BAB 10

Romance Completed 7225

Malam itu terasa begitu sepi. Fakrul mengeluh entah kali yang keberapa. Tangisan dan luahan hati Aryssa pada petang tadi begitu meruntun hatinya, terngiang-ngiang di telinganya hingga kini. Tidak dia sangka, di sebalik senyuman dan gelak ketawa gadis itu tersembunyi seribu kedukaan yang terpendam.

“Bukan senang aku nak sayangkan seseorang. Tapi, bila aku sudah mula menyayangi, rasa sayang aku hanya sia-sia. Rasa sayang yang aku curahkan tidak dihargai. Aku rasa sangat bodoh bila menyangka dia menyayangi aku. Walaupun sikit, aku tak kisah. Tapi, aku silap. Dia tak pernah sayangkan aku,” luah Aryssa tanpa memandang Fakrul. Air mata yang menodai pipi mulusnya dibiarkan saja.

Fakrul setia mendengar walaupun dia keliru. Aryssa bercakap tentang siapa? Namun, dia hanya mendengar tanpa niat ingin mencelah. Tidak mahu merosakkan ‘mood’ bercerita gadis itu. Leka dia memandang sisi wajah gadis itu yang nampak begitu ‘natural’. Tiba-tiba, Aryssa berpaling ke arahnya bersama mata yang berkaca-kaca. Fakrul terkedu! Pantas dia memalingkan wajah ke arah lain.

Setelah agak lama Aryssa yang kembali menyepikan diri, Fakrul memberanikan diri bertanya. “Sebenarnya… kau bercakap tentang siapa? ‘Dia’ tu… siapa?”

“Mak aku.”

Berkerut dahi Fakrul mendengar jawapan Aryssa. “Mana ada ibu dalam dunia ni yang tak sayangkan anak?”

Aryssa tersenyum sedikit. Penuh kelukaan. “Kalaulah apa yang kau cakapkan tu betul, aku tak akan jadi macam ni, Fakrul. Aku tak akan terluka macam ni.”

Fakrul bersimpati. “Mana kau tahu mak kau tak sayangkan kau?”

“Mak aku sendiri yang cakap. Depan-depan aku dia cakap yang dia tak pernah sayangkan aku,” suara Aryssa sebak. “Dia cakap, dia bela aku kerana kasihankan aku. Dia buat macam aku ni bukan anak dia, kan?”

Fakrul sedikit mengeluh. “Habis tu, ahli keluarga kau yang lain macam mana?”

Aryssa ketawa kecil yang dibuat-buat. “Tak payah tanya. Memang dari aku kecil lagi mereka bencikan aku. Mereka sentiasa sisihkan aku. Memang mereka tak boleh terima kehadiran aku. Aku pun tak berharap pada mereka. Aku tak peduli dah pada mereka. Biarlah mereka tu. Cuma, aku kecewa bila dapat tahu yang mak aku pun sama dengan mereka. Selama ni, mak aku tak pernah pun hina, caci maki aku sepertimana ahli keluarga aku yang lain. Sebab tu aku fikir mak aku sayangkan aku… walaupun sekelumit,” luahnya sayu.

Fakrul terdiam. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Akhirnya, dia mengeluh lagi, entah untuk kali yang keberapa. “Aku tak tahu nak cakap apa lagi. Aryssa, aku harap kau tabahlah untuk melalui semua ni. Aku pasti, suatu hari nanti kau akan tahu jugak kenapa keluarga kau layan kau macam tu. Aku akan sentiasa doakan yang terbaik untuk kau. Kalau kau tak ada sesiapa untuk meluahkan perasaan kau, kau boleh cari aku. Aku akan sentiasa ada untuk kau,” ujar Fakrul lalu tersenyum, cuba menceriakan gadis itu.

Aryssa memandang Fakrul. Dia menyapu butiran jernih yang mengaburi penglihatannya itu sambil tersenyum tawar. “Aku tak faham dengan kau. Kenapa tiba-tiba aje kau baik dengan aku?”

Fakrul mula menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih sumbing. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa. Dia hanya mengikut naluri hatinya yang ingin mendekati dan mengenali gadis itu yang baginya pelik dan misteri. “Entahlah. Aku tak ada jawapan untuk soalan kau tu.”

“Aku minta maaf,” Tiba-tiba sahaja Aryssa meminta maaf dengannya.

“Untuk apa?”

“Untuk segala-galanya. Selama ni aku selalu ganggu hidup kau. Aku tak pernah biarkan kau hidup aman. Maafkan aku.”

“Kau tak bersalah dengan aku. Aku tak terasa diganggu pun selama ni. Malu aku nak mengaku, tapi sebenarnya… aku terhibur dengan segala yang kau dah buat pada aku. Aku tak marah pada kau. Aku mengaku, waktu kau kacau aku, kau prank aku, memang aku geram pada kau. Tapi aku geram waktu tu ajelah.” Fakrul tersengih.

Aryssa tidak berkelip memandang Fakrul. Rasa tak percaya Fakrul tidak memarahinya atas segala perbuatannya selama ini.

“Aryssa, kalau aku minta peluang daripada kau untuk aku lebih mengenali kau, kau bagi tak?” Tiba-tiba Fakrul bertanyakan soalan itu sambil tersengih sumbing.

Aryssa angkat kening. “Maksudnya?”

“Maksudnya, kalau aku nak jadi kawan kau, kau sudi tak?”

Fakrul tersedar daripada lamunan panjangnya. Sejak peristiwa petang tadi, dia telah menghulurkan salam persahabatan kepada Aryssa. Walaupun pada mulanya gadis itu teragak-agak, namun salamnya bersambut juga. Niatnya hanya satu, dia ingin menjadi teman untuk gadis itu mencurah segala rasa. Dia ingin merasai setiap kegembiraan dan keperitan gadis itu.

Aryssa… entah mengapa saat kau mula hadir dalam hidupku, hanya kau dalam fikiranku…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience