BAB 5

Romance Completed 7225

Bam!

Meja di hadapan Aryssa ditepuk kuat oleh seseorang. Aryssa yang sedang membaca buku sambil menongkat dagu dengan tangan, mendongak dengan muka yang malas. Eryn!

Aryssa langsung tidak terkejut mahupun takut dengan muka Eryn yang menyinga kerana dia tahu Eryn pasti akan menyerangnya.

“Hei, perempuan! Aku dengar berita kau nak mengurat Fakrul. Betul ke?” tanya Eryn kasar.

Krik… krik… Tiada balasan daripada Aryssa. Bo layan je…

“Hoi! Aku bercakap dengan kau ni!” Eryn naik berang. Merah padam wajahnya. Sekali lagi meja di hadapan Aryssa ditepuk kuat.

Aryssa menghembus nafas malas. Mereng punya perempuan! Apalah yang dia dapat dengan tepuk meja ni kuat-kuat? Kesian meja ni jadi mangsa keadaan. Yang sakitnya tangan dia jugak. Kut ya pun marahkan aku, yang gila sangat pergi pukul meja tu dah kenapa? Aduyai… malasnya aku nak layan minah terputus wayar macam dia ni…

“Kalau betul pun kenapa? Ada masalah dengan kau ke?” soalan dibalas soalan. Sinis.

Bertambah berasap Eryn dibuatnya.

“Hoi, perempuan! Kau dengar sini baik-baik! Fakrul tu milik aku! Dia tu boyfriend aku!” Eryn bertempik. Suaranya yang nyaring itu telah menarik banyak perhatian daripada pelajar-pelajar lain. Malah, pekerja-pekerja sekolah yang berada di situ juga mula memberikan tumpuan. Memang suka publisiti murahan betul minah mereng ni! Nasib tiada cikgu sahaja di situ. Mereka yang memerhati mula berbisik sesama sendiri.

Aryssa menekup kedua-dua belah telinganya. Tidak tahan dengan kelantangan jeritan Eryn yang berkemungkinan 99.9% boleh menyebabkan dia menjadi pekak pada usia yang muda jika dia membiarkan suara itu melalui gegendang telinganya. Beberapa saat berlalu, barulah Aryssa melepaskan telinganya. Kemudian, dia mendongak memandang Eryn yang hampir ‘meletup’. Aryssa tersenyum sinis. “Jadi?”

Dengan hanya sepatah perkataan sahaja sudah cukup membuatkan darah Eryn semakin mendidih. “Kau ni kenapa?! Tak faham bahasa ke?!” marah Eryn. “Aku nak kau jauhkan diri daripada Fakrul! Jangan pernah pergi dekat dengan dia! Faham?!” sambung Eryn lagi.

Aryssa menongkat dagu lagi dengan bersahaja sambil memandang Eryn dengan senyuman. “Faham. Aku sangat faham kata-kata kau tu sebabnya kau bercakap dalam bahasa Melayu. Kalau kau bercakap menggunakan bahasa Tamil, memang sah-sahlah aku tak faham,” Aryssa berhenti bercakap seketika. Senyuman di wajahnya mula bertukar. Daripada senyuman biasa-biasa, kepada senyuman lain macam. Senyuman kekejaman! Matanya juga bertukar daripada pandangan biasa kepada pandangan yang menunjukkan kekejaman di dalamnya. Matanya tersenyum pedas berapi. Penuh dengan keberanian, kekejaman dan makna yang tersirat menunjukkan ‘sekali cari pasal, puting beliung mendatang!’

Aryssa menyambung percakapannya yang tergantung. “Tapi kefahaman aku tak membolehkan aku untuk ikut cakap kau. Fakrul dah cari pasal dengan aku, menyebabkan aku rasa tercabar dan dia yang akan menanggung segala akibatnya. Dan kau! Aku nasihatkan kau supaya jangan cari pasal dengan aku. Sekali kau cari pasal dengan aku, aku akan pastikan kau menyesal sebab pernah kenal aku!”

Aryssa berdiri. Matanya memandang tajam mata Eryn tanpa secebis senyuman di bibir. Dia boleh nampak anak mata Eryn yang bergetar. Mungkin kecut dengannya ataupun tidak menyangka dia yang pendiam ini boleh jadi seberani ini. “Aku ni jenis yang tak suka bergaduh dengan kaum sejenis aku, hanya disebabkan berebutkan seorang lelaki yang belum tentu dapat dimiliki. Itu bodoh namanya. Tapi sekali ia datang, aku tak akan melarikan diri!” Selesai berkata-kata, Aryssa berlalu melalui sisi Eryn yang diam tak terkata.

“Fakrul, tengoklah perempuan tu. Dia marah saya.”

Tiba-tiba Aryssa terdengar suara Eryn yang bertukar menjadi lembut dan manja semacam. Aryssa berhenti berjalan lalu berpaling ke belakang. ‘Patutlah minah tu senyap tiba-tiba. Rupa-rupanya dia memang tahu Fakrul ada di belakang aku tadi.’ Aryssa tersenyum sinis.

“Baguslah kau ada kat sini, Fakrul. Tolong ajar sikit perempuan yang mengaku konon-kononnya girlfriend kau ni cara macam mana nak hormat orang!” Terus Aryssa berpaling untuk berlalu.

“Hei! Kau tu yang sepatutnya diajar sebab aku tengok kau ni macam tak cukup diajar. Ataupun memang mak bapak kau tak ajar kau cara nak hormat girlfriend orang?” Hambur Eryn dengan sinis. Senyuman kemenangan terukir megah di bibirnya.

Aryssa yang ingin melangkah pergi tidak jadi meneruskan langkah. Dia terhenti melangkah tetapi masih tidak berpaling memandang Eryn dan Fakrul. Dia menggenggam tangannya membentuk sebiji penumbuk. Badannya bergetar hebat menahan perasaan. Kepalanya ditundukkan ke bawah.

Aryssa berpaling ke belakang dengan kepala yang masih ditundukkan ke bawah. Gigi diketap rapat. Tangan digenggam kemas. Kemudian, dia mengangkat kepala dan memandang dua orang manusia di hadapannya dengan wajah yang amat bengis. Pandangannya tajam menikam dua manusia itu, lebih tajam daripada ketika dia memandang Eryn sebentar tadi. Matanya penuh dengan api kemarahan yang membara.

Perlahan-lahan dia mendekati Eryn dan Fakrul. Tiba-tiba…

Pang!

Fakrul terpempan! Eryn terpanar! Dia telah ditampar oleh Aryssa! Sunyi seketika suasana di kawasan itu. Semua mata memandang ke arah ‘drama swasta’ yang ditayangkan di hadapan mata.

Eryn menyentuh pipinya yang terasa pijar. Dadanya berombak ganas apabila otaknya mula memproses apa yang telah berlaku. Tanpa sempat dihalang, Eryn pula menghayun tangan ingin membalas perbuatan Aryssa, namun tidak berjaya kerana Aryssa lebih pantas menahan tangan itu daripada menyentuh pipinya.

Aryssa menahan tangan Eryn dengan hanya menggunakan sebelah tangannya sahaja. Dia mencengkam tangan Eryn, kuat sehingga Eryn berkerut dahi menahan kesakitan. Fakrul cuba membantu Eryn, namun jelingan maut yang penuh amaran bagaikan belati tajam yang diberikan oleh Aryssa menyebabkan pergerakannya terbantut.

“Kau tahu tak, kalau ikutkan hati aku yang menggelegak ni, dah lama tangan kau aku patah-patahkan,” sambil Aryssa bercakap, dia semakin menguatkan cengkamannya pada tangan Eryn sehingga terdengar erangan kesakitan daripada bibir Eryn.

Mata Eryn sudah berkaca-kaca disebabkan kesakitan dan ketakutan yang amat. Tinggal untuk jatuh sahaja titisan jernih itu.

“Aryssa, sudahlah tu. Lepaskan Eryn,” Fakrul mula bersuara, lembut bagaikan memujuk dengan muka yang sehabis risau. Risau tangan Eryn benar-benar akan dipatahkan dan juga risau perkara ini akan diketahui oleh pihak atasan.

Aryssa memandang Fakrul dengan api kemarahan yang masih belum padam. Dia menarik Eryn, kuat sehingga Eryn terdorong ke arahnya. Dia berbisik ke telinga Eryn yang mula mengalirkan air mata. “Kalau kau suka sangat nak jadi musuh aku, jangan sesekali pun kau libatkan MAK BAPAK aku! Ini amaran pertama dan terakhir aku untuk kau! Kalau kau tetap berdegil jugak dan buat apa yang aku larang, lebih daripada ni pun aku boleh buat! Jangan-cabar-aku!” Selesai Aryssa berkata-kata, dia menolak tangan Eryn yang masih dipegangnya dengan kuat sehingga menyebabkan Eryn terdorong ke belakang dan terlanggar tubuh Fakrul. Fakrul pula yang tidak bersedia mula hilang imbangan dan akhirnya kedua-dua tubuh itu terhenyak ke lantai.

Aryssa memandang kedua-dua manusia itu dengan rasa meluat di hati. Eryn sudah tersedu-sedan di atas tanah, manakala Fakrul pula memandang ke arahnya dengan kaku. Kemudian, Aryssa berlalu pergi, meninggalkan mereka berdua yang masih terduduk di atas lantai dan tidak berpaling lagi. Dia tahu Fakrul masih memerhatikannya walaupun dia tidak lagi bertentang mata dengan jejaka itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience