Kelapa sawit yang bongkok dan berhenti berharap untuk hidup beratur menguasai kawasan rata dan lereng-lereng bukit. Semuanya kesedihan. Buahnya malu untuk berada dikhalayak ramai. Baunya dihantar ke rumah orang tua-tua. Pelepahnya saban waktu minta diceraikan, gugur satu persatu. Aku berada di perkampungan kecil yang dikelilingi hutan sawit. Kampung Ranggu. Kawasan kediaman yang tersembunyi dari jalan besar. Aku menemani Ayah ke Tawau atas urusan kerja. Memang kebiasaan bagi ayah untuk singgah melawat mertuanya setiap kali ada tugasan ke kota yang dikenali dengan lambakan makanan laut segar.
Kami terus bergerak ke rumah nenek sejurus gam selesai dipam masuk kedalam tangki silinder. Tangki gergasi mengerikan. Jalan masuk kedalam rumah nenek ibarat titian silaturahim dikawasan taman perumahan yang beransur putus hari demi hari. Sempit. Nenek pindah sejak tahun 2002 dari kampung setinggan tempat aku, Aidil, Bunnyuk dan Izhar membesar. Memilih suasana yang tenang seperti zaman atuk bekerja menjaga ladang kebun Mister Peter. Bilangan rumah dikira hanya menggunakan jari kanan.
“Makcik, mana si Bunnyuk?”
“Ada tu dalam biliknya. Masuk la kau nak.” Kata ibunya.
“Ada update?”
“Tiada lagi. Puas aku cari tidak jumpa juga”
“Kawan-kawan di Tanah Merah tiada yang tahu?”
“Macam mana mahu tahu kalau dorang tidak pernah nampak.”
“Betul juga.” Kataku. “Ada kawan kau yang lain tinggal di sana? Mana tahu ada yang kenal dia?"
“Kenal dia? Ohh kau maksudkan si Izhar ka?"
“Astaga iya...kau ingat siapa?"
“Puteri Amanda...”
Aku tidak pernah menolak ajakan ayah ke Tawau juga salah satunya disebabkan sahabat kecil ku ini. Ibu dan ayahnya juga pindah ke sini, malahan membeli tanah betul betul berhadapan dengan rumah nenek. Atas desakan kerajaan beberapa tahun lepas serta bahang Operasi Nyah II Bersepadu pada awal 2002, ramai penduduk memilih untuk keluar mendapatkan penempatan lain. Sejak itu, Bunnyuk dan Izhar terpisah tanpa khabar sampai ke saat ini. Aidil sepupuku, tetap disana selama mana diberi kesempatan.
Tidak sepertiku, Bunnyuk membelanjakan masanya lebih banyak di sekolah berasrama teknik vokasional. Penekanan lebih menjurus pada ilmu kemahiran praktikal dan pengetahuan sekaligus. Katanya supaya lebih berdikari, lebih berdisiplin, lebih jimat dan lebih banyak waktu dibuli. Buli secara definisi adalah badi buat segugusan watak yang mengisi pentas lakonan. Mereka sukarela menjadi khadam pada manisnya prihatin dari kelompok lain dengan menjunjung tinggi keangkuhan berstatus budak-budak ‘cool’. Sebaliknya, mangsa buli lebih cenderung berjaya secara luar biasa. Cuba ditanya manusia berjaya, pasti dikalangan mereka ada yang sebahagian hidupnya pernah menjadi mangsa. Justeru, kesedihan itulah salah satu bahan bakar terbaik yang menunggangi kejayaan.
Ayah bekerja keras membanting tulang sebagai seorang buruh kasar. Lebih tiga puluh tahun mengabdi dengan loyal pada stereng lori-lori berat. Logging, trailer dan dump truck sudah lama bersahabat dengannya. Dalam jangka masa tiga puluh tahun itu, ayah disogokkan dengan bermacam-macam bentuk pengalaman samada didalam mahupun diluar hutan.
Dia pernah diganggu penghuni hutan. Penghuni maksudku bukan sang monyet mahupun sang payau yang comel. Entiti yang hanya boleh dilihat melalui mata eterik ke-3, dengan penangkapan tenaga yang lebih kasar. Lorinya pengsan ketika itu. Enjin mengalami keadaan tidak sedarkan diri. Ditengah hutan belantara, ayah tak ada pilihan selain bermalam. Mekanik hanya akan sampai keesokan hari memandangkan langit mula menggelap. Belakangnya dibiarkan bersandar dikerusi pemandu, mata direhatkan. Malam mempersembahkan kekuasaanya. Keheningan dipecahkan oleh panggilan-panggilan seram pemangsa nokturnal dewa malam, si burung hantu. Serangga bersahut-sahutan. Terapi mustajab untuk yang hilang arah. Bulan menyuluh pekat. Hutan dipterokap memuntahkan keajaiban. Menghangatkan lagi keindahan malam yang penuh misteri.
Semena-mena Ayah terjaga. Tubuhnya kejang. Dadanya berdentum-dentum. Membetulkan duduknya. Tumpuan matanya tak berdaya untuk pegun pada satu titik. Tuhan Maha Besar! Ayah menghembus kencang. Dua susuk makhluk menyeramkan berlegar-legar dihadapan lori. Berkepala tanpa tangan dan kaki. Berbentuk asap, rambutnya seruncing dawai pagar yang menggerbang ditendang angin. Leher panjang sesiku, kepalanya berputar-putar sambil pandangannya yang tajam mampu menenggelamkan gunung. Walaupun sudah biasa dengan usikan sebegini, rupa yang dijelmakan malam itu berada pada tahap yang lebih tinggi. Liang-liang roma mengembang. Tubuhnya serasa seperti jatuh ditolak dari tempat tinggi. Ayah menyentap parang pusaka yang terletak dibawah kerusi. Sarungnya ditarik perlahan-lahan. Kumat-kamit membaca segala surah yang dihafalnya. ‘Aku tidak mengganggumu, maka janganlah kau mengganggu tidurku!’ Memberi amaran dengan jemarinya rapat memeluk hulu parang.
Ibu pula, pernah ditilik nasibnya semasa mengandung masuk tujuh minggu, pengalaman pertama sebelum menyandang gelaran ibu sepenuhnya. Again, kuasa mistik mengambil peranan. Walaupun bukan atas kemahuan Ibu sendiri, makcik setengah tua penjaga kantin di kem ketika itu berkeras mahu mengamati corak telapak tangannya. Ibu menyerah, enggan bersangkal dalil.
“Ani, nanti, akan ada satu peristiwa pahit, yakni kemalangan akan menimpa suami mu.” Ibu terkejut dan senyum, tetap membiarkan.
“Kemalangan teruk. Cukup teruk!”
“Sekiranya ajal suami mu sampai, anak yang kau kandungkan, keguguran!”
“Tapi, kakak bagitahu kau…dengan izin Tuhan, kalau suamimu selamat, anak yang kau kandungkan ni akan mengubah garis sejarah keturunanmu!”
Dua bulan kemudian, ayah kecelakaan. Lorinya menjunam berguling-guling kehulu bukit disebabkan keadaan jalan yang mendap. Melalui pemerhatian secara fizikal, keadaan kepala lori yang remuk renyuk menimbulkan hipotesis yang sangat menyedihkan. Kehendak Tuhan, ayahku selamat. Cuma diuji dengan beberapa jahitan kecil. Kelindan ayah, Pak cik Jupri, parah. Terlantar dua bulan dengan belakangnya bergerigi ditumbuhi nanah akibat dibadai kayu balak. Silapnya, pak cik Jupri melompat keluar daripada lori sedangkan ayah mati-mati menyuruhnya kekal berada didalam. Syukur Tuhan masih memberikannya kesempatan untuk hidup.
Geng, sekarang, anak dikandungkan ibu masa itu, abang sulungku, mengilmiahkan otaknya dalam bidang perubatan di Universiti Malaysia Sabah. Memecahkan tempurung pencapaian keluarga. Semua aturan Tuhan Maha Perancang, ibu dan ayah yang berhabis keringat memberi penekanan kepada abang tentang betapa pentingnya pendidikan bagi keluarga susah seperti kami. Jangan dipercaya si tukang tilik! Titik!
Ibu sering menyuruhku untuk menemani Ayah setiap kali dia menghantar muatan luar dari Sandakan. Aku tahu Ibu bimbang. Bukan seperti dahulu, bekerja di kem selalunya ditemani kelindan. Sekarang, sendirian adalah istilah wajib bagi ayah kecuali kalau ditemani anaknya. Disaatku memandangi matanya yang kemerahan melawan desakan mengantuk, lahir perasaan sebak yang teresak-esak merintih terkenangkan ayah bergelumang dengan tanah, minyak dan gris. Betapa kuatnya azam ayah. Mencipta kenyang disaat lapar, berlagu gembira dikala sedih, mengajak sihat melupakan sakit, sebagai asbab kebahagiaan daripada Tuhan. Walaupun dalam keadaan yang terlalu penat dan lelah, ayahku tetap mengukir senyuman riang sesaatnya dia mengunjurkan kaki di pintu rumah. Tidak pernah wajah sedih, bengis, mahupun risau terpampang di raut mukanya. Ayah, kaulah jurutera saadah kami. Engkau lah role model kebahagiaan hati.
Nenek menyibukkan diri dengan menggoreng pisang panas. Sambal buatannya adalah anugerah terlazat turun temurun. Nenekku, kalau bergambar bersama anak-anaknya, orang asing pasti mengira dirinya sekali dalam bilangan adik beradik. Dia berkahwin dengan atuk pada usia sangat muda, tapi bukan macam anak dara 15 tahun zaman sekarang yang millenium. Fungsinya dirumah, menangis depan kaca tv, menghambur pinggan kuali di dapur, berkurung dalam bilik sambil melayari internet. Pemalas, pengotor, pembual. 3P. Rancangan kebabom! bom! bom! bom! Pesaing ketat slot 3R.
Aku makan dengan lagak akhirnya terlantar di pangkin kekenyangan berlipat ganda. Lain ceritanya dengan atuk. Lebih gemar menghadirkan diri disekitar tanaman nya. Menyembur-nyembur racun perosak. Mengharapkan buahnya dijauhi pemangsa lapar yang sentiasa memenatkan petani. Apa sahaja tanaman yang boleh dimakan merupakan kepakarannya. Dari dia muda, sampai punyai cucu sebesarku, terus-terusan berbakti pada tanah.
Suasana petang disini amat menenangkan. Patukan belatuk serta bunyian pelepah sawit yang bunuh diri terjun ke tanah boleh kedengaran. Sang suria berayun-temayun dicelahan bukit. Waktu kerjanya hampir tamat. Kunci warna langit akan diserahkan kepada rembulan sebentar lagi. Angin semilir. Belaian sentuhannya mulus dan mengkhayalkan. Kebun koko disimpang jalan membentuk ratusan orang-orang kayu yang berbau kopi. Semuanya membuat jiwa tenteram.
“Assalaaaaaamualaikum~”
Sedikit garau dan sangat ikhlas bunyinya. Putus nafas aku mengejar harkat yang panjang. Vokal A nya dibiarkan sendirian berdiri lama ditengah-tengah. Mengaplikasikan teknik gandaan dengan kemas dan tersusun. Budi. Nenek menjemputnya masuk. Dia merupakan orang penting dalam apa jua rencana yang dikehendaki Nenek. Kepakarannya dalam bidang tukang menukang amat memuaskan. Dari perkayuan, simen, sampailah perpaipan. Kadang-kadang barangan elektronik.
Kebanyakan rumah kejiranan sudah diterokainya. Semua disapu rata. Kemana-mana dia pergi, pasti disapa orang kampung. Budi! Budi! Budi! Kelebihan Budi terletak pada teknik tangannya yang halus, hampir tiada cela, penuh dengan sudut-sudut geometri yang dilarik kekemasan. Rajin dan tidak kenal apa itu keluhan. Dia faham yang Tuhan menyukai hamba-Nya bilamana melakukan sesuatu kerja, dia lakukan dengan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar tahu, malah memahami!
Pendidikannya rendah berbanding Basri. Namun ilmunya, dengan melihat sahaja dia mampu mengetahui nama-nama kayu. Seraya, selangan batu, ampas tebu, damar minyak, ranggu dan semua sepupu sepapat yang lain. Bukan setakat tahu rupa, tapi sifat kayu itu sendiri semua berskru dikepalanya. Itulah hadiah paling berharga dilahirkan dari pengalaman. Cikgu geografi yang baru tamat pengajian harus rasanya berguru dengan Budi. Aliran ilmu pokok.
Tetapi anehnya, sudah selang setahun, rumahnya sendiri tidak siap-siap. Dinding dalamnya masih berbogel, tangganya kesejukan, tandasnya berlekuk-lekuk kesakitan disiram air panas. Mungkin disebabkan panggilan kerja tak berpenghujung sepanjang tahun. Semakin ramai orang baru berpindah masuk, tugasnya akan semakin kerap diperlukan. Kuasa Tuhan, rezeki memanggil-manggil. Syukur dia sudah beristeri. Kalau belum, tentu salah seorang makcikku pasti dikahwinkan dengannya.
Disember lepas, menjelang beberapa hari sebelum persandingan makcik Sia, yang nombor lima, dia bertungkus lumus menarik paip getah dari rumah nenek sampai ke rumah jiran diatas bukit. Puncanya, kekurangan air. Analisis kestabilan tanah belum dijalankan untuk pembenaman paip silinder oleh jabatan air memandangkan jumlah rumah dikawasan yang didiami nenek belum mencapai minimum kuota. Maka, bagi memudahkan kerja-kerja memasak dan menyuci pinggan mangkuk, Budi diperlukan.
Tanah tinggi yang dibungkus semak samun diredahnya sepanjang 10 kilometer. Bayangkan betapa banyaknya gulungan paip yang perlu dibawa. Walaupun ditemani dua orang pekerjanya, masih sukar kiraku dilakukan apatah lagi tanpa menerima bayaran. Ya! Dia enggan diberikan wang. Ucapan terima kasih memadai. Katanya kepada nenek, “Tidak payah la Hajah, ikhlas. Bukan susahpun tarik paip”.
Majlis dimulakan selepas Zohor. Teriakan penyanyi band mendetar didada. Lagu ‘Selamat Pengantin Baru’. Budi kelihatan segak dengan kameja petak-petak warna kuning. Duduk sekali dengan penyambut tetamu dibawah gerbang bunga yang melilit-lilit. Aku sibuk menyusun atur kerusi yang mabuk akibat dihimpit punggung beraneka ragam.
Pukul 7 menandakan waktu debaran buat Budi. Bukan disebabkan risau bajunya bertukar menjadi karung guni seperti gaun Cinderella, tapi gemuruh untuk menerima hadiah selaku pemenang tempat ke-2 permainan Domino, atau lebih dikenali sebagai domeng dalam suku Bugis. Budaya turun temurun sebagai acara wajib menjelang perkahwinan. Dibawa dari Indonesia, dipercayai lahir pada akhir abad ke-18 di Perancis. Umumnya dimainkan oleh 4 orang pemain, kad dibahagikan sama rata. Pola pecahan 6/6 diturunkan terlebih dahulu. Pemain ke-2 yang duduk disebelah perlu sepadankan salah satu pecahan pola kad sebelumnya. Diikuti pemain seterusnya, berulang-ulang sampai semua kad ditangan habis atau menemui jalan buntu. Seperti penjelasanku, buntu. Cubalah bermain dengan orang yang tahu untuk memudahkan kefahaman. Pasti rasanya seronok dan mencabar minda.
Saat namanya diumumkan, Isteri serta anaknya menjerit-jerit keseronokan. Gemuruh tepukan orang kampung. Malam itu, Budi berjaya membawa balik set pinggan mangkuk ditaja Giacomo. Senyumannya insomnia. Satu lagi peristiwa kebanggaan berjaya dimuatkan kedalam historiografi susur-galur keluarganya.
Tetamu undangan berganti-gantian. Modus operandi bagi setiap orang yang datang secara puratanya sama. Langkah pertama, salam orang tua kedua mempelai. Ada yang terus menghulurkan sampul atau hadiah, ada yang bagi sebelum pulang. Langkah kedua, jangan malu membiarkan tekakmu rehat. Hidangan tersedia, harus diraih. Makan. Gosip sana gosip sini. Langkah terakhir, tangkaplah gambar bersama pengantin tanda kenangan. Sebelum meninggalkan khemah, jangan lupa sijil mu dimeja pendaftaran. Kau lulus. A +.
Share this novel