1

Romance Series 13454

"Dasar baju buruk!" Tanpa rasa simpati, dress labuh bertakhtakan manik swarovski yang masih baru siap dijahit itu dilemparkan ke lantai. 

Para pekerja yang berada di situ sudah tergamam seribu bahasa. Masing-masing diam membisu. Kepala semua ditundukkan menekur lantai. Kecut perut mahu bertentang mata dengan sepasang anak mata helang milik pelanggan mereka yang paling cerewet sekali, Puteri Eluna Datuk Hariz.

Luna mendengus geram. Wajah para pekerja yang berada di butik Dèvouge itu direnungnya dengan pandangan menyinga. Rahangnya diketap kuat akibat menahan perasaan geram yang semakin membuak-buak.

"Korang ni buat kerja macam mana? Baju buruk hodoh macam ni korang nak jual dekat pelanggan korang? Nak suruh I pakai?" Cukup sinis lagikan pedas kutukan Luna perihal baju yang sudah selamat menyembah lantai itu.

Sakit betul hati dia! Sudahlah baju ini yang bakal dipakainya sempena majlis penting pada lusa nanti. Punyalah sebulan dia tunggu baju ini siap, last-last ini sahaja hasilnya? Tak mempesonakan langsung!

"Err … Tapi Cik Luna, kami dah ikut semua kriteria yang cik nak. Cik nak batu swarovski penuh satu baju kami dah tampal. Cik nak kembang macam tu pun, kami dah ikut seratus peratus. Apa lagi yang tak kenanya cik?" Nisa, selaku designer yang bertanggungjawab menyiapkan dress yang ditempah oleh Luna pada kali ini bertanya.

Luna mendecit sakit hati. Dress kembang putih yang berada di lantai itu diambil semula. Dibelek sebelum dipampang luas ke hadapan semua para pekerja yang berada di situ.

"Ini yang korang kata okay? Macam ini yang korang kata okay? Buruk nak mampus! Eh, manik swarovski jenis apa yang korang guna ni? Tak menyerlah langsung!" tempelak Luna bertubi-tubi.

Dia mahukan sesuatu yang menyerlah. Yang terang dan bersinar supaya mata-mata para tetamu yang hadir pada majlis itu nanti akan terpegun dengan dia seorang sahaja. Dan apa yang dia nampak, dress yang berada di depan matanya ini benar-benar tiada daya tarikannya.

Tempelak Luna hanya disambut dengan bisuan para pekerja. Tiada lagi yang mampu bersuara. Mereka tahu, semakin dibalas nanti, semakin diherdiknya. Sebab itulah mereka lebih memilih untuk mendiamkan diri.

Mereka semua sudah masak benar dengan perangai Luna yang tahap cerewetnya itu setinggi petala langit ketujuh. Ada je yang tak kena di mata dia. Sepanjang tempoh 3 bulan mereka menjadi designer untuk semua jenis pakaian yang dipakai oleh Luna, pasti semua mendapat kritikan hebat daripada gadis itu. Dah lali.

"Ehem. Maaf kalau apa yang saya nak cakap ni agak kurang ajar tapi …  senang-senang apa kata Cik Luna batalkan aje kontrak butik kami dengan cik. Tak payah cik nak bising-bising lagi. Cik cari aje butik yang lebih hebat, yang sesuai dengan standard cik," Setelah hampir 5 minit suasana menjadi hening, Nisa seperti biasa, menjadi wakil pekerja lain membidas kata-kata Luna dengan berani.

Tersentak Luna dengan ayat yang keluar daripada bibir Nisa. Wah, dah pandai menjawab! Matanya dicerlungkan tajam ke arah Nisa seperti seekor harimau hendak menerkam mangsanya.

"Memang I nak batalkan pun! Kalau you all nak tahu, I pun taknaklah lagi nak berurusan dengan butik you all ni. Low class betul! I can get more talented butik after this," jawabnya angkuh.

Nisa dan pekerja yang lain hanya menayang wajah kosong. Tak terkesan sedikit pun dengan kata-kata Luna. Bagi mereka, lagi cepat Luna batalkan kontrak, lagi bahagialah mereka! Tak perlu nak berurusan dengan Luna lagi. 

Tanpa membuang masa, Luna menyeluk masuk tangannya ke dalam tas tangan Gucci yang kemas tergantung di bahunya. Sekeping helaian cek berjumlah RM10,000 dihulurkan kepada Nisa. 

"Nah korang ambil ini. Murah je, samalah macam hasil kerja korang. Murah takat butik dekat kampung nenek I," penuh bongkak Luna berkata.

"Thank you. Terima kasih sebab berurusan dengan butik Dèvouge," Walaupun Nisa rasa seperti mahu pelangkung gadis di hadapannya ini bagi sedar diri, namun dia diamkan sahaja. Huluran cek tetap disambut dengan senang hati.

Malas mahu berlama-lama, langkah Luna terus diatur keluar daripada butik tersebut. Para pekerja yang sedari tadi diam mula bersorak suka sebaik sahaja bayang Luna hilang disebalik muka pintu hadapan. Masing-masing gembira. 

Yes, mereka takkan berurusan lagi dengan si cerewet Puteri Eluna!

PINTU kereta dihempas kuat tanda protes. Tangan Luna naik memeluk tubuhnya. Muka sudah cemberut seperti asam keping. Panas hati!

Adrian yang sedang leka mendengar lagu melalui earphone yang disumbat ke dalam cuping telinga mengerling majikannya itu sekilas. Earphone ditarik keluar. Keningnya terangkat tinggi.

"Dah kenapa ni?" soalnya.

"Kau diamlah! Dah cepat jalan balik. Aku nak balik rumah sekarang jugak," arah Luna tegas.

Adrian mencebirkan bibirnya menyampah. Ceh, orang tanya elok-elok dia main tengking-tengking pula. Fikir takutlah tu? Bolayan!

"Mana bajunya? Kata nak ambil baju tadi," Adrian menjengukkan sedikit kepalanya ke seat belakang. Tengok-tengok kot baju dress yang ditempah oleh Luna ada di situ. Namun, kosong. 

"Baju takde! Semua takde! Pekerja lembab. Haish, geram aku," bidas Luna penuh beria.

Adrian menjungkitkan keningnya tinggi ala-ala Ziana Zain. Dia meneliti wajah Luna yang jelas merah dek kerana perasaan amarah. Hah ini mesti tak lain dan tak bukan … 

"Ni mesti sebab baju tu tak kena dengan taste cik kan. Kenapa dengan baju tu? Kain tak singkat? Tak cukup terdedah? Ataupun tak cukup elegan?" tebakan Adrian benar-benar kena pada situasinya. 

Walaupun baru masuk 5 bulan dia bekerja sebagai bodyguard sepenuh masa bagi seorang Puteri Eluna, namun sikap gadis ini sudah dihafal dari A sampai Z. Angkuh, sombong, acah bagus. Inilah dia tiga tunjang utama.

"Diorang tu yang buat kerja tak betul. Bayar mahal-mahal tapi guna batu murah tak berkilau macam tu. Buat membazir je!" protes Luna lagi.

"Cik Puteri yang memilih, lepastu sibuk nak salahkan orang pula. Senang-senang nanti cik rembat jelah lampu limpah kat Stadium Bukit Jalil tu. Buat tampal kat baju. Biar kasi lagi terang. Kalau tak terang juga saya tak tahulah nak kata apa," 

PAP!

Sebuah tamparan kasar selamat mendarat ke atas lengan Adrian yang berlapikkan baju kemeja. Mata Luna sudah membulat garang merenung Adrian.

"Sebelum aku bertindak lebih ganas, baik kau drive balik rumah sekarang. Now!" suara Luna sudah naik seoktaf.

"Eleh tak takut pun …" Dengan mimik muka hodoh Adrian mengejek. Enjin kereta dihidupkan sebelum kereta Mercedes Benz yang dinaiki mereka berdua meluncur laju membelah jalan raya. 

Sepanjang perjalanan, Adrian dan Luna sama-sama mendiamkan diri. Luna sibuk melemparkan pandangannya ke luar tingkap, mahu meredakan sikit gelora hati.

Di dalam kepala pula sudah berbagai-bagai perkara dia sudah fikirkan. 

Aduh, majlis tu nanti aku nak pakai apa? Takkan nak pakai baju tahun lepas? Euwww, takde class! Habistu, takkan nak pakai baju biasa-biasa pulak? Memang taklah! Haish, ini semua salah butik Dèvouge yang tak berapa nak vouge tu! Disebabkan pekerja diorang yang lembab tak pasal-pasal aku yang pening-pening nak fikir apa aku nak pakai lusa nanti. Ergh! Hatinya berdesis, masih tak puas hati.

Sementara itu yang Adrian fokus menumpukan perhatiannya ke atas jalan raya menoleh sekejap ke arah majikannya. 

"Jangan marah-marah, Cik Puteri. Nanti cepat tua," pesannya memecahkan kesunyian.

Luna mendengus kasar. Dia lagilah tengah panas, boleh pula si Adrian ni memanaskan dia lagi. Tak puas lagi agaknya kena selepuk dengan dia tadi. Memang sengaja tambah barannya!

Adrian Iskandar. Hah inilah dia salah satu homosapien yang dia paling menyampah kat atas muka bumi ni selain daripada pekerja dekat butik Dèvouge sebentar tadi. Adrian a.k.a bodgyguardnya sendiri.

Kenapa?

Kerana sepanjang dia hidup, Luna tak pernah lagi jumpa orang yang berani melawan setiap apa yang dia katakan. Yakni papanya sendiri pun ikut sahaja segala kehendaknya. Tetapi mamat ini? Selamba badak aje dia memprovok dan memerlinya. Setiap apa yang dia balas, pasti ada saja ayat yang mamat ni nak membidas. Berpatah-patah pula tu ayat bidasannya! Bernanah telinga, sakit hati dengar.

"Tengok tu. Masam lagi muka cik tu. Ada kang saya hiris buat ganti asam keping kat rumah," Adrian menegurnya lagi.

Luna memalingkan wajahnya menghadap Adrian. Bibirnya diketap menahan perasaan geram yang sudah berbakul-bakul. Mamat ini, memang sengaja cari pasal.

"Lagi sekali kau bersuara, aku debik kau cukup-cukup," amaran Luna kali ini membuatkan Adrian tergelak halus.

Kepalanya digeleng-gelengkan. Apa sajalah majikannya yang seorang ini. Pantang ditegur sekali, pasti melenting tidak tentu pasal.

Malas mahu melayan lagi, Adrian mengunci bibirnya daripada bersuara. Mercedes Benz itu dipandu terus pulang ke Villa Oracle milik Tuan Hariz.

FIGURA lelaki yang berumur lebih kurang dalam lingkungan 40-an itu duduk termenung di kerusi kayu jati menghadap taman bunganya. Di situ, terdapat pelbagai jenis pokok bunga yang menarik antaranya seperti bunga orkid, ros, bougainvillea dan macam-macam lagi. Semuanya tumbuh dengan mekar dan subur.

Bibir tua milik Tuan Hariz itu mengulum senyum manis tanpa sedar. Setiap kali di duduk di sini, pasti segala memori manisnya bersama mendiang isterinya, Lily terlayar di ruang minda. 

Arwah isterinya itu begitu suka dengan bunga. Sebab itulah taman bunga ini direka, berdasarkan minat isterinya yang mendalam itu. Setiap pokok bunga di sini ditanam oleh dia dan Lily. 

Ya, Lily merupakan seorang mualaf. Lily dahulu asalnya seorang wanita jelita berwarganegara Scotland dan merupakan penganut agama Kristian. Namun takdir akhirnya telah mempertemukan mereka berdua di hadapan Masjid Glasgow. Pada mulanya hanya sekadar bertegur sapa, berkenalan seperti biasa macam orang lain. Tetapi lama-kelamaan rupa-rupanya hubungan mereka itu berjaya membuahkan rasa cinta di dalam hati masing-masing. 

Mereka berkahwin setelah hampir setahun tempoh perkenalan. Dan pada waktu itu jugalah Lily secara rasminya menjadi salah seorang daripada saudara agama Islam.

Masih ingat lagi Tuan Hariz sesi akad nikah mereka berdua. Ayunya wajah Lily yang bertudung beserta senyuman manis itu benar-benar membuatkan Tuan Hariz panasaran.

Ah … Betapa indahnya jikalau masa dapat diputar!

Tangan Tuan Hariz terus naik meraup wajah. Dia tidak boleh terlampau mengimbau kenangan lalu, takut mengundang sebaknya pula. Sebak bukan sebarang sebak. Tetapi sebak dalam merindukan isteri yang sudah pergi selamanya menghadap Yang Esa.

Huh ...

Benarlah orang kata, bahagia itu bukan selamanya milik kita. Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Detik yang sepatutnya menjadi detik gembira diselitkan juga dengan detik rasa sakit sebuah kehilangan. Arwah isterinya itu pergi meninggalkan dia sewaktu melahirkan cahaya mata sulung mereka, Luna, 25 tahun yang lepas.

Tidak sempat arwah mahu bermanja mahupun membelai anak yang selama ini mereka nanti-nantikan. Luna juga, sesaat pun dia tidak dapat merasa kasih sayang daripada seorang ibu. 

Dan sekarang ini, Luna sahajalah yang dia ada. Lunalah penawar, Lunalah yang menjadi penghiburnya semenjak Lily pergi. 

Senyum yang terlorek pada bibir Tuan Hariz semakin melebar tatkala matanya menangkap kelibat kereta Mercedes Benz memasuki pekarangan villa. Dia lantas bangun daripada duduknya. Segala perkara yang difikirkan tadi hilang bagaikan angin yang bertiup sejurus dia melihat kelibat Luna.

Sudah seminggu dia tidak menatap wajah anaknya nan satu itu gara-gara dia terpaksa outsation ke Penang. Rasa rindu di dalam dada semakin menggebu-gebu.

"Oh my god! Papa, i miss you!" Luna yang baru keluar daripada perut kereta terus berlari ke arah papanya.

Tuan Hariz sekadar tergelak kecil. Tangannya didepakan sebelum anak gadisnya itu dirangkul ke dalam sebuah pelukan hangat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience