BAB 3

Romance Completed 795

Dia melihat sekujur tubuh sedang bersandar di tepi dinding perpustakaan. Beberapa kali pemuda itu meraup muka, mungkin sedang gusar memikir sesuatu. Hatinya mula dilanda badai keresahan. Rasa bersalah mula menjalar di hatinya. Murni berdiri kaku, sama ada ingin menghampiri atau tidak. Dia menunduk kepala memandang lantai. Derapan kaki yang menghampirinya membuatkan dia mengangkat muka dan melihat Farishi benar-benar di hadapannya dengan wajah yang mencuka.

“Hmm… Murni saya minta maaf sebab berkasar di kafe tadi tapi saya nak tahu. Surat tu tiada makna apa-apa kan?”

Farishi meminta kepastian dan suaranya seperti berbisik. Murni mendiamkan diri, dia tahu semua yang terjadi atas kebodohannya sendiri. Tetapi salahkah dia menyimpan perasaan, perasaan yang dia sendiri tidak mahu namun tidak terdaya untuk membuangnya?

“Saya minta maaf Farishi, bukan niat saya nak buat awak runsing begini tapi ini semua salah faham. Ya! Memang benar apa yang tertulis di surat itu tapi tidak terdetik di hati saya ingin meluahkannya kepada awak. Saya sendiri tidak tahu macam mana Qistina boleh dapat surat tu dan bukan saya yang menyuruh dia memberi surat tu dekat awak.”

Penerangan Murni jelas dan degupan jantungnya semakin berdebar tidak menentu. Farishi hanya membisu dan dia terus duduk di kerusi berhampiran pintu perpustakaan tidak jauh dari Murni.

“Murni, kita bukan budak-budak lagi. Nak main-main surat cinta ni. Saya tidak mahu awak menyimpan perasaan yang memakan diri awak sendiri. Lupakan sahaja, saya tidak mahu terlibat dengan permainan bodoh ni. Maafkan saya jika bahasa saya kasar tetapi saya tidak mahu menjadi hamba cinta. Dan jika saya pun ada perasaan yang sama macam awak, saya akan memaksa diri saya sendiri untuk lupakannya. Lupakan sahaja tentang hati ni. Terlalu banyak yang masih belum lagi saya capai Murni. Terlalu banyak perkara yang perlu saya gapai dan terlalu banyak budi yang perlu saya balas. Dan jika saya terpaksa memilih antara cinta dan cita-cita saya, saya akan pilih cita-cita kerana itu lebih bermakna buat saya, Murni. Saya tak mampu untuk mencintai dan tidak layak untuk dicintai maafkan saya. Awak mampu mendapat yang lebih baik dari ini Murni. Saya tidak mahu bermain dengan api, terlalu bodoh untuk saya melibatkan diri saya dalam permainan hati ini dan saya berharap awak dapat lupakan sahaja apa yang awak rasa.”

Panjang lebar penjelasan yang diakhiri dengan keluhan yang mendalam. Farishi melirikkan pandangannya ke arah Murni yang sedang berdiri tidak jauh darinya. Wajahnya sayu dan seperti hampa. Buat seketika masing-masing membisu melayani perasaan sendiri.

“Maafkan saya sebab mempunyai perasaan bodoh ini Farishi. Jika saya mampu mengusirnya, dah lama saya buang Farishi. Tetapi saya pasti akan membuangnya kerana saya tak nak jadi terlalu bodoh menyimpan perasaan yang saya tahu mampu menghancurkan saya. Sekali lagi saya minta maaf bukan ini keinginan saya.”

Kata-kata Murni memecah kebisuan yang melanda drama mereka dan dia terus berlalu dengan perasaan sebal yang membenak di hatinya. Sungguh sakit cintanya dipandang sehina rupa. Farishi yang termanggu seketika memandang sahaja pemergian Murni yang semakin menghilang. Rasa bersalah kerana terlalu lancang berkata menghimpit hatinya. Namun dia lega kerana mampu memperjelaskan segala yang terbuku di hati.

‘Maafkan saya Murni, namun ini yang terbaik.’ luahan hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience