Completed
5123
HANI lihat jam tangan. Sudah hampir satu pagi. Dia betulkan topi yang mula senget. Sudah lebih setengah jam dia di situ. Di simpang tiga itulah selalunya wajah itu selalu kelihatan. Sudah bertahun dia mengikuti kehidupan wajah itu. Malam ini dia akan pastikan betul-betul. Kedua tangannya diseluk ke dalam poket jaket hitam bila terasa dingin malam mula menyimbah tubuhnya.
Sebuah kereta hitam mewah mula melintasi jalan itu. Hani segera mencatat plat nombor kereta dan terus mengikuti kereta itu dalam jarak selamat. Motosikal hitam Aprilla miliknya ditunggang perlahan mengekori kereta BMW hitam yang mula membelok ke arah sebuah kondominium mewah.
Dia berhenti di bawah pokok di luar pagar utama. Dari situ dia hanya memerhati kereta itu membelok pula ke blok paling depan sekali. Dia mendongak melihat blok setinggi 12 tingkat itu. Perlahan Hani turun dari motosikal dan menapak perlahan ke pondok pengawal.
“Err..tumpang tanya encik. Kereta BMW tadi tu tinggal kat sini ke?” Hani mula bertanya seorang lelaki berbangsa India yang berpakaian seragam pengawal warna coklat pudar.
Pengawal itu angguk sambil merenung tajam ke arah Hani.
“Cik apa mahu? Ini tempat privasi. Mahu masuk kalu..register nama sini juga.” Pengawal itu mengarahkan Hani menulis nama di buku log untuk pelawat.
Hani hanya senyum sambil berlalu pergi. Sempat dia jeling nama penghuni yang terpampang di buku log satu lagi yang terbuka di depan meja pengawal. Buku yang dicatat nama penghuni yang keluar masuk setiap hari.
“Razif Halim…” Hani senyum.
Topi keledar dipakai semula dan mula memecut laju keluar dari situ.
SAMPAI di rumah, ibunya sudah lena tidur. Perlahan dia melangkah ke bilik. Jaket hitam disangkut di kerusi. Hani senyum sendiri. Pengalamannya sebagai pegawai polis memudahkannya menyiasat latar belakang lelaki itu. Nyata lelaki itu memiliki segala-galanya. Kereta dan rumah yang mewah, kerja yang bagus dengan memiliki syarikat sendiri dan dikelilingi gadis-gadis seksi. Dia tidak hairan jika itu kehidupan yang dilalui lelaki itu. Hani segera mencatat nama dan nombor plat kereta di dalam diari merah. Kini hanya tinggal tindakannya saja.
Share this novel