BAB 9

Romance Completed 7225

“Kau okey?” tanya Fakrul kepada Aryssa setelah sekian lama membiarkan gadis itu menyepi. Tangisan gadis itu telah lama reda. Kini, mereka berdua berada di pondok yang mana dia dan Asri Nizam melepak sebentar tadi. Sebaik sahaja Asri Nizam berlalu, dia segera ‘merembat’ sekaki payung entah kepunyaan siapa dan terus mendekati Aryssa. Agak lama juga dia berdiri di belakang Aryssa dan memerhatikan gadis itu dalam hujan tadi sebelum memayunginya.

Pertanyaan Fakrul hanya dibiarkan sepi dibawa angin lalu yang kadang-kadang melintasi mereka. Fakrul mengeluh perlahan. Jam di pergelangan tangannya sudah menunjukkan pukul lima petang. Hujan pula masih tidak berhenti membasahi bumi.

“Aryssa,” panggil Fakrul. Jari telunjuknya menolak perlahan bahu gadis itu. Gadis itu tersentak bagaikan baru tersedar daripada mimpi, memandangnya dengan mata yang berkaca-kaca.

Kali ini Fakrul pula yang terkedu. Lama matanya merenung wajah itu. Dalam jarak sedekat ini, dia dapat melihat pipi, pucuk hidung, bibir dan di bawah mata gadis itu yang kemerah-merahan. Terutamanya bibir gadis itu yang merah menyala bagaikan dioles dengan gincu, habis sebatang! Comel!

Kemudian, mata Fakrul meliar pula pada sepasang mata milik gadis itu. Mata itu tidak pula bertukar merah walaupun lama gadis itu menangis. Namun, mata itu jernih berwarna putih dan kelihatan bercahaya. Fakrul bagaikan terpukau dan tenggelam dengan keindahan sepasang mata itu. Air jernih yang bergenang di tubir mata itu bagai meluahkan rasa sakit yang terpendam jauh di dasar hati gadis itu yang tidak pernah diketahui sesiapa.

“Kk… kau okey ke tak?” tanya Fakrul sedikit gagap.

Mendengarkan pertanyaan itu, tidak semena-mena air mata gadis itu tumpah untuk kesekian kalinya. Terkejut Fakrul dibuatnya. Cemas juga dia untuk seketika melihatkan air mata gadis itu yang tiba-tiba sahaja jatuh.

“Aryssa, kau kenapa ni?” tanya Fakrul lembut. Simpatinya melimpah melihat Aryssa yang hanya menangis. Tidak pernah dia melihat gadis itu menangis sebegini. Ke mana menghilangnya Aryssa yang dia kenali selama ini? Ke mana menghilangnya semua kekuatan dan keberanian gadis itu selama ini?

Aryssa erat memeluk kedua-dua belah lututnya. Kepala diletakkan di atas kepala lutut. Air mata begitu degil mengalir tanpa henti. Tetapi yang peliknya, tiada sedu-sedan yang kedengaran walaupun telah lama dia menangis.

“Orang yang jarang menangis, bila dia menangis, itu tandanya dia sangat sedih, tidak mampu menahan duka dan derita lagi. Selama aku mengenali kau, belum pernah aku melihat kau menitiskan air mata. Setitis air mata pun belum pernah aku lihat jatuh dari tubir mata kau. Selama mengenali kau, aku hanya melihat senyuman dan gelak ketawa yang lahir daripada bibir kau. Di hadapan sesiapa sahaja, hanya senyuman yang kau pamerkan dan senyuman itu sangat ikhlas pada pandangan mata aku. Tidak pernah sekalipun kau pamerkan kelukaan pada wajah kau sehinggakan kadang-kadang aku tertanya sendiri, tidak pernahkah kau merasai kedukaan?” Fakrul berkata-kata tanpa memandang Aryssa. Tidak tahan lagi dia melihat Aryssa terus bersedih dan berdiam diri.

“Kau tak pernah kenal aku.” Akhirnya, keluar juga suara emas itu.

Fakrul tersenyum sedikit. “Ya, betul tu. Aku memang tak kenal kau. Aku memang tak pernah pun mengenali kau. Aku sangkakan kau seorang gadis yang tak pernah mengenali erti sebuah kesedihan. Aku sentiasa melihat kau ceria walau di mana pun kau berada. Namun, aku silap menilai.

Hari ini, aku dikejutkan dengan tangisan seorang gadis yang sama, gadis yang selama ini sentiasa ceria. Aku sangat terkejut melihat tangisannya. Tangisan yang pada pendapat aku boleh membanjiri sekolah ini.”

“Jangan nak mengarutlah. Mustahil sebuah tangisan boleh membanjiri sebuah sekolah,” pangkah Aryssa. Tangisannya mulai reda mendengar bicara Fakrul yang tak masuk akal.

“Tiada yang mustahil dalam dunia ni. Kalau beginilah caranya kau menangis, memang tak mustahil kau boleh banjirkan sekolah ini dengan tangisan kau. Kau tengoklah, sekali kau menangis, awan pun turut menangis bersama-sama kau. Semakin lebat tangisan kau, semakin menggila hujan turun membasahi bumi.”

“Kau perli aku ke?” tanya Aryssa bersama senyuman kecil di bibir.

Fakrul tersenyum. Dia memandang Aryssa. “Nampaknya aku dah berjaya mengembalikan senyuman kau.”

Bersaat-saat berlalu tanpa biaca.

“Aku insan yang bertuah kerana dapat melihat air mata kau,” ujar Fakrul setelah membiarkan sepi mengisi ruang antara mereka untuk seketika.

Kata-kata Fakrul membuatkan Aryssa terkedu. “Aku tahulah kau bencikan aku, tapi takkanlah sampai kau gembira melihat kesedihan aku.” Wajahnya bertukar redup.

Fakrul tersenyum lagi. “Ya, aku memang gembira melihat kau menangis kerana hari ini baru aku sedar, rupa-rupanya kau seorang manusia biasa, yang ada hati dan perasaan, yang tahu erti suka dan duka. Aku fikirkan, selama ini kau sebuah robot bernyawa yang hanya tahu senyum dan ketawa dalam hidupnya.”

Aryssa terdiam mendengar bicara Fakrul yang penuh dengan makna tersirat. Dia mengakui kebenaran kata-kata Fakrul. Dia ibarat robot bernyawa yang hanya tahu senyum dan ketawa, sedangkan jauh di sudut hatinya penuh dengan kelukaan dan kedukaan yang tak pernah diluahkan. Hari ini, dia tewas dengan kata-kata Fakrul. Segala kesedihan dan kesakitan kembali menggamitnya. Air mata kembali mengisi ruang matanya. Dia mahu menangis sepuas-puasnya, meluahkan segala kedukaan hatinya yang selama ini dipendam jauh di lubuk hatinya yang paling dalam kepada seseorang dan seseorang itu ialah Fakrul. Dia mahu melepaskan segala kedukaan hatinya pergi jauh-jauh. Biarlah rasa itu terbang ke mana-mana sahaja daripada terus menghuni sekeping hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience