BAB 6

Romance Completed 7225

“Rul, tu ‘awek’ kau datang,” ujar Syahir sambil menyiku Fakrul. Dia tersenyum nakal.

Fakrul mengerling tajam Syahir yang sudah mengekek ketawa. Diikuti pula oleh Asri Nizam dan Fadeli yang turut menyertai Syahir.

Aryssa sudah berada di hadapan Fakrul. Fakrul berdiri dan menghadap gadis itu. “Kau nak apa?”

Aryssa tidak menjawab. Hanya tangannya yang menghulurkan sesuatu kepada Fakrul. Sebuah kotak hadiah!

Fakrul teragak-agak. Dengan gadis bernama Aryssa ini dia perlu berhati-hati. “Apa ni?”

“Hadiah.”

Fakrul ketap gigi. “Tahulah hadiah tapi untuk siapa?”

“Untuk nenek kau!” balas Aryssa selamba.

Fakrul berdecit.

“Untuk kaulah. Untuk siapa lagi? Hari ni birthday kau, kan? Nah, hadiah untuk kau! Happy birthday, Fakrul!” Ucap Aryssa sambil tersenyum manis.

“Aww! Sweetnya.” Sampuk suara-suara di belakang Fakrul disertai dengan sorakan dan gelak nakal.

Fakrul terpanar. Dia tidak menyangka Aryssa mengetahui akan tarikh hari lahirnya. Fakrul menyambut huluran tersebut dengan teragak-agak. “Terima kasih.”

Aryssa tersenyum lagi. “Bukalah,” ujar Aryssa dan disokong pula oleh rakan-rakan Fakrul.

Fakrul mengangguk. Perlahan-lahan tangannya membuka penutup kotak tersebut.

“Arghh!” Bersama jeritan itu, kotak tersebut melayang ke udara dan beberapa ekor katak mula melompat keluar dari kotak tersebut.

Bunyi ketawa yang kuat menyedarkan Fakrul daripada rasa terkejut. Serta-merta wajahnya terasa panas. Dadanya berombak kencang. Dia merenung wajah Aryssa yang masih galak ketawa itu dengan pandangan yang bengis bagaikan mahu ditelan gadis itu hidup-hidup. “Kau!” Jari telunjuk Fakrul dituding betul-betul di hadapan muka Aryssa, hampir mengenai hidung gadis itu.

Ketawa Aryssa perlahan-lahan berhenti. Jari Fakrul yang berada dekat dengan mukanya itu ditepis selamba. “Puas hati aku dapat kenakan kau,” ujar Aryssa bersahaja. Langsung tidak menunjukkan riak bersalah. Senyuman masih tersungging di bibirnya.

Fakrul semakin terbakar mendengar bicara selamba Aryssa. Silap-silap boleh rentung dia di sini. Rakan-rakan Fakrul mula menghampiri gadis itu dan masing-masing berdiri di sisi Fakrul.

“Rul, dia tangkap gambar kau!” Beritahu Asri Nizam kepada Fakrul.

“Apa?” Bertambah tajam mata Fakrul merenung gadis itu. Baru dia tersedar akan telefon bimbit di tangan gadis itu.

“Aku bukan tangkap gambar kau tapi aku rakam video kau yang terkejut beruk tadi,” beritahu Aryssa selamba sambil menunjukkan telefon bimbitnya kepada Fakrul.

“Padam!”

“Tak nak!” Balas Aryssa lalu memasukkan telefon bimbitnya ke dalam poket seluarnya.

Fakrul gigit bibir. Geram terlampau dengan ‘keselambaan’ Aryssa. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk menenangkan sedikit hatinya yang sedang membara. “Kau nak apa sebenarnya?”

“Aku nak bagi ni,” jawab Aryssa sambil menghulurkan sekeping kad berwarna hitam kepada Fakrul.

“Apa pulak kali ni? ‘Prank’ apa pulak yang kau nak kenakan pada aku?” tanya Fakrul tanpa menyambut huluran gadis itu.

Aryssa tersenyum senget. “Tadi tu aku bergurau aje. Sekarang ni, aku beri hadiah yang sebetul-betulnya kepada kau. Nah, ambillah!”

Fakrul hanya memandang huluran Aryssa. Dia masih teragak-agak. Tidak mahu pisang berbuah dua kali. Matanya beralih pula pada wajah Aryssa yang nampak lebih ikhlas daripada tadi. Akhirnya, dia menyambut juga pemberian Aryssa. Kad yang tertulis ‘happy birthday, Fakrul’ di hadapannya diperhati. Cantik.

Aryssa tersenyum memandang Fakrul. “Happy birthday. Sorrylah pasal tadi,” ucap Aryssa bersahaja lalu terus berlalu.

Kad di tangannya ditenung dan dibelek helaiannya. Kad hari lahir buatan sendiri. Cantik. Rakan-rakannya turut menyibuk untuk melihat pemberian Aryssa.

“Dia buat sendiri ke kad ni? Gila kreatif! Cantik siot!” Bicara rakan-rakannya.

Fakrul mengangkat wajah memandang Aryssa yang telah jauh meninggalkannya. Dia masih tidak dapat mempercayai bahawa gadis itu telah menghadiahkannya sekeping kad yang begitu cantik ini. Tanpa disedari, dia tersenyum. ‘Terima kasih,’ ucapnya dalam hati. Hilang terus panas di hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience