Completed
5123
Dalam hidupku ini yang hadir dalam pelbagai warna ini, Aku bermimpi untuk berlari-lari bak mengejar hujung pelangi, Meski aku tahu penghujungnya mustahil untuk ku temukan, Namun aku tahu ia adalah warna-warna yang harus ku lalui dan itu adalah kembara hidupku.
Merah jambu, jingga, kelabu, biru atau apa saja warna aku akan biarkan ia menghiasi diriku, tapi kau muncul dalam hidupku. Cukup pantas! Kau bawa warna kelam dan merenggut segala mimpi indah hidupku. Hani menatap surat yang baru diterima pagi tadi.
Dia tersenyum puas. Berkat kesabaran dan ketabahan menghadapi latihan dan ujian akhirnya dia berjaya menjawat jawatan itu. Jawatan yang sudah lama dinantikan selama ini.
Namun bukan itu sebenarnya yang menyebabkan bibirnya tersenyum begitu tetapi pintu untuknya menjayakan rancangan yang sudah lama dipendam kini terbuka luas.
Jawatan yang tertera di surat perlantikan itu akan dijadikan sebagai platform untuknya merealisasikan segala keinginannya selama ini. Senyumannya mula lebar sampai ke telinga.
Surat dilipat kemas dan dimasukkan semula ke dalam sampul. Diari merah atas meja dicapai perlahan. Dia mula membelek helaian demi helaian. Ada yang ditulis dengan dakwat hitam dan ada juga dengan dakwat biru. Tanpa sedar, air matanya mula menitis.
Matanya tertancap pada coretan di satu halaman. Dibaca lagi setiap ayat yang ditulis dengan dakwat merah. Tulisan itu tidak kemas, susunan ayat bertabur, ada tulisan yang sudah pudar dan tidak dapat dibaca akibat kesan air yang terkena dakwat merah. Matanya tertancap pada satu ayat yang sengaja ditebalkan dengan dakwat merah.
Ayat itulah sehingga kini menjadi dorongan untuknya merealisasikan apa yang tersemat di hati yang luka selama ini. Luka yang tak akan sembuh sampai bila-bila.
Hani menyeka air mata yang tumpah. Dia pandang pula tarikh di atas kanan halaman itu. Tarikh yang dibulatkan dengan dakwat merah yang sengaja dibesarkan.
Merahnya dakwat itu juga adalah tanda merahnya jiwa dan hatinya saat itu dan sehingga kini masih terasa. Dan tanda merah itu juga adalah merah yang begitu berharga buat seorang perawan. Tarikh itu yang memaksa merah itu direnggut tanpa rela.
Dan tika itu, satu persatu wajah itu terpahat kukuh di mata hatinya. Dia mula mencoret sesuatu di halaman baru. Terasa puas bila segala luahan hati dicoret di situ. Diari merah itu menjadi saksi segala-galanya.
Usai menulis, Hani masih termenung memikirkan apakah tindakannya nanti akan membahagiakan dan memuaskan keinginannya yang selama ini dipendam sekian lama. Perlahan dia menapak ke katil dan mula baring sambil memandang siling.
Kini dia mula merasa sedikit lega. Biar segala-galanya berakhir dengan segera. Perlahan lampu kecil di atas meja sebelah katilnya ditutup. Gelap.
Share this novel