Bab 6

Romance Series 22677

TERASA girang benar perasaan Dato Kamilah malam itu. Panggilan video yang dibuat bersama anak perempuannya, Rein Affina hanya dihiasi gelak tawa yang berpanjangan. Mulut Dato Kamilah tak habis-habis bercerita soal seorang gadis yang berjaya menawan hati Reiz Umair sampaikan Fina jadi panasaran terus.

"Reiz tak menikah dalam waktu terdekat ni kan, ma?"
"Tak. Kami tunggu Fina balik, baru kita langsungkan majlis. Memanglah mama kalau boleh nak cepatkan majlis nikah mereka tapi mama rasa tak seronok pula kalau Fina tak ada sekali dalam majlis tu."

"Fina tunggu urusan abang selesai, ma. Nanti dah selesai semua, baru kami balik."

"Ya, mama faham."

"Ma, nanti sampaikan salam Fina pada Azizah ya?"

"Baik. InsyaAllah."

Fina tersenyum. Mendengar nama Azizah saja, dia tahu orangnya pasti cantik. Perbualan video itu berakhir beberapa minit kemudian. Dato Kamilah langsung turun ke tingkat bawah.

"Azizah, Kak Fina kirim salam." Ucap Dato Kamilah sebaik saja dia duduk di sofa panjang, tak jauh dari kedudukan Azizah. Azizah pandang ke kanan sekejapan. Dia tak kenal pun empunya nama itu.

"Kak Fina tu, kakak Reiz. Anak mama juga tapi dengan suami pertama. Lepas berpisah tu, mama kahwin lain, baru dapat Reiz. Dia sekarang ada di Australia. Minggu depan dia baliklah. Tunggu suaminya selesai semua urusan."

"Oh, waalaikummussalam." Jawab Azizah dengan senyum.

"Reiz tak balik lagi? Pukul berapa dah ni?" suara Dato Kamilah, bukan risau cuma dia bertanya. Kemudian, muncul Mak Kiah bersama kopi panas dan ubi kayu goreng. Dia duduk di sofa satu sambil menjenguk ke laman.

"Reiz tu memang macam tu lah. Selagi burung hantu tak senyap, selagi tu lah tak nampak dia."

"Minum Azizah." Pelawa Dato Kamilah. Azizah mengangguk.

"Em, hujung minggu ni saya bercadang nak ke kampung Azizah. Kalau boleh nak bincang secara lanjut tentang Reiz dan Azizah. Kalau Azizah setuju, hujung bulan ni kita adakan majlis nikah."

Hampir tak terkunyah ubi kayu yang ada dalam mulut Azizah. Dia jadi tak ketahuan. Takkan secepat ini! Hatinya sudah cemas. Cemas dengan segala macam hal. Dia belum mengenali Reiz lagi, apakah mereka boleh hidup di bawah satu bumbung atau sebaliknya?

"Boleh kan Azizah?" suara Dato Kamilah meminta persetujuan. Azizah terpaksa mengangguk. Menggeleng bukan lah satu perbuatan yang bijak pada saat itu. Saat hati seorang ibu meletakkan satu harapan di pundak bahunya. Mak Kiah ikut senyum melihat anggukan Azizah.

"Sedapnya ubi kayu ni Kak Kiah," puji Dato Kamilah. Mak Kiah tersengih. Dia tahu, kalau hati tengah girang... makan apa pun akan rasa sedap di tekak. Tak lama kemudian, kedengaran bunyi enjin kereta masuk ke laman rumah. Kereta siapa lagi kalau bukan kereta Reiz.

Mak Kiah langsung bingkas demi membukakan pintu. Disambutnya Reiz pulang dengan senyum penuh satu muka. Namun Azizah yang duduk di sofa jugalah menjadi tumpuan Reiz pada saat itu. Bibirnya mengungkap senyum saat mata bertentang mata. Azizah rasa malu nak balas senyuman itu di depan Dato Kamilah.

"Duduk minum dulu Reiz, nanti Mak Kiah buatkan kopi panas."

"Tak apa Mak Kiah, biar saya yang buatkan."

Mak Kiah pandang Azizah dengan senyum. Gadis itu langsung bangun menuju ke dapur. Mak Kiah duduk semula di tempatnya. Reiz duduk di sebelah mamanya. Dato Kamilah meletakkan tangan kanannya atas riba kiri Reiz.

"Hujung bulan ni Azizah dah bersetuju nak menikah dengan Reiz. Banyak perkara yang Reiz kena uruskan."

Reiz tergamam. Berita itu sungguh mengejutkan. Berita yang paling tidak disangka-sangka.

"Hah kenapa buat muka macam tu?"
"Eh, tak ada apa ma."
"Hujung minggu ni, mama nak ke kampung Azizah. Reiz pula bawa Azizah pergi tempah baju nikah ya. Takut tak sempat siap pula nanti. Barang-barang hantaran pun jangan lupa cari. Nanti hari Isnin baru Reiz berurusan di pejabat agama. Bawa Azizah sekali. Kalau boleh minggu depan harus selesaikan semua hal tu. Jadi nanti taklah kita kelam kabut sangat." Boleh dikatakan hampir senafas Dato Kamilah bercakap itu ini. Reiz hanya mengangguk.

Seketika, Azizah muncul bersama Milo panas. Diletaknya cawan Milo itu betul -betul di depan Reiz. Reiz angkat muka dan pandang ke Azizah. Seharian di pejabat buat fikirannya teringatkan Azizah terus menerus sehingga timbul perasaan rindu di jiwa.

"Azizah naik atas dulu ya."

Dato Kamilah mengangguk. Reiz dapat merasakan Azizah seperti ingin melarikan diri dari matanya. Apa kerna dia malu atau dia punya alasan lain? Ah, hati Reiz jadi gusar pula. Bagaimana kalau jauh di sudut hati, Azizah sebenarnya sudah menyiapkan satu alasan penolakan? Sedang perasaan Reiz pada Azizah telah pun tumbuh dan mekar setiap hari.

Reiz benar-benar berharap, pertemuan ini akan membawa kebahagiaan yang berpanjangan dalam hidupnya. Azizah bagaikan racun waktu yang buat fikirannya jadi mabuk. Betapa rumitnya perasaan ini, mainannya bukan kepalang. Pertama kali jatuh cinta, buat Reiz sedar bahwa hatinya hanya menginginkan Azizah seorang.

AZIZAH masuk ke dalam bilik. Pintu bilik itu dikunci kemas sebelum langkahnya menapak ke katil. Tubuhnya terduduk di birai kamar. Bukan dia tak dengar apa yang Dato Kamilah ucapkan pada Reiz tadi tapi hatinya dicuit bimbang. Bimbang yang bukan sedikit. Azizah pandang mukanya ke cermin. Di situ air matanya kembali bertakung. Fikiran Azizah melayang ke masa lalu. Dia teringat bagaimana kecewa menyulut perasaannya pada waktu itu sehingga dia hilang pertimbangan diri. Kata-kata seorang lelaki yang amat dipercayai buat hatinya jadi hancur berkeping keping. Terasa benar maruahnya diinjak-injak saat itu. Azizah sapu air matanya yang jatuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience