BAB 2

Romance Completed 13183

Beberapa minit berlalu dan perhentian bas berhampiran rumahnya semakin
menyapa pandangan. Pantas Nawwar menekan loceng. Seketika kemudian, bas
itu berhenti betul-betul di hadapan pondok bas yang dicat serba biru itu.

"Maafkan saya, tumpang lalu," ucap Nawwar lalu berjalan sambil menyelit di celah gerombolan manusia
yang pelbagai rupa itu.

"Fuh! Lega!" luah Nawwar sejurus kakinya menjejak ke tanah.

Enjin bas menderum kuat sambil meninggalkan kepulan asap hitam ke udara.
Nawwar melabuhkan punggung di tempat duduk yang diperbuat dari batu itu
bagi melepas penat.
Selebihnya kaki ini terasa bagai hendak tercabut setelah hampir lima
belas minit berdiri. Beberapa buah beg plastik yang mengandungi alatan
tulis dan beberapa buah buku nota diletakkan di sebelahnya. Maklumlah,
dua hari lagi sesi persekolahan akan bermula.

Nawwar akan memulakan alam persekolahan yang baru. Alam sekolah
menengah. Berdebar-debar pula rasa di hati ini.

Bagaimanalah agaknya rasa menjadi pelajar sekolah menengah ya?

Di mata Nawwar terbayang-bayang dirinya yang berpakaian seragam sekolah
baru. Jika dulu seragam sekolahnya baju kurung putih tetapi kain rona
biru muda.

Kemudian nanti, bolehlah dia berjumpa dan berkenalan dengan kawan-kawan
baru, cikgu-cikgu semuanya baru. Nawwar menarik nafas panjang lalu
menghembuskannya perlahan-lahan. Dia masih ingat beberapa minggu yang
lalu sewaktu abang posmen menghantar kiriman sekeping sampul surat
bersaiz A4 ke rumahnya. Tawaran untuk melanjutkan pengajian di Maktab
Rendah Sains (MARA) di Melaka kerana keputusan peperiksaan UPSR yang
cemerlang. Dia gembira. Amat gembira, namun dia akur yang masih belum
bersedia untuk berpisah dengan keluarga. Umminya juga kelihatan
keberatan untuk melepaskannya pergi. Mungkin kerana faktor umur yang
masih muda. Baru dua belas tahun. Masih belum kenal sepak-terajang
dunia. Setahun jagung kata orang.

Apatah lagi dirinya memang tidak mahu berpisah dengan abah, ummi, opah,
dan adik beradiknya yang lain. Tidak dapat Nawwar bayangkan menjalani
hidup seharian tanpa mereka. Tidak melihat wajah ummi dan abah ketika
bangun tidur, memang mengusarkan. Tidak mendengar cerita opah tentang
zaman muda-mudanya terasa janggal pula. Tidak mendengar leteran
kakaknya, pasti membosankan. Dan, tidak bergurau dengan adik bongsunya,
tidak ceria harinya.

Nawwar merenggangkan sendi-sendi tangan dan lutut. Pinggangnya pula
digerakkan ke kiri dan kekanan. Berdetap-detup bunyinya. Nawwar bangun.
Langit mula beransur kelam. Matahari tidak lagi memancar terik
sepertimana ketika dia keluar dari rumah tengah hari tadi. Nawwar
mencapai beg-beg plastik berwarna putih di sebelahnya.

Tiba-tiba dia tersentak. Ditoleh kepalanya ke kiri ke kanan. Kemudian ke
depan dan ke belakang. Tidak lupa ke atas dan ke bawah.

Sah! Tiada! Payung yang di bawa bersamanya tiada! Pasti dia tidak
sengaja telah meninggalkannya di dalam bas awam tadi.Gelisah mula
menerpa. Nawwar menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Isy, macam mana hendak jawab dengan umminya nanti? Mesti nanti teruk
dileter oleh umminya itu.

Nak kejar bas itu semula? Tolonglah! Dia bukannya pelari pecut.
Justeru, apa yang perlu dilakukan? Nawwar bertambah bingung. Fikirannya
buntu. Ala, setakat payung, tak mengapalah. Cuma, perlulah ditadah telinganya
sekejap mendengar syarahan umminya.

Nawwar mula menyambung langkah. Tiba-tiba dia melihat kelibat seorang
sedang berlari menuju kearahnya.

Perompak, kah? Atau perogol?
Isy, tak mungkinlah.
Nawwar segera membuang khayalan yang bukan-bukan itu.
Semakin lama semakin hampir akhirnya berhenti betul-betul di hadapan Nawwar.

‘’Pa... pa... pa... yung... cik..." ujar seseorang pemuda tercungap-cungap seraya menghulurkan payung berwarna jingga itu kepada Nawwar.

Mata Nawwar terbeliak. Benar, di tangan pemuda itu payung miliknya.
Pasti pemuda itu turut berada di dalam bas yang sama dengannya tadi.
Dalam fikiran Nawwar, jarak dari perhentian bas di mana dia berada
sekarang dengan dengan perhentian bas yang terdekat adalah dalam 200
meter. Jauh juga tu. Dan pemuda itu sanggup berlari semata-mata untuk
memulangkan sekaki payung kepada pemiliknya.

"Err... awak duduklah dulu," ujar Nawwar setelah mengambil payung
miliknya dari tangan pemuda bertopi putih itu.

Pemuda yang memakai baju T berkolar rona hijau dengan seluar rona coklat
itu segera duduk. Nawwar mengeluarkan sehelai sapu tangan dari saku baju
kurungnya lalu dihulurkan pada pemuda itu. Perlahan-lahan pemuda itu
mengambil sapu tangan corak bunga kecil dari tangan Nawwar dan kemudian
mengesat peluh yang merenik di dahi.

"Terima kasih," ucap pemuda itu.

"Sama-sama. Awak juga, terima kasih sebab susah-susah pulangkan payung
saya ni," balas Nawwar sambil tersenyum kecil.

"Dah tanggungjawab saya," ujar pemuda itu lagi.

"Oh ya, nah! Ambillah..."
ujar Nawwar.

Pemuda itu memerhati botol air mineral dari tangan Nawwar sebentar,
sebelum mengambilnya.
‘’Habiskanlah... tentu awak penat berlari," Nawwar berkata.

Pemuda yang duduk di sebelah Nawwar tidak membalas sebaliknya sedang
cuba mengatur nafasnya agar tenang semula. Nawwar diam, tidak berniat
untuk mengganggu. Beberapa detik kemudian, pemuda itu kelihatan sudah
kembali bernafas seperti sediakala.

"Saya Nawwar. Awak?"
tanya Nawwar.

"Afzar,"ucap pemuda itu dalam senyuman yang penuh pesona.

Nawwar terkedu sebentar melihat senyuman yang terpamee diwajah pemuda
yang melabuhkan punggung di sebelahnya. Ada getar yang merenjat tangkai
hati. Tidak berkerdip matanya memerhati seraut wajah tenang bertopi
putih itu. Mata pemuda itu bundar. Keningnya agak lebat. Hidungnya pula
cantik terletak. Bibir pemuda itu tampak sedikit tipis dan kecil. Merah
tanda pemuda itu tidak merokok.
Kulitnya pulak rona coklat, sedikit gelap.

‘’Err... cik?" tegur Afzar.
membuatkan Nawwar tersentak lalu tersipu-sipu.

"Ah, terima kasih ya sudi pulangkan payung ni. Kalau tak, kena dengan
ummi saya membebel jawabnya," ujar Nawwar dalam muka yang merona merah.

"You are most welcome.
Lagipun saya memang nak turun dari bas tadi. Sesak sangat! Tak bernafas
dibuatnya" balas Afzar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience