BAB 2

Mystery Completed 5123

SEAWAL enam setengah pagi, Hani sudah bersiap-siap ke pejabat. Dia berdiri di cermin besar yang menampakkan seluruh tubuhnya. Seragam yang membaluti tubuhnya dikemaskan sedikit. Topi di atas meja solek dicapai sebelum keluar dari bilik. Selesai sarapan, Hani terus memandu laju ke pejabat yang terletak di tengah ibu kota. Hari ini dia perlu melaporkan diri di bilik ketua.

Tiba di pejabat, Linda terus ke tingkat tujuh untuk melaporkan diri sebelum menjalankan tugas baru.

“Tahniah!”

Ucapan tahniah mula dilontarkan dari teman-teman sekerja. Hani hanya membalas dengan senyuman. Dia berhak mendapat ucapan itu setelah berhempas pulas menjalani latihan fizikal dan juga menghadapi peperiksaan untuk melayakkannya menjawat jawatan yang sudah lama diidamkan olehnya. Laju kakinya melangkah ke bilik ketua.

“Masuk!”

Berhati-hati Hani melangkah ke bilik yang luas dan dihiasi dengan perabot jati di bahagian tetamu. Sebaik melangkah, Tuan Malik sudah tersenyum kepadanya. Hani terus membuat tabik hormat sambil berdiri tegak di depan meja Tuan Malik.

“Tahniah! Saya harap awak akan bekerja dengan lebih berdedikasi lagi selepas ini. Tahniah dari saya sekali lagi!”

Tuan Malik mula berjabat tangan dengan Hani sambil tersenyum. Dia cukup kagum dengan gadis yang memiliki nama Haslinda Hani Binti Hashim yang kini berdiri tegap di hadapannya sambil memegang topi di bawah ketiak kiri.

Pegawai muda yang berusia dua puluh sembilan tahun itu kemas dan cantik dengan seragam baru yang melayakkannya bergelar Detektif Kanan di situ. Nyata gadis itu terlalu komited dengan kerja.

Dulu sebagai seorang inspektor biasa, sudah banyak kes yang berjaya diselesaikan. Dari kes biasa, Hani diserahkan pula kes penyeludupan dadah dan dipindahkan ke bahagian anti narkotik. Nyata gadis itu juga berjaya menyelesaikan tugasnya dengan penuh dedikasi.

“Terima kasih Tuan!” Sekali lagi Hani membuat tabik hormat kepada Tuan Malik.

“Mulai esok, awak ditugaskan ke bahagian jenayah berat.” Tuan Malik senyum sambil menghulurkan sekeping fail.

Hani mula mencapai fail yang dihulurkan oleh Tuan Malik. Dia pandang Tuan Malik yang masih tersenyum kepadanya. Tuan Malik yang telah dua puluh lima tahun berkhidmat di situ. Tinggal beberapa bulan saja lagi Tuan Malik akan bersara. Selepas mengucapkan terima kasih, Hani minta diri untuk ke bilik baru.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience