BAB 14

Romance Completed 7225

“Saya tak sangka yang saya akan bertemu kembali sahabat lama saya. Macam mana awak boleh kenal saya? Lapan tahun kita terpisah, mestilah wajah saya dah banyak berubah. Awak pun saya tak cam tadi,” ujar Aryssa.

Ketika itu, Aryssa dan Fakrul sedang duduk di atas sebuah bangku di sebuah taman, menghadap tasik buatan yang terbentang luas di hadapan mata.

Fakrul tersenyum. “Saya follow instagram awak,” jawab Fakrul ringkas. “Saya pun tak sangka akan terjumpa awak di restoran makanan segera. Saya rasa macam mimpi aje,”

Aryssa tergelak. “Saya bekerja sambilan aje kat situ sementara menunggu tawaran kerja dan juga untuk mengisi masa lapang saya kat rumah.”

Fakrul berpaling ke sisi, merenung lembut wajah ayu bertudung di sisinya itu. Wajah yang sangat dirinduinya sejak lapan tahun mereka terpisah. Dulu comel, sekarang dah cantik. “Awak ke mana lapan tahun ni? Puas saya cari awak.”

Aryssa turut berpaling ke sisi. Mata mereka bertembung pandang. Namun, tidak lama sebelum Aryssa melarikan wajahnya. “Saya ada di Jepun. Menetap di sana, belajar di sana dan bekerja di sana. Minggu lepas baru saya kembali ke Malaysia.”

“Awak dah dapat capai cita-cita dan impian awak?”

Aryssa mengangguk. “Ya, saya dah berjaya menjadi seorang animator di Jepun. Tapi, saya terpaksa melepaskan kerjaya saya di sana untuk pulang ke Malaysia.”

“Kenapa?”

“Saya rindukan Malaysia.” Aryssa menjawab sambil tersenyum. “Walau sejauh dan selama manapun saya di negara orang, tetap Malaysia yang saya rindui.”

Fakrul mengangguk setuju. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

“Awak pula? Kerja apa sekarang?”

Fakrul tersengih. “Arkitek.”

Aryssa tersenyum lebar. “Wah, awak pun dah berjaya capai cita-cita awak!”

Suasana sepi seketika. Tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Senyuman masih menghiasi bibir masing-masing.

“Macam mana hubungan awak dengan keluarga awak?” Tiba-tiba soalan itu terpacul di bibir Fakrul tanpa sempat ditahan. Alamak! Salah soalan! Melihatkan senyuman gadis itu yang sudah luntur, serta-merta rasa bersalah menghimpit ruang dadanya.

Aryssa tersenyum kelat. “Sejak saya keluar dari rumah mereka lapan tahun dahulu, saya tak berhubungan dengan mereka lagi.”

“Kenapa?” Rasa ingin tahu membuak-buak di hati Fakrul.

“Kerana saya bukan salah seorang daripada ahli keluarga mereka.”

“Maksud awak?”

Aryssa berpaling memandang Fakrul. “Saya bukan ahli keluarga kandung mereka. Saya hanyalah anak angkat yang diangkat oleh mak disebabkan rasa kasihan kepada saya yang tidak mempunyai siapa-siapa.”

Aryssa mengeluh berat. Sukar untuknya membuka kisah duka itu setelah sekian lama kisah itu tersimpan utuh dalam hatinya.

Fakrul faham dan mengerti perasaan gadis itu. “Kalau awak tak nak cerita pun tak apa. Saya tak paksa awak.”

Aryssa tersenyum kelat. “Tak apa. Sebenarnya, memang saya nak beritahu awak pun tentang hal ni. Sepanjang hidup saya, hanya awak yang tahu kisah hidup saya. Saya tak pernah beritahu sesiapapun tentang hidup saya walaupun kawan-kawan rapat saya di Jepun.”

Kembang hati Fakrul mendengar bicara gadis itu.

Aryssa menarik nafas dalam-dalam lalu dihembus perlahan. “Sebenarnya, keluarga kandung saya dah lama meninggal dunia. Arwah abah dan abang saya meninggal saat saya baru saja mencecah tiga bulan dalam kandungan ibu saya. Mereka meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Arwah ibu saya pula meninggal dunia selepas melahirkan saya. Mak angkat saya dengan ibu kandung saya kawan lama. Mereka tak pernah rapat tapi mereka bertembung ketika di hospital beberapa hari sebelum kelahiran saya. Mak angkat saya kasihankan ibu saya yang melahirkan saya seorang diri. Jadi, mak angkat saya temankan ibu saya di hospital sehinggalah saya dilahirkan. Tapi ibu saya telah meninggalkan saya sendiri di dunia ini.

Oleh sebab kasihankan saya yang tiada sesiapa, mak angkat saya ambil saya sebagai anak angkatnya. Sedangkan waktu tu mak dah ada tujuh orang anak. Tambahan pula, hidup mak tidak sesenang mana. Anak-anaknya tidak pernah menerima saya sebagai ahli keluarga mereka kerana dianggap menyusahkan.” Setitis air mata yang mengalir di pipi segera diseka menggunakan tangannya.

Fakrul menghulurkan sehelai sapu tangan kepada gadis itu. Aryssa menyambut bersama ucapan terima kasih.

“Aidill Aryssa Fitri binti Zainal. Secara kebetulan pula, ‘Zainal’ juga merupakan nama ayah angkat saya, sama dengan arwah abah kandung saya. Mungkin sudah takdir. Disebabkan itulah saya tak tahu yang saya bukan anak mereka.” Aryssa memandang Fakrul bersama senyuman kelat di wajah. Dia sudah berjanji bahawa dia tidak mahu menangis lagi. Dia sudah puas menangis!

Fakrul pula yang rasa bersalah. “Saya minta maaf sebab buat awak teringat kembali kisah duka awak. Saya dah buat awak bersedih. Maafkan saya.”

“Tak apa. Saya okey. Lagipun, semua tu dah lama berlalu. Insya-Allah, suatu hari nanti saya akan pergi juga menjenguk mereka. Takkan saya nak biarkan hubungan saya dengan mereka terputus macam tu aje, kan? Andainya mereka masih lagi tak dapat menerima saya sebagai ahli keluarga mereka, cukuplah mereka dapat menerima saya sebagai seorang tetamu. Itu sudah memadai bagi saya. Cuma… untuk waktu yang terdekat ni, saya masih lagi tak bersedia untuk bersua muka dengan mereka.”

Lama suasana menyepi di antara mereka. Fakrul masih lagi dihantui rasa bersalah.

“Aryssa.” Panggil Fakrul perlahan.

Aryssa berpaling.

Fakrul menggigit bibir. Sungguh, dia rasa berdebar-debar saat itu. “Aryssa, saya dah lama cari awak. Sejak lapan tahun ni, hidup saya tak tenang selagi saya tak luahkan rasa ini kepada awak. Waktu last day sekolah dulu, saya tak sempat nak beritahu awak. Awak dah pulang ke rumah sebelum exam saya tamat.”

Kini, Aryssa pula yang dihantui rasa bersalah. Dia kembali teringat akan peristiwa itu, yang mana dia tergesa-gesa membawa barang-barangnya turun kerana ayah angkatnya menjemputnya lebih awal daripada masa yang diberitahu ketika mereka bercakap di telefon. “Saya minta maaf. Saya tak sempat nak tunggu awak waktu tu.”

“Tak apa. Awak tak perlu minta maaf. Awak tak salah apa-apa pun. Sebenarnya, waktu tu… saya nak beritahu awak yang saya… saya… cintakan awak.” Mata Fakrul tepat memandang anak mata gadis itu.

Aryssa terkedu! Beberapa saat kemudian, dia ketawa. Kuat!

Kali ini giliran Fakrul pula yang terkedu. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Punyalah aku nervous nak luahkan perasaan, alih-alih dia ketawa pulak!

Ketawa Aryssa mulai reda. “Maaf. Maafkan saya. Saya tak terniat pun nak ketawakan awak. Tapi… entahlah. Saya pun tak tahu nak cakap apa. Cuma saya tak sangka, awak jatuh cinta pada saya? Dulu?” Aryssa menyoal, pelik.

Berkerut dahi Fakrul. “Kenapa? Tak boleh ke?”

“Bukan tak boleh. Yalah, saya cuma tak sangka aje. Rupa-rupanya, rancangan saya dulu untuk buat awak jatuh cinta pada saya berjayalah, ek? Hidup-hidup saya ingatkan saya dah gagal. Mana taknya, sampai ke sudah awak tak meluahkan perasaan awak tu,” Aryssa tersengih.

Fakrul tersengih malu. Belakang lehernya digosok perlahan. “Bukan saya tak nak meluahkan, tapi tak sempat.” Fakrul menarik nafas dalam-dalam, kemudian dihembus perlahan. Badannya dipusing menghadap Aryssa. “Aryssa, selama ni, lapan tahun saya menunggu awak. Dan saat ini adalah saat yang paling saya tunggu dalam hidup saya.” Fakrul berhenti berkata-kata seketika. Matanya tepat merenung anak mata gadis itu. “Sudikah awak menjadi isteri saya?”

Aryssa tergamam, terkedu, terpaku, terkelu dan semua ‘ter’ lah! Beberapa saat berlalu, senyuman terbit di wajahnya. “Fakrul, awak melamar saya?”

Fakrul mengangguk laju. “Ya.” Jantungnya berdegup kencang, menanti jawapan Aryssa.

“Awak melamar saya, tapi awak tak tanya pun saya, saya ni dah berpunya ke, belum ke…”

Kata-kata Aryssa membuatkan Fakrul tersentak. Dia mula cuak. Manalah tahu dia melamar isteri orang ke, tunang orang, apa ke… “Ss… sa… saya…”

Akhirnya, ketawa Aryssa meletus apabila melihat wajah Fakru yang cuak. “Fakrul… Fakrul… Awak tahu tak yang saya juga sudah lama menantikan saat ini? Saat kata-kata lamaran keluar daripada mulut awak? Walaupun saya tak cam rupa awak waktu di restoran tadi, tapi itu tak bermakna saya dah buang nama awak dari hati saya.” Aryssa menarik nafas perlahan. “Fakrul, saya… terima.”

Mata Fakrul membulat. “Bb… betul ni?” tanya Fakrul seakan-akan tidak percaya.

Aryssa mengangguk. “Ya, Fakrul. Saya terima lamaran awak untuk menjadi isteri awak.” Aryssa tersenyum manis memandang Fakrul.

“Alhamdulillah, ya Allah… Terima kasih kepada-Mu. Akhirnya, doaku termakbul jua.” Luah Fakrul perlahan sambil meraup mukanya. Sungguh, dia sangat bahagia saat ini. Hanya Allah yang tahu rasa bahagia yang berkepuk-kepuk mengisi ruang hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience