BAB 3

Romance Completed 7225

“Sa, jom pergi ambil makanan!” ajak Shima.

“Huh?” Aryssa memandang Shima dengan muka malas.

“Tak payahlah buat muka macam tu. Asal ajak makan aje buat muka malas. Aku tak fahamlah dengan manusia jenis kau ni. Makan pun malas ke? Dahlah, jom turun ambil makanan,” ajak Shima lagi. Sempat lagi dia membebel pada Aryssa. Sesuai sangat dengan gelarannya, ‘nenek’.

Aryssa menggeliat. “Erghh… malasnya nak turun!” Dalam malas-malas pun, dia bangun juga. Kalau tidak difikirkan hari ini dia berpuasa, memang dia tidak akan pergi turun mengambil makanan.

Aryssa berjalan sambil menunduk. Biasalah kalau malas memang macam tu. Agaknya kalau terlanggar tiang baru sedar kut. Sesuailah dengan peribahasa, ‘sudah terhantuk baru terngadah’. Eh? Ada kena-mengena ke?

Sampai di dewan makan, dia mengangkat kepala. Bulat matanya. ‘Eh? Itu bukan ke… Eh?! Apa mamat tu buat di sini?’ Tidak berkerdip mata Aryssa melihat jejaka tersebut. Sesaat, baru dia tersedar. Mata kembali dia stabilkan sebelum mencecah satu tahap kebesaran yang melampau akibat terkejut punya hal. Muka, dia ‘selamba badakkan’ seperti tidak berperasaan.

‘Hmm… agak-agaknya, dia memang selalu ada di dewan makan ni ke waktu petang?’ hati Aryssa tertanya-tanya sendiri.

“Shima, kita tunggu apa lagi ni? Makanan dah ambil. Jomlah naik atas. Tadi kau kata nak berbuka puasa dalam dorm,” ujar Aryssa kepada Shima.

“Aku nak tunggu Mak Mah buat air sekejap. Kalau kau nak naik, kau naiklah dulu,” saran Shima.

“Hmm… takpelah. Aku tunggu kau,” jawab Aryssa. Matanya mula meliar memandang sekeliling.

“Kau tengok apa, Sa?” tanya Shima tiba-tiba.

Terus Aryssa berpaling ke arah Shima. Dia buat muka selamba, menyembunyikan riak terkejutnya akibat pertanyaan daripada Shima secara tiba-tiba. “Tak ada tengok apa-apa pun. Saja-saja tengok orang ramai.”

Apabila Aryssa melihat Shima sudah tidak memandangnya lagi, dia mula memalingkan muka. Matanya terarah pula pada Fakrul. Dia tertanya-tanya, apalah yang sedang dilakukan oleh Fakrul dan rakan-rakan tu? Macam pelik aje.

Acap kali juga dia melarikan anak matanya ke arah lain apabila dia merasakan Fakrul dan rakan-rakan memandang ke arahnya. Mungkin terasa diri diperhatikan. Namun, apabila orangnya bernama Aryssa, bertembung pandanglah seribu kali sekalipun, dia tetap buat muka tak ada perasaannya, muka selamba beruknya. Alasannya – “Ada aku kisah? Suka hati mamat tulah nak perasan ke, tak nak perasan ke, bukan aku kacau dia pun.”

‘Kenapa tiba-tiba aku rasa macam tak sedap hati aje ek? Apahal dengan kawan-kawan dia tu? Main bisik-bisik dekat telinga mamat tu sambil jeling-jeling aku. Orang kata, kalau nampak ada orang lain sedang berbisik-bisik sesama sendiri sambil tengok kita, itu tandanya orang tu tengah mengumpat kita. Hish, macam ada yang tak kena aje ni. Ini yang membuatkan aku rasa nak naik ke dorm secepat mungkin ni. Meremang bulu tengkuk aku!’ bisik hati Aryssa keresahan.

“Shima, jom naik!” ajak Aryssa.

“Kejaplah, Sa. Sikit aje lagi.”

Dahi Aryssa berkerut. “Hish, apa yang lama sangat Mak Mah ni? Setakat buat air aje kut,” rengusnya perlahan. Hatinya bertambah cemas apabila melihat ‘Fakrul and the gang’ sudah bangun dari kerusi yang mereka duduki.

Dewan makan sudah hampir lengang. Hanya ada beberapa orang pelajar lagi yang masih menjamu selera. Jam tangan ‘One Piece’ di pergelangan tangannya dijeling. Hampir mencecah pukul tujuh malam.

Sebaik sahaja Aryssa mengangkat muka, dia melihat Fakrul dan rakan-rakan sedang berjalan menuju ke arah mereka berdua.

‘Hah, baguslah! Bagus! Bala apa pulaklah yang akan menimpa aku sekejap lagi ni? Mamat ni pun satu hal, dah sesat ke apa? Jalan nak ke asrama lelaki bukan di sinilah!’ rungut Aryssa dalam hati. Peluh mula merenik di dahinya.

‘Fakrul dan rakan-rakan sudah berdiri di hadapan Aryssa. Aryssa mula mengawal riak wajahnya agar tidak kelihatan gelisah. Muka yang tidak berperasaan dipamerkan. Shima pula sudah berkerut dahi memandang mereka berempat. Apa hal dengan mereka ni?

“Kawan-kawan aku kata, kau selalu curi-curi pandang aku. Kau sukakan aku ke?” tanya Fakrul berterus-terang akan tujuannya.

Mata Aryssa terkerdip-kerdip memandang Fakrul di hadapan. “Hah? Bila?” tanya Aryssa kembali dengan wajah yang kebingungan.

“Aku tak tahu, tapi kawan-kawan aku selalu cakap yang kau sentiasa curi-curi pandang aku,” beritahu Fakrul sekali lagi.

Aryssa buat muka menyampah+bosan. Hati mula terasa hangat mendengar tuduhan tersebut. “Aku rasa kau dengan kawan-kawan kau yang ‘terlebih perasan’ ni dah salah faham kut,” ucap Aryssa bersahaja tanpa rasa bersalah. Selamba saja ber‘aku-kau’ walaupun sedang berbicara dengan seniornya yang dua tahun lebih tua daripadanya.

Berubah wajah kawan-kawan Fakrul. Mungkin disebabkan Aryssa si junior yang selamba babun aje menggelarkan mereka ‘terlebih perasan’.

“Aku tak kisahlah terlebih perasan ke, salah faham ke, atau apa-apa punlah. Yang aku nak tahu ialah kau hentikan semua ni. Aku tak nak kau curi-curi pandang aku lagi dan aku tak nak kau suka pada aku. Aku rimaslah!” balas Fakrul. “Kalau cantik tak apalah jugak,” sambung Fakrul dengan nada yang perlahan.

Namun, masih dapat ditangkap oleh telinga lintah Aryssa. Walaupun kata-kata yang diungkapkan oleh Fakrul bernada perlahan dan tidak kedengaran kasar, namun masih mampu menyentap tangkai hatinya. Dia menggenggam jari-jemarinya membentuk penumbuk. Kini, dia benar-benar marah dan geram.

Shima yang berada di sebelah Aryssa sudah gigit bibir. “Eh-eh, suka hati aje kata orang tak cantik. Kalau nak tahu…” Aryssa terlebih dahulu menahan Shima daripada terus berkata-kata.

Aryssa ketawa. Tepat matanya menentang mata Fakrul. “Aku…” Jari telunjuknya menunjukkan ke arah dirinya sendiri. Dengan gaya mengejek, dia menyambung kata. “…tak cantik?” Dia ketawa lagi. “So what? Aku cantik ke, aku tak cantik ke, ada masalah pada kau ke? Ataupun kornea mata kau boleh rosak kalau tengok gadis tak cantik? Hei, Fakrul!” Tepat jari telunjuk Aryssa menuding ke muka Fakrul dan hampir-hampir terkena hidung Fakrul. Jelas dia nampak muka Fakrul dan kawan-kawan yang terkejut. Bukan sahaja mereka berempat yang terkejut, malah Shima di sebelahnya pun turut terkejut.

Shima sudah membulatkan matanya. Terkejut! Dia tahu Aryssa seorang yang panas baran, namun baran Aryssa tidak semudah itu dilepaskan dan tidak sangka pula Aryssa yang selama ini begitu hormat pada senior-senior mereka yang lain, boleh seberani ini menentang senior form six, geng Fakrul yang sememangnya sudah terkenal dengan kenakalan mereka pulak tu?! Aryssa, kau gila ke? Jangan cari pasallah dengan mereka! Namun, jeritan dan tentangannya itu hanya mampu bergema dalam hatinya sahaja.

Aryssa menyambung. “Kau tak ada hak nak judge rupa aku! Kau nak tahu kenapa? Sebabnya, bukan kau yang cipta aku! Kalau kau yang cipta aku, aku tak kisahlah kau nak hina, caci maki aku sampai terkeluar anak tekak sekalipun! Awas dengan kata-kata kau tu, Fakrul!” Aryssa menurunkan jarinya. Jelas dia melihat Fakrul dan rakan-rakan sedang tergamam. Hanya mata yang bulat merenung ke arahnya tanpa kata.

“Shima, jom blah!” ajak Aryssa lalu berpaling. “Oh, ya! Lupa aku nak beritahu kau. Aku sebenarnya bukan pandang kau pun, Fakrul. Tapi aku pandang sesiapa sahaja. Kalau ada kita bertembung pandang tu, maaflah kerana dah buat kau mahupun kawan-kawan kau ‘terperasan’. Aku memang macam tu. Kepala dan mata aku ni memang tak boleh duduk diam. Tengah berjalan pun boleh lagi aku toleh ke belakang. Kalau ada kau ternampak aku terlanggar tiang depan mata tu, nasiblah. Aku memang suka tengok orang. Just tengok saja-saja. Tak ada perasaan apa-apa pun,” beritahu Aryssa selamba.

“Eleh, kalau suka kata ajelah suka,” salah seorang daripada kawan-kawan Fakrul mencelah menyebabkan hati Aryssa yang kian sejuk mula membara lagi.

Aryssa mengetap gigi. Sepantas cahaya dia berpaling dengan wajah yang menyinga. Dia nampak Fakrul menjeling Fadeli di sebelah tetapi Fadeli hanya buat muka tak bersalah. Aryssa tersenyum senget.

“Korang memang nak aku sukakan Fakrul, kan?” soal Aryssa sambil mata mencerlung rakan-rakan Fakrul.

“Tak payah tanyalah. Memang kau sukakan Fakrul pun, kan?” soalan dibalas soalan.

Senyuman Aryssa mula bertukar sinis. Dia memandang Fakrul. “Fakrul, kau nak ke aku jatuh suka pada kau?” Kini, soalan ditujukan pula kepada Fakrul.

“Tak nak!” Orang lain yang ditanya, orang lain pula yang menjawab.

Aryssa semakin panas! “Yang kau menyibuk sangat ni apahal? Aku tanya Fakrul, bukannya kau!” sembur Aryssa kepada Fadeli yang suka sangat menyampuk percakapan orang lain.

“Suka hati akulah. Aku hanya tolong jawabkan bagi pihak Fakrul aje.”

Aryssa tertawa sinis. “Oh, yeah? Tapi aku tak perlukan jawapan daripada kau. Jadi, kau tak payahlah ‘baik hati’ sangat nak tolong jawabkan untuk Fakrul. Macamlah Fakrul tak ada mulut sendiri.” Pedas sekali kata-kata yang terbit dari bibir nipis Aryssa. Dia berpaling semula ke arah Fakrul. “Apa jawapan kau?”

“Sama dengan jawapan kawan aku,” jawab Fakrul.

Senyuman sinis mula terbit pada bibir Fadeli dan rakan-rakannya yang lain kecuali Fakrul yang tidak menunjukkan sebarang reaksi. “See? Aku dah cakap, kan?” ujar Fadeli dengan gaya mengejek.

Aryssa tersenyum dalam geram. Sekarang, dia benar-benar rasa terhina dan tercabar! Kau belum kenal lagi siapa aku. Ini Aryssa, okey!

Shima ingin berkata sesuatu. Dia juga turut terasa tempiasnya apabila melihat rakannya dihina dan diejek sebegitu. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang Aryssa sudah menjadi musuh mereka, biarlah dia juga turut serta. Empat lawan satu, mana adil! Namun, belum sempat sepatah perkataan keluar dari mulutnya, Aryssa menahan terlebih dahulu.

“Fakrul, aku rasa kau tak perlu risau kut. Sebab aku tak pernah pun sukakan kau. Tapi, kau dengar sini baik-baik, Fakrul. Mulai hari ini, saat ini, detik ini, AKU, Aidill Aryssa Fitri, berjanji akan buat KAU, Fakrul Izzudin menyesal dengan segala kata-kata kau! Aku akan ganggu hidup kau hingga kau menyesal kerana pernah kenal aku! Aku akan buat kau menyesal kerana pernah cari pasal dengan aku! Dan aku janji akan buat kau jatuh cinta pada aku!” lafaz Aryssa dengan kuat. Matanya tajam menikam mata Fakrul yang jelas kelihatan terkaku mendengar kata-katanya.

Shima dan kawan-kawan Fakrul ternganga! Sunyi seketika dewan makan itu. Semua orang yang berada di dalam dewan makan itu terperanjat dengan kata-kata Aryssa termasuklah ‘Mak Mah and the gang’ yang sedari tadi menjadi penonton setia persengketaan antara mereka.

Tiba-tiba, Fakrul ketawa memecah sunyi walaupun ketawanya itu kedengaran sumbang. “Aku, jatuh cinta pada kau? Tak mungkin akan berlaku!”

Aryssa tersenyum sinis. “Oh, yeah? We’ll see.”

Ketawa Fakrul mati. Bulat matanya memandang Aryssa. Dia masih lagi tidak dapat mempercayai kata-kata Aryssa. Namun, apabila terpandangkan wajah Aryssa yang serius tanpa secalit senyuman, dia tertelan liur sendiri. Memang berani mati betul budak ni!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience