Bab 3

Romance Series 22677

"Hati-hati bawa kereta, mata tu jangan asyik pandang Azizah saja. Pandang depan. Takkan lari ke mana Azizah tu." Usik Dato Kamilah manja. Reiz agak tersipu. Dato Kamilah langsung saja ke pejabat. Reiz pula pergi mendapatkan Azizah. Gadis itu baru usai bersarapan.

"Mak Kiah nak ikut? Kalau Mak Kiah ikut, bolehlah Mak Kiah tolong Reiz apa yang patut."

"Tolong apa?" tanya Mak Kiah tak faham.

"Tolong Reiz lamarkan Azizah." Bisik Reiz ke telinga Mak Kiah. Wanita lewat lima puluhan itu sudah tersenyum.

"Kalau nak anak dara orang, kenalah berani minta." Bisik Mak Kiah pula. Reiz terhenyak. Dia lihat Azizah sudah bingkas. Lalu mereka sama sama keluar ke pintu dan masuk ke dalam kereta. Pemanduan Reiz santai saja. Hari masih pagi. Matahari baru muncul di ufuk.

"Azizah." Panggil Reiz setelah sunyi menggigit waktu dalam detik yang lama.

"Kalau ada yang pinang awak dalam masa terdekat ni, awak sudi tak terima?"

Azizah terdiam. Fikirannya tidak suka dengan soalan itu. Hatinya sudah tertutup untuk menerima mana-mana lelaki buat masa ini.

"Kenapa diam?"

Azizah masih juga diam.

"Kalau lelaki tu baik. Hensem. Romantik. Awak tak nak ke?"

"Baik, hensem, romantik. Siapa?" tanya Azizah terus. Reiz jadi teragak agak nak mengaku yang lelaki itu adalah dirinya sendiri. Azizah pandang Reiz bila lelaki itu hanya memberi jawapan dengan keningnya yang terangkat-angkat.

"Tang mana hensemnya," usik Azizah bersahaja sehingga Reiz dapat menahan tawa kecil. Hatinya terhibur dengan gelagat Azizah yang spontan tetapi comel.

"Ayah saya garang. Maklumlah bekas tentera." Azizah membuka topik lain. Topik yang lebih seram untuk Reiz hadam dan dengar.

"Mak saya pun garang. Mak saya pesara kerajaan. Dulu dia guru besar dekat sekolah saya."

Reiz makin senyap.

"Tahun lepas kan, ada lelaki yang datang seorang diri untuk meminang saya. Macam-macam soalan yang mak dan pak tanya sampai lelaki tu buka Google nak cari jawapan." Cerita Azizah bersungguh. Reiz pandang Azizah tanpa berkedip.

"Buka Google? Apa contoh soalan yang mak dan pak awak tanya?" soal Reiz, nadanya jelas ingin tahu.

"Bilakah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia?"

Reiz pandang Azizah dengan muka tak percaya. 'Serius aaa soalan tu!' Hatinya menempelak.

"What? Mak saya peminat no. 1 Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tau. Sebab tu nama saya, Azizah." Ujar Azizah, serius. Reiz mengangguk faham.

"Tapikan soalan pak lagi dahsyat. Hampir-hampir nak terkucil lelaki tu kat sofa."

"Contoh soalan?" teruja pula Reiz nak tahu.

"Sila baca 99 Asma Al Husna mengikut tertib."

Reiz terdiam. Alamak! Hatinya sudah rasa tak sedap. Raut di muka berkocak bimbang tapi cuba diselindungkan supaya tak ternampak di mata Azizah.

"Eh, Tuan. Boleh tak berhenti kat RNR depan tu? Saya nak beli buah jambu. Mak saya hantu jambu."

Reiz perlahankan kereta dan masuk ke susur Hentian Rehat Tapah. Saat Azizah sibuk memilih dan membeli buah kesukaan ibunya, Reiz pula sibuk mendengar Asma Al Husna melalui YouTube. Otaknya ligat berfikir bagaimana dia nak hafal nama-nama Allah itu dalam masa yang sangat singkat.

Azizah masuk ke dalam kereta. Reiz cepat-cepat matikan video yang sedang dibuka. Dia tak mahu Azizah tahu yang dia sedang menghafal Asma Al Husna. Namun dari senyum gadis itu, dia tahu perbuatannya sudah ketahuan di mata Azizah.

"Tuan hafal Asma Al Husna eh," selamba gadis itu mengusik. Reiz pandang ke luar tingkap. Sungguh dia tak sanggup nak lihat muka Azizah pada waktu itu tapi dia punya satu idea yang sangat bernas, yang dikira sebagai penyelamat dia pada waktu itu nanti. Reiz yakin dia dapat harungi sesi temuduga mak dan pak Azizah dengan jayanya.

Setibanya di rumah Azizah, Reiz minta izin untuk ke bilik air sebentar. Di dalam bilik air, dia menghubungi Dato Kamilah secara sulit dan senyap. "Mama kena tolong Reiz. Mak dan pak Azizah nak adakan sesi temuduga kalau Reiz lamar Azizah." Suara Reiz perlahan dan tersusun. "Jadi?" tanya Dato Kamilah kerana dia masih kurang faham dengan maksud pertolongan anaknya itu tadi. "Bila Reiz telifon je mama nanti, mama kena standby Asma Al Husna. Mama sebut perkataan tu dengan jelas supaya Reiz dapat dengar dengan betul. Reiz akan pasang earphone wireless kat telinga. Mereka takkan syak yang Reiz sedang berada dalam talian dengan mama."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience