Completed
5123
SEJAK berita pembunuhan Razif, Hani dan Razman mula sibuk dengan tugas masing-masing. Mereka berdua ditugaskan untuk mengendali dan menyiasat kes pembunuhan itu. Hani pula cuba sedaya upaya membantu Razman menyelesaikan kes yang muka mendapat perhatian media.
“Detektif Hani! Jumpa saya kejap!”
Hani mula berkerut kening. Nada suara Tuan Malik nyata berlainan sekali. Dia segera melangkah ke bilik Tuan Malik.
“Ya Tuan!” Hani mula tabik hormat sebaik melangkah masuk ke bilik Tuan Malik.
“Ni..ada satu lagi kes pembunuhan sama seperti kes pemilik syarikat RH Holdings!” Tuan Malik menghulurkan satu fail kepada Hani.
Hani mula mengambil fail dan berlalu pergi. Di dalam biliknya dia mula membelek fail itu sambil meneliti laporan kes pembunuhan yang mempunyai modus operandi yang sama. Sekuntum mawar merah diletak di sisi mayat yang telah ditikam banyak kali.
Kemaluan mangsa juga turut dikerat. Tiada senjata ditemui di tempat kejadian. Dia letak semula fail itu di atas rak atas mejanya . Senyumannya mula lebar. Di benaknya kini hanya tinggal seorang saja lagi. Dia akan pastikan wajah ketiga itu menerima nasib yang sama dengan wajah pertama dan kedua. Dia tersenyum puas.
Dia melihat gambar mangsa di dalam fail. Biodata mangsa dibaca satu persatu. Azhar Hakim, pemilik sebuah resort terkenal. Sudah bertunang dengan seorang anak Datuk terkenal di daerah itu. Diperhatikan lagi laporan itu. Azhar yang berasal dari kampung yang sama dengannya. Dan wajah itulah yang telah menghancurkan hidupnya dulu.
SEMINGGU yang lalu…
Hani mula mendaftar di resort itu yang terletak berhampiran pantai. Dia mengheret beg ke bilik. Sekian lama dia bekerja, kini dia lega kerana Tuan Malik meluluskan cuti yang dipohon walaupun hanya tiga hari.
Siang malam dia bekerja menyelesaikan kes jenayah sampai tidak ada masa untuk diri sendiri. Kali ini dia mahu berehat semahunya sebelum menyambung siasatan ke atas kes pembunuhan Razif yang baginya tidak perlu tergesa-gesa. Segala-galanya diserahkan kepada Detektif Razman.
“Saya nak jumpa pengurus di sini! Banyak lipas dalam bilik saya!” Hani mula merungut bila melihat lipas berkeliaran di biliknya.
“Maaf cik, kami akan tukarkan cik ke bilik lain.” Seorang pekerja di situ yang pada hemah Hani seorang penyelia resort mula minta maaf.
“Saya rasa bilik lain pun sama juga. Mana pengurus awak?” Hani semakin tegas.
“Apa yang kecoh ni?”
Hani memandang seorang lelaki yang tinggi lampai, berbadan tegap dan berkulit agak putih. Segak dengan suit hitam. Misai nipis menyerlahkan lagi wajah kacak lelaki itu. Namun baginya wajah itu hanyalah palsu! Dia amati dan teliti wajah yang cukup dikenalinya. Wajah yang tak akan pernah padam dalam kamus hidupnya selagi wajah itu masih ada di bumi ini. Siasatannya selama ini membuahkan hasil. Wajah itu masih wujud.
“Apa yang boleh saya bantu cik?”
Hani pandang pada tag nama yang dilekatkan di poket kiri baju lelaki itu. Azhar Hakim.
“Bilik saya banyak lipas. Saya nak bilik lain.” Hani mengomel rasa tidak puas hatinya.
“Err..saya pemilik resort ni. Kalau cik tak puas hati, kami akan pindahkan cik ke bilik lain. Shila! Uruskan pelanggan kita ni cepat!” Azhar mula mengarahkan pekerjanya memindahkan barang Hani ke bilik lain.
Hani hanya senyum. Dia pandang Azhar yang mula tersenyum kepadanya. Dirasakan senyuman itu hanya palsu. Sungguh meluat dan jijik melihat senyuman yang dilemparkan oleh Azhar. Namun dia harus sembunyikan perasaan itu demi memenuhi misinya.
Azhar pula terpana dengan kecantikan gadis itu yang mengenakan blaus lengan pendek dan seluar jeans. Rambut ikal berkilat menggerbang ditiup angin pantai.
“Saya belanja awak makan malam nanti sebab rasa bersalah atas kejadian lipas tu. Sudikah awak menemani saya?” Azhar mula terpesona.
Hani senyum. Kau hanya tahu rasa bersalah kerana lipas sedangkan kau tak pernah rasa bersalah atas apa yang telah kau buat dua belas tahun dulu! Hani memberontak dalam hati.
“Ya saya sudi!” Hani melemparkan senyuman manis.
Dalam hatinya cukup meluat. Dasar jantan buaya. Sudah bertunang tapi masih gatal untuk mencari perempuan lain. Selama tiga hari Hani berada di situ, setiap malam Azhar mengajaknya makan malam bersama. Hani cuba mencari pelbagai alasan untuk mengelak dari menerima ajakan Azhar yang ingin ditemani di bilik di resort itu.
Masih tidak berubah kau Azhar!Rengus Hani lagi. Hani segera mendaftar keluar dan mula kembali bertugas di ibu kota.
Dua hari kemudian, mayat Azhar dijumpai pekerjanya di bilik penginapannya di tingkat dua resort itu dengan kesan tikaman yang banyak di seluruh badan. Sekuntum mawar merah dijumpai di sisi mayat.
Share this novel