Completed
5123
NASI dalam pinggan dikuis perlahan. Fikirannya masih pada Muzaffar yang tiba-tiba muncul di pejabatnya petang tadi. Dua belas tahun mereka berpisah. Sebaik tamat SPM, Muzaffar sering bertandang ke rumahnya.
Persahabatan yang terjalin antara mereka telah menimbulkan rasa kasih dan sayang lebih dari seorang kawan. Dari sahabat, perhubungan mereka mula bertukar menjadi kekasih. Muzaffar hanya tua setahun darinya. Tika itu, Muzaffar masih menuntut di tingkatan enam.
“Hani..kenapa kuis je nasi tu? Makanlah..penat mak masak..” Puan Zawiah pandang Hani yang hanya menjamah sedikit saja nasi.
“Hani tak ada selera la mak.”
“Kenapa ni…ada masalah ke? Bagi tahu mak.” Puan Zawiah memujuk anak gadisnya yang kelihatan sugul.
“Tak ada apa la mak..mungkin Hani penat hari ni. Banyak kes kena selesaikan. Kejap lagi Hani akan bertugas. Ada serbuan malam ni.” Hani mula teringat tugas malamnya yang tidak rasmi. Namun tidak pernah diberitahu kepada ibunya tentang tujuan sebenar tugas itu.
“Hani..tadi keluarga Muz datang. Mereka datang bersama hajat. Mak tak nak paksa Hani tapi Hani fikirlah. Hani pun sudah nak masuk tiga puluh tahun. Tak baik membujang lama-lama bagi seorang perempuan. Terima sajalah Muz tu.” Puan Zawiah merenung Hani yang masih tunduk dan menguis nasi.
Hani mula mendongak. Wajah ibu tua yang sudah lebih separuh abad itu direnung dalam. Patutlah Muzaffar tiba-tiba muncul di pejabatnya hari ini. Dia tahu ibu mana yang tidak inginkan anaknya hidup bahagia bersama suami. Bukan dia tidak mahu menikah.
Bukan dia tidak mahu bersuami dan bukan dia tidak mahu memiliki anak-anak yang comel tetapi keadaan dirinya yang tidak seperti perempuan lain. Kejadian dua belas tahun dulu yang mengubah segala-galanya. Hatta ibunya sendiri tidak tahu semua itu.
Biarlah ia menjadi rahsia dirinya sehingga akhir hayat. Dia faham hati seorang ibu yang ingin melihat kebahagiaan anak sendiri. Wajah ibunya yang begitu mengharapkan dirinya mengakhiri zaman bujang dengan sebuah perkahwinan dirasakan terlalu sukar untuk dipenuhi.
Dirasakan tiada siapa yang sudi menyunting dirinya sebagai isteri sekiranya mereka tahu siapa dirinya yang sebenar. Perempuan mana yang tidak menginginkan sebuah pernikahan. Air mata yang mula bergenang cuba ditahan.
“Mak..nantilah Hani fikir dulu.” Hani capai bekas basuh tangan sebelum melangkah pergi.
Puan Zawiah hanya memandang Hani dengan pandangan tidak mengerti. Itulah jawapan yang diberi oleh Hani setiap kali soal kahwin dilontarkan.
Share this novel