4

Romance Series 13472

"Tak. Ian tak setuju," tegas Adrian bersama dengan raut wajah tegang.

Telefon pintarnya yang melekap di telinga digenggam kemas. Walaupun dia terkejut dengan berita yang dikhabarkan daripada uminya daripada kampung, reaksi muka tetap dikawal sehabis baik. Tidak mahu gabra ataupun sebaliknya. Control maco.

"Ian …. Apa salahnya? Lagipun Ian dengan Manis memang dah kenal lama kan. Inilah masa untuk Ian naik taraf hubungan Ian dengan dia ke fasa yang seterusnya," pujuk Puan Maryam daripada hujung talian.

Fuh, naik taraf eh? Apa umi ingat aku ni nak bina bangunan ke apa? Adrian berdesis sendiri.

"Tak naklah, umi. Ian muda lagilah. Apa barang kahwin muda-muda macam ni," Adrian beralasan.

"Muda? Dah 27 tahun tu yang kamu kata muda? Ya Allah Adrian anak umi oiii. Umur 27 tahun tu kalau nak diikutkan boleh dapat 2 orang anak dah. Kamu? Bukan takat anak, bini pun takde," balas Puan Maryam geram. Tercabar dengan sikap acuh tak acuh anak lelaki tunggalnya ini.

"Rilekslah umi. Tu, Kak Shaza yang umur 29 tahun tu pun tak kahwin-kahwin lagi umi takde pula nak bising-bising. Tiba tang Ian, bukan main lagi …." Adrian mula tidak puas hati.

"Sebab kakak kamu tu tengah tunggu si Gibran tu habis kontrak dia. At least dah ada jugaklah calon suami. Daripada kamu?" Adrian mendecit manja. 

Terlupa pula dia tentang hubungan kakak dan kawan baiknya, Shaza dan Gibran. Dua makhluk Allah ini telah selamat diikat dengan satu ikatan pertunangan 3 tahun yang lepas. Kiranya selain daripada kawan, Gibran tu merangkap sebagai abang ipar dia jugalah. Kecilnya dunia kan?

"Kamu jangan nak beralasan. Terima ajelah Manis tu. Umi tengok dia pun baik. Sopan, ayu. Lawa pula tu. Padanlah dengan anak umi yang handsome ni!" Dalam-dalam itu sempat lagi Puan Maryam selitkan pujian buat Adrian. Membodek. Apa ingat orang tua macam dia tak reti nak membodek? Tengok kakilah! See my leg.

"Ish umi ni. Yelah, nanti. Bagi Ian fikir dulu. Ian tak ready lagi ni nak jadi suami orang. Tengoklah macam mana," Adrian masih berat hati. 

Jujur dia katakan. Dalam akal fikirannya langsung tidak memikirkan soal rumah tangga. Sedikit pun tidak pernah. Apa yang dia fikirkan hanyalah kerja. Kerja, kerja, kerja. Aip! Tapi jangan ingat dia fikirkan Luna pula. Kalau minah tu bolehlah campak ke tepi. Yang dia cuma fikir ialah cara nak kumpul duit buat beri ibu dan adiknya di kampung.

Keluarganya pun bukan kaya mana. Semenjak walidnya, Encik Zulkarnain meninggal sewaktu dia berumur 15 tahun, hanya sebuah warung kedai makan sajalah harapan mereka.

Warung Bumbung Biru.

Inilah warung hasil titik peluh umi dan walidnya dahulu. Dan menjadi salah satu punca pendapatan mereka sekeluarga sehingga kini. 

"Ian? Adrian! Dengar tak apa umi cakap ni?" suara tinggi Puan Maryam mengejutkan Adrian daripada dunia fantasinya sendiri.

Kepala yang tidak gatal digaru-garu.

"Err …. Erm ye umi. Umi cakap apa tadi?" soal Adrian kembali.

"Umi cakap jangan lama-lama sangat fikirkan tu. Bagi jawapan cepat, tak elok biar pihak sebelah sana tunggu. Dah lah anak perempuan diorang yang masuk meminang, Ian. Jarang-jarang ni perempuan masuk minang lelaki," kata Puan Maryam.

Adrian tersenyum nipis. Itulah tu. Dia sendiri pun tidak sangka Manis kawannya itu setekad ini. 

Manis. Dia dan Manis merupakan kawan semenjak daripada tadika lagi. Ke mana saja dia pergi, pasti Manis sibuk nak mengendeng sama. Pernah juga Manis meluahkan perasaannya pada Adrian namun Adrian dengan penuh hormat dan berhemahnya menolak tidak mahu. Bagi Adrian, cukuplah dia dan Manis sekadar berkawan. Tidak lebih mahupun kurang daripada itu.

Dia ingat Manis faham, tetapi tup-tup hari ini? Takde angin takde ribut terus masuk rombongan meminang. Haih … Manis, Manis. Kau memang luar biasa!

"Ye, umi jangan risau. Nanti Ian bagi jawapan Ian. Okaylah umi, Ian nak masuk tidur dulu. Dah lambat ni. Selamat malam, Assalamualaikum," Usai Puan Maryam menjawab salamnya, Adrian mematikan talian telefon.

Telefon pintarnya dimasukkan ke dalam poket seluar yang dipakai. Tubuh dibawa berpusing mahu masuk ke dalam kamar tidur. Mata sudah meminta-minta suruh lelap.

"Oh mak kau Adrian Iskandar handsome!" Terkejut bukan kepalang Adrian tatkala susuk tubuh Tuan Hariz sudah terpacak di belakangnya sejurus dia berpusing. Sempat bibirnya melatah terperanjat.

Tuan Hariz menjungkitkan keningnya. Hujung bibir terletus tawa halus.

"Melatah pun puji diri sendiri?" katanya.

Adrian melorek sengih sumbing seperti kerang expired. Hehehehe, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Tapi kira okaylah kan. Dia memang handsome pun kan kan. Adrian memuji dirinya sendiri dalam diam.

"Borak dengan siapa sampai sengih macam ni?" Tuan Hariz menyoal tatkala dia melihat bodyguard anaknya ini seolah-olah melayang dalam dunianya sendiri. Tersengih-sengih. Jika tak ditegur rasanya mahu koyak bibir lelaki ini dek sengih daripada tadi.

"Oh dengan umi saya, Tuan. Tuan Hariz pula buat apa dekat luar malam-malam ni? Tak tidur lagi?" soal Adrian pula.

Setahunya Tuan Hariz memang seorang yang punctual bab-bab tidur ni. Tepat pukul 10 malam majikannya ini pasti sudah masuk beradu di dalam kamar. Tetapi sekarang sudah pukul 11 malam ada pula majikannya ini di sini. Di depan kolam renang sepanjang 50m di Villa Oracle. Mengapa?

"Saya saja nak ambil angin malam. Rasa tak mengantuk pula," jawab Tuan Hariz seraya duduk di salah satu buah bangku kecil di depan kolam tersebut.

Pandangan redupnya dilemparkan ke arah kolam renang yang tenang berkocak. Adrian meliar sekejap memandang sekeliling sebelum melabuhkan duduknya di sebelah Tuan Hariz.

"Aik? Lain macam je. Tuan ada apa-apa masalah ke? Company ada problem?" tebak Adrian.

Geleng. Tuan Hariz menggelengkan kepalanya perlahan.

"Takde apalah. Bukan masalah company. Cuma …." Tuan Hariz menggigit bibir bawahnya, tidak mampu mahu menyambungkan kata.

"Cuma?" Adrian membetulkan posisi duduknya. Daripada riak wajah Tuan Hariz, dia tahu majikan ini sedang memikirkan sesuatu. Kerusi ditarik merapat.

Huh …. Satu keluhan lemah keluar daripada dua ulas bibir tua itu.

"Ian …. Awak rasa, saya ni dah gagal ke sebagai seorang ayah?" 

Hening.

Suasana bagaikan dilanda taufan katrina bila Tuan Hariz mengajukan soalan itu kepada Adrian. Lelaki itu terdiam, tidak tahu mahu menjawab apa.

"Err …. Kenapa tuan cakap macam tu?" Adrian menyoal semula.

Tuan Hariz geleng kepala sekali. Kepalanya didongakkan memandang ke atas. Pandangan dilontarkan pula pada bilik anak gadisnya yang bercahaya. Daripada sini, mereka dapat melihat bilik Luna dengan jelas. Adrian juga turut memandang ke arah itu.

"Saya terlampau sibuk dengan kerja, Ian. Sampai saya abaikan satu-satunya anak saya sendiri. Saya kesal. Sepatutnya saya beri didikan agama mahupun sivik kepada dia dengan secukupnya. Tetapi apa yang saya dah buat? Saya gagal. Saya gagal nak bimbing anak saya sendiri. Saya gagal nak jalankan amanah saya," lirih suara itu meluahkan perasaan.

Adrian diam mengunci bibirnya daripada berbicara. Hanya telinga yang ditadah. Tidak mahu menyampuk.

"Luna jadi macam tu semua disebabkan saya. Walhal dulu, saya dah pernah janji dengan arwah mamanya. Nak beri dia kasih sayang yang secukupnya. Ibu dia harap sangat Luna dapat jadi wanita solehah, memandangkan arwah pun baru masuk Islam waktu tu. Tapi apa yang saya dah buat?" Tuan Hariz menghentikan bicara.

"Saya lalai. Buatkan Luna terpengaruh dengan dunia luar. Dah tak kira lagi halal dan haram. Dia jadi macam tu disebabkan saya. Saya khilaf, Ian. Saya tak layak nak jadi seorang bapa," sebak Tuan Hariz memikirkan semua itu. Daripada dahulu lagi, Luna memang selalu terabai. Walapun semua makan pakai Luna ditampung tetapi semua urusan menjaganya diserahkan sepenuhnya kepada pembantu rumah mereka.

Dia leka. Terlampau leka hendak mencari lubuk rezeki buat keluarga sehinggakan dia terlupa tanggungjawabnya nan satu itu.

Tuan Hariz meraup wajahnya kecewa. Dadanya berombak menahan perasaan yang mencengkam kuat semenjak dahulu. Sakit.

"Tuan …. Tuan tak bolehlah terus-terusan salahkan diri tuan macam ini. Ya, memang betul tuan ada salah. Tapi sekurang-kurangnya tuan dah cuba sehabis baik," Adrian cuba menasihat.

"Cuba apanya, Ian. Saya izinkan Luna buat semua yang dia suka tanpa fikir baik buruknya. Kerja jadi model itu pun. Saya izinkan dia kerja sebab itu yang dia minta. Saya tak nak jadi ayah yang mengongkong. Tetapi saya tak sedar, buruk di sebalik tindakan yang dibuat," ujar Tuan Hariz lagi.

Adrian sekadar diam mendengar. Nak beri nasihat lebih-lebih pun, dia bukannya pernah menjadi seorang ayah. Takut nanti terberi ilmu ajaran sesat pula. Naya mengundang.

"Hmm ….Takpe. Tuan tak perlu risau. Saya tahu. Walaupun Cik Puteri tu degil, keras kepala, sombong angkuh. Dalam hati dia sebenarnya, ada kelembutan juga tau," tutur Adrian.

Tuan Hariz toleh kepala ke tepi. Mata tidak berkesip merenung wajah Adrian bersama dengan dahi yang sudah berlapis-lapis. 

Adrian senyum. 

"Saya kenal Cik Puteri saya. Sejahil-jahil dia tu, ada baik hatinya. Cik Puteri tu masih lagi boleh dilentur, saya yakin," 

"Apa yang buat awak yakin sangat?" Tuan Hariz pula yang pelik. Bukan apa, cuma dia selaku ayah kandung kepada Luna pun susah mahu melentur anaknya. Masakan Adrian boleh berkata sedemikian rupa?

"Sebab saya dah pernah nampak. Cik Puteri saya, versi lembut dan dengar cakap," habis berkata, Adrian teringat semula kejadian yang berlaku di butik petang tadi.

Cara bagaimana Luna boleh beralah dengannya, membuatkan Adrian yakin. Luna tidaklah seperti heroin gedik yang selalu berada dalam novel tu. Yang memberontak 24 jam tanpa henti. Yang gedik menggeletis dengan second lead hero macam tulah heronya, padahal bukan.

Puteri Eluna ni, dia berbeza sedikit. Kelembutannya itu disorokkan tanpa sesiapa pun yang tahu. 

Gadis itu cuma perlukan sesorang untuk membuka sisi lembut tersebut. Persoalannya sekarang, siapa? Ada ke?

Selamat tahun baru awak! Sorry late. Maaf atas segala kekurangan. Semoga tahun ni kita dapat capai apa yang diimpikan dan menjadi lebih baik daripada tahun yang sebelumnya. Ahlan Wasahlan 2021!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience