BAB 4

Romance Completed 13183

Nawwar memasukkan kotak pensel rona hijau yang dibeli dua hari lepas
ke dalam beg sekolah barunya. Kakaknya, Naila yang menghadiahkan beg
sekolah itu kepadanya. Beberapa buah buku kosong turut diisi bersama.
Beg sekolah itu kemudian diletakkan di bawah lantai dihujung katil.
Dia memerhati pula baju seragam sekolahnya yang sudah siap digosok.
Sudah hampir sepuluh kali diacukan baju itu pada badannya sambil
berlagak seperti model iklan pakaian. Ala, bukannya ada orang tengok,
buat apa nak kisah. Sukahatilah dia nak berangan jadi apa pun. Itu
haknya.

"Ya Allah, budak bertuah ni! Sudah-sudahlah tu..." tegur Halimah,
ummi kepada Nawwar.

Nawwar hanya tersengih mendengar kata-kata umminya tadi. Dia menyangkut
semula baju itu di dinding. Hajah Halimah berlalu ke katil anaknya lalu
melabuhkan punggung di situ.

"Dah siap kemas barang? soal Hajah Halimah pada anaknya yang hanya
berseluar track bottom dan T-shirt putih bercorak Hello Kitty itu.

"Dah ummi, tinggal nak pergi sekolah aje belum," jawab Nawwar seraya
mengambil tempat di sebelah umminya.

"Esok, jangan lupa, pilih kawan tu biar yang senonoh sikit. Kita
berkawan dengan semua tapi biarlah berpada-pada," nasihat Hajah Halimah.

"Faham ummi. Ala, ummi janganlah risaulah. Awa bukannya budak-budak
lagi," balas Nawwar.

"Sebab kamu bukan budak-budaklah ummi lagi risau. Kamu tu dah anak
dara. Darah manis kata orang. Kena pandai jaga diri."

"Darah manis tu apa ummi?" Nawwar bertanya, tidak faham.

"Darah manis tu maksudnya kamu tu dah boleh kawin," usik Hajah Halimah.

"Hah? Isy tak naklah ummi! Awa nak kerja dulu, nak jadi cikgu macam
kak ngah. Kemudian Awa nak beli rumah banglo untuk ummi dengan abah," luah Nawwar.

Hajah Halimah terharu mendengar kata-kata anaknya. Sejak dulu lagi
anaknya itu memang sentiasa memikirkan kesenangan orang tuanya. Walau
agak manja, Nawwar tetap mampu berdikari. Cuma anaknya itu sedikit
cuai. Entah dari mana dia mewarisi sifat itu, tidak pulak Hajah
Halimah ketahui.

"Kalau Awa nak jadi cikgu, Awa kena belajar rajin-rajin. Jawab
periksa elok-elok, dapat keputusan yang cemerlang. Baru boleh jadi
cikgu," ujar Hajah Halimah .

Nawwar melentokkan kepala di paha umminya. Hajah Halimah membelai
lembut rambut anak kesayangannya itu.+

"Baiklah ummi, Awa janji! Awa akan belajar betul-betul sampai masuk
universiti," ucap Nawwar.
"Iyalah tu, ummi tahu anak ummi boleh. Dahlah, pergi tidur. Esok
kena bangun pagi. Dulu waktu sekolah rendah, kamu belajar sesi
petang, bolehlah bangun lambat. Ni dah sekolah menengah, kena belajar
sesi pagi. Kamu tu bukan ummi tak tahu, liat nak bangun pagi," sindir
Hajah Halimah.

"Yes ma'am!" balas Nawwar.

Hajah Halimah menyelimutkan badan anaknya lalu menghadiahkan sebuah
kucupan di dahi dan kemudian melangkah keluar dari bilik anaknya itu.
Nawwar pula tidak dapat menahan perasaan terujanya untuk ke sekolah
esok. Tidak sabar berjumpa dengan kawan-kawan lama tidak dan juga baru.+

Cepatlah datang wahai pagi, cepatlah!

"UMMI/, anak kesayangan ummi tu tak mahu bangun. Malaslah Ila nak
layan," rungut Naila, Kakak Nawwar.

Hajah Halimah mengelengkan kepala. Sudah dijangka akan perangai anaknya
yang seorang itu.

"Tak apa Limah, biar mak yang kejutkan," ujar Nek Som, emak kepada
Hajah Halimah.

Nek Som mendaki anak tanggan menuju ke atas rumah. Dia menapak perlahan
ke bilik cucunya. Dilihat Nawwar masih berselubung dengan selimut.
Lalu katil Nawwar dihampiri dan kemudian ditepuk perlahan bahu cucunya
itu. +

"Awa, bangun... Dah lewat nak pergi sekolah ni,"ujar Nek Som.

Nawwar buat tidak endah akan panggilan opahnya tadi. Dia menarik
selimut, menutup mukanya. Nek Som menggelengkan kepala. Dia melangkah
semula ke dapur dan mengambil semangkuk air. Naila yang melihat hanya
tersenyum simpul. Boleh tahan juga otak opahnya ini.

Nek Som membawa mangkuk berisi air ke bilik Nawwar lalu merenjiskan
sedikit air pada wajah cucunya itu. Nawwar bingkas bangun. Dia melihat
opahnya mengukir senyum.

"Bangun pun cucu opah ni. Dah, cepat pergi mandi," arah
Nek Som./

Nawwar menggosok matanya berkali-kali. Dia mengangkat kedua tangannya
tinggi ke udara lalu menggeliat. Mulutnya yang ternganga besar segers
ditekup degan telapak tangan kanan.

Nawwar melirik jam loceng di sebelah kirinya.

"Hah? Pukul 6.30 pagi? Macam dah lambat saja ni!

"Opah, kenapa tak kejut Awa awal-awal?" soal Nawwar lalu segera
bangkit dari katil.

"Kak Ngah kamu tu awal-awal lagi dah kejut. Kamu tu yang liat nak
bangun. Dah, dah... kemas cadar tu, kemudian pergi mandi," arah Nek Som.

Nawwar pantas mengemas katilnya. Dia memang sudah dididik sejak kecik
untuk mengemaskan katil sejurus bangkit dari tidur. Umminya banyak kali
berpesan, anak dara tak boleh malas, nanti tak ada siapa yang nak
masuk meminang.

Nek Som melangkah keluar diiringi cucunya ke ruang dapur yang terletak
di tingkat bawah rumah papan itu. Hajah Halimah sedang menggoreng nasi
untuk sarapan pagi sementara Naila sedang membancuh teh. +

"Hah, dah bangun puteri kayangan tujuh petala langit ni?" perli
Naila.

Nawwar mencebikkan bibir. Tahu sangat perangai kakaknya yang suka
menyakat itu. Dia segera mengambil tuala yang tersangkut di penyidai
lalu melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Hampir sepuluh minit
kemudian, pintu bilik mandi ditolak dan Nawwar kelusr sambil menggigil
kesejukan.

Dia segera naik ke atas rumah, menuju ke biliknya untuk bersiap. Usai
solat subuh, dia menyarung baju seragam sekolah ke tubuhnya. Terasa
begitu lembut pakaian itu membaluti badannya. Nawwar menyapu sedikit
bedak tipis ke muka, sekadar penyeri. Dia mengenakan tudung lalu
membawa beg sekolah ke ruang tamu. Bunyi enjin motosikal kedengaran.
Pasti abahnya sudah pulang dari masjid.

Nawwar menuruni anak tangga ke ruang dapur. Kelihatan opah, ummi, dan
kakaknya sudah duduk di meja makan. Nawwar mengambil tempat duduk di
sebelah opahnya. Seketikan kemudian, abahnya muncul dari atas rumah.

"Awal bangun anak abah hari ni?" soal Haji Mansor, berbasa-basi.

"Awal apanya abah, tu baru nak siap mandi. Punyalah liat nak bangun
tadi," suara Naila.

Nawwar menjeling kakaknya. Naila buat-buat tidak nampak jelingan
adiknya itu. Haji Mansor mengambil tempat di meja makan. Hajah Halimah
menyenduk nasi goreng kampung yang masih berasap ke dalam pinggan
suaminya sementara Naila menuang teh yang dibancuh ke dalam setiap cawan
yang ada di situ.

Haji Mansor menadah tangan membaca doa selepas semua pinggan berisi nasi
goreng. Selesai bacaan doa, mereka sekeluarga mula menikmati sarapan
pagi dengan tenang.
Keluarga Haji Mansor tidaklah besar. Di dalam rumah papan dua tingkat
itu tinggal dia, isteri, emak mertua, dan empat orang anaknya.
Anaknya yang sulung sudah bekerja di bandar. Fairuz Adli, berumur 25
tahun, seorang jurutera. Yang kedua, diberi nama Fairuz Naila,
seorang guru berumur 23 tahun yang mengajar di sekolah rendah. Yang
ketiga bernama Fairuz Nawwar, akan memulakan sesi pembelajaran di
tingkatan satu hari ini dan yang bongsu bernama Fairuz Aiman, masih
bersekolah rendah.

"Aiman tak dikejutkan?" tanya Haji Mansor.

"Mengantuk sangat katanya. Semalam tidur lewat," jawab Hajah Halimah.

"Tidur lewat?" Haji Mansor bertanya lagi

"Buat kerja sekolah banyak sangat. Biarlah dia tidur bang. Budak tu
sekolah petang," ujar Hajah Halimah.

"Ila, nanti sebelum ke sekolah, hantarkan ummi ke kedai ya. Nak beli
barang dapur sikit," sambung Hajah Halimah lagi.

Naila hanya mengangguk. Dia mengangkat kening pada umminya lalu
menjeling pada Nawwar yang ajak gelojoh menikmati sarapan itu.

"Perlahan-lahan makan tu Awa, nanti tercekik," tegur Hajah Halimah.

"Entah, tak lari punya sekolah kamu tu," sindir Naila.

Nawwar memperlahankan rentak suapannya. Dia kalau boleh mahu cepat
sampai ke sekolah. Entah macam manalah keadaan di sekolahnya. Pasti
besar dan cantik! Nawwar mengerling pinggan abahnya yang masih berisi.
Ala, lambat betul abah ni makan...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience