BAB 11

Romance Completed 7225

Dua bulan telah berlalu. Persahabatan antara Fakrul dengan Aryssa berjalan lancar. Malah hubungan mereka makin akrab dari sehari ke sehari. Walaupun mereka seringkali bergaduh, namun akhirnya mereka pasti akan bergelak ketawa bersama.

Hari itu merupakan hari terakhir Aryssa di sekolah itu dan juga merupakan peperiksaan kertas terakhir untuk Fakrul dalam STPM.

“Apa hal kau ajak aku jumpa ni?” tanya Aryssa ketika dia menghampiri Fakrul lalu melabuhkan duduk di atas bangku batu berhadapan dengan lelaki itu. Meja batu di tengah-tengah memisahkan jarak antara mereka.

“Salah ke aku nak jumpa kau?” tanya Fakrul kembali. Ada sedikit nada kecewa pada suaranya.

Aryssa menggaru-garu kepalanya yang sentiasa dilindungi oleh cap itu. “Salah tu taklah. Cuma aku takut aku ganggu kau nak study untuk last paper kau aje.”

Fakrul tersenyum tawar. “Aku tak study last minutes macam ni. Tak masuk dalam kepala. Hari ni kau balik kampung?”

Aryssa mengangguk.

“Pukul berapa?”

“5.30 petang.”

Fakrul agak gelisah. Dia melihat jam tangannya yang menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Ada sesuatu yang ingin dia katakan kepada gadis itu sebenarnya. Selagi tidak diluahkan, selagi itulah rasa gelisahnya tidak dapat dilenyapkan. Namun, untuk diluahkan sekarang, dia masih belum bersedia. Exam pun belum habis lagi. Lagipun, dia perlu kumpulkan kekuatan dalam dirinya terlebih dahulu.

Aryssa yang perasan akan perubahan riak wajah Fakrul, mula menegur. “Apa hal kau ni? Gelisah semacam aje.”

Fakrul agak tersentak dengan teguran itu. “Sa, kau tunggu aku, ek?” pinta Fakrul penuh pengharapan. Wajah Aryssa yang mula berkerut itu ditatap dalam.

“Tunggu? Tunggu apa?” Aryssa menyoal, blur.

“Tunggu akulah. Last paper aku start pukul 2.00 hingga 4.30 petang. Lepas aje tamat exam, aku nak jumpa kau, boleh?”

Aryssa terangguk-angguk. “Boleh. Kita jumpa dekat pondok depan asramalah. Aku letak barang-barang aku yang aku nak bawa balik rumah kat situ.”

Fakrul mengangguk lega. Wajah Aryssa ditatap lama tanpa lepas membuatkan gadis itu agak tidak selesa.

“Apa hal dengan kau hari ni? Kau sihat ke tak? Pelik aje aku tengok,” Aryssa menyoal apabila tidak betah dengan kesepian yang melanda mereka. Tambahan pula, Fakrul tidak lepas-lepas merenungnya.

Fakrul tersenyum. “Aku pasti akan rindukan kau.”

Aryssa ketawa. “Sah! Memang kau buang tabiat hari ni.”

“Buang tabiat apanya? Betullah apa yang aku cakap. Lepas ni, entah kita dapat jumpa lagi entah tidak.”

“Chill lah. Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan, bro.” Aryssa tersenyum lebar. Namun, senyuman itu tidak bertahan lama sebelum tiba-tiba wajah itu bertukar sayu. “Kau tahu, sebenarnya… aku tak pernah mengharapkan perkara ini akan berlaku pada aku. Aku selalu berharap hari ni tak akan tiba. Tak akan pernah tiba pun tak apa. Berpisah dengan kawan-kawan, terpaksa meninggalkan sekolah… Aku tahu aku akan rindukan sekolah ni, kenangan pahit manis sepanjang aku di sekolah ni… Lima tahun aku bersekolah di sini, aku tak pernah termimpi pun hari ni akan tiba, saat aku terpaksa berpisah dengan orang-orang yang aku sayang.” Aryssa menyeka air mata yang hampir tumpah. Kemudian, dia tersenyum tawar.

“Lima tahun di sini, tahun ni adalah tahun yang paling mencabar buat aku. Waktu awal tahun, aku bergaduh dengan kau, aku digosipkan, gaduh dengan Eryn, dipulaukan. Berbulan-bulan kut. Tapi semua tu tetap aku mampu menghadapinya. Sehinggalah datang satu ujian yang paling berat menimpa aku, saat kekuatan aku hampir-hampir lumpuh. Aku hampir-hampir saja berputus asa dalam hidup aku, saat aku tahu orang yang paling aku sayang dalam dunia ni, tak pernah menyayangi aku. Kau tahu, waktu tu aku rasa dunia aku sungguh gelap. Kau bayangkanlah, sebulan sebelum SPM aku mengetahui semua tu. Aku rasa aku dah tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni. Aku hilang tempat bergantung, aku hilang tempat berpaut, aku hilang kekuatan aku. Selama ini, aku belajar bersungguh-sungguh demi dia. Aku nak dia rasa bangga dengan aku. Aku nak keluarga aku terima aku. Aku nak buktikan yang aku bukannya budak yang tak berguna sepertimana mereka selalu cakap pada aku. Tapi… semua usaha aku sia-sia. Harapan aku hancur berkecai. Patutlah waktu UPSR dan PMR, walaupun aku dapat straight As, mereka tak pandang pun aku. Tapi aku tak berputus asa. Aku nak cuba pula waktu SPM. Satu-satunya matlamat aku dalam hidup, aku ingin meraih perhatian dan kasih sayang mereka untuk aku. Tapi, aku tak pernah berjaya. Dan saat aku mula tahu kebenaran yang satu itu, barulah aku sedar yang aku tak pernah ada di hati mereka. Nama aku tak pernah wujud dalam hati mereka.” Aryssa sudah teresak-esak sambil memeluk kedua-dua lututnya dengan erat.

Aryssa tetap meneruskan bicaranya. “Sehinggalah saat kau hadir dalam hidup aku, memberi sokongan dan dorongan buat aku. Aku tak pernah sangka orang yang sentiasa aku layan buruk, datang kepada aku… menghulurkan tangannya kepada aku untuk aku bangkit semula dalam hidup ini. Dan aku nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kau kerana telah bantu memulihkan semangat aku. Aku bersyukur sangat kau hadir dalam hidup aku, menjadi sahabat terbaik aku. Sungguh Fakrul, aku sangat-sangat menghargai kau dalam hidup aku. Walau hanya dua bulan kita bersahabat, namun kau sangat-sangat berharga buat aku. Entah macam manalah aku nak hadapi keluarga tu lagi lepas ni. Kau tak akan ada lagi di samping aku. Di mana lagi aku ingin mencari kekuatan aku… Sungguh, aku benar-benar tak ingin untuk pulang lagi ke rumah tu…”

Fakrul memandang sayu wajah yang berlinangan air mata di hadapannya itu. “Aryssa…” panggil Fakrul perlahan. Hatinya turut sebak melihat air mata gadis itu. Ingin sekali dia memeluk gadis itu dan menenangkannya. Namun, dia kenal gadis itu. Aryssa bukanlah seorang gadis yang mudah disentuh. Hujung jari gadis itu pun belum tentu dapat disentuh. “Aryssa… kau kan dah janji dengan aku yang kau akan kuat untuk menghadapi segala rintangan yang akan mendatang demi cita-cita dan impian kau?”

Aryssa menyapu air matanya. Dia tidak mahu menangis lagi. Sudah dua kali dia menangis di hadapan lelaki itu. “Aku tahu. Tapi mampu ke aku laksanakannya bila berhadapan dengan mereka nanti? Berhadapan dengan pandangan sinis dan penghinaan mereka? Sekurang-kurangnya bila aku di sini, aku tak perlu menghadap muka mereka. Hati aku pun tak sakit. Aku bahagia di sini tanpa mereka. Tapi lepas ni, dua puluh empat jam muka mereka di hadapan mata aku. Mampu ke aku bertahan, Fakrul?”

Fakrul memandang tepat ke dalam anak mata Aryssa. “Aku yakin kau boleh, Sa. Aku tahu kau kuat. Percayalah cakap aku.”

Aku menarik nafas dalam-dalam dan dihembus perlahan. Cuba menenangkan hatinya yang masih diselubungi sebak. Akhirnya, dia tersenyum memandang Fakrul. “Terima kasih, Fakrul.”

“Haa, macam nilah sahabat aku yang aku kenal,” ujar Fakrul apabila melihat senyuman di bibir gadis itu. “Ni, aku hadiahkan kau satu pantun.”

“Kalau ada sumur di ladang,

Boleh aku menumpang mandi.

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi?”

Fakrul angkat kening.

Aryssa tergelak. Adoi… main pantun-pantunlah pulak! “Eleh, skemanya pantun kau! Ni, kau dengar pantun aku pulak!”

“Anak ikan berenang-renang di tepian,

Berenangnya anak ikan dalam longkang,

Nak jumpa lagi Fakrul Izzudin?

Minta simpang!”

Aryssa tergelak makin kuat. Keningnya terangkat-angkat, mencabar Fakrul.

“Oh, kau nak lawan pantun, ek?”

“Bapak kucing berlari-lari,

Kena kejar dengan hantu,

Walaupun kau tak nak jumpa aku lagi,

Aku tetap jugak nak jumpa dengan kau!”

Aryssa membalas,

“Kalau aku kata kau gila,

Kau marah!

Bila aku cakap kau dah jatuh cinta,

Tak nak mengaku pulak dah…”

“Eh, apa kena-mengena dengan pantun aku tadi?” Fakrul bertanya, pelik.

“Yalah, kau nak sangat jumpa aku lagi, kan? Bukan jatuh cinta ke namanya tu? Maklumlah, dah tak tahan rindu berpisah dengan aku lama-lama.” Aryssa menjawab selamba. Dia tergelak lagi.

Fakrul mengetap bibir, geram! Terkena aku!

“Bukan aku tak nak mengaku,

Tapi inilah kenyataan.

Kau kan kawan aku,

Lama tak jumpa biasalah rindu-rinduan.”

“Fakrul tu nama orang laki-laki,

Kalau dah lelaki tu, lelaki jugak!

Ego letak paling tinggi,

Suatu hari nanti, jangan menyesal pulak!”

Rasa geram Fakrul semakin memuncak terhadap gadis di hadapannya itu apabila mendengar balasan pantun daripada gadis itu. Mahu saja dia menarik hidung comel gadis itu. “Oh, kau kutuk aku, ek? Tak apa, tak apa. Kau dengar pantun aku ni.”

“Aidill Aryssa Fitri nama diberi,

Nama dah cantik tapi orangnya pulak gangster.

Semua manusia, hati-hati!

Dia stalker!”

Fakrul buat-buat muka takut sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya ke sisi kepala seperti menyerah diri. Kemudian, dia ketawa terbahak-bahak.

Kini, giliran Aryssa pula mengetap bibir. Geram!

“Nama kau pulak Fakrul Izzudin,

Nak kata hensem, memang taklah!

Kau ni memang nak kena, kan?

Aku dah cakap, aku bukan stalker kaulah!”

Serentak itu, Aryssa berdiri. Merenung tajam ke dalam anak mata Fakrul. Suasana sepi seketika.

Akhirnya, meletus gelak tawa daripada mereka berdua. “Inilah namanya ‘pantun merapu-meraban’!” Pecah lagi gelak mereka berdua. Adoi… rosak bahasa!

Dalam diam, Fakrul merenung lembut wajah Aryssa yang masih galak ketawa itu. ‘Aku pasti akan rindukan dia…’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience