"Achuum! Achuum! Achuum!"
Sekali.
Dua kali.
Tiga kali sudah Luna terbersin pada hari ini. Tangannya menggosok-gosok pucuk hidung yang sudah naik memerah. Mukanya berbahang panas. Dapat dirasakan suhu badannya sudah naik mencanak-canak. Satu badan berasa tidak selesa.
"Ergh ... Tak sukanya..." rengeknya perlahan. Sekujur tubuhnya terkulai lembik di atas katil. Langsung tiada tenaga mahu melakukan sebarang aktiviti. Berdiri pun dia tidak mampu.
Gebar terus ditarik menutupi seluruh badan. Dia berselubung seorang diri. Semua photoshootnya pada hari ini telah pun dia maklumkan supaya ditunda. Tiada masa dia mahu berphotoshoot demam-demam sebegini. Pucat lesi nanti di depan kamera.
TOK!TOK!TOK!
Bunyi ketukan yang bertalu-talu daripada pintu mengundang rengusan kasar Luna. Telinganya dipekakkan. Diam tidak menyahut sepatah haram.
"Mbak Luna! Bangun mbak! Ini Ati ada bawak ubat dan sarapannya! Makan sih," sayup-sayup suara pembantu rumah Indonesianya, Bibik Ati memanggil.
Seketika dia dengar pula pintu bilik dikuak daripada luar. Tetapi Luna masih enggan membalas. Dia tetap membekukan badannya tidak berganjak walaupun seinci. Malas, letih dan sakit.
"Waduh, waduh mbak Luna ... Ya udah bangun. Matahari sudah tinggi ini," Dengan slang Indonesianya yang pekat, Bibik Ati mengejut majikannya yang satu itu.
Dulang berisi ubat dan sarapan diletakkan ke tepi. Badan Luna digoyang-goyangkannya lembut. Sesekali menepuk perlahan.
"Mbak Luna bangun. Pak Hariz minta saya berikan ubat pada mbak ini. Ayuh bangun!" Tak berputus asa Bibik Ati memujuk.
"Ish, bibik! I penatlah. I taknak makan ubat. Sila keluar," balas Luna sedikit kasar. Dia tiada masa mahu bertikam lidah dengan bibiknya ini. Dia cuma mahukan rehat.
"Tapi Pak Hariz minta saya berikan ubatnya ini. Mbak Luna bangun. Jangan mengada begini dong," gadis itu masih memaksa. Tak kiralah Luna ini majikannya pun. Tuan besarnya adalah Tuan Hariz. Maka dia harus utamakan arahan Tuan Hariz dahulu barulah arahan daripada Luna.
Dan Tuan Hariz telah juga telah mengarahkan dia supaya memberi Luna memakan ubatnya. Jadi dia kena beri Luna ubat kendatipun anak gadis ini tidak mahu. Amanah.
"Bibik, I taknaklah! You tak faham bahasa ke? Nak I potong gaji you?" Dalam lemah sempat lagi Luna mengugut. Dirinya masih berselubung dalam selimut. Terlalu sejuk mahu keluar.
Bibik Ati menghela nafas berat. Tangan naik menggaru kepala sendiri yang tidak gatal. Mati kutu dia di situ. Aduh, susah banget mahu dikasi bangun!
"Dah kenapa ni, kak?" Adrian yang kebetulan lalu di hadapan bilik Luna menegur.
Bibik Ati menoleh ke arah muka pintu. Terjengul sudah kepala Adrian di situ. Bibirnya melepaskan keluhan halus. Decit juga.
"Ini mbak Lunanya. Degil mahu makan itu ubat. Ya udah Pak Hariz minta tolong sama bibik kan kasi itu ubat. Sudah mbak Luna tidak mau," adu Bibik Ati tidak puas hati.
Luna yang sekadar diam mencuri dengar meluat dan menyampah. Cis, mengadu pasal aku bukan main! Selamat aku demam, kalau tidak aku ganyang kau.
"Tuan Hariz dah pergi kerja ke?" soal Adrian lagi memandangkan dia lihat tadi kereta majikannya itu sudah tiada di garaj villa.
"Ya udah pergi tadi dong," jawab Bibik Ati senada.
Adrian anggukkan kepala. Mata mengerling ke arah Luna yang berselubung di atas katil itu. Helaan nafas keluar daripada celahan bibirnya. Haih ... Macam budak-budak.
"Marilah, kak. Saya tolong." ujar Adrian seraya melangkah masuk ke dalam bilik itu.
Selamat Bibik Ati pun berada di dalam sama. Kalau tidak memang tidak masuk dia ke bilik Cik Puteri ini. Haram berdua-duaan di dalam bilik dengan yang bukan muhrim! Adrian masih tahu akan perihal itu.
Luna yang terdengar akan 'offer' si Adrian mahu menolong Bibik Ati tadi meneguk liurnya yang terasa berpasir. Aduh, ini mesti nak tolong dengan cara memaksa dia makan ubat ini! Dah dapat diagak.
"Cik Puteri. Cik Puteri. Bangun makan ubat," Adrian sudah tercegat betul-betul di hadapan katil Luna.
Bibik Ati sekadar menjadi pemerhati bertentangan dengan Adrian. Masing-masing menunggu respons daripada Luna.
Diam.
Sepi.
Tiada balasan.
Adrian merengus. Ubat di atas meja kecil tepi katil diambil.
"Cik Puteri bangun. Makan ubat," tuturnya lagi sedikit keras.
"Tak nak! Aku tak nak makan ubat!" balas Luna. Kedudukan dia masih statik seperti tadi.
"Makanlah ubat. Kalau tak nak makan macam mana nak baik?" Seperti memujuk anak kecil Adrian mengumpan.
Luna mencebik.
"Kau jugaklah pun... Pun.. Puncanya aku de... Demam. Kalau kau tarik handbreak cepat-cepat se... Semalam takdenya kepala aku terhantuk dekat dashboard kereta. Tak... Tak... Takdenya aku kena demam terkejut!" Luna balas tergagap-gagap. Bibir mungilnya menggigil halus. Rasa sejuk kian menusuk sehingga ke tulang sumsum. Sah, demamnya makin teruk!
Adrian mengomel dalam hati. Ujaran Luna mengingatkan dia akan kejadian malam semalam yang nyaris-nyaris sahaja mampu membuatkan jantungnya tertanggal keluar. Punyalah macam filem Fast and Furious dia tarik handbreak. Dia ingatkan apa yang mereka hampir rempuh. Disangkakan manusia ke apa, tapi rupa-rupanya lembu!
Entah siapa-siapa punya lembu sesat malam-malam. Selamat sempat dia break. Kalau tak sempat rasanya dah arwah dah lembu tu. Dia dan Luna pula silap-silap berlumba masuk hospital. Nauzubillahiminzalik!
Adrian geleng-gelengkan kepalanya laju, menolak sebarang kemungkinan yang sudah terbayang di ruang minda.
"Kau... Kau keluar sekarang," Setelah agak lama berdiam diri, dalam sakit-sakit itu Luna cuba juga gagahkan diri untuk menghalau Adrian.
Tak kiralah Adrian nak memaksanya macam mana sekalipun. Luna memang daripada kecil lagi tak suka dengan ubat. Biasanya pun papanya yang akan memaksa dan menyuapnya. Tiada papa, so that's mean i'll not eat medicines! Itu pegangannya.
Adrian yang merenung Luna mendecit geram tak puas hati.
"Cik Puteri jangan degil boleh tak? Saya kata makan tu makanlah. Nak saya rodok ubat ni dekat dalam mulut Cik Puteri cara paksa ke?" Ton suara Adrian sudah bertukar dingin. Tercabar kesabarannya dengan sikap mengada-ngada Luna. Dah besar-besar gajah pun tak nak makan ubat segala. Kalah adiknya, Fitri yang berada di kampung. Menyampah!
"Ak.. Aku taknak. Aku taknaklah," Luna masih berkeras.
Adrian ketap rahangnya. Mata dipaku tajam ke arah Luna. Tajam, tajam dan tajam macam nak terkam!
"Cik Puteri yang degil ye," Sinis.
Segera, tangan kekar milik Adrian terus menarik kuat gebar yang menutupi badan Luna. Gebar tersebut dicampaknya selamba ke lantai. Luna tersentak terkejut.
"I... Ian apa kau buat-"
Belum sempat Luna habiskan ayatnya, mulut dia sudah disumbat dengan sudu berisi ubat. Kerongkongnya menelan payah ubat tersebut. Terpaksa. Luna terbatuk-batuk kecil.
"Hah makan pun," Adrian mengulum senyum bangga. Sudu diletakkan kembali ke atas dulang tepi meja. Secawan air masak dihulurkan kepada Luna.
Luna yang masih terbatuk-batuk mendongak memandang wajah tak bersalah sesuci debu tepi pantai yang ditayang oleh Adrian. Darah menyerbu naik ke mukanya. Laju. Kau… Kau memang …
PANG!
"Adoi!" Terperanjat bukan kepalang Adrian tatkala telapak tangan Luna berjaya melekap di pipi kirinya. Terteleng dia.
"Bongok! Bodoh! Kau main sumbat je mulut aku gitu eh. Apa kau ingat mulut aku ni mangkuk jamban ke apa?"
Dada Luna turun naik menahan perasaan amarah. Bertambah-tambah rasa sakit yang dia rasa sekarang ini. Tadi rasa sakit demam. Dan kini ditambah pula dengan rasa sakit hati tahap kritikal. Argh!
Seperti gaya ala-ala wanita melayu terakhir di bumi, Adrian memegang pipinya yang menjadi mangsa tamparan Luna sebentar tadi. Matanya membalas pandangan singa mengaum empunya Luna.
"Sampai hati Cik Puteri lempang bodyguard cik yang tak bersalah ni ..." Penuh gramatis Adrian berkata.
Luna merengus geram macam singa kelaparan. Nafasnya menderu laju.
"Memang sampai! Kalau nak diikutkan hati aku nak aje aku bagi smackdown sekali!" jawab Luna penuh berang.
Adrian cemikkan mukanya. Baru buat sikit dah kecoh! Sensitive woman.
"Eh udah udah udah! Allahu ... Udah jangan dibergaduh lagi sih," Bibik Ati yang menjadi pemerhati setia tanpa jemu drama Sinetron Adrian dan Luna semenjak tadi mula menyampuk.
Adrian dan Luna sama-sama menoleh ke arah Bibik Ati. Wanita warganegara Indonesia itu terus pergi ke arah dulang yang diletaknya. Semangkuk bubur ayam yang masih panas dihulurkan kepada Luna lemah dan lembut.
"Udah jangan gaduh. Ini mbak Luna ... Saya ada bikinin bubur ayam ini. Mbak makan ya," katanya.
Luna menyambut huluran itu bersama dengan jelingan tajam buat Adrian. Walaupun tekaknya terasa perit, dia gagahkan sahajalah demi mengisi perutnya yang sudah berkeroncong daripada pagi. Satu suapan dibawa masuk ke dalam mulut, makan.
"Erm ... Hah eloklah tu. Makan. Saya nak keluar duluan. Nak membasuh kereta jap," Malas mahu berlama-lama di situ Adrian terus pamit diri untuk keluar. Sempat lagi hujung matanya mengerling ke arah Luna yang tampaknya begitu berselera menikmati bubur ayam tersebut.
Langkah keluar Adrian dihantar dengan jelingan tajam daripada Luna lagi. Sakit hati masih berbekam di dada. Namun dengan keadaannya yang kurang sihat sekarang membataskan dia mahu membalas dendam kepada Adrian. Kau tunggu aku dah sihat, Ian. Kau tunggu!
Sementara itu, Adrian sudahpun berlalu turun keluar ke garaj kereta. Paip getah yang terletak di hujung beranda ditarik seraya kepala paipnya diputar mengalirkan air. Air ditadah di dalam baldi yang sudah diisi dengan sabun.
Sambil-sambil itu bibirnya menyanyi kecil. Kejadian dia dengan Luna tadi langsung dia lupakan. Eleh, daripada pening kepala fikir pasal dia baik dia basuh kereta dulu. Lek lek koroi.
Setelah air yang diisi penuh, baldi tersebut diangkat mendekati kereta Mercedes Benz yang terletak elok di garaj. Span di atas almari diambil, bersedia mahu memulakan kerja mencuci kereta.
Tetapi sebaik sahaja dia mahu mula, tindakannya terbantut dek bunyi detingan loceng rumah ditekan daripada luar. Adrian terus menoleh ke arah pintu pagar.
TING TONG! TING TONG!
"Assalamualaikum!" Salam dilaung oleh si dia yang berada di luar.
Adrian menyarung selipar berwarna hijaunya. Dia lantas berjalan ke arah pintu pagar bagi melihat gerangan si tetamu.
"Waalaikummussalam!" jawabnya sedikit tinggi.
Dan saat itu jugalah anak mata milik Adrian bersabung pandang dengan anak mata berwarna kelabu itu. Adrian terkejut sekejap. Terkebil-kebil seketika.
Pemuda yang berada di hadapannya kini menghadiahkan Adrian sebuah kuntuman senyuman manis bak gula. Di tangan pemuda itu dihiasi dengan sejambak besar bunga ros merah. Aura maskulinnya membaluti suasana.
"Hai ... May i see my sweetheart, Luna?"
Share this novel