Completed
5123
TUAN MALIK mula bingung. Kes pembunuhan kali ini terlalu sukar untuk diselesaikan. Dia meneliti fail di atas meja. Laporan kes itu dibaca berulang kali. Laporan yang baru diterima dari Detektif Haslinda dan Detektif Razman. Penyiasatan kes di resort oleh Hani dan Razman dua hari lepas juga menemui jalan buntu. Tiada bukti yang dapat dikesan mengaitkan pembunuh.
Setakat ini hanya beberapa orang suspek saja yang dipanggil untuk memberi keterangan. Dalam kes Razif, tiada seorang pun suspek yang menunjukkan ke arah itu. Kes Azhar pula, masih belum dikenal pasti suspek utama. Dari siasatan, kedua mangsa tidak mempunyai musuh.
“Hmm…nampaknya kedua kes ni sama modus operandi. Ada bunga, badan ditikam banyak kali dan kemaluan pula dikerat. Dari biodata kedua-dua mangsa, mangsa nampaknya berasal dari kampung yang sama.” Tuan Malik mula berkerut kening. Dia mengamati kedua kes itu sekali lagi.
Hani dan Razman masing-masing diam sambil memerhati Tuan Malik memeriksa laporan yang disediakan. Hani pula mula merasa goyah bila Tuan Malik mula perasan biodata kedua mangsa.
“Eh..ni kampung Detektif Haslinda kan?” Tuan Malik mendongak melihat Hani yang duduk di sebelah Razman.
“Ya Tuan!” Hani cuba senyum.
Razman pula pandang Hani yang sedikit gelabah.
“Kalau macam tu..awak mesti kenal keluarga mangsa ni.” Tuan Malik mula merenung Hani yang duduk di depan.
Razman pula pandang Hani dengan riak curiga. Hani cuba bertindak selamba.
“Benar tuan. Saya pun terkejut bila dapat tahu kedua mangsa berasal dari kampung saya. Malah saya juga kenal kedua mangsa. Mereka dulu satu sekolah dengan saya.” Hani berkata dengan penuh yakin.
“Hmm..kalau macam tu..kita kena siasat dari akar umbi. Nampaknya terlalu banyak persamaan pada kedua-dua kes ni.” Tuan Malik hulur semula laporan kepada Hani.
“Saya cadangkan kita pergi ke kampung Berangan. Mana tahu dari situ kita dapat rungkai punca atau motif sebenar pembunuh.” Razman mula mengusul cadangan.
“Err..tidakkah nampak ketara jika saya ikut serta dalam penyiasatan ini? Maksud saya, kedua mangsa adalah rakan sekolah saya dan saya pula menyiasat kes ini. Tidakkah ia akan menjadi bias?” Hani pandang Tuan Malik.
“Hmm..pada saya tidak. Malah kes ini akan cepat diselesaikan kerana hanya awak yang tahu fasal mangsa dan kampung tu!” Tuan Malik masih pertahankan katanya supaya Hani dan Razman menjalankan siasatan di sana.
Hani dan Razman akur dan mula minta diri.
Share this novel