3

Romance Series 13454

Pahang, 11.30 pagi.

DULANG yang berisi sejag air dan beberapa biji cawan itu diletakkan perlahan ke atas meja kopi. Air teh ros yang dibancuh dituang ke dalam cawan dengan berhati-hati sebelum disua kepada 2 orang tetamu yang hadir ke rumahnya.

"Jemput minum," ujar Fitri bersama senyuman manis di bibir.

Hulurannya disambut dengan kata-kata terima kasih. Fitri lantas melabuhkan punggungnya di sebelah Puan Maryam. Sebagai anak bongsu dalam keluarga, memang beginilah sikapnya. Duduk di bawah ketiak umi walhal umur sudah menginjak ke usia 21 tahun. Habis sahaja diploma dia terus menetap sahaja di kampung. Biasalah anak manja.

Kini, mata mereka dua beranak saling berbalas senyum dengan sang tetamu.

"Maaflah Pak Haji, Mak Hajah. Ada air teh ros je. Kalau Pak Haji dengan Mak Hajah kata nak datang rumah awal-awal, saya bolehlah beli kuih-muih sikit," ucap Puan Maryam sopan dan santun. Dia sendiri juga terkejut dengan kehadiran dua orang insan ini ke rumahnya.

Haji Jalil dan Hajah Sarimah sekadar tergelak halus. Masing-masing menggelengkan kepala tidak peduli dengan apa yang dihidangkan. 

"Takde apelah. Ini pun dah dikira elok. Sedap air tehnya. Pandai anak dara awak bancuh, Yam." puji Hajah Sarimah bersama dengan kerlingan mata beralih ke arah Fitri. 

Anak bongsu Puan Maryam itu melemparkan senyum tersipu-sipu malu. Kepalanya ditundukkan menekur lantai bersama kepala yang dianggukkan sekali.  Puan Maryam juga tersenyum sama.

"Ini. Ada apa Pak Haji dan Mak Hajah datang ke mari? Ada apa-apa hal penting ke?" tanya Puan Maryam kehairanan. Pelik. Biasanya jikalau ada hal penting mereka akan berjumpa di surau sahaja. Tetapi hari ini sampai berkunjung ke rumah pula.

Haji Jalil menyorok senyum lebar di sebalik misai hitamnya yang tebal. Lengannya menyiku lembut bahu sang isteri yang berada di sebelah.

"Cepatlah beri," 

Hajah Sarimah tergelak perlahan. Kepalanya dianggukkan. Tas tangan di sebelah lantas dicapai. Serentak itu, tangannya ralit menggeledah mencari sesuatu manakala Puan Maryam dan Fitri pula terpinga-pinga menanti di hadapan mereka.

"Ini …" sebaldu kotak merah kecil diletakkan ke atas meja kopi bersebelahan jag air. Puan Maryam mengerutkan dahinya. Matanya terkebil-kebil.

"Kami ni sebenarnya datang ada hajat," kata Haji Jalil.

"Ya. Hajat nak menyunting salah seorang anak awak, Yam." sambung Hajah Sarimah lagi.

Rahang Puan Maryam sudah terjatuh ke bawah sejurus dia mendengar tujuan sebenar Haji Jalil dan Hajah Sarimah ke mari. Dia sudah terkedu seribu bahasa. Diri terasa seolah-olah sedang bermimpi. Tidak sangka, Haji Jalil dan Hajah Sarimah, dua orang insan yang banyak berjasa di kampung mahu bermenantukan anak dia yang orangnya biasa-biasa sahaja?

"Itupun kalau Yam sudilah. Anak kami tu, dah berkenan sangat dah dengan anak Yam. Dia taknak yang lain dah. Dia nak anak Yam juga. Sampai kami ini pun dah terkenan sama," ayat Hajah Sarimah disertai gelak halus dihujungnya. 

Fitri mengerling ke arah uminya yang tampaknya terkejut habis dengan ayat Hajah Sarimah. Sejenak dia cuba menganalisis semula semua anak-anak Haji Jalil dan Hajah Sarimah. Rasanya semua anak-anak ketua kampung mereka ini sudah berkahwin. Kecuali … 

"Maaflah tapi …. Sebenarnya Pak Haji dan Mak Hajah nak sunting anak saya yang mana satu ye? Yang bongsu ini ke?" Jari telunjuk Puan Maryam menunjuk ke arah Fitri. Gadis itu membeliakkan matanya besar. Kepala laju menggeleng tidak mahu. Kalau dialah orang yang mahu disunting memang taknaklah jawapan yang akan diberikan.

"Tidaklah, Yam. Kami bukan nak sunting anak bunga awak," 

"Hah?" Puan Maryam keliru. Dia memandang Haji Jalil dan Hajah Sarimah tidak lepas. Masih samar-samar dengan maksud tersirat yang cuba disampaikan.

"Kami sebenarnya nak sunting …" bebola mata Hajah Sarimah lari mengerling nakal ke arah suaminya yang berada di sebelah, mohon suaminya itu pula yang menyambung kata.

Haji Jalil berdehem sekali membetulkan tekak. 3 kali dia berdehem sebelum membuka kata semula.

"Adrian. Anak teruna awak tu. Kalau boleh kami nak pinang dia. Untuk anak kami, Manis." 

"Hah?" 

Fitri dan Puan Maryam masing-masing terkejut beruk. Mulut melopong sebesar alam. Rasa nak gugur buah pinggang dengar hasrat Haji Jalil tadi.

"Abang Ian?"

"Tak nak. Tak nak. Tak nak. Tak nak," Semua baju-baju yang tidak menarik perhatiannya dilemparkan ke arah Adrian yang berada di tepi.

Adrian menyambutnya satu-satu. Di tangannya sudah penuh dengan pelbagai baju beraneka warna dan corak. Semenjak pagi tadi, inilah kerja yang dilakukan. Daripada bodyguard, tidak semena-mena menjadi pembantu peribadi tak berbayar, mengangkut semua baju yang di'reject' oleh Luna. 

"Tak nak. Ini pun tak nak. Ini lagilah tak nak," Tangan Luna laju melemparkan baju-baju lagi. Mata tidak lepas daripada mencari satu baju yang mampu membuatnya tertawan. Tetapi sayang, satu pun dia tidak jumpa. 

"Cik Puteri! Sampai bila cik nak reject aje semua baju. Dah nak tertanggal dah tangan saya ni pegang baju-baju ni semua tau," adu Adrian seperti anak kecil. Mukanya hampir-hampir sahaja terselindung di sebalik timbunan baju-baju Luna yang diangkutnya. Dapat bayang tak dah berapa banyak dah baju yang majikannya ini sudah tolak? 

"Kau diam! Suka hati akulah nak reject berapa banyak sekalipun," balas Luna selamba. 

Adrian mencebikkan bibirnya. Mulutnya mengajuk semula kata-kata Luna dalam diam. Segera timbunan baju yang berada di tangannya diletakkan ke atas satu kerusi yang berada di butik itu. Tangannya diregang-regangkan. Berkeriuk bunyinya. Penat. 

Luna pula yang masih lagi leka membelek setiap pasang baju yang ada sekadar diperhatikan daripada jauh. Satu kerusi ditarik sebelum Adrian melabuhkan duduk di situ. Gelagat Luna diperhatikan bersama dengan satu senyum tipis terukir di hujung bibir. Sejenak dia menggelengkan kepala perlahan. Macam-macam.

"Uit! Adrian Iskandar. Lama tak nampak kau!" teguran satu suara garau daripada belakang menyentakkan lamunan Adrian. Kepalanya lantas menoleh ke tepi. Dengan itu jugalah, wajah tampan berkumis nipis itu menghiasi kornea matanya. 

Gibran melemparkan satu senyum manis. Adrian kejur.

"Weyh, Gibran! Kau, kau Gibran kan?" Adrian terus berdiri daripada duduknya. Wajah kacak di hadapannya kini ditilik lama, takut kot-kot dia tersilap orang.

"Weyh, Ini akulah Muhammad Gibran Henderson. Eh kau ni. Kawan sendiri pun dah lupa?" Lelaki kacukan Melayu-British itu tergelak perlahan.

Adrian menggosok-gosok matanya tidak percaya. Setelah dikenal pasti lantas tubuh sasa Gibran dirangkulnya ke dalam sebuah pelukan. Masing-masing meletuskan tawa. Rindu Adrian dengan kawan mat salehnya yang seorang ini. 

Dahulu, Gibranlah yang membantunya mendapatkan kerja tatkala dia sedang usaha mencari duit di Kuala Lumpur. Gibran jugalah yang telah mempertemukan dia dengan Tuan Hariz. Tanpa Gibran, rasanya sampai sekarang dia memegang jawatan penganggur paling handsome di Malaysia. Agitchew.

"Tak sangka aku jumpa kau dekat sini, Gib. Bila kau balik Malaysia?" Adrian membuka topik perbualan. Setahunya, Gibran memang sudah menetap di New York gara-gara desakan bekerja.

Kalau nak tahu, Gibran juga sama sepertinya. Merupakan bodyguard sepenuh masa kepada seorang ahli usahawan terkemuka. Memandangkan majikan Gibran terpaksa berpindah ke New York untuk menyelesaikan masalah di sana, mahu tak mahu Gibran harus juga turut mengikut sama. Semuanya sudah termaktub di dalam kontrak yang mengikat seseorang bodyguard itu dengan majikannya di dalam tempoh 3 tahun (kecuali jika diberhentikan). Dan Gibran sebagai seseorang yang berdedikasi dengan tanggungjawab yang diberi, akur dengan perkara itu.

"Seminggu yang lepas aku balik. Semua masalah dekat New York tu dah settle," jawab Gibran beserta satu senyuman manis.

Gembira dia kerana dapat juga pulang ke negara tanah air sendiri. Cukuplah rasanya tempoh 3 bulan dia menetap di New York sana. Bak kata orang zaman dahulu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baiklah negeri sendiri!

Adrian tergelak senang.

"Baguslah kau dah balik sini. Hah alang-alang tu bolehlah kita lepak-lepak mamak lepas ni. Kau, aku dengan Hazz. Dah lama tak lepak sama-sama!" cadang Adrian teruja. 

Rindu dia mahu meluangkan masa bersama dengan 2 orang rakan karibnya sendiri. Yelah, asyik spend time dengan Lune je, menyampah juga! Dah nak naik mual dah Adrian menghadap muka perempuan itu hari-hari.

"Amboi kau. Tapi boleh jugak. Aku pun dah lama tak jumpa Hazz. Rindu dengan budak kecik tu," ujar Gibran teringatkan Hazz yang sekarang ini menyandang tugas sebagai seorang bodyguard kepada kawan baik Luna sendiri, Eisya Salsabila.

Gibran, Adrian dan Hazz. 3 orang manusia yang dipertemukan di bandaraya Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.

Gibran yang paling tua. Merupakan anak kepada Datuk Eddy Henderson, pemilik sebuah syarikat perkapalan maju di Malaysia. Kaya-kaya pun, bodyguard juga kerjaya yang dipilih. Apalah.

Hazz pula yang paling muda di antara mereka bertiga. Dialah adik. Dialah mangsa buli. Manakala Adrian berada di tengah-tengah. Hanya seorang jejaka biasa anak jati Pahang. Walaupun begitu, hubungan mereka masih lagi akrab ibarat isi dengan kuku. Rapat. Rapat mengalahkan adik beradik sendiri. 

Bila mengenangkan balik kenangan mereka, hati Adrian tergeletek dengan rasa lawak. Penuh manis daripada pahitnya. Itu yang membuatkan Adrian selesa berkawan dengan Gibran mahupun Hazz. Kedua-dua mereka baik serta banyak membantunya ketika dalam keadaan susah saat pertama kali menjejakkan kaki ke KL. Tak lupa juga… Sama-sama masuk air. Hahahaha!

"Kau buat apa kat sini? Beli baju makwe ke apa?" Soal Adrian setelah selesai mengimbau kenangan lalu. Gibran dipandang dengan kening yang terjungkit tinggi. Ingin tahu. Muka banyak handsome mesti dah ada makwe punya.

"Makwe kejadah kau! Takdenya. Aku ikut Datin Kamilah tu shoppinglah. Buat apa lagi," jawab Gibran. 

Oh … Adrian anggukkan kepala bersama mulut yang membentuk huruf 'O'. Terlayar terus wajah si mekap tebal merangkap majikan si Gibran, Datin Kamilah itu di ruang mata Adrian. Seorang usahawan produk kosmetik yang boleh dikatakan agak terkenal di Malaysia. Seorang janda beranak satu. Tua-tua pun pakai bodyguard lagi kau tahu. Kau jangan nak main-main dengan Datin Kamilah ni.

"Kau tu pulak? Buat apa kat sini? Ikut Cik Puteri kau?" soal Gibran yang memang sudah sedia maklum siapakah majikan rakan karibnya ini.

Angguk. Adrian angguk sekali. Selepas itu mereka berdua mengambil masa yang ada dengan bercerita dan berbual-bual. Sesekali tercetus gelak tawa mereka apabila cerita yang disampaikan lawak teramat sangat. Masing-masing tidak mahu terlepaskan peluang yang ada. Dah lama tak jumpa kan. Ingat perempuan saje yang pandai membawang, lelaki pun boleh okay!

"Dasar perempuan tua tak sedar diri!" 

PANG!

Bunyi kuat sebuah pelempang melekat di pipi menarik perhatian Adrian dan Gibran. Ketawa mereka berdua terus lenyap tatkala lensa mata terpaku pada kejadian yang berlaku di hadapan butik. Masing-masing lantas bangun daripada duduk.

"Memang takde adab! Berani kau lempang aku!" Datin Kamilah menolak kasar bahu Luna ke dinding kaca. 

Tubuh Luna terandah ke belakang. Matanya sudah bertukar garang. Kuat giginya diketap menahan perasaan. Mata juga sudah terjegil besar memandang wanita tua perasan muda di hadapannya kini.

"Kau tu yang takde adab. Baju tu aku yang ambil dulu, yang kau pula sibuk-sibuk dah kenapa?" tempelak Luna seoktaf.

Adrian dan Gibran terus meluru ke arah mereka berdua. Tubuh Luna ditarik menjauh manakala Gibran pula menarik Datin Kamilah menjauh, takut tercetusnya sebuah pertengkaran yang lebih besar.

"Ish lepaskan akulah! Lepas!" Luna meronta. Tangan sudah bersedia mahu melepaskan sedas dua lagi pelempang dekat perempuan tua ni. Tetapi cepat sahaja Adrian menghalang.

"Ya Allah. Cik ni dah kenapa? Kena sampuk dek setan ke?" kata Adrian. 

Luna menepis tangan Adrian. Wajah bermekap tebal Datin Kamilah direnungnya macam nak cekik. Nafas sudah naik turun.

"Bak baju tu! That's mine!" jerit Luna sambil menghulurkan tangannya.

"Eh no, no, no, no. Baju ni aku yang punya. Aku yang ambil dulu," sangkal Datin Kamilah.

"Tu baju akulah! Aku yang nampak!"

"Kau nampak, aku yang ambil. Kau yang lembab siapa suruh," 

Berdesing telinga Luna dengan perlian daripada Datin Kamilah. Mahu sahaja dia ganyang mulut perempuan depan dia ni dengan berus dawai. Penumbuk sudah dikepal. Tunggu masa nak berlepas. Ini kalau singgah ke muka perempuan ni confirm auto tertanggal mekap tebal 10 inci dia!

"Okay, okay. Jadi macam ni, Cik Kamilah dah ambil baju ni dululah?" Gibran menyampuk.

"Of course! Nampak! Baju ni pun ada kat tangan I. Bukannya dia," Datin Kamilah mengangkat baju dress pendek berleher besar berwarna biru laut itu ke atas.

Adrian mengerling baju itu. Beristighfar terus dia. Uuu mak ai. Tu baju ke lebihan kain terpakai? Macam baju orang bawah jambatan je dia tengok. Terlampau 'mengancam' nyawa. Dia yang tengok aje pun terasa berdosa.

"Tak adil! Baju tu aku yang punya! Ian tengok perempuan ni!" Terus Luna mengadu kepada Adrian. Hujung baju kemeja Adrian ditarik-tarik meminta sebuah pembelaan macam yang Gibran buat pada Datin Kamilah.

Namun, Adrian hanya diam macam tunggul. Hampeh betul!

"Erm macam mana eh. Err … Cik Luna. Maaf tapi saya rasa baju ni majikan saya dah jumpa dulu. Cik Luna cari jelah baju lain," tutur Gibran lembut.

"Taknak! Dia yang ambil baju aku, lepastu aku pula yang nak kena mengalah?" bentak Luna.

"Err tapi …" 

"Takpe, Datin Kamilah. Datin boleh ambil je baju tu. Datin maafkanlah majikan saya yang seorang ni ye. Mulut dia memang macam meriam buluh. Kita berdamai ajelah," potong Adrian sekaligus membuatkan Luna tertoleh memandangnya.

"What? Ian apa yang kau-"

"Shhh!"

Tak sempat Luna mahu melepaskan amarah Adrian terlebih dahulu meletakkan jarinya ke bibir, membawa maksud 'Tolong Senyap'. Luna ketap bibirnya kuat. Tahan diri.

"Alright then. Thank you so much okay. I ambil baju ni ye. Tak sangka betul. Bodyguard budiman tapi majikan macam tetttttt. Fikirlah sendiri," Sinis lagikan berbisa ayat daripada Datin Kamilah sebelum dia berlalu pergi.

Datin Kamilah terus menuju ke kaunter bersama dengan baju yang direbutkan oleh mereka tadi. Gibran juga turut pamit diri. Sempat dia bersalam dengan Adrian dahulu sebelum mengikut jejak langkah Datin Kamilah daripada belakang.

Sekarang, tinggal Adrian dan Luna sahaja di situ. Berdua. Adrian dan Luna yang muka dah macam singa kebulur sebulan berpuasa.

"Kau ni dah kenapa hah?" Tanpa kata pembuka, Luna terus menyembur Adrian. Badan terus dipusingkan menghadap lelaki itu. Hilang sabar betul dia dengan Adrian kali ini. Sakit hati semalam belum pun habis lagi, tiba-tiba hari ini dia tambah lagi sakit hati. Memang mengundang!

"Apa? Salah ke apa yang saya dah buat?" Adrian tayang muka innocent sesuci debunya.

"Yes salah! Eh kau ni bodyguard siapa sebenarnya? Sepatutnya kau pertahankan aku, bukannya si tepung tadi tu!" Gelaran si tepung terus dijolokkan buat Datin Kamilah. Memang betul pun macam tepung! Muka putih capuk semacam.

"Of course lah saya ni bodyguard Cik Luna. Sebab itulah saya suruh Datin tu tadi ambil baju tu," Adrian berkias.

"Dah kenapa pula? Eh aku tak fahamlah kau ni!" Luna menghentak kakinya protes. Tangannya dikipas-kipas ke muka. Moga-moga dapat sejukkan hatinya yang tengah panas sekarang.

Geram betul dia dengan si tepung tadi! Sepatutnya baju tu tadi jadi milik dia. Bukannya minah tu. Punyalah 3 jam dia belek-belek baju-baju dekat butik ini untuk mencari baju yang terbaik. Sekali? Perempuan tu yang dapat? Ish, tak guna!

"Apa alasan cik untuk ambil baju tu?" Soalan daripada Adrian mengundang rengusan kasar Luna. Adrian dijeling tajam setajam pisau dapur dekat Villa Oracle.

"Sebab aku yang nampaklah!" jawab Luna acuh tak acuh.

"Sebab lain?"

"Sebab baju tu lawa,"

"Lain?" 

"Sebab baju tu memukau! Stunning. Mampu buat semua mata orang yang pandang tak berkedip tengok," jawab Luna geram dalam keyakinan. Menunjukkan betapa mahunya dia dengan baju tersebut.

Adrian tergelak sinis. Kepalanya digelengkan. Sebab itu sahaja? Baik, ehem! Mood ustaz-ustaz, sila on!

"Apa? Baju takde ketiak tu yang cik kata stunning? Lawa? Lawa tang mana? Lawa sebab cik dapat show off ketiak cik yang tak berapa nak mulus tu ke apa?" Kalau tadi Luna yang menyembur, kali ini turn Adrian pula mahu sembur dengan kata-kata pedas lagikan berbisa.

Luna membeliakkan matanya. Tak sangka Adrian boleh komen pasal ketiak dia. Dalam banyak-banyak benda, ketiak juga dia nak mention. Apehal?

"Hello! Suka hati aku lah nak pakai apa pun. Dah baju tu lawa. Tak kesahlah nampak ketiak ke peha ke. Asalkan baju tu bila aku pakai, aku akan jadi yang paling menyerlah antara semua!" Seperti orang yang tiada pegangan iman Luna membalas laju.

Adrian menghela nafas kesal. Tidak sangka itu yang lebih diutamakan oleh Luna. Disebabkan mahu menjadi yang paling menyerlah di antara semua, sanggup mengabaikan bahagian-bahagian aurat yang Allah sudah tetapkan bagi seorang wanita? Nauzubillahiminzalik.

Lantas satu gaun labuh berlengan panjang berwarna soft pink yang berada di salah satu rak baju dicapai oleh Adrian. Gaun itu dibelek sekejap seraya dihulurkan kepada Luna yang sudah mendiamkan diri.

"Nah, cik pakai yang ini," cadangnya.

Luna memandang baju itu melalui ekor matanya. Baru sekali tengok dia dah tak berkenan. Dia terus membuat muka tak suka.

"Euww sorry but no," tolaknya.

"Pakailah," 

"Baju ni? Takde class lah! Aku tak nak baju ni. Aku nak baju tadi," ungkit Luna.

"Tapi bagi saya baju ni lagi lawa daripada baju tadi," lembut bicara Adrian.

Luna mengerutkan dahinya. Baju di tangan Adrian ditilik lagi sekali imbas. Baju ini dia kata lawa? Mana lawanya? Baginya, baju ini terlampaulah kosong. Tiada apa yang menyerlahkan, apatah lagi menawan! Terlampau tertutup. Atau lebih tepat lagi, terlampau ketinggalan zaman untuk dia pakai. Luna gelengkan kepalanya.

"Orang kampung macam kau… Setakat baju ni memanglah kata lawa," perli Luna dalam diam.

Adrian membalas perlian itu dengan satu senyuman manis. Dia tidak mahu membidas dengan kasar pada kali ini. Tetapi dia mahu membidas dengan cara yang lembut. Nak beri nasihat, takkan nak guna cara kasar pulak kan?

Dia menarik nafas sedalam-dalam yang mungkin sebelum dihembuskan perlahan.

"Cik Puteri …. Ini bukan soal orang kampung ke orang bandar. Tapi ini soal aurat kita," ujar Adrian senafas dan senada.

Diam.

Luna terdiam tatkala mendengarkan perkataan aurat itu keluar daripada bibir Adrian. Tersentap sedikit hati kecilnya. Hanya matanya sahaja yang memaku pada Adrian. Lelaki itu masih lagi dengan senyum manis di bibir menampakkan kedua-dua lesung pipitnya yang dalam.

"Nak jadi menyerlah tu biarlah berpada-pada. Tak salah kita nak menyerlah. Tetapi bukanlah dengan pemakaiannya yang menjolok mata, biarlah sekadar mematuhi batas aurat yang telah disyariatkan," Adrian menghulurkan baju itu sekali lagi kepada Luna.

Luna merenung baju itu lama. Sesekali dia memandang ke arah Adrian. Silih berganti.

"Tak semestinya yang bertutup itu tak menyerlah, Cik Puteri. Kalau cik nak tahu, dalam Islam, yang paling tertutup itulah yang paling menyerlah. Sebab apa? Sebab serlahannya disimpan hanya untuk ditatap oleh si suami, bukannya oleh para ajnabi," begitu mendalam ayat yang cuba diucapkan oleh Adrian. Penuh kiasan dan maksud tersirat yang banyak. 

Lidah Luna seakan-akan kelu dengan setiap bait bicara itu. Bibirnya seakan-akan terkunci dengan mangga. Ayat itu .... Berjaya menyelinap masuk secara senyap-senyap ke dalam sanubarinya. Baju yang berada di tangan Adrian itu diambil. Direnung dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. 

Betul juga kata Adrian. Baju ini .... Memang tertutup sepenuhnya. Berlengan panjang, kainnya pun labuh tak menampakkan peha. Jauh berbeza dengan baju yang sering dipakainya sebelum ini. Nampak sopan dan ayu sedikit. Entah mengapa, sinaran yang cuba dimaksudkan oleh Adrian tadi kian nampak di mata Luna. 

Luna mulai faham, akan maksud ayat tersebut.

'Yang paling tertutup itulah yang paling menyerlah.' Sebaris ayat itu terulang kembali di dalam kepala. Luna kemam bibirnya.

"Haih …. Okay fine. Aku beli baju ni. Buat pakai malam majlis tu nanti," Luna membuat keputusan akhir, termakan dengan nasihat bodyguardnya sendiri.

Bibir Adrian melorek senyum senang. Jari ibu dinaikkan bermaksud 'Good'. Tawanya terletus halus.

"Good girl,"

Maaf sebab lambat update dan maaf atas segala kekurangan. Terima kasih sebab masih tunggu, happy reading <3

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience