Morbid Angel

Others Series 850

Kilauan bintang menembus rongga-rongga angin. Tiupan kencang bayu laut menggeligit, menambahkan kedinginan yang menusuk pangkal sum-sum. Debunga pokok bakau berguguran meniduri morfologi tidur para pemuja malam. Tersadai spora halus nan longlai menarikan gerakan ballet, menukilkan corak dalam indah ceritera fatamorgana. Disini aku, di pondok lepak, di kala gelap sudah mula matang, merantai waktu dengan bercerita perihal lagu-lagu kumpulan muzik era Rock Kapak tanahair.

“Ada lagi satu band tu yang lagu dia...ala...lupa aku bah lirik...segalanya masih segar ~ hmm ~ hmmmm ~ Lebih kurang begitu. Aduh...lupa bah...” Nuar hilir mudik di tengah pondok, keras mengasah otaknya untuk mengeluarkan kembali data dalam memori disk di kepalanya.

“Lagu ini lah kau tahu kah?” Dona menaikkan kedua kaki nya ke atas bangku pondok. “Olan, hiasan. Kasi main Yus.”

“Oh...Rindu ku ingin kedamaian ~ bukan hanya mengusik kerinduan ~ Start dari mana tu?” Gitar kapuk di petik-petiknya mencari tone yang sesuai. “Ok. Dari A Minor.” Sambungnya. “Kuala Lumpur! Ramai-ramai!...” Jerit Yusri.

“Si Botak ka tu? Kenapa lagi dia ni? Kena kejar anjing ka?” Soalku. Petikan gitar Yus terhenti, semua yang ada di pondok malam itu melontar pandangan ke arah Botak.

“Mati lah!” Tersendat-sendat nafasnya lantas menghambakan tubuh pada tiang kayu pondok beratapkan zink yang reput dijilat karat. Suasana bertukar sepi.

Botak berkali-kali menundukkan satu per empat badannya sambil mencuri masa untuk bernafas perlahan-lahan. Dia termengah-mengah seperti dikejar Pontianak. Titisan keringat membasahi hampir sepenuh dahi dan lehernya yang tenggelam. Bulan yang memancar terik seakan-akan memfokuskan cahayanya ke atas lelaki gempal bermata sendu itu. Nyanyian katak puru berdarah amfibia, ‘wuakak’ ‘wuakak’ semakin jelas kedengaran menyelimuti telinga. Persis sekali mahu turut serta dalam acara suspen yang dikelolakan si Botak.

“Mampus kita kali ni...Serius geng!” Suaranya surut dan terumbang-ambing.

“Kenapa?! Rilek kau Botak! Tenang bah...! Tarik nafas mu dalam-dalam dulu baru kau bersuara!” Rahim datang mendekat dengan nada yang cuba untuk menenangkan tapi berbaur tegas.

“Kau bah Rahim. Jangan terus menekan. Kesian dia. Kau tidak tengok muka dia pucat ni. Kawal nafas mu Botak. Tarik dulu...Hembus...Tarik...Hembus...” Basri menyambung dengan nada yang lembut dan senang.

“Ya bah. Kalau dia mati kejung sini kau boleh angkat?” Sambung Dona.

Malam memeluk. Agas-agas pemangsa semakin hilang gentar. Melapah darah seperti askar-askar penjajah berkulit putih langsat dan mata sepet yang ber-kamikaze semasa zaman kesengsaraan dahulu. Rizhophora, ketua keluarga spesies pokok bakau yang menjajah kawasan berpaya di muara sungai-sungai, antara pertembungan air tawar dan air laut pasti turut sama merasa aura suspen dan ingin supaya semuanya segera dilontarkan dari bibir gebu si Botak. Warna mukanya menampakkan seribu elemen yang tidak enak untuk disantap ketika lapar. Keluh kesah.

“Saiful dengan yang lain…Mahu berhantam lagi dengan budak geng Morbid...”

“Kau biar betul...Kau di sana ka tadi?” Tanya Basri.

“Iya...Itu lah aku berlari ni. Mau pecah sudah betisku....” Menyusun nafasnya lalu duduk. Kakinya diluruskan.

“Kasi gerak-gerak ibu jari kaki mu. Kebas nanti.” Saran Basri.

“Razak sama gengnya ramai gila babi! Saiful…Dengan si Bob, Karim...Sama si Nas.” Sambung Botak. Tanpa berlengah, Rahim bingkas mendongak ke atap zink lalu mencapai sebatang kayu melunak yang panjangnya lebih kurang dua kaki. Amygdala-nya terlalu efisyen dalam mengenalpasti ancaman-ancaman yang datang dan membuat keputusan dengan cepat tanpa membiarkan ancaman itu sampai ke korteks terlebih dahulu untuk dipertimbangkan.

“Cepat! Aku gerak dulu!” Belum sempat merancang apa-apa, Rahim meninggalkan kami sekelip mata. Dia adalah kaki pukul dalam kumpulan kami yang sering membela sahabatnya menggunakan 5 Prinsip Buku Lima. Tidak kira samada berpihak di kebenaran atau kebatilan.

Prinsip 1 - Pantang Mundur, diwakili Ibu jari. Penjelasannya mudah, setiap kali kita memegang sesuatu, ibu jari tak kan pernah terlupakan. Prinsip 2 - Pukul Dulu Tanya Kemudian, diwakili jari telunjuk. Melambangkan ketegasan. Prinsip 3 - Sentiasa Siap Sedia, diwakili jari tengah. Apapun akibat yang datang, sudah sedia untuk ditentang. Prinsip 4 - Menikmati, yang mengetengahkan prinsip indahnya beradu kejantanan, diwakili jari manis. Terakhir, Prinsip 5 - Janji dan Maruah. Seperti ritual Yobitsume, manusia harus ada maruah dan berpegang pada janji katanya. Bagi Rahim, melindungi kumpulan kami adalah cara dia membalas nilai persahabatan dengan rakan-rakan yang sentiasa bersama dengannya.

Kakiku berhenti berlari lalu gerak perlahan. Rahim segera menguis hujung simpang untuk lompat ke lorong utama jambatan 2. Kakinya dihayun pantas mendekati medan pertempuran yang hanya berjarak lebih kurang lapan depa didepan untuk diharungi. Kehadirannya disedari musuh namun, braaappppppp! Pukulan Rahim hinggap di belakang salah seorang anggota Razak yang tidak sempat berbuat apa-apa. Satu pukulan yang kencang dan cukup padu menyebabkan mangsanya rebah bergelumang dengan sisa-sisa tanah. Brutal.

Pabbb! Sebiji tendangan pula dilepaskan. Kali ini tepat ke bahagian perut seorang lagi musuh yang berdiri di sebelah mangsa pertama. Terperosok tubuh kering lelaki keriting lalu badannya mencium dinding kedai yang membisu di sudut kiri pangkal bahu jambatan. Dalam keadaan berdiri terkangkang, Rahim mencuba untuk melepaskan satu lagi pukulan. Pukkk! Satu tumbukan berat dihayun ke pipinya. Kali ini, rahang kanan Rahim pula yang menjadi mangsa. Kayu digenggam tercampak sebelum sempat menghukum lagi. Dia terduduk bersama tulang pelipis yang mengumbang.

“Rasa kau! Main pukul curi kau pondan!” Sindir Razak, pemuda berbahu bidang dan tinggi lampai, kepala geng Morbid.

“Bangun kau! Ndak kan terus bungkus woi!” Dia membiarkan Rahim berdiri lalu mencuba untuk melepaskan satu lagi tumbukan.

Grrekkkhh! Basri muncul tepat pada masanya dengan menjamukan satu tumbukan keras uppercut seperti yang dilakukan Muhammad Ali terhadap lawan gelanggangnya. Berdengung. Menggigit-gigit sel ephitelium pipi. Berpecah mengalir ke kelenjar tiroid. Penumbuk Basri yang bertenaga itu cukup untuk membungkam Razak. Bibirnya pecah dan darah mengalir keluar. Orang-orang kampung berselerakan keluar menyaksikan suasana yang riuh-rendah. Bertempik. Segala jenis maki hamun diludah.

Saiful seperti dipatungkan. Gaya musuh yang mengeroyoknya tak tumpah seperti kawanan dubuk melapah rakus tubuh sang rusa. Gedebuk-gedabak. Nas tersendeng-sendeng berhampiran kelopak air yang memenuhi lubang jalan. Baju biru Stussy yang dibelinya di pasar pagi minggu lepas kelihatan terkoyak di bahagian leher dan tangan. Bob dan Karim kelihatan masih mampu untuk bertahan. Karim yang tidak putus-putus disergah oleh musuh secara berganti-ganti menepis satu demi satu tumbukan dan tendangan. Silat yang dipelajarinya di sekolah menjadi perisai utama pemuda kacak itu. Tumbukannya berjaya menghentam tubuh musuhnya. Berdenyut. Terkapai-kapai.

“Ndak boleh one by one ni! Dari tadi kita terus ja yang kena!” Getus seorang geng Razak yang berhadapan dengan Karim.

“Kita masuk sekali semua pun ndak boleh ni. Sama juga!” Kata kawannya.

“Cari kau kayu! Cepat!”

Aku segera turun ke kawanan dubuk yang meratah haloba daging Saiful. Lighter Alladin yang ku genggam erat bersiap sedia sebagai agen penguat membantuku menumbuk dengan kencang. Aku mendekati Nuar cuba mengusir dubuk-dubuk tersebut. Rakan-rakan lain bersama Nas, Bob dan Karim. Berguguran penumbuk dan penendang laksana hujan lebat membasahi bumi Afrika. Simfoni bunyi-bunyi pergelutan berdansa berselisih dengan senandung malam yang merunduk di bawah senyuman bulan. Bertampar tangan. Namun, tiada juara malam ini. Pekikan siren polis meleraikan semuanya.

“Macam berdesing pipiku bah.” Bisik Nas padaku.

“Fuh, macam biru tu Nas. Tepi keningmu tu. Sini aku tengok!” Basri menekan-nekan lembik disekeliling kulitnya yang membonjol.

“Ini tumbukan pendekar ni. Bukan orang biasa…Tapi silapnya, kena di kepala orang biasa. Bukan kepala pendekar!” Gelak tawa bertebaran.

“Macam mana juga kalau ramai pulak tu yang kerumun aku. Macam aku ja yang di aim dari awal...Gila kau, kepala ku ni ya…dihantam…macam bunyi helikopter tu, betul-betul tepi telingaku…” Menepuk-nepuk angin di cupingnya.

“Si Don kan yang sama-sama kau. Kaki lincah bah tu…” Puji Rahim. “Mana dia. Terus balik rumah ka?”

“Tidak puas hati aku bah! Kena repeat lagi ni!” Bentak Saiful.

“Besok malam kita ke sana. Kasi rata dorang kali ni!” Balas Rahim lalu meludah ke saluran paip air di tepi jambatan sambil mengibas-ngibas bajunya ke belakang.

Perseteruan kami dengan Razak dan kumpulannya, Morbid Angel, berterusan sejak umurku 16, tahun lepas. Papan tanda bercat hitam yang tergantung di atas laluan masuk Jambatan 2, bercoret nama kumpulan mereka yang diwarnakan cat merah dengan gaya tulisan ala band Black Metal, dihiasi motif akar dan duri-duri, pernah kami hancurkan dalam pertempuran sebelum ini. Puncanya hanya disebabkan seorang wanita yang dianggap tercantik di kampung waktu itu. Kesudahannya, maruah lelaki didagangkan mentah-mentah. Mengakibatkan demam dendam yang panjang.

Kampung ini, Biar Pedih Kasih Memanjang empunya nama, merupakan sebahagian dari berhektar-hektar kawasan yang dikelilingi taburan hutan paya bakau. Status penempatan sebagai perkampungan sementara sejak tahun 1992, tidak terlepas dari bantuan kerajaan dari segi baik pulih jambatan dan jalan raya seumpamanya. Rumah-rumah selain yang bertapak di bahu jalan utama dihubungkan dengan menggunakan jambatan yang bersambung antara satu sama lain, membahagi kepada sepuluh lorong utama yang pangkalnya bermula di setiap bahu jalan, kemudiannya beranakkan beberapa simpang yang menghubungkan satu lorong utama dengan lorong utama yang lain.

Bagi memudahkan lagi orang luar yang datang, setiap jambatan yang mewakili lorong utama diberi nama mengikut tertib nombor, dari satu hingga lima. Setiap lorong-lorong utama ini saling berpasangan melalui kiri dan kanan bahu jalan. Jambatan satu yang berkongsi nama dari dua lorong utama yang dipisahkan bahu jalan menjadi titik permulaan kampung, menjalur sehingga ke jambatan lima selaku lorong utama terakhir yang paling dekat dengan pantai. Hanya ada satu sistem jaringan jalan raya, untuk keluar dan masuk.

“Kena tangkap polis si Rahim sama si Saiful kan.”

“Ha!? Kau biar betul. Macam mana boleh kena tangkap?” Tanyaku. Yusri menghisap habis rokok di mulutnya. Kutukan bara dengan cepat membakar tujuh ribu bahan kimia yang secara purata merenggut satu nyawa dalam tempoh kurang 10 saat.

“Di belasah dorang budak si Razak di bandar. Kata kawanku, si Saiful cam muka budak tu. Tiga orang dorang pertama. Tapi kau tahu lah si Rahim ada, nah lari yang dua orang tu ndak menahan. Satu tu ndak lepas. Habis bah. Lunyai.”

“Astaga...”

“Iya geng...Nah dorang tidak sedar, polis dibelakang suda mengacu pistol. Lokap lah jawabnya apa lagi.”

“Berapa hari dorang kena reman?” Tanyaku.

“Ndak tau aku. Kena cari la kita semua ni. Habislah kita...”

“Tidak tu.” Balas Karim. “Paling pun kalau kena cari untuk bantu siasatan ja. Tapi budak tu bukannya koma ka kan. Paling kena marah ja dorang tu di balai...Kena cuci...Kalau reman pun, sehari dua, keluar la tu”

“Membalas dorang si Razak ni. Silap silap, malam ni kita kena serang.” Ujar Yusri.

“Kau ni Yus…Jangan kasi malu kumpulan bah! Oh Yusri ~ Kau buat ku kata ~ Oh la la la la ~” Karim menari lagak jejaka macho terlompat-lompat cuba mengelak periuk api yang bersepah di lantai.
Tanganku tergetar-getar. Liang-liang peluh bersepuh bulu roma yang memegun. Tengkuk terasa disiram arus elektrik. Sejuk mendidih-didih di kepakku. Aku hanya diam tapi kepala tetap ku angkat dan berpura-pura semua ini langsung tak merisaukan ku. Aku dan Basri berada di kubu musuh ketat kami, geng Morbid. Tiga belas aura bengis sedang mengintai kami dari balik tabir dendam, hanya menunggu sepatah ayat yang bukan bersifat penyerahan keluar dari mulut Basri, maka goal!. Kami pasti di kenduri kan. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Ini bukan kali pertama aku di ajak Basri melakukan perbuatan diluar batas sedar manusia golok kayu sepertiku. Sialan.
Mujur Razak menerima kami dengan sangat gentleman. Dia sedia mendengar apa inti penjelasan yang akan kami khabarkan padanya. Sekiranya dia tak dapat diyakinkan, sisi lagi satu bakal dibangunkan dari tidur. Tubuh ini akan diratakan air, dari kanan ke kiri, kemudian dibungkus kain putih, didoakan, lalu di lemparkan ke dalam ruang seksa sekecil tujuh kali tiga kaki, sendirian. Lelaki amukan Rahim dan Saiful menerima 15 jahitan pada lengan kanan dan kepala, lebam-lebam dan terkehel siku kiri. Basri berhempas-pulas memastikan setiap bait kata yang dijelaskan tersusun, jernih tak beragenda, bersih tak berbelit-belit.
Seorang geng Razak dari awal lagi seperti cacing kepanasan. Dia menyeringai setiap kali kata maaf bergantung di bibir Basri. Baginya, setiap ahli kumpulan kami perlu dibalas nasib serupa. Hendak rasanya kaki ini ku larikan sekarang juga. Basri tetap teduh. Masalah ini bahkan lebih membahana kerana telah melibatkan kumpulan lain dari nasab ibu mangsa, pakciknya. Kumpulan lebih besar, ahlinya rata-rata lebih berumur dari kami. Paras nyawa kami yang tadinya separuh, kini dibalik-bundarkan menjadi 0.0000001. Seminit di sana terasa seperti setahun di penjara. Tangan yang tadi bergetar, kini mengilu.

“Kau berani datang sini! Kau tahu kan apa kesalahan kamu buat?!” Kata Pakcik mangsa dengan air muka yang terlalu lama berendam maut.

“Aku rasa bagus aku biar si Razak sama gengnya ni bedal kamu sekarang. Kan?!. Jadi kamu sudah lepas awal. Tinggal geng kamu yang lain. Apa macam?!”

“Boleh bang. Tapi, lagi bagus kalau tunggu anak buah abang sihat dulu. Lepas tu, dia dengan si Razak mungkin, boleh repeat dua lawan satu.” Jawab Basri.

“Kau boleh jamin ka kawan kau mahu?!” Gertak nya. Kalau si Rahim aku percaya tapi Saiful, tidak mungkin bisik hatiku.

“Aku jamin bang. Kalau tidak, biar aku yang ganti.” Ujar Basri dengan penuh yakin.
Pemuda berkulit hitam manis ini, dengan matanya yang sepi, membuat perjanjian di balik gerbang pintu neraka. Belum masuk sahaja bahangnya sudah mencairkan jasad dan semangatku. Semua persengketaan ini harus dipadamkan katanya supaya tak ada lagi tubuh membengkak berharap pada waktu untuk menyembuhkan. Mujur, kami dapat beredar tanpa sebarang calar. Aku tak kering gusi meleteri Basri betapa menyesalnya aku menyetujui idea gilanya. Dia hanya tersenyum. Semua ahli geng kami bersetuju setelah dimaklumkan. Kecuali Rahim dan Saiful, yang akan diberitahu kemudian.
17 April tahun 2006, gencatan senjata termeterai. Darah bangsa telinga tipis kami buang sementara. Kami dan geng Morbid Angel berjanji tak akan membuat sebarang bentuk perhubungan mahupun provokasi. Mana-mana pihak melanggar, pakcik mangsa akan ambil tindakan. Dari sumber yang sangat dipercayai, connection-nya dengan kumpulan dunia bawah tanah sudah cukup untuk menakluk jiwa-jiwa kami anak hingusan. Mulai malam itu, kami semua menjadi autoritarian. Satu tarikh akan ditentukan kelak bilamana janji Basri perlu dikotakan tanpa ada basa-basi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience