BAB 6

Romance Completed 795

Apa tujuan Farishi ingin menemuinya dan Farishi tahu ke di mana tempat kerjanya? Semakin hari semakin pelik dunia ini. Murni mengeluh janganlah ketenangan yang baru dimilikinya direntap kembali gara-gara permainan hati ini. Murni melirik jam di tangannya sudah jam 12.45 tengah hari. Dia menyusun fail di mejanya dan menjinjing beg tangannya dan terus meninggalkan pejabatnya.

Pabila dia menolak pintu utama syarikatnya, seorang pemuda sedang berdiri bersandar di tepi dinding. Gayanya masih seperti dulu. Murni begitu berdebar sehingga terkaku. Farishi datang menghampirinya dan mereka bersua muka buat pertama kalinya setelah peristiwa dua tahun lalu mengundang kekecewaan. Farishi membawa Murni ke sebuah restoran yang begitu indah dekorasinya, ala barat.

Setelah pesanan dibuat mereka mendiamkan diri tanpa bicara, namun Murni sempat melirikkan matanya kepada susuk tubuh lelaki di sebelahnya. Segak dan bergaya namun wajahnya agak pucat. Hanya itu dapat ditafsirkan apa lagi setelah Farishi memandu kereta mewah. Namun dia semakin pelik bila mengenang kembali tindakan Farishi berhenti belajar dan menyepikan diri tanpa khabar berita. Perasaan curiganya itu segera diusir.

‘Tidak semestinya tak belajar habis tak boleh berjaya.’

Tegahnya di dalam hati. Dalam tidak disedari Farishi sempat melihat air muka Murni yang masih ayu seperti dulu cuma lebih menarik dengan pemakaiannya yang lebih formal. Mimik muka Murni kejap-kejap berubah mengundang tawa kecil dari Farishi. Murni menjadi hairan. Dia ingin bertanya namun rasa segan segera menyerbu, maka tunduk sahajalah kepalanya menghadap alas meja kuning air itu.

“Murni, awak sihat?”

Soalan pembuka bicara diajukan pada Murni. Murni mengangkat mukanya memandang tepat pemilik wajah di hadapannya kini. Farishi, masih lagi seperti dulu cuma wajahnya kini dibibit kematangan dan bibirnya pucat. Mungkin Farishi juga gugup sepertinya, telahnya didalam hati.

“Sihat. Awak? Hmm.. straight to the point la, apa yang awak nak?” jawab
Murni tegas.

Namun air mukanya masih ayu dipandang. Farishi agak terkejut namun segera dikawal riak wajahnya. Dia tersenyum senang dan Murni semakin hairan.

‘Ishhh.. takkan mamat ni dah betul mereng kot, aku serius dia boleh tersenyum.’

Kerutan di dahi Murni semakin berlapis. Tangannya semakin dingin, seram sejuk ditambah gelora hati seperti badai di laut.

“Murni, saya nak awak tahu saya sayangkan awak.”

Terjegil mata Murni, jantungnya luruh. Terasa membahang wajahnya yang sememangnya cerah. Murni terkaku membisu terasa sepi tanpa kata dunia ini. Namun segera Murni memijakkan kaki ke bumi yang nyata.

“Jangan bermain dengan api, Farishi. Permainan hati, permainan bodoh bukan? Itu kata-kata awak. Dah lupakah?”

Murni memulang paku buah keras pada kata-kata Farishi. Farishi sekali lagi tersenyum.

“Saya sudah tidak kisah lagi jika terbakar diri ini kerana api jika itu yang ditakdirkan untuk saya.”

Farishi menjawab dengan tenang dan kata-katanya begitu mendalam apa yang tersirat. Murni menggeleng kepala buat seketika dan pabila pelayan sampai menghidang pesanan mereka, sekali lagi kebisuan melanda.

“Murni maafkan saya jika saya buat awak kecewa dulu bukan niat…” belum sempat Farishi menghabiskan ayatnya, Murni terlebih dulu memotong.

“Tiada apa lagi yang perlu dikenang. Tidak usah mengungkit hal yang telah lama terkubur.”

Murni ingin Farishi tahu yang dia tidak kalah dalam permainan hati ini.

“Tapi perasaan saya terhadap awak tidak pernah terkubur.”

Balas Farishi perlahan nadanya begitu sayu. Namun pandangannya setia memandang wajah ayu dihadapannya kini.

“Jangan buat saya terus bermain dalam permainan ini, Farishi. Mengapa sekarang baru awak katakan sedangkan dulu mati-mati awak ingin saya nafikan? Kenapa? Kenapa baru sekarang awak ucapkan sayang kalau dulu awak seboleh-boleh ingin membuangnya?”

Murni mengeluh kesal. Terasa ingin jatuh air matanya namun ditahan semahunya. Sudah cukup dia kecewa, sudah puas dia terseksa dengan perasaannya sendiri.

“Saya tahu awak terseksa namun saya lebih terseksa kerana terpaksa menafikan apa yang saya rasakan sekian lamanya.”

Farishi ingin Murni tahu dia benar-benar menyayangi wanita di hadapannya kini. Jika dulu dia terpaksa menafikan kerana cita-cita, namun sekarang tiada apa lagi yang perlu menjadi sebab dia perlu menafikan perasaannya itu. Murni mendiamkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience