Bab 5

Romance Series 22677

"Jadi saya lulus tak temuduga tu pakcik? Kalau lulus, saya nak melamar Azizah jadi isteri saya," ucap Reiz teruja. Azizah terpanar. Dia tak sangka yang lelaki itu benar-benar bersungguh dengan soalannya tadi. Pak Mihat dan Puan Ramlah saling berpandangan sebelum mereka sama-sama memandang Azizah yang tertunduk malu. Dato Kamilah menanti dalam talian dengan penuh debar. Apakah lamaran anak lelakinya akan ditolak keluarga Azizah?

"Hang setuju dak, Jah?" tanya Pak Mihat langsung. Reiz kerling mata ke Azizah. Sikap diam gadis itu buat hatinya jadi tambah gementar.

"Orang dulu-dulu kata kalau diam tu setuju," tiba-tiba Puan Ramlah bersuara. Azizah masih diam. Dia jadi mati akal. Sungguh dia tak tahu nak jawab apa. Kalau ikukan hati, dia memang tak nak terima pinangan itu tapi...

"Setujulah tu," suara Pak Mihat pula.

"Pakcik dan makcik setuju ke?" tanya Reiz terus.
"Kami ikut Jah pasai dia yang menikah." Jawab Pak Mihat.

"Azizah?" suara Reiz pula. Azizah jadi malu nak angkat muka. Dan perlahan-lahan, anggukan dijatuhkan. Reiz keluarkan bekas rantai yang diberi emaknya pagi tadi dan dia meminta Puan Ramlah memakaikan rantai itu di leher anaknya. Puan Ramlah tidak keberatan melakukan hal itu. Kemudian dia mengajak Azizah turun ke dapur untuk sama sama menyediakan hidangan tengahari.

Kedengaran dalam talian, suara Dato Kamilah mengucapkan kata syukur. Reiz matikan panggilan setelah bibirnya membisikkan ucapan terima kasih.

"Lama dah kenal dengan Jah?" tanya Pak Mihat. Reiz beri jawapan singkat. "Taklah lama mana." Kemudian Pak Mihat mengangguk faham. Sesudah itu, hanya sunyi yang mengisi ruang. Sesekejap kedengaran bunyi alu bersama lesung bergaduh di dapur. Entah apalah yang sedang dimasak Azizah tu? Reiz jadi tertanya sendiri.

Setelah cukup satu jam Reiz duduk kaku seperti patung di rumah itu, akhirnya Azizah muncul di depan matanya. Penampilannya sangat asing, cuma t-shirt dan berkain batik. Tak ubah seperti gadis kampung. Reiz makin terpaku melihat kecantikan Azizah saat itu. Kulit pipinya nampak merah, mungkin kerana haba panas dari api dapur.

"Pak pi mana?" tanya Azizah bila dia menyedari hanya Tuan Reiz yang ada di ruang tamu.

"Err... pak turun ke bawah jap. Nak ambil kepala mawar katanya tadi. Sedap kalau buat minum panas lit lit ni."

"Pakcik ya bukan Pak. Batang hidung tok kadi pun tak jumpa lagi, ada hati nak panggil pak," sinis Azizah, tak habis habis mahu mengusik lelaki itu.

"Pakcik pun pakciklah, Jah... janji Jah terima pinangan abang," Reiz membalas usikan itu dengan sangat bersahaja. Azizah tersenyum manis bila Reiz menjawab sindirannya tadi dengan memanggilnya Jah, bukan Azizah. Buat seketika, Azizah lupa dengan derita yang dialaminya sejak hari-hari kelmarin.

Perasaan Reiz pada Azizah tumbuh mekar setiap hari. Dia benar-benar berharap, pertemuan ini membawa kebahagiaan yang berpanjangan dalam hidupnya. Azizah bagaikan racun waktu yang buat fikirannya jadi mabuk setiap hari. Betapa rumitnya perasaan ini, mainannya bukan kepalang. Pertama Kali jatuh cinta, buat Reiz sedar bahwa hatinya hanya menginginkan Azizah seorang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience