Completed
5123
“MAAF! Saya tak sengaja!” Hani mula menggelabah. Dia telah melanggar seseorang ketika terkocoh-kocoh ke restoran.
“Tak apa..”
Hani pandang lelaki itu dengan senyuman manis terukir di bibir. Lelaki itu segak bertali leher.
“Maaf ya..saya tak sengaja tadi.” Hani mula mengutip fail yang jatuh ke lantai.
“It’s okay.” Razif renung Hani yang berbaju kurung begitu. Dia terpana dengan kecantikan gadis itu yang mempunyai rambut ikal yang lebat yang dilepaskan terurai melepasi bahu.
Hani angguk sambil malu-malu. Dia jeling sekilas wajah lelaki itu untuk pastikan betul-betul. Memang sah. Dialah lelaki yang dikenalinya dua belas tahun dulu.
“Marilah I belanja. Waktu kerja lambat lagi.” Razif mula mengajak gadis yang baru dikenali itu untuk bersarapan sekali.
Hani hanya mengikut. Dia perlu berhati-hati. Fail diletak atas meja. Dia mula pandang lelaki itu yang masih merenung tajam ke arahnya sambil tersenyum. Hani mula resah, bimbang lelaki itu mengenali dirinya. Tidak mustahil dia akan ingat kejadian itu. Wajahnya juga tidak jauh beza dari dulu.
“You dari mana tadi?”
“Err..saya dari pejabat tadi. Singgah sini kejap nak isi perut.” Tutur Hani lembut lagak seorang penggoda.
Razif angguk-angguk. Dia kemudian senyum sambil memesan makanan. Diperhatikan gadis di depannya atas bawah sambil senyum sendiri. Dalam hatinya mula berkira-kira. Hmm…manis..satu lagi koleksi berharga aku..
Mereka berdua mula berbual mesra dan berkenalan. Razif tersenyum puas kerana gadis manis itu sudi keluar dengannya malam nanti. Dengan hanya belanja segelas jus dan dua keping roti bakar, gadis itu nyata terlalu mudah diajak keluar.
Hani masih senyum sambil mata melirik melihat Razif yang tersengih begitu. Dia mula membaca fikiran lelaki muda itu yang padanya nyata buaya darat. Dari siasatannya, sudah ramai gadis terlena dalam pelukannya. Namun itu semua bukan masalahnya untuk difikirkan. Misinya perlu diselesaikan dengan segera. Dia hanya tunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Huh! Aku bukan seperti gadis yang kau ulit setiap hari!
Sejak itu Hani selalu keluar dengan Razif. Dan setiap kali itulah Razif mengumpannya untuk bermalam di kondominium miliknya. Tidak semudah itu baginya membiarkan Razif berbuat begitu padanya. Dia tahu niat Razif yang sebenar. Biar Razif tahu tidak semudah itu dia memperdaya gadis.
Malam itu Hani tulis lagi sesuatu dalam diari merah. Maaf, aku bukan gadis yang gilakan harta dan rupa kacak kau! Hani mengetap bibir bila mengingati perlakuan rakus Razif dua belas tahun dulu. Pen merah digenggam kuat.
Share this novel