Dua kalimah syahadah ku ucapkan dalam dialek Arabian. Aku redha. Kubiarkan saja tubuh lemah tak keberatan menyerah pada maut. Mataku sayup-sayup menatap kebiruan seluas hamparan langit. Aku ditarik kedalam timbunan biru jernih yang hujungnya gelap dan pekat. Raut wajah serta senyuman ibu dan ayah terpampang dihadapanku, berlatarbelakangkan sebuah skrin putih yang menutup segenap ruang. Sekelip datang sedetik menghilang. Nafasku tersekat-sekat. Diafragma dipaksa memperlahan mekanisme pernafasan. Bebola mata berlanjutan pedih diselangi rongga hidung dan telinga yang terasa seperti ditarik-tarik.
Rima tarian laut semakin ligat memperbudak-budak tubuhku. Aku tewas mutlak tanpa berdaya untuk menyerang semula. Sedarlahhhh...! Jerit kalbuku. Tiba masa untuk aku kembali. Kali ketiga aku diumbang-ambingkan getaran air, kututup kedua-dua kantung mata dan membiarkan tubuh bebas bersatu dengan laut.
Pahlawan pencabut nyawa bersiap sedia berdiri tegap dan utuh disampingku barangkali. Semua makhluk laut lesap membenamkan diri jauh ke dasar. Takut akan kehadiran cahaya kegelapan bagi si pelupa akhirat sepertiku. Kesatria besar yang pastinya datang dengan wajah yang amat menyeramkan, ngeri dan aku semestinya akan dihabiskan secara perlahan-lahan, menyiksa, membusuk dan amat menyakitkan. Tidak ada sekecil bunyi pun yang terdengar melainkan deruan dewa air yang bakal menyaksikan satu lagi ritual wajib yang dijalankan untuk setiap yang hidup.
Dalam kepalaku, inilah takdir. Ini adalah penghabisan akhir nyawaku. Pengakhiran bagi peluang kehidupan di dunia yang selama ini disia-siakan. Aku bakal didaftarkan dalam senarai – ahli baru masuk, yang namaku nanti kujangka pasti di-shortlist-kan dalam kategori golongan pendosa yang suka berangan-angan. Suka untuk terus hidup, tetapi selalu leka dalam menguruskan kehidupan.
Tidak ada sekeping pun perasaan selamat yang tersembul keluar. Aku ditipu keras. Diriku menipu pada diriku sendiri. Kalaulah aku menidakkan keupayaanku tadi, pasti aku masih didengarkan nikmat sayup suara laut yang membisik tenang. Kawanan Ikan merah, tenggiri, kerapu, dan keluarga tongkol yang bebas menari, menggelinjang-gelinjang, semestinya mengajak pemancing meninggalkan semua masalah dalam poket bantal di atas tilam yang bingar. Diselang-selikan hawa panas dan dingin, bayu laut pasti dengan sukarela menyapa dan mengajak bermain bersama.
Awan cumulus merapat secara berkelompok-kelompok, padat dengan batas yang jelas dan membiarkan sinaran dari planet gergasi gabungan helium dan hidrogen menembak tepat menembusi awan gemawan. Biarpun berlembar-lembar pancaran terik merakus lapisan bumi, keindahan laut pasti mampu merasuk jauh kedalam ubun-ubun, menyahaslikan keinginan untuk tunduk, dan tetap setia berdiri merayakan kedamaian.
Nas lah pencetus semua ini. Biarpun Bob yang menulis draf kesuluruhan aktiviti, tapi Nas yang memulakan. Dia yang mengajak terjun dan berenang ke daratan pulau di seberang. Celaka. Dia memang dilahirkan terinspirasi menjadi seorang salesman yang berkemampuan menundukkan kemahuanmu. Apakan tidak, sedangkan si Dona yang secara total tidak pernah menggemari lagu-lagu Westlife terpengaruh dengan penjelasannya yang dipenghujung perbulan berakhir dengan sekeping CD berharga RM4.50. Ada 3 album, tahun 2001,2003 dan 2004. Kau kira lah sendiri total berapa geng. Apatah lagi aku, insan yang mudah dirasuk, terpukau dengan lagu percikan air silih ganti. Seorang demi seorang membuang tubuh masuk kedalam lautan biru. Macam-macam cara terjunan dipamerkan. Asyik. Tanpa berfikir keras-keras, aku terjun ala ‘American’. Hasilnya, parah.
Huff...hufff...huffff...hembusan nafas seperti kuda berdengus-dengus pantas memukul gegendang telinga. Tuhan Maha Adil, memberikan ku kesempatan. Ku buka tirai mata perlahan-lahan. Samar-samar. Botot, lelaki sasa yang sebati dengan pelukan laut. Botot termengah-mengah berenang sambil mengiringku ke kawasan yang lebih cetek. Hari ni aku masih diberikan peluang. Bukan peluang mengembangkan perniagaan, atau peluang merebut jawatan naib ketua pemuda kampung, malah bukan peluang berduet dengan Dayang Nurfaezah. Tetapi peluang untuk terus hidup. Sekurang-kurangnya untuk meminta maaf kepada orang tua ku.
Aku cuma berupaya membuka sedikit sahaja lensa mata yang dikerumuni partikel-partikel masin. Kepenatan telah meragut seluruh tenaga. Bau rendaman garam menyelimuti segenap deria tanpa belas kasihan sedikitpun. Hari ini, aku diberikan pengajaran yang paling bermakna sepanjang hidup. Sejak saat ini, ku titipkan surat perdamaian pada laut, medan lapang yang tak kan lagi kucabar kesaktiannya. Rakan-rakan yang lain? Apa lagi kalau bukan mentertawakan ku. Aktiviti memancing berakhir dengan nyawa dihujung tanduk. Keberanian yang disalah tafsir akhirnya menjadi ketakutan yang megah. Malah menjadi jenaka harian. Untuk lebih dari seminggu.
Jati diri seorang pelayar yang ku dewa kan sejak kenangan cinta monyet dengan Amanda telah merekah. Aku malu pada Bunnyuk. Sekiranya dia tahu, akan berderai semua keegoan dulu. Maka, Basri ku ajak ke pantai setiap kali dia tak kerja. Belajar terapung dulu baru berenang katanya. Teknik pernafasan bukanlah memuntahkan nafas dari hidung, atau mengikat nafas semasa menghayunkan tangan dan kaki. Semuanya perlu dalam satu gerak kawad, seragam dan berentak.
“Kita bukan ikan geng. Michael Phelps bukan lahir-lahir terus berapung dalam tab mandi.”
“Kenapa bajau laut hebat menyelam? Sebab gaya hidup geng. Maka, bersatulah dengan laut...” Katanya. Aku iyakan.
Hari ni kami julang dengan melepak ditangga bangunan AIA yang berpandangan dengan salah satu shopping complex paling mewah, Milimewa untuk menghabiskan masa bosan dibandar. Meneliti ragam-ragam manusia, berdiskusi tentang fesyen remaja sekarang, menghakimi paras rupa kaum hawa, bercerita tentang mimpi yang dialami semalam, mengagumi perbualan tentang kelebihan masing-masing dan berjenaka tentang cara jalan seseorang yang dilihat sedikit unik dan berbeza dari cara jalan biasa.
“Suzana!”
Basri berubah seperti katak ditimpa kemarau. Pandangannya pontang-panting. Ke kiri ke kanan, berputar-putar mencari tumpuan yang tetap. Segenap pembuluh darah yang mengalir secara terkawal tiba-tiba mengamuk ingin keluar. Tubuhnya membiru, sebiru langit. Keadaannya seperti seorang suspek kes curi gula-gula tangkai di kedai runcit Mama Suraya, bimbang dirinya diperhatikan pihak penguasa. Di dengarnya sahaja nama Suzana, segenap hiruk pikuk nyanyian kota tenggelam.
Menjalar bunga-bunga rindu melitupi segenap jiwa raga seiring wangian yang mengharum. Nama Suzana, nama keramat yang sentiasa menghantuinya. Bukan disebabkan ketakutan terhadap Sundel Bolong, tetapi atas dasar kecintaan. Cinta, satu perasaan yang boleh membuatkan setiap lelaki menjadi tidak waras. Sungguh gila. Wanita bernama Suzana itu menduduki bilik kelas yang sama denganku bermula dari tingkatan satu sampailah sekarang. Keterampilan lunak, leher jinjang, alisnya yang melingkar membentuk mata seperti mata kucing, dan tulang pipinya yang tirus ke dagu seindah lesung pipitnya, sudah cukup membuatkan Basri tergila-gila.
Apa yang paling menebuk dihati, bibit cintanya dipendam sejak saat pertama dilihatnya sang bidadari, lebaran beberapa tahun lepas. Sehingga kini, Basri masih malu dan ragu untuk mengkhabarkan isi hatinya. Cinta dengan malu, apabila disatukan, terlalu indah. Perih untuk dilontarkan dan semakin pedih untuk disembunyikan. Perasaannya terhadap Suzana membuatkan Basri semakin hari semakin cuba untuk berani. Namun, berani yang dijaga dan diasahnya akan hilang serta merta apabila gadis idamannya itu dapat dijangkau panahan matanya.
“Sendiri ja?” Aku berjalan menghampiri Suzana.
“Iya. Kau ni, macam biasalah kan. Bosan di kampung, lari ke bandar...”
“Biasalah aku, pegang kunci bandar kan.” Matanya ikut ketawa. “Mana boyfriend mu?” Tanyaku.
“Uiii, aku mana ada boyfriend. Memandai ja kau sana. Siapa lagi kasi tahu kau aku ada bf ni?”
“Tiada bah. Gurau...” Balasku. Kurendahkan suara. “Ada kawan ku. Minat betul sama kau. Tapi kau tahu lah, lelaki zaman sekarang ni pemalu sikit...” Pipinya bergelut kemerahan menahan malu.
“Kau tunggu sini kejap.” Suzana kebingungan. Dia tak tahu menahu kenapa aku menyuruhnya untuk menunggu seketika. Gadis itu hanya mampu untuk akur pada arahan cemasku.
“Basri! Kau ikut aku, beranilah bah sikit! Macam pondan jak kau ni! Cakap suka! Sampai bila kau mau tunggu. Sampai orang lain kebas?!” Suaraku agak lantang menyantun, tetapi dipastikan tidak terdengar oleh Suzana. Kutarik tangan Basri. Kutiupkan semangat kejantanan dalam dirinya. Dengan niat, supaya Basri mampu untuk meluahkan isi hati.
“Eh, malu aku gila. Janganlah. Nantilah lain kali...” Basri membisik tegas sambil menundukkan mukanya. Dia tidak berani untuk bertentangan muka dengan Suzana yang sedang memerhati tingkah kami. Riuh sekampung. Kawan-kawan lain bergendang bergempita mengolok-olok keadaan Basri yang berpura-pura.
Laki-laki pemalu. Sebetulnya, Melayu masih mempunyai ramai golongan sebegini yang dikategorikan sebagai kanser tahap 3. Malu tidak lekang muncul dalam segenap pergaulan dengan perempuan terutamanya yang melibatkan kasih dan sayang. Mendalami cinta dianggapi sebagai satu cabaran yang sangat mencabar jiwa dan akal. Cinta, bila saja ingin dikenali, malu akan mula mengeras menjadi tembok seteguh tembok besar China, mengarahkan hulubalangnya mematahkan sendi-sendi, meriukkan tulang temulang, menyekat setiap sel darah dari membuak, hingga mampu mencetus ketidakwarasan gerak laku si sang pemalu.
Cukup dengan menyenangkan hati secara diam-diam, laki-laki pemalu sudah boleh mengecapi manisnya menghidupi cinta, dan pahitnya mendiamkan kemaruk jiwa. Malu untuk meluahkan, malu untuk memulakan perbualan, malu untuk merenung wajah puteri idaman, malu untuk segalanya.
Pabila berada jauh dengan gadis yang dipuja, golongan ini tiba-tiba berani berjanji akan mengungkapkan lafaz cinta yang terperangkap dalam sanubari ketika bersemuka dengan pujaan hati. Namun, seperti Melayu kebanyakan, berjanji hanya pada kata, tanpa sebarang daya usaha. Malu tetap mudah menewaskan janji. Tanpa memberi sedikitpun peluang kepada hati untuk berteriak. Memekikkan segala yang terbuku dengan penuh perasaan. Bibir kelu, peluh jatuh, nafas laju, seperti menaiki roller coaster, dalam keadaan menahan hasil-hasil bumi didalam perut yang meronta-ronta untuk keluar.
“Ahhh...sampai bila kau mahu malu. Malu terus. Rugi kau nanti kalau kau lambat bertindak. Betul. Cakap jak geng.”
Basri memilih untuk terus duduk. Gelisah beraduk malu makin mencengkam tubuh lelaki detektif itu. Suzana pula tampak semakin resah. Dan bingung. Tanpa dia sedari, dirinya adalah pemangkin yang sangat aktif dalam memberikan kesan terhadap reaksi dan tindak balas Basri. Aku menggoda sehabis nafas namun, Basri tetap mengeras. Ku pandang tajam si Basri. Dalam hatiku, “kalau situasi sekarang ini didrama dan ditayangkan dalam slot identiti TV3, pasti majoriti penonton pada masa itu menyokong kalau aku memanggil mu bodoh!.”
Sikapnya yang keras kepala dan malu kuasa sejuta membuatku putus harapan menyuruhnya berterus-terang. Tapi, ada hikmahnya dia bertindak sebegitu. Setidaknya, dia boleh memfokuskan kotak kepalanya pada pekerjaan dilaut pabila dia berangkat esok lusa. Khuatir kalau dilautan tiba-tiba muntah jantung sebab mabuk cinta. Ku biarkan Basri. Aku penuh penat meyakinkannya.
“Kau mahukah berkawan dengan kawanku Zana. Tapi, dia ni pendidikan tidak tinggi. ”
“Erghhh...soalan mu ni...Pendidikan bukan tools pun yang wajib kau guna untuk buat saringan friendlist...” Katanya.
“Nah kan! Sama! Aku pun begitu. Tapi itu friend. Kalau lebih dari ruang lingkup kawan?” Tanyaku.
“Geraklah aku dulu. Aku mau jumpa kakak ku lagi ni. Minta teman pergi beli barang”
“Alaaa...nanti dulu bah. Kau jawab dulu soalan ku.”
“Aku gerak dululah. Malas aku layan kau..Sembarangan ja...” Keningnya berkerut. Memuntahkan pandangan penuh kosong lalu senyum tipis dan pergi meninggalkan ku.
Basri seorang pemuda yang penuh dengan tanda tanya dan soalan-soalan bersimpul mati dalam kepalanya. Sekolahnya tidak lanjut disebabkan oleh keadaan keluarga yang memaksa namun, dia tak pernah berhenti mencari ilmu. Kalau dibandingkan dengan keluargaku yang bolehlah dikatakan mampu, aku setuju kalau orang tuaku membelanjakan sedikit harta untuk dilaburkan keatas Basri. Pasti hasilnya terus-terusan bisa dituai berulang kali. Ayahnya memhempas kudrat bekerja sebagai pemandu teksi. Keluar diwaktu pagi masih nyenyak, bersahabat dengan jalan-jalan sampai pulang dikala malam sudah mula mengantuk.
Hasil yang diterima dari penumpang-penumpang hanya mampu untuk kais tengahari dan malam, kais sarapan, cicipan, mahupun supper jauh terpelanting dari jadual kehidupan mereka. Selebihnya dibayar kepada tuan punya teksi sebagai sewa. Itupun selalu sahaja kurang. Mujur tuan kereta seorang keluarga yang faham. Masa kini, Kota Sandakan bukanlah lubuk emas bagi pemandu teksi seperti ayahnya. Kebanyakan orang lebih suka menaiki bas. Sambutan akan sedikit menggalakkan jika pandai beratur ditepi kelab-kelab malam dengan menunggu penghibur disko yang mabuk turun untuk balik kerumah selepas berseronok dengan bir dan perempuan. Bukan pilihan ayah Basri.
Saudara-saudaranya ada sembilan. Lima laki-laki. Dibawahnya, seorang perempuan berumur lima belas tahun. Rina. Dia yang selalu tekun membantu ibu mengerjakan hal-hal dirumah. Ibu Basri mengambil upah dengan memasak nasi kuning untuk dijual dipasar. Syukur ada jiran yang memahami keadaan mereka yang serba naïf. Setidak-tidaknya upah yang sedikit dicampur dengan keringat usaha ayahnya masih mampu menyekolahkan empat orang adiknya. Belum tahu lagi haluan untuk tiga yang terakhir. Samada mampu disekolahkan ataupun tidak.
Berkat dari perancangan kewangan yang mampan bertahun-tahun, singgahsana yang sekarang ini menjadi tempat berteduh adalah satu-satunya harta yang dibanggakan. Apa lagi impian teragung bagi seorang ayah selain melihat putera dan puterinya membesar dalam rumah sendiri. Jikalau kebahagiaan itu didapati dengan perut yang kenyang, pasti raja rimba lebih fokus merebahkan gajah. Kebahagiaan adalah keadaan akal kita. Semuanya berasas pada bagaimana kita melihat kebahagiaan pesan ayah Basri padanya.
Basri nombor dua, yang pertama perempuan merantau jauh mencari rezeki ditanah orang. Selang setahun setengah baru ada berita. Berjaya mendapatkan kerja yang elok sebagai kerani di perusahaan tiub getah seorang tokey Cina dari Penang. Terletak ditengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur. Selepas dua tahun pulang membawa tunang. Luluh hati ibunya. Berlinangan air mata membasahi kipas buruk kesayangan yang sedang asyik dilap perlahan-lahan menghilangkan habuk-habuk yang melekat. Singgah sekejap tidak bermalam, langsung meneruskan perjalanan untuk bertemu keluarga suami kemudian pulang semula ke kota busuk yang penuh dengan kebencian dan hasad dengki.
Bergegar tubuh si ayah saat diceritakan ibu. Bagai dijerut oleh kesedihan yang teramat perit. Bukanlah mengharap untuk dibantu, sekadar berkongsi malam dengan menjamah bersama sudah mencukupi. Si ayah demam hampir empat hari gara-gara kurang rehat. Mengambil upah yang kecil, menyorong dan menyusun pelukan besi konkrit tanpa cuti walau sehari selama dua minggu, hanya untuk membayar harga tiket penerbangan anak sulungnya itu ke seberang. Pulang setelah lama menghilang itupun sebentar malah tidak ada menggendong perasaan bersalah pun tidak menunggu ayahnya paling kurang untuk disalam dan ditanya khabar.
Basri cuma dapat berjalan-jalan ke bandar atas hasil belanja dari kami. Wang gaji yang diterimanya semua diberikan kepada ibu. Dia membantu keluarga dengan bekerja sebagai kelasi kapal. Bukan seperti kapal olok-olok ku, Putri Amanda. Kapal pukat tunda yang dipunyai ayah Botot. Semenjak umur dua belas tahun dia sudah berlumur keringat mencari si raja kertas. Pernah menjadi tukang bersih tahi kuda, mengangkat baja urea keatas lori, bertukar menjadi hitam pekat sebagai KD di Sandakan Golf Club sehinggalah kini mempunyai pekerjaan tetap memerangkap ikan. Luas pengalamannya.
Kakak sulungnya lah yang membuatkan Basri sentiasa bekerja keras. Kami tahu yang dia tak kan pernah mengakui perempuan itu sebahagian dari salasilah keturunannya. Bahkan kalau kau tanya tentang kakaknya, dia tidak akan menegurmu seharian. Pernah dialami Milo sebelum ni. Bekerja diatas kapal yang sama, Basri langsung tidak bercakap dengannya walau sepatahpun. Berbagai kaedah digunakan Milo. Sampaikan dia bercerita tentang kisahnya membebaskan buaya yang tersangkut dijala pun tidak dipedulikan Basri. Walhal, bagi orang biasa seperti kami, hikayat ‘Buaya Yang Malang dengan Milo Si Penyelamat’ merupakan fairytale sama hebatnya dengan “Pied Piper of Hamelin” yang berjaya mengusir ribuan tikus yang menggerogoti kehidupan rakyat Hamelin.
“Bas, kau tahu..dihujung sana di lubuk sungai yang dekat akar-akar pokok yang melingkar tu, situ lah jalaku dimasuk buaya.”
Huss Huss Huss - Bunyi angin menderu. (Krikk bagi bunyi cengkerik tidak dapat digunakan memandangkan terlalu mainstream)
“Masa aku tarik jala tu, aku renjis-renjis guna air yang sudah ku kumur-kumur, baru ku bacakan mantera. Diam ja dia ya.”
Huss Huss Huss
“Aku terjun kasi lepas jala ku yang sangkut. Kau bayangkan. Betapa getirnya masa tu. Tuhan ja yang tahu apa aku rasa.”
Huss Huss Huss
“Bas, apa kata hari ni kita bakar gulama buat makan tengah hari? Cun?”
Huss Huss Huss
“Bas, kenapa ya kerajaan sekarang stop bagi baju sekolah, pensel, buku free sama budak-budak?”
Huss Huss Huss
Keesokan harinya barulah Basri berbual dengan Milo. Peliknya, dia tidak berkata apa-apa walau sedikitpun pasal semalam. Baginya, semalam tidak wujud. Tidak dicetak dalam kalendar hidupnya. Tak tertanda diingatannya. Semua perbualan mereka pasal masa belakang dan masa depan langsung tidak melibatkan pasal masa semalam. Sampai tahap bilamana diuji menggunakan ujian poligraf, detakan jantung, bacaan tekanan darah, mahupun skala perpeluhan akan tetap kelihatan normal.
Share this novel