan cikgu, dan kertas minyak pula untuk memalsukan tanda tangan ibunya. Setiap proses wajib dilaksanakan secara sempurna. Tapi geng, proses celupan harus dilakukan penuh waspada dan hanya profesional seperti ku yang layak.
Sifat kertas minyak itu sendiri amat mudah untuk menekap bentuk dan ragam tanda tangan. Beberapa faktor mesti di ambil kira seperti ketebalan garisan, tekanan pensil semasa menekap, kecondongan huruf, corak penampakan abjad-abjad tertentu, samada huruf ‘n’ nya seperti ‘h’ atau ekor ‘s’ nya lonjong dan bergigi atau ketot dan rongak?. Cuba ditanya pada Jim The Penman, atau nama sebenar, James Townsend. Bermodalkan set kemahirannya memalsukan tanda tangan, mendiang berenang dalam lautan kemewahan selama lebih dari 10 ribu hari. Legenda. Sudah tentu, seiring tumpahnya masa dan praktikal, siapa pun mampu tanpa harapkan bantuan dari kertas minyak lagi.
Kabel VGA memuntahkan frekuensi ke monitor lalu bunyi aneh kedengaran menandakan booting sedang berhubungan intim dengan floppy drive. Huruf di papan kekunci ditekan satu persatu. Irama geleseran berkocak saat tetikus digerakkan. Bebola perutnya kotor penuh daki. Kami belanjakan beberapa minit di pusat internet menaip surat cuti. Izhar terlebih dahulu sudah menyiapkan kerangka isi surat agar masa tidak direnjis-renjis begitu sahaja. Setelah selesai, kami menuju ke perpustakaan untuk misi yang ku tunggu-tunggu. Semuanya berjalan lancar amigos!.
“Pastikan tanganmu ndak begegar ya. Kedapatan kita nanti. Pandai-pandai kawal. Kalau boleh, kau pandang mata cikgu dalam-dalam...” Kataku pada Izhar.
“Aku rasa serba salah...”
“Aish...Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang sudah diusahakan, biar sampai tidak kedapatan. Mantap kan?” Balasku bersahaja. Matlamat ke sekolah hari ini bagiku hanya satu, meyakinkan Izhar supaya usahaku tidak sekadar menangkap bayang-bayang.
“Besok geng. Besok!” Jeritku perlahan tetapi keras lalu berlari menuju bilik darjah.
Izhar rapat mengekoriku. Aku menukar dayungan kaki ke arah jambatan kurus dan rompong umpama penghidap kencing manis. Neuropati diabetes merampas seluruh rasa azab akibat tidak dirawat sebaiknya. Hujung titian ini akan membawa kami terus ke tebing pasar. ‘Sampai hujung lah baru aku ganti baju’ Desis hatiku. Aku menyarankan pada Izhar untuk melepaskan baju sekolahnya sekarang juga tanpa perlu berhenti.
“Kau? Tukarlah juga” Tanya nya padaku.
“Nanti sampai hujung. Kita ndak boleh berhenti sekarang biarpun sekejap. Bahaya.”
“Kenapa kau tidak pakai siap-siap macam aku buat baju dalam jadi senang tinggal dilepas ja baju sekolah.”
“Aku ndak minat Superman.”
Ada saja kelibat berbaju biru, kami akan segera bersembunyi. Pengawas sekolah, ada yang lebih kuah dari sudu. Berbagai jenis tanda isyarat terkeluar secara semula jadi pabila kami dikejar salah seorang pengawas yang lagaknya lebih dari cikgu disiplin. Baju sekolah ku tukar dibelakang deretan saloon yang berbau tengik dek pencuci rambut abang-abang cantik. Kami bergegas mendapatkan bas menuju ke pusat bandar. Bas Tata yang panjang diasak-asak. Suara muzik kedengaran sayup-sayup dari tetuang udara. Pergaulan gas disekeliling yang diketuai nitrogen menari dalam suhu yang lebih rendah dan haba ditolak keluar dari tiang pemegang bas yang mendinginkan.
Kami tiba di terminal pusat bandar. Hawa pekikan enjin kereta dan debu-debu yang berterbangan memayungi suasananya. Abang konduktor bas berambut panjang berseluar ketat menunjukkan pada kami bas ke lapangan terbang. Aku menginstruksi Izhar untuk sering merundukkan kepala semasa berjalan supaya tidak mudah di cam orang. Izhar duduk di barisan ke tiga manakala aku di belakang sekali sebelah jendela bas. Bas bergerak meninggalkan terminal. Aku pasti Izhar turut merasakan apa yang sedang aku rasakan. Jantungku meringkik. Stage two completed!.
Menara kawalan trafik udara kelihatan. Pegawai aerodrom bertungkus lumus memastikan setiap jentera yang berlepas mahupun mendarat diberikan arahan yang tepat. Aku berdiri dan berjalan beralun-alun lembut, menepuk pundak Izhar lalu menghampiri pemandu dan meminta bas dihentikan sehampir yang boleh. Kami berjalan kaki menuju perkarangan airport memandangkan bas tidak masuk ke dalam. Cuaca pagi gembira tak berkuap. Izhar menghulurkan tangannya minta untuk di salam. Otot kakiku diam dan mengenyitkan sebelah mata. Tangannya ku sambut dengan kehangatan. Ekspresi wajahnya hanya menunjukkan satu bacaan. Tidak ada yang ralat. Kami berlaga bahu di sepanjang jalan tanda meraikan semua yang kami lakukan untuk sampai ke saat ini. Stage Three Done!
“Ok. Macam yang aku janji, aku bawa kau kesini sebab...” Tali beg sandang belakang jenama Fila ku tarik rapat ke pusat. “...Saja mau jalan-jalan tengok kapal terbang mendarat depan mata.” Lalu dia ketawa.
“Ah...tipu!” Sangkalku.
Izhar menggapai beg belakangnya, merendahkan tubuh lalu menundukkan lutut kanan menindis aspal. Bibir beg dirapikan, zip ditarik perlahan-lahan. Tangannya menggapai sebuah buku dan mengeluarkannya lalu dihulurkan padaku. ‘Membelah Damai Yang Bisu’. Kulit muka depan kelihatan tenang berlatar belakangkan petak-petak sawah padi yang mendidih kehijauan. Dikelilingi pokok-pokok kelapa berbuah pekat melindungi pelepah-pelepah pisang disampingnya. Kejauhan, seorang budak lelaki tengah berlari menuju kearah wanita tua yang sedikit membongkok. Suluhan matahari hampir terbenam diasak amukan awan gemawan yang gelap. Karya A. Naufal.
“Kau suruh aku baca?” Tanya ku.
“Iya.” Balasnya ringkas.
“Ndak mau lah. Buku sekolah pun aku malas mau buka.”
“Aku gurau. Tapi kalau kau mau, silakan. Iqra. Kita jumpa penulisnya kejap lagi. ”
“Kenapa lah kau baca buku-buku orang tua ni. Jadi keringatku yang tumpah, otakku yang ku peras untuk carikan kau alasan, semata-mata mau jumpa tukang dongeng? Baru aku faham maksud ulat buku geng. Buku apa yang kau ndak baca?” Dia membalasku dengan sepotong senyuman yang panjang. Orang genius memang aneh. Taraf akal ku tidak mampu menghubungkaitkan.
“Tukang dongeng yang mengajar pembaca apa makna sebenar banting tulang, kerja keras, usaha dan pengorbanan seorang nenek yang tiada galang gantinya!” Matanya berkunang-kunang. Aku terdiam. Helaian-helaian rambut yang menumpuk dibalik lautan tepung sedang kutarik satu demi satu. Semuanya tampak semakin jelas. Aku pasti, dia sangat merindui akan nendanya yang sudah tiada. Bagai empedu lekat dihati, ada rindu yang berkecamuk.
Buku itu dikirim makciknya beberapa bulan lepas. Seorang pensyarah di Universiti Malaya. Kedatangan sang penulis ke bumi peladang dia perolehi menerusi lembaran majalah Dewan Sastera. Diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka yang dibelinya setiap bulan. Kendatipun info dalam majalah tak lengkap, sekurang-kurangnya ada tarikh ketibaan dan perlepasan kerana untuk mencari tahu lebih larut pasal penginapan, tentatif jadual, mahupun lokasi yang dikunjung penulis, tidak tertulis dalam bidang kemampuannya. Alur kisah buku itu sangat membekas dihati katanya. Setiap kali dialong nenek dibaca, nada dan intonasinya pasti digayakan seperti cara neneknya bertutur. Lembut dan membelai.
Kami berdiri dihadapan penulis. Lelaki itu, yang umurnya sekitar 30an, berbaju kemeja biru lembut, berseluar jean dan membimbit beg qtangan kulit. Hidungnya mancung, bahunya lebar, ada tahi lalat dipipinya. Dua batang pen terselit di poket baju. Izhar mula menyapa dan melaungkan hasratnya. Sarafku terlambung-lambung bersoal jawab kenapa harus ada dua. Kami bergerak ke sudut lain dan mereka duduk bersebelahan seperti abang dan adik. Perbualannya dengan Izhar tak mampu memfokuskan aku. Suara dari dua ulat buku sekadar menyipi telinga. Izhar membelek-belek halaman buku sambil sang pengarang menjelaskan padanya. Ku amati Izhar, timbul kesenangan.
Izhar berdiri lalu menekurkan kepala dan bahunya menunduk sedikit. Berterima kasih dan menyatakan betapa sungguh gembiranya dia dapat bersua muka. Memadam semua tanda tanya yang menimbun di hati kecilnya. Sebelum kami pergi, penulis memandangku lantas menghulurkan pen yang digunanya membubuh tanda tangan di buku Izhar. Aku menyambut tapi dengan wajah kebingungan. Mungkin dia perasan penglihatanku terarah terus pada poketnya. Tapi bukannya aku tertarik pada pennya. Ah.
“Simpanlah...” Katanya.
“Maksud abang, gunalah. Anggaplah semua pen di dunia ini ibarat banyaknya tentangan dan cabaran mendatang. Hilang satu, akan ada satu lagi. Tak kan pernah habis. Apa yang penting, setiap cabaran yang datang, kita hadap. Isi tulisan kita tu lah yang menentukan cara bagaimana kita berdepan dengan cabaran. Dan bermanfaat untuk orang lain atau tak. Selagi ada dakwat, selagi itu kita guna. Bayangkan kalau abang langsung tak nak guna pen, abang sangkut je la kat situ. Tak boleh menulis. Selamanya.”
“Jangan pulak jadi macam pen takde dakwat. Tinggal buang je. Tak berguna.” Sambung nya lagi lalu mengembangkan hujung bibirnya dan memberiku thumbs up.
‘Kalau pen tiada dakwat, ndak perlu buang. Boleh buat gulung kaset.’ Bisikku dalam hati.
Lambaian Izhar berkali-kali menjadi simbol perceraian kami dengan abang Naufal. Semua stage done. Nasihatnya sederhana, tapi tertanam di dadaku. Kami meninggalkan kawasan airport. Izhar senyum sepanjang jalan. Dia puas dapat tahu apa makna disebalik perenggan yang mengerumit otak cerdasnya. Aku rasa tergiur untuk membaca buku itu. Manakan tidak, isinya mampu membuat Izhar, yang sebelum ini tidak pernah ingkar orang tuanya, berani berbuat demikian. Malah menipu. Bayangkan kalau dibaca oleh orang yang suka kelentong.
Pengorbanan adalah kesakitan yang terselindung disebalik senyuman. Derita pula adalah kegelisahan yang sering menepuk-nepuk dada untuk melemahkan cinta. Tapi geng, derita dan pengorbanan lah yang mengajar makna cinta untuk terus berdiri, menebas arus masa yang bergelodak di bibir nafas.
Share this novel