Aura

Others Series 850

Cikgu Rasul menghampiri kami. Rotan tipis di tangannya kelihatan semakin memecah ke hujung. Gaya rambutnya tetap sama, disisir setiap helai ke belakang, lalu tepinya bersih seperti padi bukit yang tak habis dituai. Baju warna kelabu bercampur putih di kolernya dipakai setiap Isnin dan Khamis sejajar dengan hari amalan-amalan pahala dibentangkan dihadapan Tuhan. Kami berbaris di tapak perhimpunan memulakan hari pertama persekolahan sesi baru, selepas bercuti panjang.

Guru disiplin itu melepasi aku, Paisal, Nizam kemudian terhenti ditepi Roslan. Rotannya dihayun lembut, meletaknya di tepi pinggul lalu bergaya seperti menarik katana keluar dari sarungnya. Trademark terunik pernah dipersembahkan seorang guru. Perlahan-lahan rotan yang berjanggut dilibaskan ke hujung rambut belakang Roslan. Budak kelas sebelah barisan belakang menahan ketawa sementara Guru Besar di atas pentas sedang asyik melontarkan visi dan misi menggunakan mikrofon yang sedang migrain.

“Kau kenal John Rambo?” tanyanya pada si Panjang. Roslan menidakkan.

“Kau tidak pernah tengok TV ka?” Tanya nya lagi.

“Ada cikgu. Tapi saya malas mau tengok TV sebab semuanya melalaikan Cikgu.” Roslan senyum-senyum kambing. Kami terketawa tanpa bunyi tapi tak dipeduli Cikgu Rasul. Dia bergerak mendekat sedikit kehadapan.

Merendahkan tone suaranya. “Yang di depan tu pun sama…Melalaikan” Lalu menaikkan kedua-dua kening tipisnya.
Semua yang mencuri dengar ketawa. Guru Besar terkejut besar. Serta merta Cikgu Rasul dengan tegas mengarahkan untuk diam. Roslan disuruhnya menggunting ekor rambut belakang yang kelihatan seperti ekor kuda. Apa kaitannya dengan John Rambo bisik hatiku. Sebagai Pelajar paling senior di sekolah, disiplin tidak dijadikan sebagai penanda wacana yang sering digari ditangan pelajar lain. Kami jarang dipantau. Bebas asalkan tak melompati batas sistem pendidikan formal. Kononnya sebagai persediaan untuk ke alam kuasa maggi, lauk paling popular di pengajian tinggi.

Jadual harian kami disekolah disibukkan oleh lima orang guru yang sangat hebat. Selain Cikgu Bainah merangkap guru paling digeruni Mariana, kemahiran dalam English sebagai persiapan ke Universiti atau Kolej dibimbing oleh Teacher Shim, cikgu wanita paling sabar dan tersopan di dunia menurutku. Cikgu Shahrul pula, seperti sudah di takdirkan, darah campuran India Muslim dan Melayunya menyebabkan dia cenderung kepada subjek kahwin campur, menggabungkan ilmu biologi dan aktiviti rekreasi yang serius, Sains Sukan. Paling diratapi ketiadaannya, Cikgu Bob, guru Bahasa Melayu. Seluruh kelas akan berkabung sekiranya dia tak dapat masuk pada sesi mengajarnya yang penuh gelak tawa. Guru terlucu pernah ku kenal.

Udara di sekolah jelas tidak sama di tempat lain. Malas pangkat tertinggi sekalipun, apabila bau papan tulis merembes dihidung, atau bunyi tingkap ditutup ketika digulung hujan lebat, malahan teguran Cikgu Rasul, sang samurai terakhir Malaya, sering kali menggilik-gilik semangatku. Ilmu itu ditenun supaya bakti boleh dituai. Bising pula adalah perdamaian untuk menghapus sunyi yang mengerikan, kata Cikgu Habib. Guru Pengajian Am merangkap Guru Kelas kami Tingkatan 6, generasi ke-2, SMK Elopura II.

“Apa fungsi-fungsi kehakiman. Nizam?”

“Untuk membicarakan dan mengadili para penjenayah!”

“Bagus! Kau Paisal?”

“Membatalkan undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan cikgu!”

“Aik. Cikgu mana ada perlembagaan. Kau bercakap kena ada intonasi. Kau tidur mengorok, ada pulak rima nya. Ulang!”

“Membatalkan undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan. Cikgu!”

“Padu. Kau Roslan. Apa itu negara?”

“Tanah Airku, Malaysia! Cikgu!” Belantara kelas disampuk kokokan tawa terkekeh-kekeh.
Mariana datang padaku, menghadiahkan nombor telefon Suzanna. Rasa bingungku bergelojak ditekak. Serba salah yang sekian lama diternak semakin membesar, seperti populasi penduduk Nauru yang menyulam berat badan purata 100kg, kadar obesiti antara tertinggi didunia. Dia tak bercakap banyak, hanya memberiku pesan agar jangan kawan karibnya itu disia-siakan. Aku bagi ja lah nombor ni dekat dua-dua, biar Suzanna yang pilih kata hatiku.

Namun, sedikit naluri yang condong kepada Basri akan masak dan perlu dialihkan ke mangkuk secepat mungkin. Akal adilku harus lebih berpihak padanya. Dia yang mencecap garam terlebih dahulu biarpun Azri sudah lama mencubit-cubitnya. Namun entah yang keberapa kali, aku tak mahu berpaling tadah dari sahabat energetic ku, si Merah. Aku tak sampai hati kelamkan satu-satunya bantuan yang dia perlu. Selama bersahabat, tak pernah dia meminta-minta padaku. Cebisan kertas ditangan ini harus dia yang terima.

Bunyi lonceng sekolah berderau. Tali beg kugapai dan kugalas ke bahu. Kerusi kurapatkan ke meja dan berbual seketika dengan rakan-rakan sementara membiarkan Mariana turun ke bawah. Selang beberapa minit, aku segera mengejarnya. Dia lebih banyak bergaul bersama-sama budak kelas sebelah, budak Pengajian Perniagaan. Bukan dia tak suka rakan perempuan kelas sendiri, tapi sifat keayuan yang membuatnya muak dan lebih senang berkelahi minat dengan yang kurang ayu. Lagipun kebanyakan kawannya itu tinggal satu taman yang sama.

Aku ingin merangkul pendapatnya. Jika dia dalam situasiku, apa yang akan dia putuskan. Tak tahu mengapa purbarasa ku mengatakan Mariana boleh selesaikan kegentingan ini. Apakah sebab hanya dia seorang yang tahu keseluruhan cerita? Permasalahan ini sudah kufikirkan akibatnya dalam-dalam. Aku tahu dia jenis tak suka desakan tapi, aku tak punya pilihan lain. Egoku sebagai lelaki lebih rela kalah kepada wanita, daripada ku ceritakan pada rakan lelaki yang nantinya jadi bahan ejekan, yang tak putus dilambung tawa, tak lekang disambar kecewa. Sebaliknya, aku silap bermain api dengan emosi.

Akibat berhari-hari diasak soalan sama, kesabaran Mariana tak mampu menyelam lebih dalam. Tangki lapang dadanya bocor. Dia membiarkan ku sendirian dihunjam pandangan pelajar lain setelah tangisannya meninggalkanku di bawah bumbung laluan pejalan kaki. Lidahku kemab. Gengnya yang tadi hanya tersenyum melihat tingkah ku bertukar berang dan buru-buru mendapatkan Mariana. Dia tak keluar dari pagar sekolah, tapi berpatah balik ke dalam, entah ke mana. Aku tetap berdiri di sini. Tertunduk, jiwaku kacau.

Panggilan rakan-rakan tak ku acuh. Setiap perlian tak sedikitpun singgah di tubuhku. Terasa seperti ada lapisan yang menghalang semua signal untuk masuk. Roslan memanggil yang lain untuk membiarkanku. Matanya jelas mengatakan yang aku harus diberi ruang bersendiri, selesaikan masalah ku dengan Mariana. Aku duduk menunggu di bawah pondok hentian kenderaan, membiarkan kebodohan ini disayat duri. Fikiranku hanya berlegar-legar dalam ruang perasaan Mariana. Berlandaskan fakta yang wanita lebih mudah menunjukkan ekspresi muka sesuai dengan kategori emosi dibandingkan lelaki, mungkin dia sengaja dihanyutkan emosi supaya aku menjauh darinya, fikirku.

Dia dan gengnya berjalan keluar melepasi pasu-pasu bunga yang memperindah halaman bawah blok bilik guru. Lapisan tisu menutupi wajahnya dan pandanganku tak berbalas. Mereka asyik berbual dengan Cikgu Bainah yang tangannya penuh dengan kontena makanan, menuju ke parkir lot kereta. Kunci kawalan jauh dipicit dan pintu Proton Savvy merah di buka. Perbualan diteruskan, sementara buku-buku yang dibawa pelajarnya diletakkan di tempat duduk belakang. Lambaian tangan muridnya itu diadun bunyi enjin kereta yang sentiasa patuh dengan temujanji doktor kenderaan, lalu bergerak keluar dari pintu gate sekolah. Kereta itu yang sepatutnya terus, membelok ke arah hentian, tepatnya ke hadapanku. Tingkap pintu direndahkan.

“Minggu depan kau sama Mariana bentang pasal Struktur Masyarakat Jahiliah. Cikgu tidak mau dengar apa-apa alasan. Boleh kan?”

“Iya cikgu. Boleh” Sahutku.

“Betul boleh? Kalau tidak dapat fokus cikgu tukar”

“Tukar apa cikgu?

“Tukar group mu. Mariana cikgu gandingkan dengan pelajar lain”

“Ohhh. Eh tidak perlu cikgu.”

“Ok. Jangan main dengan emosi. Kalau boleh fokus belajar tidak apa. Kalau sebaliknya, baik lupakan.”
Mariana diiring kawannya, mungkin ke arah tempat menunggu bas dibawah pohon besar. Salah seorang dari mereka kemudian menoleh ke tempat aku berdiri, mengatakan sesuatu pada Mariana. Mereka berhenti. Dia menghalang tapi kawannya tetap berkeras, berjalan mendapatkanku. Wanita yang bertubuh kecil itu menggerakkan kakinya dengan sangat cepat. Tampang mukanya kelihatan tak marah, tapi tak juga senang. Bagai melakukan sesuatu yang dipaksa dalam pada masa yang sama harus melakukannya dengan rela hati. Perhatian mereka mengikuti rayapan langkah kawannya yang menuju ke arahku, seperti menunggu sesuatu. Tisu masih ditutupkan ke muka Mariana kecuali di bahagian matanya yang merah.

“Kau ada urusan ka lepas ni? Maksud aku kau terus mahu balik ka?” Aku menggeleng dan sedikit tersentak. Aku melihat ke arah Mariana tapi mereka teruskan berjalan tanpa membenakan kami.

“Balik terus ka?” Sambungnya lagi.

“Sorry sorry. Ndak tahu lagi. Kenapa? Si Mariana ok ka?”

“Dia sihat walafiat. Tu dia ketawa terus.”

“Betul bah. Ok ka sudah dia?” Tanyaku lagi. Kawannya tampak lompong. Tak tahu samada disebabkan aku atau soalan yang kutanyakan.

“Hari ni dia tidak ikut kami pulang. Dia mahu ke batu 4. Pergilah temankan dia.”

“Ha?”

“Kau tidak faham ka lagi?” Dahinya menggelembur. “Pandai-pandai la kau ya.”

Pernah dulu, semasa di tingkatan tiga, Mariana menjadi buah mulut pelajar lain dan para guru. Aku masih ingat waktu itu, tingkah kelakiannya lebih parah dibandingkan sekarang. Tudung dipakainya hanya sebagai pemenuh syarat bagi pelajar muslimat. Dia lebih anarki dibandingkan aku, malah bagi kebanyakan pelajar lelaki lain yang gerun pada peraturan sekolah. Tidak hanya cikgu disiplin dan guru kaunseling, malah Pengetua sendiri pernah memanggilnya untuk bertentang mata. Bahkan namanya bergayutan di sekolah-sekolah berhampiran.

Dia juga hampir diberhentikan sekolah. Bukan atas sebab pelanggaran mana-mana stigma wanita, tapi kerana ponteng sekolah berhari-hari tanpa sebab. Surat amaran pertama dan kedua tak mampan. Ibu dan ayahnya tak dapat dihubungi. Konon ceritanya, guru kelas kami sendiri dua kali berkunjung ke rumah Mariana tapi salam tak pernah berjawab. Beberapa hari kemudian, dia ke sekolah bersama seorang lelaki diperkenalkan sebagai pakcik, adik kepada ibunya. Lebih dua jam pengetua belanjakan waktu untuk menjelaskan semuanya. Masa itu, seluruh kelas tertanya-tanya apa yang bakal terjadi. Akhirnya, dia datang mengetuk pintu kelas, turut serta dalam sesi pembelajaran.

Sejak pertemuan meja bulat itu, metamorfosis hidupnya beransur lengkap. Kisah silam semasa dia masih larva yang sering menyusahkan para petani telah berlalu dan membawanya ke fasa kepompong. Setelah menetas, dia melebarkan sayap indahnya dan menghabiskan masa menghisap nektar-nektar ilmu, secara langsung membiarkan dirinya tergolong dalam sarana pendebungaan untuk tumbuhan lain terus berkembang biak. Kini, dikala tugasnya selaku penunjuk alam berlangsung aman, aku secara paksa menceroboh seperti peneroka hutan yang terlebih rakus meredam padam segala jenis tumbuhan untuknya terus hidup selama yang boleh.

Kawan-kawannya mengarahkan ku untuk segera ikut ke dalam bas mini. Duit dalam poket hanya cukup untuk tambang pergi tapi tak menjadi rabung kegelisahanku. Aku tak tahu apa yang perlu aku buat atau katakan pada Mariana. Hidungku tak henti-henti memeras peluh. Setiap apa yang sedang ku lakukan sekarang masih belum dapat ku serap sepenuhnya. Aku hanya menurut kemana pun dia pergi seperti asap dari lingkaran mosquito repellent mengikut kemana saja sumber bara berpusing.

Dia berhenti di hadapan sebuah kafe. Papan tanda lightbox bertatahkan corak kristal salji disetiap hujung petak, mengelilingi tulisan besar ditengah, Ice Cool Cafe melekat di atas, bersih, tak berkhianat. Kaunter dipenuhi rak-rak kaca mengisi sudut kanan hadapan, dikelilingi gambar-gambar beraneka minuman dan hirisan buah-buah beragam warna. Minumannya semua minuman masa kini, berkonsepkan bubble tea, yogurt serta aiskrim menggiurkan tekak. Tangan Mariana berisyarat memanggilku masuk tanpa melihatku.

Kami naik ke tingkat atas. Ruangannya penuh dengan meja-meja keluli berbentuk bulat. Sebahagian besar pelanggan seusia kami, berpasang-pasangan. Kami duduk di salah satu meja di sudut depan. Pelayan menyerahkan buku menu untuk di pilih dan aku, menyerahkan pilihanku diatas tangan Mariana. Setelah dibelek-belek, pilihan kami ditulis pelayan diatas sekeping kertas semacam sticky notes berwarna merah. Bau pisang yang kuat mengingatkanku pada surat mohon ampun yang kutujukan padanya tahun lepas.

“Kau ingat bau ni?”

“Bau surat kau kan?” Kami ketawa. Aku cuba mengejar matanya yang senantiasa lari dari membenarkan ku melihat ke dalam dan pasti gagal.

“Geng, aku minta maaf ya.”

“Ahh..Sudah lah. Bosan. Kau tahu kenapa aku bawa kau kesini?” Tanya nya lagi.

“Belanja kau makan dan minum tanda minta maaf?” Kali ni aku tak kan tahan lagi egoku. Aku akan berterus terang padanya, sedangkan duit untuk tambang bas pulang ke rumah pun tak ada.

“Kalau aku minta kau belanja, kita ndak ke sini geng.” Aku menarik nafas lega. Tapi kemudian runsing lagi memikirkan bagaimana nak membayar minuman nanti. “Sinilah aku dan Suzanna selalu lepak minum. Dia punya favourite air, jus avocado susu goncang.”

“Kau bagi ja nombor Suzanna dekat dorang dua-dua. Biar dia yang pilih.”

“Nantilah aku fikirkan. Tapi rasanya memang begitu lah jalan penyelesaian paling terang” Ujarku. “Kita tidak payahlah cerita pasal tu lagi. Minggu depan turn kita ni present.”

“Mana boleh tidak cerita. Nanti tidak henti-henti kau kejar aku tanya apa pendapat.” Aku ketawa sambil menggaru-garu rambut yang kering lupa disapu minyak pagi tadi.
Waktu petang itu kami bebani dengan memikirkan seberapa banyak plot-plot yang boleh untuk menyelesaikan masalahku. Dia tak sama sekali mahu topik perbualan dibelokkan ke arah lain. Harus arahnya tetap sama, terus kedepan. Seperti dirinya, terus ke depan tanpa mempedulikan apa yang sudah berlalu dibelakang. Kami berpisah bas dan aku malu setelah dibayarkan minuman sekaligus diberikan duit tambang.

Kemarin berlabuh, hari ni aku diteropong-teropong kawannya dari kelas sebelah dengan wajah geli-geli digeletek sawan. Tak ada pun yang lucu di mukaku, atau jasadku. Setiap kali aku ke sebelah, urusan apa sekalipun, pasti ditegur kawannya. Mereka sepakat sering kali mengatakan Mariana tak disini, dia disebelah. Aku tahu, kan aku memang sekelas dengan dia. Aku menanyakan pada Syazwan, lelaki mirip bintang antagonis Evolusi KL Drift, Joe, tentang kejanggalan yang menggaul ku. Aku dikatanya lelaki paling ketinggalan zaman. Tak peka terhadap aura disekeliling.

“Aura apa?”

“Aura yang buat kau tidur lewat, makan pun cuma sedikit, mandi pagi time air sejuk kau siram eh eh terasa suam, alahhh aura cin.”

“Aura cin? Jangan kau maksudkan cinta?” Mataku membesar.

“Kau tidak rasa ka? Debaran di dada”

“Buang semuanya dari kepala mu geng. Aku dengan si Mariana? Tidak mungkin. Kawan ja.”

“Geng, kalau sudah perempuan menangis gara-gara lelaki, tapi tidak sampai sehari kau sudah duduk dengan dia minum-minum, apa maknanya?”

“Astaga…itu bukan cinta geng. Ada sebab lain”

“Kalau kau tidak cinta, maksudnya dia cinta sama kau geng!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience