10

Romance Series 13454

ENJIN kereta dimatikan sejurus sahaja dia tiba di hadapan rumah banglo dua tingkat tersebut. Tangan memegang kejap stereng kereta. Kejadian langgar lari yang berpunca daripada dia sendiri terlayar-layar di ruang minda. Tanpa sedar, kelenjar peluh miliknya mula bekerja hebat. Merenek cecair itu mengalir di hujung dahi.

Tok! Tok! Tok!

Bunyi ketukan bertalu daripada luar tingkap itu menyedarkan Hazz daripada lamunannya. Spontan dia menoleh ke tepi, dan daripada situ matanya menangkap jelas si dia yang sudah berdiri tegak di luar kereta. Nak tak nak, pintu kereta dibuka. Mata Hazz dan anak mata helang itu bersabung.

"Macam mana?" Eisya bertanya sambil badannya disandarkan pada sisi kereta.

Hazz hela nafasnya berat. Wajahnya diraup kasar.

"Saya dah buat macam apa yang cik suruh," ujar Hazz senada. Tapi masih lagi kedengaran jelas getar dalam nada suaranya.

Eisya jungkit kening tinggi. Wajah Hazz yang nyata sedang dalam kegelisahan itu tak semena berjaya mengukir senyum sinisnya. "Kau takut?"

Hazz toleh memandang ke arah majikannya. Bibirnya diketap kuat. Soalan bodoh apa yang perempuan ni tanya ni? Dia baru sahaja lepas langgar orang. Manusia! Bukannya haiwan. Dia fikir hal ini hal kecil sahajakah?

"Kau jangan risaulah. Aku dah pastikan yang kerja ni 'clean'. Polis takkan dapat detect punya," Penuh angkuh Eisya berkata.

"Kalau dapat?" Hazz jungkit kening, sengaja menduga.

"Kalau dapat, kita sama-samalah masuk lokap. Kau teman aku, aku teman kau. Deal?" Eisya akhiri katanya dengan gelak tawa halus.

Hazz genggam streng kuat. Gila! Perempuan ni memang gila. Malas mahu melayan Eisya lagi, Hazz berura-ura mahu menutup pintu kereta. Namun, tindakannya terbantut gara-gara kaki Eisya yang menghalang jalannya.

"Wait,"

"Apa lagi yang cik nak?"

Hazz merengus. Dia tiada masa mahu melayan Eisya sekarang. Dia mahu pulang ke rumah. Dia mahu menenangkan diri atas apa yang dilakukan tadi.

Lagipun, dia bukan seperti Adrian yang tinggal bersama majikan sendiri. Dia lebih selesa tinggal di rumahnya di Shah Alam.

"Takde apa. Aku saja nak cakap. Macam yang aku janji, aku akan double up kau punya gaji. Semua masalah kewangan kau, aku akan tolong. Dan yang paling penting ..." Eisya tundukkan wajah separas dengan Hazz.

Hazz sekadar diam membatu.

"Aku akan tolong bayar duit pembiayaan pembedahan mak kau," ujar Eisya.

Hazz pejamkan mata, menahan diri daripada bertindak di luar kawalan. Ya, semua benda yang dilakukan tadi adalah demi ibunya yang sedang bertarung nyawa melawan penyakit jantungnya di hospital.

Ingat lagi dia, saat dia mengadu kepada Eisya perihal masalah kewangan yang sedang ditanggungnya sekarang. Eisya membuat tawaran kepada dia, jikalau dia buat apa yang Eisya suruh, segala masalahnya ini akan Eisya selesaikan.

Semestinya Hazz sama sekali tidak menjangka perkara teruk ini yang bakal disuruh oleh Eisya! Pada mulanya memang berat dia mahu membuat perkara yang Eisya suruh.

Langgar orang? Gila! Orang gila sahaja yang sanggup buat perkara itu. Dan Hazz sama sekali tidak rela. Dia buat demi ibunya. Benar, demi ibu.

Jikalau tidak, daripada mula lagi pasti dia sudah membangkang perkara ini sebulat-bulatnya! Malahan mungkin juga dia akan menghantar surat berhenti kerja kepada Eisya. Tidak sanggup dia mahu berkerja dia bawah seorang majikan yang ada sifat dendam. Dendamnya yang bukan biasa-biasa, tetapi dendam sampai tahap mahu membunuh orang. Kawan baik dia sendiri!

Terkenangkan itu, benak Hazz disapa dengan pelbagai persoalan yang tiada jawapan.

Puteri Eluna. Nama itu terlintas di dalam fikiran. Lantas dia buka mata, meliar mencari wajah Eisya semula.

"Cik Eisya," Nama itu diseru.

Eisya yang masih setia bersandar di tepi toleh kembali memandang wajah bodyguardnya. "Hmmm ..."

"Boleh saya tanya?" Hazz meminta keizinan.

Eisya mendengus nafasnya kasar. Tangan naik berpeluk tubuh. "Kau nak tanya apa?"

"Kenapa Cik Eisya tergamak buat semua ni? Kenapa Cik Eisya tergamak nak lukakan Cik Luna, kawan baik cik sendiri? Sedangkan saya tengok, korang rapat saja," Bertubi-tubi Hazz menyoal. Sebelum ini dia bertanya, Eisya pasti akan mengelak untuk menjawab.

Namun pada malam ini, selepas apa yang telah terjadi, dia mahukan jawapan itu. Jawapan mengapa seorang Eisya Salsabila ini boleh berdendam kepada rakan baiknya sendiri. Jawapan yang akan menjawab segala persoalan yang berlegar dalam mindanya.

Soalan Hazz meletuskan tawa sinis Eisya. Mulanya perlahan tapi akhirnya makin kuat. Eisya terbahak-bahak menghamburkan tawanya.

Hazz kerut dahi. Bulu romanya merinding tegak melihat Eisya yang sudah serupa orang yang hilang kewarasan akal. Tidak pasal-pasal adrenalinnya mengalir laju.

"Kau pernah dengar tak .... Karma?" Eisya berkata dalam sisa tawanya.

Laju Hazz anggukkan kepala. Eisya kulum senyum. "Itulah apa yang aku tengah buat sekarang,"

Berlapis-lapis dahi Hazz cuba menghadam. Karma? Apa yang Eisya cuba sampaikan? Hazz tidak dapat menangkap maksud tersiratnya.

"Baik dibalas baik. Jahat dibalas jahat. Apa yang aku buat sekarang ialah balasan apa yang dia dah buat dekat aku dulu. Kau takde kat tempat aku Hazz, jadi kau takkan faham." Riak wajah Eisya sudah berubah. Baru sebentar tadi dia ketawa, kini peromannya sudah berubah tegang kembali. Nampak yang dia sedang menahan geram.

"Okay, saya tak tahu apa yang cik cuba cakap. Tapi bagi saya, apa yang cik buat ni, salah. Sejahat mana Cik Luna tu, sebanyak mana pun kesalahan dia, cik tak layak nak menghukum dia. Cik bukan sesiapa nak tentukan balasan perbuatan seseorang manusia,"

"Jadi apa salahnya kalau aku jadi orang pertama yang buat?" Pintas Eisya.

Hazz beristighfar perlahan. Tergamam dia mendengar jawapan Eisya itu.

"Kalau kau nak tahu, dalam tempoh masa 5 tahun, semua benda yang sepatutnya jadi hak aku dia rampas. Kerjaya, populariti, kawan. Semua sekali dia rampas tanpa sikit pun fikir soal perasaan aku!"

Tangan Eisya menumbuk kuat pintu kereta, melampiaskan amarahnya. Hazz terkejut. Tangan majikannya yang menumbuk pintu kereta bertalu-talu ditahan. Takut-takut Eisya boleh tercedera.

Nampaknya majikannya ini benar sudah hilang kawalan. "Cik Eisya! Cik Eisya! Stop it!"

"Just let me go!"

"Istighfar Cik Eisya! Jangan terlampau ikutkan perasaan!"

Tubuh Eisya melorot jatuh ke bawah, tetapi Hazz lebih pantas menyambut tubuh itu daripada terus menyembah bumi. Sejenak kemudian, kedengaran esak tangis Eisya bergema ke segenap ruang.

Eisya menyembamkan wajahnya ke dada Hazz. Dan Hazz hanya mampu membiarkan. Bukannya mahu mengambil kesempatan, cuma mahu Eisya meluahkan segala perasaan yang dia pendam saban tahun.

"She steal everything. Dia rampas semua milik aku Hazz ...." ngongoi Eisya.

Hazz diam. Tangan perlahan mengusap belakang tubuh Eisya, cuba memberikan semangat.

"Tapi ... Semua itu kan rezeki, Cik Eisya. Mungkin dah memang tertulis rezeki Cik Luna untuk dapat semua tu. Cik tak boleh nak halang rezeki orang,"

"Rezeki ...." Eisya ukir senyum mengejek. Tubuh Hazz lantas ditolaknya kasar.

Hazz terpinga-pinga.

"Rezeki? Apa maksud kau dengan rezeki?"

"Rezeki itu kan kurniaan ataupun anugerah daripada Allah SWT kepada manusia. Kita manusia, semua ada rezeki masing-masing. Semuanya Allah dah uruskan. Cik tak boleh nak banding bezakan rezeki cik dengan rezeki orang lain," Hazz menghujahkan pendapatnya.

"Oh, rezeki? Jadi kalau merampas tunang orang lain tu, itupun dikira rezeki ke?"

Ayat Eisya kali ini benar-benar membuatkan Hazz hilang kata-kata. Dahinya kembali berkerut, keningnya bertaut rapat. "Tunang?"

Eisya hadiahkan senyum sinisnya buat Hazz, perlahan kepalanya dianggukkan.

"Kenapa? Terkejut?"

Bibir bawah Hazz dikemam. Tunang? Jadi bermakna, Luna pernah merampas tunang Eisya sebelum ini? Tetapi bila?

Setahu Hazz hanya satu sahaja lelaki yang mempunyai hubungan bersama Luna sekarang.

Takkanlah .... Jadi itu bermaksud ....

"Yes. Rayden Imran, he's my ex-fiance,"

Pang!

Terkejut bukan kepalang Adrian tatkala penampar sulung Tuan Hariz berjaya hinggap di pipi kanannya. Kepalanya terteleng ke kiri. Lantas dia kalih semula memandang wajah Tuan Hariz yang jelas merah menahan amarah.

"What are you doing? Macam mana benda ni boleh jadi, Adrian Iskandar?" Tuan Hariz menjerkah lantang.

Rayden serta beberapa orang jururawat dan doktor yang kebetulan lalu di hadapan wad kecemasan itu turut terkejut dengan insiden yang berlaku. Mata masing-masing sudah terarah kepada mereka.

"Tuan .... Sa .... Saya ...."

"Saya amanahkan awak untuk jaga anak saya! Untuk awasi dia daripada benda-benda bahaya! Tapi apa yang jadi? Anak saya dah terlantar sakit dekat dalam tu. Just where are you going, Ian?" Bertubi-tubi Tuan Hariz menyembur tanpa langsung memberikan kesempatan langsung kepada Adrian untuk menjawab.

Adrian tundukkan wajah menekur jubin lantai. Tadi, dia sendiri dikejutkan dengan berita yang disampaikan oleh Rayden bahawa Luna menjadi mangsa langgar lari. Jantungnya juga terasa bagai berhenti berdegup buat sementara waktu, terus keretanya dipecut laju menuju ke Hospital Kuala Lumpur.

Bila dia sampai, jururawat berkata yang Luna masih lagi sedang dirawat di dalam wad kecemasan. Sudahnya, dia duduk sahaja di ruang menunggu bersama Rayden. Dan sesampai sahaja Tuan Hariz kemari terus pipinya menjadi mangsa.

Ya, Adrian mengaku, memang silap dia kerana tidak mengawasi Luna dengan teliti. Tetapi apa yang berlaku sekarang bukanlah keinginan dia. Dia sendiri tidak tahu perkara sebegini akan terjadi. Takkan perkara ini pun, Tuan Hariz mahu menyalahkannya seratus peratus?

"Saya minta maaf, tuan. Saya tahu saya sepatutnya kena ada selalu dengan Cik Luna. Tapi tadi serius, saya dah kata dengan Cik Luna untuk tunggu saya dekat dalam mall tu. Tapi dia degil, tahu-tahu je saya dapat berita yang ...."

"Jadi sekarang awak nak salahkan anak saya?" pintas Tuan Hariz laju.

Adrian ketap bibir. Tak, semestinya dia tidak menyalahkan Luna.

"Kalau luka kecil takpe, Ian. But not this. Anak saya jadi mangsa langgar lari, the effects must be even more worse. Saya tak boleh terima benda ni," Tuan Hariz menggelengkan kepalanya.

Rayden yang menjadi pemerhati sekadar diam membisu. Tidak terdetik pun di hatinya untuk menyampuk.

Sudahnya, Adrian diam seribu bahasa. Dia sendiri buntu untuk mempertahankan dirinya. Kalau dia beritahu pun, percayakah lagi Tuan Hariz padanya?

Kreak ....

Bunyi pintu wad kecemasan yang dikuak daripada dalam menarik perhatian mereka bertiga. Tuan Hariz lantas mengatur langkah menghampiri doktor yang keluar daripada wad itu diikuti dengan Rayden. Adrian pula sekadar membuntuti mereka daripada belakang.

"Doktor, macam mana dengan keadaan anak saya?" tanya Tuan Hariz. Wajahnya jelas terpapar riak kerisauan yang teramat sangat.

Doktor yang bertanda nama 'Hakim' itu memandang ke arah Tuan Hariz.

"Tuan adalah ayah mangsa?"

"Ya, saya." Tuan Hariz anggukkan kepala laju.

"Alhamdulillah, anak tuan kuat. Dia sudah melepasi tahap kritikal. Keadaannya juga sudah stabil, tetapi masih lagi memerlukan pemantauan daripada kami, "

"Alhamdulillah ...." Tuan Hariz mengucap syukur. Adrian dan Rayden juga turut bersyukur sama. Lega hati apabila keadaan Luna baik-baik sahaja.

"Cuma ...."

Air muka Doktor Hakim yang tadi tenang kini kelihatan serba salah. Ayatnya yang tergantung itu berjaya mengundang kembali debaran ketiga-tiga lelaki di hadapannya.

Terus mati senyuman Tuan Hariz sewaktu mengucap syukur tadi.

"Cuma apa, doktor?" Rayden mencelah.

Doktor Hakim menghela nafasnya berat.

"Kami minta maaf. Akibat hentakan yang kuat, kami mendapati Cik Luna mengalami kecederaan saraf tunjang yang agak serius. Dan mungkin setelah dia sedar semula, dia akan menghidap lumpuh paraplegia. Iaitu lumpuh di kedua-dua belah anggota kaki,"

Dum!

Bagaikan ada panah petir yang menghentam tubuh, Tuan Hariz jatuh terduduk di lantai hospital. Lidahnya kelu, jantungnya seakan-akan sudah tidak berdegup. Betulkah? Betulkah apa yang dia dengar tadi?

"Allahuakhbar .... Anak aku ...." Air mata mulai berguguran laju menuruni pipi.

Adrian turut terkedu. Rayden juga sama. Masing-masing tidak percaya dengan berita yang baru mereka terima ini.

Lambat-lambat Adrian duduk meninggung bersebelahan Tuan Hariz. Bahu lelaki itu diusap-usap, harap yang Tuan Hariz dapat bersabar akan dugaan yang menimpa ini.

"Tuan jangan risau. Walaupun Cik Luna lumpuh, lumpuh dia tu bukanlah lumpuh kekal, hanya lumpuh sementara. Cik Luna masih lagi boleh mengikuti rawatan fisioterapi di hospital kami untuk sembuh," perjelas Doktor Hakim lebih lanjut.

"Berapa lama masa untuk dia sembuh, doktor?" Tuan Hariz menyoal lagi dalam tangisnya.

"Erm .... Bergantung pada tahap kesihatan Cik Luna sendiri. Boleh jadi 2-3 bulan. Boleh juga jadi bertahun-tahun," ujar Doktor Hakim.

Tuan Hariz angguk kepala sekali. Setelah berbincang beberapa perkara, Doktor Hakim meminta izin untuk beredar.

Kini, Rayden dan Adrian masing-masing duduk di bangku. Dua-dua termenung, mengenangkan perkara yang telah terjadi.

"Adrian ...."

Panggilan Tuan Hariz memanggungkan kepala Adrian yang sedari tadi menunduk. Tuan Hariz sudah berdiri tegak di hadapannya. Wajahnya tegang tanpa sebarang baris senyuman. Air matanya juga sudah kering.

"Selepas apa yang dah jadi hari ni, saya dah buat keputusan muktamad, Ian." Dingin suara Tuan Hariz menutur kata.

Adrian berkerut. "Keputusan? Keputusan apa, tuan?"

Hati sudah disapa rasa tidak sedap. Seakan-akan perkara buruk bakal berlaku selepas ini.

"Selama ni saya percayakan awak. Saya percaya yang awak boleh lindungi anak saya daripada alami sebarang kecederaan mahupun perkara-perkara buruk. I put my trust on you. Tapi lepas apa yang dah jadi sekarang, sangat-sangat mengecewakan saya. Jadi saya dah putuskan...." Nafas Tuan Hariz ditarik dalam, dilepaskan. Anak mata Adrian direnung. Tunak.

"I'm sorry, Ian. From now on, you're fired."

Thankyou for reading <3

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience