Bab 4

Romance Series 22677

Setibanya di rumah Azizah, Reiz minta izin untuk ke bilik air sebentar. Di dalam bilik air, dia menghubungi Dato Kamilah secara sulit dan senyap. "Mama kena tolong Reiz. Mak dan pak Azizah nak adakan sesi temuduga kalau Reiz berhasrat untuk melamar Azizah." Suara Reiz perlahan dan tersusun.

"Jadi?" tanya Dato Kamilah kerana dia masih kurang faham dengan maksud pertolongan yang dipinta anaknya.

"Bila Reiz telifon je mama nanti, mama kena standby Asma Al Husna. Mama sebut perkataan tu dengan jelas supaya Reiz dapat dengar dengan betul. Reiz akan pasang earphone wireless kat telinga. Mereka takkan syak yang Reiz sedang berada dalam talian dengan mama."

"Baik Reiz. Mama faham. Jangan risau. Mama akan support Reiz sampai kita berjaya dalam temuduga tu," yakin kata janji yang diucap oleh Dato Kamilah. Azizah yang cuba mengintip perbualan itu di depan pintu bilik mandi sekadar tersenyum.

"Azizah?" tegur Puan Ramlah dengan muka yang berkerut. Sungguh dia tak suka dengan perbuatan Azizah pada waktu itu. Kurang manis dan sopan. Semedan Azizah bantu ibunya menyediakan teh panas.

Reiz keluar dari bilik mandi dan langsung ke ruang tamu bila dipinta oleh Puan Ramlah. Dia duduk di hadapan seorang lelaki yang dipercayai bapa kandung kepada Azizah. Melihat raut muka lelaki itu yang sememangnya nampak garang, Reiz jadi ketar lutut. Misainya yang panjang melenting ala ala Wak Doyok buat Reiz cekalkan rasa di hati. Kalau bukan kerana Azizah, memang dia takkan buat semua kerja gila ni.

"Mak. Panggil pak sat. Ada hal yang Jah nak cakap. Penting mak." Suara Azizah kedengaran sangat mendesak.

"Hal apa?"

"Boss Jah tu mai bawa hajat. Jah rasa la sebab dia dah bagi hint waktu dalam kereta tadi."

"Hajat?" Puan Ramlah masih tak faham-faham. Azizah pantas membisikkan sesuatu di telinga emaknya.

"Pak, mai ambil air ni sat." Panggil Puan Ramlah lembut. Pak Mihat pantas bangun dan menuju ke arah dapur.

"Pak. Kalau dia duk mai tanya nak pinang Azizah. Pak kena buat sesi temuduga tau. Pak tanya dia pasai nama nama Allah, alah apa tu... Asma Al Husna. Kalau dia jawab dengan betul, baru Jah terima pinangan dia."

Berkerut-kerut Pak Mihat mendengar permintaan anak manjanya itu.

"Maknya buat apa lagi kat situ. Jomlah sekali." Ajak Pak Mihat. Dia bukanlah seorang yang ramah sangat kalau nak diajak berbual. Jadi dengan keberadaan isterinya, sedikit sebanyak ruang tamu itu taklah jadi sesunyi mana. Puan Ramlah menurut permintaan suaminya. Tangan Azizah ditarik sekali supaya gadis itu turut ikut serta.

Reiz pandang wajah-wajah yang ada di depannya. Hatinya sudah berdebar tak menentu. Nak kata gigil pun, ya... hatinya gigil. Telifon di tangan cuma mahu dipegang. Tak mahu diletakkan ke tepi, entah kenapa. Mungkin kerana Dato Kamilah berada dalam talian.

"Anak ni nama sapa?"
"Oh maaf pakcik, terlupa saya nak kenalkan diri. Saya Reiz." Sopan sungguh nada dan pertuturan Reiz.

"Bagus Reiz. Nadanya tu mama dengar sangat sopan." Suara Dato Kamilah dalam talian. Reiz tidak dapat menjawab pujian wanita itu kerana tidak mahu nampak pelik di depan mata orang tua Azizah. Sedang Dato Kamilah masih bercakap itu ini. Mengajar apa yang patut anak bujangnya lakukan.

"Minumlah. Nanti sejuk pula air tu."

Reiz mengangguk. Dia gapai cawan teh panasnya. "Baca Bismillah, Reiz. Jangan terus minum je." Pesan Dato Kamilah yang sememangnya dapat mendengar suara suara lain yang bercakap dengan anaknya. Reiz akur. Gelabah punya pasal, dia sampai baca doa makan. Punyalah nak nampak perfect di mata orang tua Azizah.

"Mai ni saja duk hantaq Azizah ka lagu mana?"

"Lagu apa pakcik? Saya tak pandai menyanyi tapi kalau Asma Al Husna tu saya tahulah juga. Pakcik nak dengar?" Reiz offer terus walaupun sesi temuduga itu belum lagi bermula. Biar hilang debar di dada. Biar Azizah dapat dilamar dalam kadar segera.

Muka Azizah tertunduk ke lantai kerana dia tak mahu mak dan pak nampak yang dia sedang menahan ketawa. Dengan lafaz Bismillah, Reiz sebut Asma Al Husna satu persatu. Apa yang keluar dari mulut Dato Kamilah, itulah juga yang keluar dari mulutnya. Sama lagi persis. Pak Mihat dan Puan Ramlah jadi tekun mendengar.

"Baguih hang na. Hang hapai semua tu. Pakcik pun tak hapai," puji Pak Mihat terus seusai saja Reiz menamatkan bacaannya. Reiz senyum kelat. Dalam otaknya muncul satu soalan, 'kalau pakcik tak hapai, macam mana pakcik nak tahu yang saya sebut tu betul ke tak? Biar betul pakcik ni, sendiri bagi soalan temuduga tapi sendiri tak tahu jawapan. Haishh!'

"Jadi saya lulus tak temuduga tu pakcik? Kalau lulus, saya nak melamar Azizah jadi isteri saya," ucap Reiz teruja. Azizah terpanar. Dia tak sangka yang lelaki itu benar-benar bersungguh dengan soalannya tadi. Pak Mihat dan Puan Ramlah saling berpandangan sebelum mereka sama-sama memandang Azizah yang tertunduk malu. Dato Kamilah menanti dalam talian dengan penuh debar. Apakah lamaran anak lelakinya akan ditolak keluarga Azizah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience