BAB 7

Romance Completed 7225

“Eh, Rul!” panggil Asri Nizam sambil menyiku perlahan Fakrul yang sedang bersandar pada tiang pondok berdekatan asrama lelaki dengan mata yang terpejam. Ketika itu, mereka berdua sedang berteduh di pondok tersebut kerana hujan lebat turun secara tiba-tiba. Sebenarnya, boleh sahaja jika mereka mahu meredah hujan tersebut. Tetapi memandangkan mereka baru sahaja pulang daripada bermain bola sepak di padang yang terpaksa dihentikan kerana hujan, mereka mengambil peluang itu untuk berehat sebentar melepaskan lelah.

“Hmm… apa hal?” sahut Fakrul perlahan tanpa membuka mata.

“Tu bukan ‘awek’ kau ke? Dia buat apa sorang-sorang dalam hujan lebat tu?”

Terus tercelik luas mata Fakrul mendengar bicara rakan karibnya itu. Dia mengerling Asri Nizam, tidak puas hati. “Dah banyak kali aku beritahu kau, dia tu bukan awek aku! Jadi, jangan sesekali kau panggil dia awek aku!” Fakrul memberi amaran. Asri Nizam tersengih.

Mata Fakrul mula meliar mencari kelibat yang dikatakan oleh Asri Nizam. Dia nampak Aryssa sedang berjalan seorang diri dalam hujan, tidak jauh daripada pondok ini. Kemudian, dia kembali memejamkan mata.

“Weh, kau tak nak pergi dekat dia ke?” tanya Asri Nizam kembali menyiku Fakrul perlahan.

“Nak buat apa?”

“Tengok-tengokkan dialah. Manalah tahu kena sampuk ke, apa ke, tengah-tengah hujan lebat macam ni. Mana ada manusia normal yang berjalan relaks aje dalam hujan lebat.”

“Biar ajelah dia tu. Minah tu bukannya betul sangat pun,” balas Fakrul bersahaja dengan mata yang masih terpejam.

“Suka hati kaulah, Rul. Kalau jadi apa-apa, jangan menyesal pulak.”

“Hmm…”

Asri Nizam hanya menggelengkan kepalanya. Tiba-tiba, akalnya terfikirkan sesuatu untuk mengenakan sahabatnya itu. Dia tersenyum nakal. “Weh, Rul! Minah tu pengsanlah!” Cemas Asri Nizam bersuara.

Terus badan Fakrul tegak daripada bersandar pada tiang. Tindakan refleks! Matanya tercelik luas. “Mana? Mana?” suaranya bertanya cemas.

Asri Nizam mengekek ketawa. “Eleh, tadi tak kisah sangat,” perlinya kepada Fakrul yang sudah memandangnya bagaikan ingin ditelan hidup-hidup.

“Risau jugak kau pada dia, kan?” Asri Nizam tersenyum nakal sambil mengangkat-angkat sebelah keningnya.

Fakrul tidak menjawab. Hanya bebola matanya dilarikan daripada memandang Asri Nizam yang masih beriak nakal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience