Azri, geng satu kelas, salah seorang penghasut dalam kumpulan kami untuk bolos dari datang ke sekolah semata-mata muris melampiaskan nafsu meniduri Play Station. Kami sudah dititahnya kemarin. Mengajak datang ke kedai Temenggung. Tujuannya, apa lagi kalau bukan lawan game bola Winning Eleven 9.
Sudah menjadi lumrah setiap manusia, kita tak kan mampu untuk rapat dengan seluruh emosi manusia di muka bumi. Kita hanya cenderung untuk fokus melayani gundukan manusia dalam lingkungan yang mana kebolehan emosi mampu untuk saling bertindak balas satu sama lain. Maka, ku perkenalkan orang-orang hebat yang sering mencubit emosiku disepanjang waktu persekolahan.
Kumpulan kami seiras alat muzik. Berbeza bentuk, berlainan irama, tetapi mengeluarkan alunan yang seiring demi menjayakan makna sesebuah lagu. Azri bertubuh sasa seperti Rebana. Roslan tinggi lampai bermata tajam laksana Sape. Paisal kecil sedikit berbanding Azri, sebagai Dagga dan aku, umpama Seruling kontot dan kering yang dibasahi liur. Ditiup berkali-kali pun tak kan gemuk. Tidak terkecuali, Nizam dan Eddy, kurus bak batang mikrofon. Batang Mic 1, Batang Mic 2.
Kami berada dalam kelas yang sama sejak tingkatan satu, kecuali Nizam yang pindah dari sekolah lain semasa tingakatan 4, dan perlahan-lahan berjaya berasimilasi dengan geng kami. Kumpulan kami ada satu peraturan ketat. Sangat tabu. Barang siapa diantara kami yang melakukan aktiviti bersifat pelanggaran disiplin tanpa melibatkan ahli-ahli lain, si pesalah akan ditombak secara pemulauan selama sebulan. Dia tidak akan ditegur, tak akan dilibatkan dengan apa jua rencana, malah tak kan dipandang sesaat pun. Dalam rekod, hanya ada satu nama, Roslan.
Mejaku dibaris kedua paling belakang, rapat ke kiri dinding, didorong meja Eddy dan Paisal. Manakala Roslan, Nizam dan Azri, berada di sudut kanan, dekat dengan pintu belakang kelas, untuk memudahkan mereka mengintai dan menghantui kelas sebelah. Ada beberapa lagi rakan lelaki sekelas yang lebih terencat akalnya tapi tak kami tabalkan sebagai ahli kumpulan atas sebab-sebab tertentu. Setiap kali sesi pembelajaran, acap kali kedudukan kami akan di rombak cikgu bagi memastikan tak ada neuron neuron connector terbabas keluar menggegar tabung ilmu.
Musim menunggu keputusan peperiksaan SPM mereka penuhi dengan bekerja. Si Sape, tugasnya berdiri di pintu bas, membuat pengumuman disetiap perhentian sambil tangannya tak sunyi dari mengepit duit syiling dan kertas. Konduktor bas. Si Rebana dan si Batang Mic 1 berpegangan hasil gaji selaku kitchen helper di Pizza Hut. Paling berbahagia, si Dagga. Tanggungjawabnya cuma membebaskan dan mengunci kendadu bengkel motor di Pamol. Pusat servis motorsikal ayahnya. Hujung bulan, gaji masyuk. Aku si seruling kontot yang kekeringan? Senasib dengan si Batang Mic 2, bergelimpangan dikaki lima. Tak punya pekerjaan selain daripada mencukupkan waktu tidur, waktu makan, waktu lepak, dan yang sama waktu dengannya.
Padahal, cerita awal profession penolong dapur Pizza Hut dimulakan dengan bertiga, Aku, Azri dan Nizam. Pekerjaan didapur bagi kebanyakan orang perempuan itu hanyalah sekadar singgah di tekak, setakat untuk dicuba-cuba. Liberalnya, kami diberikan jadual waktu bekerja yang saling iri hati. Tak pernah kami bersekedudukan dalam syif yang sama. Kalau bukan dengan si Batang Mic 1, dengan si Rebana.
Berkisah perihal syif malam, oleh kerana ketiadaan pengangkutan awam, maksudku bas awam, terutamanya pukul 9 dan keatas, aku memohon untuk sentiasa digandingkan dengan si Rebana. Sebabnya? Dia sama denganku tidak memiliki kenderaan untuk pulang kerumah selepas kerja. Nizam, dalam liga berbeza dengan Yamaha EX5. Teksi? Lebih dari separuh gaji kami nanti habis dihisap. Justeru, pendapatku, kami boleh tidur merempat dimana-mana. Menghabiskan malam, lalu bergerak pulang keesokan pagi. Azri ada pilihan kedua.
“Apa kata malam ni, kita jalan kaki sampai Fajar…Sampai sana, kita tidur di pondok kawanku, si Nuel! Mantap?”
Ok! Tanpa bertanya aku setuju. Dengan dia, aku tak kan pernah risau bimbang. Lima tahun berkawan, dia tak pernah mengejutkanku dengan musibah. Sama penting dengan Rebana, ketiadaan dirinya pasti menyebabkan berbilion masyarakat Melayu sekitar Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja dan komuniti Melayu di Nepal berkabung kesedihan atas pengharaman penggunaan Rebana diseluruh alam jagat. Belasungkawa. Aktifnya dia, semua jenis aktiviti ko-kurikulum dijilat licin. Dari PDRM, bola sepak, bola baling, balapan, catur, sehingga yang lebih ekstrim, buli. Pertuturannya jenaka, ketrampilannya semacam berus gigi yang digunakan bertahun-tahun, terkangkang dan merbahaya bagi penggemar sakit gigi.
Kami berjalan lebih sebatu meredah selimut malam. Pagi yang gelap diserkup kemerangan dingin. Lidahku bertunawicara. Senyap. Azri menjadi tukang pencerita bagi persembahan pantomin malam itu dikala aku menjadi pelakonnya yang cuma perlu ketawa. Aku tertanya-tanya dalam hati apa dia langsung tidak merasa penat? Kami selesaikan semua dengan dengkuran bersampul kotak ditepi pondok. Pondok berpangkat dapur, berstatus gerai. Gerai makanan.
“Merah ~ Bangun Merah...Merah ~ ” Memujuk rendah.
Aku terjaga. Kalau dirumah, letupan bom pun tuli ditelingaku. Hanya ibu yang berkuasa magis mampu membangunkanku. Menggunakan teknik yang ku beri nama, teknik panggilan puaka. Beberapa orang kelihatan bersiap-siap menyusun atur kerusi meja, mengelap pinggan sudu, bersedia bertemu pelanggan untuk sarapan pagi. Merah? Nama panggilan ketiga Azri. Segelintir memanggilnya Pula – maksudnya juga merah dalam bahasa Suluk. Panggilan nama lebih daripada satu itu normal, tapi kalau lebih daripada dua, cergas dan aktif macam si Rebana.
Dekat dua minggu aku disibukkan oleh kitaran penapaian dan adun-mengadun. Tepung gandum, yis, garam, gula dan minyak zaitun meletakku di kedudukan pertama dalam rantai makanan. Hubungan mutualisme diantara kami bersidang hari demi hari, menyental rasa keluh perlahan-lahan.
Minggu ke-3, aku dipindahkan sedikit kehadapan. Bukan sebagai pelayan, masih dalam kawasan dapur, cuma pengkhususan kali ni dikhaskan untuk menu lebih ringan seperti garlic bread. Memerlukan lebih ketangkasan, kertas-kertas order keluar lebih kerap dan sentiasa memanjang. Kelebihannya, pemandangan dapat dialihkan kearah pelanggan-pelanggan dimeja. Excited geng. Paling mengujakan, aku berada dekat dengan pembantu pengurus restoran. Ehem, cun dan ayu. Seayu sendayu tinggi. Diberi nama Nurlaini Binti Sulaiman, lebih selesa dipanggil Kak Ani. Senyumannya sahaja mampu membuatmu tak tidur semalaman. Tahi lalat diatas bibirnya yang nipis menggelegak ditulang belikat. Menepis segala lelah seharian.
Sayangnya, keindahan itu umpama menyaksikan euforia pencinta bulan, Supermoon. Dipersembahkan hanya pabila bulan berada lebih dekat dengan Bumi dari kebiasaannya, dalam saf yang sama dengan matahari. Tidak setiap tahun, tidak diduga, hanya diketahui melalui pengiraan pengamal langit. Majoriti demam denggi. Menghuru-harakan.
Berlandaskan hukum Sir Isaac Newton, dia dengan jelas mengemukakan bahawa sesuatu objek akan tetap berada dalam keadaan pegun sekiranya tidak ada sebarang daya dikenakan. Saya bangkang Yang Arif. Tak langsung ditemui dalam konteks pergaulan Kak Ani. Malah ditolak mentah-mentah. Biarpun tidak ada daya silap salah yang menujah keatasnya, pegun tetap tidak mendiamkan diri. Dia boleh mendesing sesuka hati dicupingmu biarpun semua kerja yang kau buat mematuhi SOP. Huh!
Belum cukup satu bulan, aku mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kerja. Ibu tidak menyokong tidak melarang. Dari sudut sokongan, nasihatnya berkisar hal keadaanku yang ditelan kurus dan bertambah cengkung. Dari segi larangan, tegasnya menindih perihal tidak ada pekerjaan yang senang untuk menjadi senang. Timba pengalaman itu penting, sebagai aura yang melapisi kehidupanmu di masa akan datang.
Keputusan SPM bakal menemukan tempoh penetasan dalam masa dua puluh tujuh hari lagi. Perasaan risauku berdarab-darab sampai membatasi tahap pengetahuan Siti Sifir. Ketagihanku pada kebimbangan akan bertambah parah kalau diteruskan. Jadi, ku biarkan sahaja kemurungan itu terpuruk didalam bilik. Keluar menikmati masa lapang. Lari dari semuanya. Apa pun hasilnya, aku sudah punya perancangan sendiri misal kata tewas. Bukan menginginkan tapi bersiap sedia. Sediakan alasan untuk otai dirumah.
Kawan seusia terutamanya perempuan, menangisi waktu dengan kesibukan mendeklamasi pasal keadaan jantung yang turun naik. Menghairankan, sampai ada yang hampir meraung memberitahu betapa gemuruhnya dia. Kujangkakan nanti masa terima slip pasti lakunya semacam histeria. Rambutnya menggerbang. Gincunya hijau pekat penuh kelapa parut. Tiga kali pandang rupanya hantu kuih lopes.
Menggigil-gigil pundi kelucuanku membayangi semula apa yang dilakukan Roslan enam bulan lepas. Percubaan SPM kertas kimia, mata pelajaran yang menakutkan bagi otak ketam sepertiku. Bahagian C, 20 markah pilih dan jawab salah satu soalan. Sedangkan banyak tempat kosong dimuka surat depan masih belum kuisi inikan pula dibelakang yang markahnya makin membesar. Menari dendang ‘tora datang lagi’ dalam kepalaku.
Antara nombor 9 atau nombor 10, aku pilih skip. Keduanya memberikan arahan yang menceritakan bagaimana atom, sebatian, analisis bola besar bola kecil malah bola-bola api berlaku dan harus ditunjukkan tertibnya menggunakan gambar rajah. Semuanya bencana. Waktu menjawab yang diberi bagi lelaki siku bersimpai macam aku tidak rasional sama sekali. Belum sampai empat puluh minit aku berhasil mencapai takat beku. Sah pemalas.
Ku jeling kiri kanan, depan belakang, semua kepala menunduk tertumpu pada helaian kertas putih penuh dengan tulisan serta nombor yang kucar-kacir dan saling menindih. Roslan kulihat sedang asyik memenuhkan ruang yang lengang. Bukan semberono dia. Disaat ramai putus harap, dia antara penyambung delegasi kepimpinan kami kumpulan terbantut yang masih terus menerus berjuang. Mesti apa yang ditiliknya dirumah sama.
Sabri ditepinya mengembek bisu minta dihulurkan jawapan. Dari awal minit lagi dia sudah gelisah. Jejaka berbibir tebal itu nyata tidak bersedia. Aku menang sedikit. Untunglah kiraku kalau dapat dikongsi bersama walau sepotong ayat pun dari berpotong-potong isi huraian ditulis Roslan. Aku menggunakan kelebihan leher yang fleksibel untuk mengintai. Walaupun tulisan dan lakaran tabung ujinya tidak dapat kuamati dengan benderang, sungguh penjelasan panjang lebar itu wajib kiraku diberi markah penuh.
Roslan atau nama ‘glamour’-nya si Panjang membiarkan kertas esei yang sudah siap berisi jatuh ke lantai. Dengan perlahan Sabri mencapai. Teknik penuh padah tetapi cendekiawan. Guru bertugas hulu hilir bertawaf dari satu jalur barisan meja ke jalur yang lain. Seketika duduk kemudian kembali berdiri. Tidak ada yang aneh dimatanya. Sabri membaca seakan-akan kertas itu adalah hasil keringat sendiri. Kelihatan keningnya berkedut. Memberhentikan bacaan lalu menatap tajam si Panjang. Tidak dilayan. Aku kebingungan berharap untuk tahu apa yang berlaku. Hampir tertawa besar dalam diam dia. Buru-buru Sabri menutupi mulutnya supaya kekal dari mendapat perhatian guru. Jelas ada sesuatu yang tidak betul.
Aku memugar berjalan mendapatkan Sabri sejurus kelas ditinggalkan guru. Ramai mendekat. Alangkah geli hati dan terkejutnya kami diceritakan. Rupa-rupanya penjelasan panjang lebar berbuktikan lukisan tabung uji yang rapi garisannya adalah penghuraian tentang cara-cara menyediakan hidangan ‘Maggi’!. Hebat. Membinasa. Bermula langkah pertama dengan memanaskan air dalam tabung uji, masuk sedikit ke bahagian tengah pasal mencampurkan dengan dua biji telur ayam kampung sampai penghujungnya diatas pinggan.
Kurasa akan lebih diberi extra markah kalau disertakan juga dengan penerangan proses bagaimana makanan ruji bagi penuntut pengajian tinggi itu dicernakan diserata perut dan usus. Hari itu kami habiskan dengan bercerita berulang-ulang kali pasal hal yang sama. Walaupun bersepai akal bertinju dengan pertanyaan bertubi-tubi yang pasti tidak membuahkan jawapan, hati tetap senang. Senang mempelajari erti malas.
Share this novel