Prolog

Romance Series 13454

JURING matanya terasa panas mengingatkan berita yang disampaikan oleh doktor sebentar tadi. Sukmanya dicengkam dengan rasa takut, gelisah, dan sedih. Takut jikalau dia tidak dapat lagi melihat dunia selepas melahirkan anaknya. Gelisah jikalau dia pergi sebelum waktunya. Dan sedih jikalau dia tidak dapat membesarkan bakal anaknya bersama suami tercinta.

Perlahan, tangan Lily jatuh turun mengusap perutnya yang sudah memboyot besar. Perutnya diusap penuh kasih sayang. Hari ini, kandungannya sudah mencecah 9 bulan. Beberapa hari sahaja lagi anak di dalam kandungnya ini bakal menjengah melihat dunia. Hari yang sepatutnya menjadi hari paling gembira tetapi dia takut berubah menjadi hari yang paling dukacita.

"Maafkan mama sayang … Andai kata mama tak dapat besarkan sayang dengan papa, sayang jadi anak yang solehah ye. Jadi wanita solehah," ucap Lily sebak. Air matanya jatuh jua setitis menuruni pipinya yang putih kemerah-merahan. 

Sekiranya inilah suratan takdir yang tertulis buatnya sejak azali, dia reda. Dia kena akur dengan qada' dan qadar Allah. Penghidap sakit barah rahim sepertinya ibarat nyawa di hujung tanduk menunggu saat kelahiran sang anak. Di saat ibu yang lain tak sabar mahu melahirkan, dia pula takut untuk melakukannya. Dia tahu masanya sudah tidak cukup. Dia tidak lama. 

Tapi sebagai hamba yang lemah apa saja yang mampu dia lakukan? Hanya bertawakal. Selepas berdoa dan berusaha, tawakal sahajalah senjata terakhir dia sekarang. 

"Ian kalau penat pergilah duduk dekat kerusi sana. Akak nak tengok ikan ni sekejap," seorang budak perempuan berusia 7 tahun mengarahkan adiknya duduk ke kerusi tatkala dirinya sibuk ligat memerhati ikan-ikan berenang di dalam akuarium di sebelah pintu masuk klinik itu. 

Lily menaikkan bebola matanya ke depan. Seorang budak lelaki kelihatan terkedek-kedek menghampirinya. Mengambil duduk di kerusi sebelahnya yang kosong.

Pantas, jarinya terus naik menyeka air mata yang tumpah. Tisu di dalam tas tangan dibawa keluar. Mahu digunakan untuk mengelap sisa-sisa air mata yang masih tinggal.

"Mak cik menanesh ke?" Tersentak Lily mendengarkan soalan itu.

Kepalanya terus menoleh ke sebelah. Budak lelaki sebentar tadi terkebil-kebil merenung ke arahnya. Comel. Bibir Lily melorek satu senyum manis. 

"Eh taklah. Mana ada mak cik nangis," nafi Lily. Tisu tadi dibawa masuk ke dalam tas tangan semula, mahu dibuang ke dalam tong sampah nanti.

"Tapi mata makcik meyah. Makcik nanesh kan?" Budak lelaki itu menyoal lagi.

Lily sekadar diam mengunci mulut. Cuma senyuman sahaja yang mampu dia berikan. Tiada jawapan yang menyambut.

"Umi Ian cakap, oyang peyempuan tak oleh nanesh-nanesh. Cebab … Air mata peyempuan itu berharga," penuh petah anak kecil itu berkata dengan pelatnya.

Meletus tawa halus Lily. Rambut anak kecil itu diusap-usap perlahan bersama dengan gelengan di kepala.

"Eee pandainya awak. Nama awak apa ni? Hmm?" soal Lily. Tertarik dia mahu mengetahui perihal anak kecil ini lebih lanjut. Petahnya membuatkan Lily jatuh suka.

"Nama caye Adrian Ishkandar. Umur caye 5 tahun. Nama walid caye Zulkarnain. Nama umi caye Maryam. Nama akak caye pula Chaza," sekali penuh biodata keluarga anak kecil itu menyebut.

Terletus lagi tawa di celahan bibir Lily. Rambut anak kecil bernama Adrian itu diusap-usap lagi.

"Oh nama awak Adrian. Sedapnya!" puji Lily.

"Memanglah! Ayah caye yang bagi nama," jawab Adrian bangga.

Lily tersenyum senang. 

"Ian buat apa ke klinik ni? Sakit ke?" tanya Lily lagi. Nama anak kecil itu terus dipanggil, lebih selesa.

Adrian gelengkan kepalanya sekali.

"Taklah. Ian tak cakit. Umi yang cakit. Umi cakap umi cakit cebab walid buat …" balas Adrian.

"Sakit walid yang buat? Sakit apa?" Terjentik pula rasa ingin tahu di hati Lily. 

Tak pernah lagi dia dengar isteri sakit disebabkan suami. Ataupun, umi Adrian ni didera? Lily mulai membuat spekulasi sendiri.

"Cakit cebab dalam peyut umi ada adik. Umi cakap walid yang buat. Ian dah nak dapat adik. Tak shabar tau!" 

Tertepuk dahi Lily mendengarkan jawapan itu. Oh, sakit mengandung ke. Dia fikirkan apalah tadi. Tidak pasal-pasal dia berfikiran jauh. 

"Jadi Ian nak dapat adik lah ni? Mesti seronok kan? Nanti Ian dapat kawan nak main sama-sama,"

"Tak,"

Berlapis-lapis dahi Lily sekejap.

"Kenapa? Tadi kata tak sabar nak dapat adik,"

"Cebab walid Ian cakap adik Ian peyempuan. Bukan lelaki. Tak boleh buat geng," Ian cebirkan bibirnya ke depan.

Lily tergelak.

"Kalau macam tu samalah macam anak mak cik. Anak mak cik pun perempuan tau. Sama macam adik Ian," ujar Lily seraya tangannya mengusap perut sendiri.

Adrian mengerling sekilas. Mukanya semakin monyok. Bibirnya terus makin ke depan.

"Ian memang tak shabar cebab nak dapat baby. Tapi … Ian nak adik lelaki. Bukan peyempuan," balasnya selamba.

Lily senyum. Tubuh Adrian terus ditarik merapat dengannya, mengurangkan jurang di antara mereka. Adrian toleh memandang.

"Ian … Adik lelaki atau perempuan semuanya sama. Diorang tetap adik Ian walau macam mana sekali pun. Ian tak boleh main pilih-pilih jantina adik Ian. Itu semua Allah yang tentukan, sayang." kata Lily lembut.

Anak kecil itu tampaknya diam tidak menjawab sepatah perkataan pun. Mungkin masih lagi mencerna setiap apa yang diperkatakan oleh Lily tadi. Lily menggunakan peluang itu untuk menyambung bicaranya.

"Dapat adik lelaki memanglah seronok sebab dapat kawan main bola semua. Tapi kalau Ian nak tahu, dapat adik perempuan pun seronok tau," 

Kali ini giliran Adrian pula mengerutkan dahinya.

"Seronok kenapa pula?" 

"Sebab … Ian akan lagi mudah untuk dapat pahala. Bila Ian dapat adik perempuan, Ian akan jadi pelindung. Perempuan ni lumrahnya untuk dilindungi. Ian pula sebagai abang mestilah sentiasa lindungi adik Ian tak kiralah dalam situasi apa sekalipun. Jadi pelindung orang lain daripada apa-apa ni banyak dapat pahala tau, Ian. Nak-nak lagi adik-beradik kita sendiri. Allah sayang," nasihat Lily.

Adrian terkesima mendengar bait bicara itu. Otaknya cuba mencerna satu-persatu. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu rungsing.

"Erm jadi … Ian kena jaga dan lindungi adik peyempuan Ian elok-elok lah eh, mak cik?"

Lily angguk kepalanya.

"Ya, itulah tanggungjawab sebagai seorang abang, sayang." Lembut dan sopan Lily membalas.

Kepala Adrian terangguk-angguk. Faham dengan apa yang cuba disampaikan.

"Okay. Ian akan ingat ayat mak cik. Tapi …" anak mata Ian naik merenung wajah mulus Lily yang cengkung. Lily diam menunggu ayat Adrian yang seterusnya.

"Tapi … Anak mak cik dalam peyut ni, ada abang tak?" Soal Adrian tiba-tiba.

Lily gelengkan kepala ke kiri dan ke kanan.

"Takde. Ini anak sulung mak cik. Kenapa Ian tanya?" 

"Kalau macam tu tak adil lah," ayat Ian membuatkan Lily terpinga-pinga.

"Tak adil kenapa pula?" 

"Iyalah. Adik Ian ada Ian cebagai abang dan pelindung dia. Tapi anak mak cik takde oyang pun yang nak lindungi dia. Tak adil lah kalau macam tu," 

Lily tahan gelaknya. 

"Tak adil eh. Kalau macam tu macam mana eh? Ian nak ke tolong lindungi anak mak cik?" Sengaja Lily menyoal.

Namun, pantas saja kepala anak kecil itu mengangguk laju berulang kali. Tawa Lily terletus jua entah kali yang keberapa.

"Wah! Boleh eh Ian tolong jaga dan lindungi anak mak cik?"

"Boleh! Ian boleh jadi pelindung anak mak cik. Macam yang mak cik cakap tadi, kalau Ian tolong lindungi oyang, Ian dapat pahala. Jadi, kalau Ian tolong lindungi anak mak cik … Maknanya makin banyaklah pahala Ian. Makin Allah cayang," lidah pelat itu berkata laju.

Lily tersenyum manis. Dalam hati, dia tersentuh dengan ayat Adrian tadi. Pandai betul anak kecil di hadapannya ini. Pandai bercakap dan pandai ambil hati. Sejenak kagum Lily dengan umi dan walid Adrian. Pasti orangnya baik dan petah juga seperti anaknya. Mana tak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi kan?

Tiba-tiba Lily terkenangkan nasib anak di dalam kandungannya. Tidak semena-mena hatinya dipagut rasa sebak kembali. Segala kemungkinan berlayar di dalam minda. 

Bagaimanalah agaknya nasib anakku nanti? Bolehkah agaknya dia menempuhi hidup di dunia tanpa aku? Bagaimana pula kemenjadian dia apabila dia menginjak ke alam dewasa kelak? Adakah dia akan menjadi seperti aku dahulu yang liar serta jahil sebelum menemukan agama Islam-Mu? Bagaimanakah, Ya Allah … 

Air mata Lily jatuh lagi tanpa dapat ditahan. Sungguh dia tidak boleh menahan rasa sedih setiap kali dia terkenangkan tentang perkara itu. Bagaikan igauan mimpi ngeri yang sering bermain di dalam mindanya seperti satu ulang tayang tanpa ada butang berhentinya. Perasaan berkecamuk menjadi satu.

"Mak cik janganlah nanesh …" Ian mengelap air mata Lily dengan menggunakan hujung jari kecilnya.

Lily tersedar daripada lamunan. Terlupa dia yang Adrian masih ada lagi di depan mata. Dia juga turut mengesat air matanya sendiri. Senyumnya diukir payah.

"Mak cik janganlah cedih-cedih. Jangan ricau, Ian janji. Ian akan jaga anak mak cik elok-elok. Cama macam Ian jaga adik Ian cendiri," ikrar Adrian.

Makin mekar senyuman di bibir mungil Lily. Tubuh kecil Adrian terus dirangkulnya ke dalam sebuah pelukan. Belakang tubuh anak itu diusap-usap lembut seolah-olah Adrian adalah anak kandungnya sendiri.

"Thank you … Thank you, Ian. Thank you sebab sudi nak jaga anak mak cik," ucapnya.

"Came-came. Ian buat cebab Ian nak pahala lebih," 

Lily sengih. Pelukannya pada Adrian dirungkaikan. Sebuah ciuman selamat dihadiahkan di kedua-kedua belah pipi Adrian yang gebu. Serentak dengan itu, bibir Adrian naik melengkung senyum menampakkan lesung pipit di kedua-dua belahnya. Comel sungguh!

"Nanti mak cik letaklah nama anak mak cik tu Puteri," kata Adrian tiba-tiba.

"Puteri?"

Angguk.

"Ya, Puteri. Macam dekat dalam Astro Dicheny tu. Puteri Shopia. Lawa. Cama macam mak cik," 

Lily segera mencuit pucuk hidung Adrian yang mancung. Terhinjut-hinjut bahu Lily dek ketawa dengan ayat Adrian lagi.

"Amboi! Pandai dia eh," bicara Lily dengan sisa tawanya. Adrian yang tidak tahu mana lawaknya sekadar turut ikut gelak. Mereka berdua tertawa bersama-sama.

"Ian!" laungan seorang wanita membuatkan Lily dan Adrian berpaling ke tepi sekaligus menghentikan tawa mereka berdua.

Seorang wanita dalam lingkungan baya-baya Lily datang ke arah mereka memimpin seorang anak perempuan kecil bersama. Wanita itu terus mendapatkan Adrian.

"Ya Allah budak bertuah ni! Kan umi cakap jangan duduk jauh-jauh dengan akak," kata wanita itu dengan nada cemas.

Adrian sengih. Tangan uminya disalam dengan kucupan lembut.

"Corry umi," 

Puan Maryam membalasnya dengan helaan nafas panjang. Lantas, Adrian dibawa turun daripada kerusi tersebut. Shaza di sebelah Puan Maryam pula cepat-cepat memegang lengan adik lelakinya.

"Maaf ye puan kalau anak lelaki saya mengganggu puan tadi. Ian ni memang banyak mulut. Pot pet pot pet je," pohon Puan Maryam.

Lily geleng kepala menafikan.

"Eh takde apelah. Dia tak kacau pun. Comel anak awak. Pandai bercakap," puji Lily ikhlas. 

Puan Maryam tergelak. Dia terus berdiri di belakang Adrian dan Shaza. Kedua-dua orang anaknya itu ditolak lembut ke arah Lily.

"Salam cepat. Kita nak balik dah ni," arah Puan Maryam.

Kedua-dua anak kecil itu menurut. Shaza terlebih dahulu ke depan bersalam dengan Lily. Lily menyambutnya dengan senang hati. Selepas itu, giliran Adrian pula menyalamnya. Tangan Lily naik mengusap rambut anak kecil tersebut.

"Jadi budak baik ye, Ian." katanya sebagai kata-kata terakhir sebelum dia dan Adrian berpisah.

"Okay, mak cik. Ian ingat tau janji Ian. Ian balik dulu eh. Bye," sejurus itu, Adrian terus berlari ke arah umi dan kakaknya yang sudah berlalu pergi ke muka depan pintu klinik.

Sempat lagi ketiga-tiga beranak itu melambaikan tangan mereka ke arah Lily. Dan Lily pun melambaikan mereka semula dengan senang hati. Sebaik sahaja bayang mereka hilang, Lily turut juga bangun daripada duduknya.

Tangannya terus naik melekap ke atas perutnya yang terasa mengeras. Dapat dirasakan tendangan kecil daripada dalam. Lily sorok senyumnya.

"Puteri …" Sekonyong-konyong dia teringat akan nama yang disebut oleh Adrian tadi. Akalnya mula berfikir sebaris nama yang sesuai buat anaknya di dalam kandungan. Puteri, nama yang sedap. Maksudnya juga sedap.

"Puteri … Puteri Eluna binti Hariz," sebaris nama itu meniti di bibirnya perlahan.

Dan bibir Lily terus menguntum senyum mekar bahagia dengan nama yang dipilihnya. Di dalam hati, doa dipanjatkan buat Ilahi. Moga-moga Allah sentiasa melindungi anak perempuannya nanti.

Thankyou awak sebab sudi singgah *mini leb

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience