Majoriti orang kata, seorang lelaki yang berjaya pasti memiliki sesosok wanita yang setia berdiri dibelakang, menyokong, memotivasi, menguatkan semangat sampai kejayaan dapat ditemukan. Bagaimana dengan yang berpoligami? Lebih dari sesosok.
Kami berbual tentang apa yang perlu dilakukan selepas tamat sekolah. Adakah melanjutkan pelajaran? Kalau iya, di mana? Atau adakah lebih memfokuskan kearah tanggungan sara diri dengan bekerja? Jika iya, bekerja sebagai apa? Pemikiran yang kompleks tetapi minimal selalu membuatkan kami bangga bersahabat dengan Basri. Caranya menggunakan akal tampak lebih bijaksana dari kami terutamanya aku si pemalas. Sambungnya lagi, memang perancangan perlu ada, tapi, tidak perlulah sampai memikirkannya secara keras-keras. Sehingga kau lupa bahawa kehidupan perlu dihidupkan. Rileks ja bah!
“Yang paaaling penting geng, semangat! Kalau kau lakukan apa sekalipun dengan semangat, kau pasti berjaya geng! Semangaaaat!!” Berdiri megah menghadap matahari yang beransur-ansur terbenam membelah bumi. Terperanjat makcik penjual sayur yang lalu ditepinya. Kalaulah makcik penjual sayur ada sakit jantung, aku yakin mulut Basri pasti sekonyol-konyolnya disumbatkan kangkung mentah tiga ikat.
“Tapi kalau aku, aku akan memilih untuk sambung belajar geng. Ilmu itu membakar ibarat api. Dalam tempat yang gelap, biarpun nyalaannya sekecil duit syiling lima sen, setidaknya cahaya api itu dapat menutup sedikit kegelapan. Bayangkan kalau api itu besar, ilmu itu banyak? Tidak kah kamu beruntung?” Kata-katanya, ibarat kata-kata dari seorang puak Baggara mengajarkan tentang bagaimana kehidupan mereka mampu diteruskan dari generasi ke generasi dengan hidup secara nomad. Akhir kata, jangan biarkan hidup mu diselubungi misteri. (walau tampak tidak ada kesinambungan, anggap sebagai angin lalu).
“Apa kau mengarut ni?!” Nas mendekat. Nah! Ini yang mantap. Perwira kuasa becok (murai) akan berdebat menentang Basri si Bapa Ke-Falsafah-an.
“Semangat apa kau maksudkan Bas?”
“Semangat lamina? Itu Lefthanded, semangat yang hilang? Itu XPDC, semangat roh jahat? Jawapannya di hujung kebun saaaanaaa dekat pokok mangga…”
“Aku cabar kau Bas, kalau betul semangat itu penting, kau pergi pokok mangga sana bermalam satu malam!”
“Terkencing bergegar menghijau kau Bas!” Dia ketawa berhabisan. Aku ketawa, dan semua pun turut ketawa.
“Nas…berapa ramai suda orang cakap kau mulut becok?” Tenang, Basri melontarkan serang balas.
“Ahhhhh…no point untuk ku jawab!”
“Naaaaaaass…mamamu sendiri menabalkan kedudukan mu selaku si mulut becok, semua benda kau boleh jual dan aku tidak hairan walau lalang sekalipun. Aku percaya. Ku mohon kau jawab, berapa sedikitkah pula orang yang mengatakan kau ni pendiam?” Soalan kedua diajukan. Basri tetap tenang. Aku terketawa, yang lain sekali lagi ikut terketawa.
“Kenapa kau cuba lari dari topik sebenar? Topik yang kau bangkitkan sendiri?”
“Ahhh sudah lah kau Bas! Cakap I love u dengan si Suzanna pun kau tidak ada semangat, ada hati mau bagi semangat orang lain?” Nas menyindir dalam tawa yang pahit. Kami tawa bersemburan.
Dush! Pasti hati Basri lebam ditumbuk dengan kenyataan padu. Ada betulnya apa yang dikatakan Nas. Bercucuran air mata penghuni laut sekiranya berita ini sampai ke telinga ombak. Belum sempat memukul pantai langsung berpatah balik membawa perkhabaran duka. Laut dan isinya lah teman setia Basri disaat dia rindu wajah Suzanna. Merekalah tempatnya meluahkan perasaan. Belajar mengungkapkan perkataan aku cinta padamu. Perkataan yang teramat keramat yang tak pernah sekalipun terlepas dari bibirnya.
Basri tetap tenang tapi sedikit malu. Nas pula kelihatan puas. Berjaya mematikan kuda-kuda Basri yang hampir mengheretnya ke padang pasir tandus nan terbiar. Dia bijak mencari kelemahan pesaingnya.
“Kau mau tahu kenapa semangat itu penting Nas?”
“Mari kau ku kasi tunjuk! Siniii…” Menarik bahu Nas dan menunjuk ke arah padang bola pasir.
“Kau tengok tu padang, kau ingat, padang tu boleh licin sendiri ka kalau tiada semangat? Kau sangka kau kasi korban satu ekor ayam hitam, jin bantu kau korek tanah? Timbus kolam? Tebang cabut akar bakau? Kau bagi ayam goreng spicy KFC pun itu jin tidak pandang!”
“Kau ingat dulu waktu kita kasi clear tapak padang ni, ambil masa dua tiga hari? Satu minggu bah baru bersih. Mau give up sudah separuh jalan. Masalah sana masalah sini. Tapi, sebab semangat tu ada, semangat mau main bola tiap-tiap petang tu ada, tidak berhenti padang ni dikerjakan. Kau tahu kan?”
“Tentu kau tahu. Sebab aku yakin, semua orang yang kenal kau cakap kau banyak mulut, becok, bising betul. Tapi kau? Kau tidak seinci pun mengubah perangaimu. Kau tetap nas yang ku kenal dari dulu. Kami kenal dari dulu. Nah tanpa kau sedar, itu lah semangat. Sebab semangat lah yang membuatmu tidak malu, tetap berkeyakinan!”
“Betul kan?”
Berdesup peluru dilepaskan satu persatu. Itulah balasan yang kau akan terima geng sebagai checkmate mu. Jalan buntumu. Setiap kali Basri malas untuk meneruskan argument, dia akan mengisi penuh kelongsong-kelongsong peluru, memastikan kau tidak punya point untuk membalas semula, melepaskan tembakan, memastikan kau mengundurkan diri dengan penuh kekecewaan.
Aku tahu kenapa Basri menjadikan padang kami sebagai pelurunya. Sebab si jantan aneh itu lah yang paling gerila dalam merialisasikan impian kami untuk memiliki lapangan sendiri. Agar setiap petang kami tidak perlu lagi berlari-larian di tepi pantai dan tertendang serpihan kulit-kulit kerang. Walaupun tertendang kulit kerang tidak sama sakitnya dengan beranak, rasa sakit hati dan implikasi lukanya itu membuatkan kau tidak beraksi untuk dua kali petang.
Gigihnya seseorang itu dapat dilihat dari cara kerja dan bukan giginya. Cara kerja kami layak dikelaskan sebagai gigih sebab tanah pasir yang kami kuburkan untuk menimbus lopak-lopak air sedalam setengah hingga dekat semeter diangkut dari pesisir pantai dengan hanya memikul karung guni dan plastik. Kereta sorong sebiji pun kami tak punya. Berulang-alik jalan kaki berkali-kali sejauh 30 meter geng. Gambarkan. Dengan menggunakan cangkul, sekop, linggis, gergaji, berbotol-botol air mineral dan berbungkus-bungkus biskut merry, kami berjaya menakluki lapangan sepanjang 17 meter, selebar 10 meter yang hampir satu setengah keluasan gelanggang badminton.
Seperti kelompok manusia lain yang sihat akalnya, musyawarah diperlukan bagi menyelesaikan setiap apa jua permasalahan yang timbul. Samada melalui permuafakatan atau suara ramai. Begitu juga kami. Berbincang adalah intinya, nukleus-nya. Tiga hari kami peruntukkan untuk membelah kelopak kesulitan dalam pencarian lokasi terbaik. Geng, rupanya perbincangan dalam mesyuarat itu sungguh indah. Dipenuhi dengan pertanyaan, ketidaksefahaman, persetujuan, tidak bersetuju, malah rembesan-rembesan liur. Tidak ada sepak terajang mahupun lontaran meja, kerusi, mikrofon, atau lembu sekalipun.
“Aku cadangkan geng, kita hantar proposal sama Haji Firdabius, memohon dapatkan dana bagi pembinaan gelanggang futsal!” Nuar mengangkat tangannya dengan pantas, membiarkan pelepah ketiaknya mengembang menghirup udara malam yang segar.
“Tidak dapat tu jo. Jangan lah. Susah dan lain hal lagi, siapa mau sediakan kertas kerja? Ketua kampung? Kalau melibatkan kos ni macam biasa lah kena dapat kelulusan dari atasan lagi. Belum sampai sana suda makan bulan. Lama tu…tidak payah lah.” Bantah Basri.
“Nah, apa kata kita kasi berdiri tiang, kumpul duit beli kayu, simen. Kita buat sendiri, mantap?” Bob tiba-tiba terbangun sambil mengutarakan idea nya yang bernas.
“Bob…” Dona menyapu belakangnya dengan lembut. “Bob, sekarang ni kau sedang bermimpi terlampaaaaaaaau jauh. Keluar kau Bob. Semakin jauh kau berjalan masuk ke dalam semakin kau jauh dari cahaya kebenaran. Keluar Bob. Keluar. Baring Bob. Baring. Tidur Bob, tidurrrr…”
“Orang sinting, gila ka apa. Main bola atas lantai kayu, bersimen bertiang? Tidak pernah difikirkan orang. Lari-lari roboh, terus berkubur kau siap nisan kayu dengan simen disekeliling jadi tugu peringatan. Mangsa korban tragedi lawan bola 5 sebelah, setelah ketingglan 6-0.” Karim memandangi Bob kekeliuran semacam melihat alien. Ketawa bertebaran.
“Geng, serius!” Basri membentak sambil kepalanya digerakkan membentuk seperti tandatangan seorang aristokrat. Ini merupakan isu yang serius. Bagi dia, keseriusan itu penting agar tidak mengganggu konsentrasi.
“Kenapa kita perlukan padang yang lain sedangkan kawasan tepi pantai itu luas betul untuk kita manfaatkan. Kan?”
“Kita kan beratus kali sudah bincang bah Jabir oiii sayangkuuuuu pasal semua niiiii…” Nas bersuara.
“Aik? Ya kah? Bah iyala. Hehe...” Jabir menyusap kepalanya dengan penuh sesalan menanyakan soalan yang jawapannya sudah ada.
“Birr Birrr. Semua kau lupa. Bagus kau cuba balik rumah. Kalau lepas 5 minit kau patah balik sini, maknanya rumah mu pun kau lupa sudah tu di mana.” Giliran Botak menjadi tukang hukum. Sekali lagi, untuk sekian kalinya, musyawarah dilanggar dengan kelajuan ketawa yang amat cepat dan kuat. Bergempita langit malam. Anak-anak anjing liar yang santai terkejut berlari-lari cemas dibelakang ayahnya. Gigi angin semakin mengilu-ngilu. Dia tidak sedar yang tempias kesakitan dialaminya turut kami rasakan. Kesejukan.
“Siring (Tepi) rumah mu Meng? Boleh?” senyum sambil ku menunggu balasan si Ameng yang dia tahu kami semua boleh teka jawapan dari mulutnya.
Responnya, hanya berbentuk figura yang ketawa dan bahunya ikut berdendang. Ketawa yang isinya seperti mahu tak mahu. Diluah dipukul emak, ditelan diceramah bapak. Ingat kamu geng si Fei Mao? Watak utama yang membintangi drama berbentuk filem, Why Me? begitulah gayanya si Ameng ketawa. Tidak tahulah samada kedua-dua mereka ini ada hubung kait dari segi biologikal atau tidak belum dikenalpasti. Yang sudah pasti, kawasan tepi rumahnya dibuang negeri jauh dari senarai pemilihan lokasi.
Keesokan harinya…
“Tapi kan Bas, aku rasa la kan. Bagus juga cadangan si Nuar semalam. Kita usul ja ke ketua kampung…” Karim bersetuju setelah mengambil masa sehari memikirkan.
“Iya bah Bas. Kau tengok si Karim, dia faham. Sekurang-kurangnya geng, kita tidak perlu penat-penat menebas korek tanah apa semua jooo…kan?” Nuar mengetatkan bungkusan penyelesaiannya.
“Ku kasi faham kamu ya geng. Begini bah.” Dia berdiri, meminum habis kopi didepannya langsung menyambung penjelasan.
“Pertama, masa. Kamu ingat besok kita bagitahu, lepas satu minggu dapat? Bangun kamu geng. Melainkan dekat pilihan raya, cepat sikitlah urusan nya. Kamu pun malas mau menunggu kan?”
“Kedua, lokasi. Kamu rasa lah kan, diorang mau ka buat betul-betul di jambatan kita ni? Setahu aku, satu gelanggang untuk satu kampung kan? Jadi, confirm dibuat dekat masjid sana. Bayangkan betapa ramainya makhluk Tuhan di kampung kita ni yang jiwa bola. Belum campur abang-abang lagi? Silap-silap jadi penonton jak kita sana.”
“Ketiga, siapa yang mau berurusan? Aku? Jangan harap!. Ada yang mau? Angkat tangan? Nah! Tiada kan?” Mengipas-ngipas tangannya kemudian kembali duduk. “Kau mau Nas? Manatau ketua kampung beli kau punya CD Broery Marantika?”
“Apa ni geng. Serius bah…” Nas cuba lari sekaligus menidakkan. Semua ketawa termasuk Basri, ketawa paling besar.
Basri mengepalai perbincangan sebagai Speaker Dewan Undangan Jambatan Lima, Kampung Biar Pedih Kasih Memanjang. Ahli dewan tidak pernah tetap jumlahnya. Hari pertama, ramai, 9 orang. Hari Kedua, sedikit kurang, 6 orang. Lagi tiga orang mengalami sindrom punggung melecet alias malas. Hari ketiga, pecah rekod. Seramai 21 tenaga, termasuk 7 ekor anjing yang dikepalai si ekor kontot, melindungi anak-anak kumpulannya yang tidur.
Geng, istilah kerjasama yang seperti aku dan kamu sedia maklum, adalah elemen paling keramat dalam memastikan sesebuah kejayaan dapat dicapai. Sedangkan penerima dan pemberi rasuah pun mengaplikasikannya apatah lagi untuk hal yang baik-baik? Sayangnya, kerjasama antara kami sekumpulan masih samar dan kadang-kadang ibarat kepulan asap yang lari menjauh ke udara lalu merebak meninggalkan bara yang berlumpur mengalir deras di celahan kesedihan.
Aku bersama empat yang lain memulakan kerja berat itu dalam dakapan kenaifan. Betapa kami bodoh langsung tidak menyedari bahawa kata-kata itu terkadang lebih meyakinkan berbanding perbuatan. Basri cuba untuk positif. Dia, tidak pernah memiliki corak stereotaip dalam kehidupannya.
“Jangan kamu risau geng, kita buat jak dulu, nanti keluar jugak tu diorang membantu” Klise. Sudah 5 jam kami bertendang dengan kepenatan, masih bilangan yang sama.
Pabila malam, ramai pulak yang muncul. Seakan pagi sehingga petang itu adalah dunia lain yang jauh terlempar di galaksi berbeza. Ditanya kenapa tidak turut serta, rata-rata jawapannya, lupa. Itu lah Melayu. Lupa merupakan rakan karib yang diundang, dialu-alukan kedatangannya, malah dihidangkan makanan sedap-sedap dengan niat agar lupa menjadi tetamu tetap yang bergendongan bersama waktu. Tapi ingat, lupa itu tidak pernah sendiri. Berwaspadalah dengan sepupu satu kalinya, malas.
Hari seterusnya, jumlah tenaga kerja bertambah. Lega rasanya. Masa yang terluang adalah kelebihan. Kelebihan ada kesungguhan, dan kesungguhan pasti membawa pada kejayaan.
Ketua projek, Basri, sanggup meninggalkan kerjanya di kilang baja Chi Kiong batu sapi. Lelaki itu meletakkan martabat duit jauh lebih rendah berbanding persahabatan. Ayahnya terlebih dahulu menyalakan lampu hijau untuknya. Sangat faham bahawa anaknya akan lebih gembira dapat berbakti bersama kawan-kawan. Setiap ketua keluarga tentu mengimpikan seorang anak seperti Basri. Taat, tidak pernah mengeluh, ikhlas membantu keluarga, dan meminta kebenaran atas apa sahaja perkara yang hendak dilakukan. Hatta ketika hendak tidur sekalipun.
Kawasan yang asalnya dihuni kerajaan serangga berumahkan pokok bakau yang renek kini semakin beransur musnah. Kekuatan kubu mereka sebenarnya sudah mula goyah semenjak manusia masuk membina penempatan. Rumpai paku pakis bakau yang melalui kajian dikatakan berkembang dua ratus juta tahun sebelum tanaman bunga berkembang juga tidak kelihatan. Mereka hanya mampu berada betul-betul dekat dengan pesisir sungai yang sentiasa lembap. Selepas hari keempat, boleh dikatakan, projek padang bola kami ini sudah siap 50-60 peratus.
Namun, hari berikutnya, kami seperti dihempap taufan tahap lima berkelajuan 250 km sejam apabila kebanyakan kami termasuk aku dilanda demam dan sakit-sakit badan yang manja. Jika keadaan ini berterusan, ianya amat berbahaya kepada keberlangsungan projek memandangkan penyakit ini boleh berlanjutan menjadi kronik yang amat kritikal. Putus asa. Menyedihkan, Bob dibawa ibunya ke klinik Sahrin di Bandar Kim Fung sebab anak kesayangannya itu mengalami demam dan tidak larat bangun untuk makan malam.
Aku hanya mampu untuk bergerak bangun dari katil selepas tengahari, itupun atas keluhan Ibu yang setiap selang seminit menjerit-jerit soal waktu zohor sudah limpas, matahari tegak atas kepala, pasal mahu jadi apa, apa mahu jadi, limpas sudah waktu zohor, kepala atas matahari. Nyaring dan sungguh mendesak. Aku menuju ke kawasan projek pada dua per empat petang untuk meninjau keadaan padang sambil mengharap ada kawan-kawan yang duduk melepak.
Alangkah terkejutnya aku melihat sesosok tubuh tegap yang dari jauh otot pectorals, deltoids, adik beradik biceps dan triceps serta rectus abdominis-nya jelas tertimbul secara sangat maskulin. Siapa lagi kalau bukan Basri. Takkan la Nas. Otot bicepsnya pun malu-malu kucing, inikan pula otot perut yang sampai sekarang asyik berselimut. Sungguh hebat stamina dan tenaga seseorang yang sering melakukan kerja berat. Tangannya tidak pernah lekang dengan sekop, meratakan lapangan, menimbus lopak-lopak air dengan tanah pasir.
Dia tersenyum memandangku dan bergurau pasal cara jalanku yang lemah seperti orang yang celah kangkangnya melecet. Basri berada disitu sejak dari pukul 8 pagi geng. Itu pun aku tahu selepas Mama Suraya membanggakan anak jirannya itu yang sungguh optimis dan rajin. Badannya berkilat disuluh cahaya matahari. Peluhnya kalau ditatang boleh digunakan untuk mencuci lori 6 tan sampai berkilat. Tanpa berlengah, aku turun membantu Basri sekadar semampuku. Dalam hati, 'Selepas padang ni siap, namamu Basri akan kujadikan sebagai nama padang kita yang indah ini'.
Malapetaka muncul lagi. Satu demi satu permasalahan timbul. Mendengar perkhabaran yang paling menghampakan, semangat kami bagai dijerut dan digantung secara terbalik dipokok ara. Rupanya, tuan empunya tanah, ayah kepada Yusri, tidak pernah memberi kebenaran untuk kawasan lapang tepi rumahnya dijadikan padang bola. Sialan si Yusri. Dia memberikan kata putus tanpa meng-usul dengan ayahnya terlebih dahulu. Ayahnya baru pulang dari Kota Kinabalu, selepas tiga minggu menziarahi anak sulungnya disana. Kami bingung, hilang idea, geram, marah, tidak puas hati.
“Aduhhh..macam mana ni geng? Bas? Sikit jak lagi siap suda padang kita ni, sekali tengok sangkut pulak. Sia-sia bah…” Keluh Dona.
“Si Yus bah bodoh! Kenapa lah kau tidak tanya dulu bapamuuu adoi!” Geram yang kalau dilepaskan, habis lebam badan dibelasah si Rahim. “Mana si Yus? Kalau aku jumpa diaa…”
“Aku pun bingung sudah ni. Tidak tahu mau buat macam mana lagi. Si Yusri, hilang entah kemana…” Basri kekesalan.
Ayah Yusri siap memberikan warning supaya berhenti dari meneruskan apa jua yang kami lakukan kecuali kalau kami berani berdepan dengan pihak Polis. Pak Cik Musa, memang terkenal dengan ketegasannya. Prinsip hidupnya, kalau hitam, tetaplah hitam. Kalau putih, biar selamanya putih. Tidak boleh diajak berbincang. Orangnya dingin, riak wajahnya menyeramkan seperti pemenggal kepala askar Jepun.
“Sudah aku bagitahu awal-awal tidak payah kita buat disitu kamu tidak mahu dengar. Sekarang? Kamu tahu jugak kan macam mana orangnya bapak si Yus tu. Rugi kita…” Nuar pembangkang paling agresif sebelum ni. Firasatnya tidak pernah enak pabila lelaki tua itu dilibatkan.
“Sekarang macam mana ni geng?” Jabir berharap ada penyelesaian segera.
“Macam mana apa? Memang sia-sia la kita punya kerja. Jangan harap lah ada penyelesaian lain. Yang kita ada sekarang, ni jak lah, cari kawasan lain”. Berputus asa, Bob merelekan dirinya diraih kegagalan yang amat pahit.
“Boleh bah tu aku rasa kita try jak pujuk Pak Cik Musa tu. Jangan semua sekali. Si Nas mana? Adui tiada pulak dia. Ok. Bas, Jabir, Dona, jom. Kita empat pergi bincang dengan pak cik.” Cadangku. Semua mengiyakan.
“Ikut aku!”
“Jangan lah Rahim. Kau tu tengah panas. Batang mancis jumpa belerang tambah marak nanti.” “Kau stay jak sini ya. Risau aku.” Rahim mengangguk. Dia faham maksudku.
“Sebelum tu, siapa mau becakap nanti? Kau lah ya Bas. Kau boleh jugak kan...”
“Biar aku yang cakap Dona, geng. Kamu backup jak aku. Tambah-tambah jak apa yang patut”. Ujarku.
Hari itu, pertama kali dalam sejarah hidupku berani untuk menegakkan benang yang basah tanpa memikirkan apa betulkah benang itu basah ataupun sudah bersilang ribuan ikatan. Jantungku bergoncang laju, nafas memecut, bulu roma seperti diacukan pistol.
“Assalamualaikum~” Salam kami tidak berjawab dalam suasana sepi sesepi tabung di atas meja bilikku. Untuk beberapa saat.
“Ha! WAALAIKUMSALAM! Kenapa?! Mau membangkang?! Ku telefon kan kamu polis ni!” Menunjukkan telefon Nokia-nya model 3310, bersarung pelikat, berbaju putih dan bersongkok dengan wajah yang dikerumuni misai serta rambut putih, sebengis Pegawai Imigresen yang sudah bosan asyik duduk depan kaunter.
“Errr pakcik, tolong lah kami, kami...”
“Kau ingat rumah ku ni apa?! Tempat mandi?! Somin pol (aku percaya maksudnya itu Swimming Pool)? Tidak ada cermin, dinding?! Pecah tingkap ku kamu ada duit mau ganti!” Mencantas tanpa membiarkanku menghabiskan apa yang hendak ku katakan padanya.
“Balik kamu! Awas ada lagi yang datang, pakcik telepon polis betul-betul!”
Kami segera beredar. Jabir buru-buru meninggalkan kami sejak salamku disambut Pak cik Musa. Bimbang telefon Nokia melekat di dahinya. Punah. Musnah semuanya. Harapan memiliki padang sendiri terbang jauh melepasi bintang-bintang. Cubaan ku, gagal. Malah kegagalan yang datang bersama ancaman.
“Biar aku yang cakap! Penakut kamu semua!” Rahim menuju kearah kami dengan cepat. Pasti keseluruhan perbualan tadi dapat didengarnya dengan jelas.
“Janganlah. Orang tua tu Rahim. Busung perut mu nanti. Kekerasan bukan caranya geng.” Basri memujuk.
“Sudahlah. Jom ke pondok kita bincang.”
Harapan kami sekarang cuma satu, pencerahan si Nasaruddin alias Nas. Dia punya pengalaman dengan lejen bengis itu. 3 hari bertahan kerja sebagai konduktor bas mini dipandu Pak Cik Musa. Serba sedikit dia mungkin tahu bagaimana untuk membawa situasi sekarang ke arah perbincangan yang selamat dan terkawal.
Aduhai sayang, tidak memberi kesan walau sekelumit pun rayuan Nas. Bujuk-nya pahit dan diluah mentah-mentah. Kepakarannya dalam bidang jualan langsung tumpul bahkan bilahnya pecah-pecah penuh air mata. Dia sebenarnya tahu kesudahannya akan jadi begini tetapi tetap mencuba sebab dia lah spesies lamprey terakhir di kampung kami. Walaubagaimanapun, ancaman Pak Cik Musa untuk menghubungi pihak berkuasa tidak pernah dia kotakan. Berita baik buat kami. Jelas setegas mana pun dia, Hulkogen bersongkok itu tidak akan pernah melampaui batas-batas manusia normal.
Undang-undang nya tidak ada membezakan antara golongan yang susah ataupun senang.
Peringkat kandungan manusia pada minggu ke-8 itu sangat mempesona. Tulang rawan terbentuk dan kaki mula memanjang. Ekor di bahagian belakang embrio memendek dan menghilang. Hidung dan kelopak mata timbul samar-samar tetapi indah dan bayi anda siap bersedia menempuhi fasa janin. Tapi minggu ke-8 bagi kami, hari-hari berlalu yang amat perit. Dalam tempoh itu, kami langsung tidak bercerita perihal bola. Bola ibarat mesin masa yang amat asing dan tak kan pernah mencuba untuk menciptakannya.
Cuti panjang persekolahan telah tamat. Mimpi-mimpi hebat kami turut sama direntap perlahan-lahan. Tinggal lah kami yang kurang bernasib baik berpeluk tubuh dengan kesedihan. Yang masih ada tanggungjawab sebagai pelajar patuh meneruskan.
“Ui! Bas! Kau biar betul!” mataku terbeliak sampai hampir terkeluar. Dia menjinjing cangkul dan sekop lalu membalas reaksi kami dengan senyuman seperti seorang bayi yang melihat rupa ibu nya buat pertama kali.
“Kau gila Bas!. Jangan geng. Orang tua tu mengamuk nanti habis kita! Macam kau bakar sudah rumahnya geng.” Nas risau sebab dia kenal orang tua itu.
“Bah! Sini sekop tu. Apa mau jadi, jadilah!” Penyertaan Rahim dalam tanda memprotes ini menjadi dua kali ganda membimbangkan.
Basri membisu masih dengan senyuman yang sama. Berjalan melepasi kami lalu melompat ke bawah ke kawasan padang. Rahim mengikut. Aahhh ini kerja gila. Mampus. Macam-macam reaksi bergusti di kepalaku. Gila betul lelaki aneh itu. Setahu aku, dia tidak pernah sekalipun memprotes apa lagi dalam kes yang besar sebegini.
“Mau balik sudah dia ni jam-jam begini. Barangkali di parking-nya sudah basnya. Aduh mati kita..” Nas semakin risau sampai gerak lakunya umpama mesin pengisar yang tak henti berpusing.
“Macam mana kita ni...? Balik la aku huii tidak berani aku stay sini..”
“Nanti dulu Nas. Sini jak kita. Amukan pak cik tu lain cerita. Amukan si Rahim ni yang aku risau. Di pukulnya orang tua tu nanti pakai cangkul...” Aku melarangnya balik dan berharap kalau sawan Rahim muncul, kami boleh menghalangnya dari bertambah teruk. Jantungku berguruh dilitupi salji.
Mulut Nas terlebih masin. Selesai kami kali ni. THE END – Bertemu Lagi di Lain Waktu. Sosok Pendekar Kegelapan mula kelihatan. Dia berjalan melintasi anak-anak jambatan dengan cermat tidak laju tetapi tidak juga perlahan. Awan berkawad mendabik diselubungi bunyian guruh yang menggerunkan. Basri dan Rahim tidak berganjak seinci pun. Setiap derapan kaki Hulkogen bersongkok itu bersamaan dengan sejuta jarum yang menusuk-nusuk ibu jari. Pedih.
Baru aku tahu dalam saat-saat begini lah mesin masa amat diperlukan. Aishhh! Sudah terlambat. Ikut kan hati, aku mahu menjadi seperti anak burung unta. Dalam keadaan baru menetas, tersangat tidak berdaya, berpura-pura mati dengan merebah kan badan ke tanah agar tidak diserang pemangsa.
Kami yang sedang duduk di pondok tidak berani untuk bertentang muka dengan orang tua itu walau sekejap. Dia melepasi pondok kami, menjeling ke arah Nas, lalu menarik bebola matanya kembali ke posisi asal. Anehnya, biarpun dia sudah dapat melihat Basri dan Rahim di bawah, dia tidak bercakap sepatah pun. Riak mukanya tenang setenang air di kali.
“Terima Kasih bos ku!” Basri merendahkan sedikit badannya tanda hormat. Aku, malah yang lain, pasti semuanya kebingungan. Apa yang sedang berlaku?
“Hmmm...” Balasan dari mulut Pak Cik Musa.
Fikiran ku melolong-lolong bagai anjing lapar. Pandangan kami silih ganti. Seketika ke arah Hulkogen bersongkok yang sedang berjalan pulang ke rumah. Seketika ke arah Basri yang masih senyum tidak putus-putus sambil tangannya memegang erat batang cangkul yang dihayunnya ke tanah. Rahim yang awalnya menyangka akan ada pertelingkahan turut sama diheret ke dalam kepompongan.
Orang tua itu menghampiri tangga rumahnya. Kasutnya di lepaskan dari kaki kanan, kemudian kaki kiri. Lalu memandikan kakinya dengan jirusan air hujan yang bertakung dalam pasu bunga kosong bercorak naga. Sewaktu hendak memijak anak tangga masuk ke dalam rumah, kaki nya terhenti. Memandang ke bawah, ke arah Basri. Nah! Sudah ku agak! Mesti ada yang tidak kena ni. Jangan dia cakap, tunggu kamu situ aku ambil parang, sudahlah, bisikku.
“Jangan terlampau bising. Kawan-kawan mu tu. Aku mahu rehat-rehat ni..”
Nas memandang ku. Aku memandang Rahim. Rahim memandang Nas. Basri memandang tanah lalu disodoknya menggunakan sekop. Semua bersorak. Akhirnya, impian kami kembali tumbuh. Bercambah dan bunganya mekar untuk hari-hari yang bakal mendatang. Tidak tahu bagaimana semua ni boleh berlaku sudah tidak penting. Sekarang, kami hanya perlu fokus untuk sempurnakan 100% padang bola ini. Aku memandang Basri. Apa lagi perjanjian yang di buat si jantan aneh itu, getus hatiku.
Share this novel