BAB 4

Romance Completed 7225

Sejak kejadian di dalam dewan makan tempoh hari, hidup Fakrul benar-benar kacau. Aryssa benar-benar mengotakan janji-janjinya. Fakrul terasa ingin menghantukkan kepalanya sendiri ke dinding berulang-ulang kali apabila memikirkan gadis itu. Boleh gila jadinya kalau berterusan begini. Hidupnya yang selama ini aman damai menjadi kacau-bilau, haru-biru sejak kehadiran gadis itu.

Fakrul mengeluh. Dada langit malam ditatap lesu. Kadang-kadang dia tertanya sendiri, kenapa gadis itu begitu nekad? Kejam sangat ke kata-kata aku hari tu?

Fakrul mengeluh untuk sekian kalinya. Memorinya mula terimbas kembali antara kejadian-kejadian yang banyak mengundang malu kepada dirinya akibat perbuatan gadis itu.

Dia teringat kembali bagaimana dirinya menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelas akibat seluar yang dipakainya terlekat pada kerusi yang didudukinya. Akibatnya, dia tidak boleh berdiri dan hanya melekat di kerusi itu sehinggalah tamat waktu persekolahan pada hari itu. Malu usah dikata. Memang dia sangat malu!

Bukan itu sahaja, keesokan harinya pula, apabila dia menyeluk tangan ke dalam beg sekolahnya untuk mengeluarkan buku, dia terjerit kecil apabila terasa ada sesuatu yang merayap di tangannya. Spontan beg itu dicampakkan ke lantai dan dia lihat lipas dengan bilangan yang banyak keluar dari beg sekolahnya. Apalagi, kecoh satu kelas dengan teriakan dan tempikan daripada para pelajar perempuan yang kegelian.

Banyak lagi prank yang dikenakan oleh gadis itu kepadanya. Ada sekali tu, waktu pagi dan hujan renyai-renyai, ketika dia datang ke sekolah, dia masuk ke kelas dengan basah kuyup! Sepatutnya, dari asrama ke sekolah, dia tidak perlu berhujan kerana sepanjang perjalanan melalui susur gajah ke sekolah, memang dia akan berjalan di bawah bumbung. Tetapi pada hari itu, sebaik sahaja dia memasuki kelas, secara tiba-tiba air mencurah-curah jatuh menimpa kepalanya. Habis lencun satu badan! Bukan setakat air sahaja, malah dengan baldi sekali terlangkup ke atas kepalanya. Biul sekejap otaknya!

Memang hari itu dia menjadi bahan ketawa rakan-rakan sekelasnya. Apa yang dia tidak faham, rakan-rakan sekelasnya yang lain, yang datang lebih awal daripadanya, selamba saja memasuki kelas tanpa sebarang masalah.

Bukan itu sahaja, malah setiap hari pasti ada saja prank yang akan dikenakan kepadanya. Sekali tak kena memang tak sah! Memang semua prank itu betul-betul ditujukan kepadanya seorang. Tidak pernah pun walau sekali prank yang tersasul mengenai orang lain.

Pernah juga dia dan rakan-rakannya mengenakan Aryssa. Namun, sekalipun tidak pernah mengenai gadis itu seolah-olah gadis itu ada kuasa ajaib yang boleh tahu tentang segala perangkap yang dipasang oleh mereka. Pernah sekali tu, dia dan gengnya buat prank untuk mengenakan gadis itu. Bukan sahaja gadis itu tidak terkena, malah cikgu pula yang terkena prank mereka! Habis mereka berempat didenda!

Pernah juga Aryssa memasukkan lipas ke dalam kasutnya ketika dia sedang berjemaah di surau sekolah.

Marah? Memang dia marah! Namun, apabila dia berjumpa dengan Aryssa, gadis itu hanya buat muka tak bersalah dan tersenyum sinis. Sedangkan dia pula sudah terasa nak meletup kerana marahkan gadis itu. Aryssa langsung tidak menunjukkan rasa takut dengan amarahnya.

“Lepas ni, binatang apa lagi kau nak letak ke dalam beg dan kasut aku?! Katak? Tikus? Ular?” selar Fakrul dengan marahnya.

“Bagus jugak cadangan kau tu. Aku pun dah ketandusan idea nak kenakan kau ni,” Aryssa berkata selamba dengan senyuman manis di bibir.

Fakrul terbakar! “Arghh!!!” tempiknya sambil mengusutkan rambutnya dengan kasar di hadapan Aryssa. Kemudian, kepalanya diletakkan di atas meja batu di hadapannya bagaikan orang yang sudah putus harapan. Tidak dia pedulikan Aryssa yang sedang memerhatikan gelagatnya.

“Kenapa… kenapa kau buat aku macam ni?” tanya Fakrul lesu. Kepalanya masih di atas meja tanpa dialih.

“Kenapa? Kau rasa malu? Kau rasa dimalukan? Fakrul yang selama ini sentiasa berlagak ‘cool’ di hadapan semua orang dan disegani ramai, yang sentiasa diminati oleh gadis-gadis tidak kira ke mana saja dia pergi, dimalukan sebegini? Tewas dengan junior sendiri? Ha ha ha!” Aryssa ketawa mengejek.

Fakrul mengangkat kepala. Aryssa yang duduk berhadapan dengannya mula berubah wajah. Tiada lagi senyuman di wajah itu.

“Hei, Fakrul! Sebelum kau fikir malu kau, ada kau fikir perasaan aku sewaktu di dalam dewan makan hari tu? Ada kau fikir tentang malu aku? Kau tahu apa gosip terbesar yang tersebar luas di sekolah ni? ‘Aryssa, gadis yang tidak tahu malu cuba membuat publisiti murahan dengan mengambil perhatian jejaka terhangat di sekolah ini’. Bukan itu aje, aku jugak dikatakan stalker kau. Aku bukan stalker kaulah!

Kau tahu tak apa yang aku rasa saat gosip ni tersebar? Kau tahu tak betapa sakitnya hati aku? Kau tahu tak betapa malunya aku? Aku ni ibarat perempuan murahan! Perempuan yang tak ada maruah dan harga diri! Semua mata memandang enteng pada aku! Semua mulut menyalah dan memburukkan aku! Aku yang dipersalahkan. Semua yang berlaku salah aku. Kau nak tahu kenapa? Sebabnya, aku gadis yang tiada nama di sekolah ni. Aku tak dikenali di sekolah ni sepertimana kau. Sedangkan mereka tak tahu, kau yang mulakan dulu! Kau yang cari pasal dengan aku!” luah Aryssa penuh emosi. Matanya berkaca-kaca memandang Fakrul. Dia berdiri lalu berlalu meninggalkan Fakrul yang terpaku di situ.

Fakrul terdiam seribu bahasa. Dia meraup mukanya bersama keluhan kecewa.

Fakrul kembali ke alam nyata. Matanya masih tidak beralih daripada terus merenung dada langit malam. Bintang-bintang yang berkerdipan dan cahaya bulan yang samar-samar menerangi malam itu sedikit menenangkan hatinya.

“Aryssa… Aryssa… kau cakap nak buat aku jatuh cinta pada kau, kan? Tapi… macam ni ke caranya kau nak pikat aku?” Fakrul tersenyum mengenangkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam hidupnya sejak kehadiran gadis itu.

“Aidill Aryssa Fitri… gadis yang pelik dan misteri.” Dia tersenyum lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience