BAB 8

Romance Completed 795

Kedinginan malam memaksa Murni memeluk tubuh di perkarangan beranda rumah kondonya. Terdengar pintu dibuka dan salam diberi oleh Zara. Murni masuk ke dalam dan mula memicit suis alat kawalan jauh tv. Sempat lagi dia melirik ke arah wajah temannya itu. Mencuka semacam saja.

“Kenapa?” tanya Murni selamba namun matanya masih lagi tertancap di skrin tv. Hanya keluhan yang dibalas oleh Zara.

“Murni, kau ada jumpa Farishi?” pertanyaan Zara menyentap hatinya. Mungkinkah Zara tahu Farishi menjumpainya?

“Ada, kenapa?” pertanyaan Zara dibalas pertanyaan kembali oleh Murni. Murni masih lagi dengan sikap endah tidak endahnya. Zara mula mendengus. Dia mula muak dengan perangai Murni yang ego tidak bertempat.

“Murni, ei kau ni kenapa? Mana perginya perikemanusiaan kau ni? Aku betul-betul kesian tengok Farishi. Dia sayang kau Murni, tapi kau langsung tak endah. Kalau pun kau benci sangat kat dia, sekurang-kurangnya beri dia peluang perbaiki sisa…”

Murni memintas cepat kata-kata Zara.

“Kau nak aku bagi peluang apa lagi? Masa aku dulu, sakit kecewa aku, semua aku tanggung sendiri tau. Ada dia bagi peluang kat aku? Ada? Memang silap aku pernah jatuh hati kat dia namun silap dia juga kerana jatuh hati pada aku semula setelah aku buang perasaan aku sendiri jauh-jauh.”

Murni mula berang, air matanya mula tumpah jua.

“Tapi masa tu kau belum rasa nak mati lagi, tapi dia? Ini penghujung hayat dia, sanggup kau tengok dia tutup mata dengan perasaan kecewa! Ha?!”

Zara meninggikan suaranya, sungguh dia tidak sangka begitu tinggi tembok keegoan sahabatnya ini. Matanya mula bergenang menahan perasaan marah yang membuak-buak.

“Apa maksud kau penghujung hayat dia? Kenapa dengan Farishi? Zara, apa yang aku tak tahu?”

Murni menggigit bibir menahan perasaan. Tangannya terketar-ketar menghampiri Zara dengan linangan air mata yang terus mengalir di pipinya tanpa henti. Zara mengerutkan dahinya. Mungkinkah Murni masih lagi tak tahu hal sebenar tentang Farishi?

“Kau tahu kan Farishi sakit? Dia kanser otak tahap kritikal sekarang. Sekarang dia dimasukkan ke ICU. Aku baru jek lepas melawat dia. Aku tahu pun setelah aku terserempak dengan dia di kedai makan. Dia seboleh-boleh minta aku nombor phone kau then dia cerita apa yang jadi selama ni.”

Murni terjelopok di lantai, tidak dia sangka begitu teruk keadaan Farishi. Patut saja wajahnya pucat. Ya Allah apa aku dah buat ni? Tangannya menggigil, Murni terus menangis semahu-mahunya. Zara turut sama mengalir air mata. Dia mengusap bahu Murni yang terhenjut-henjut menangis, Zara sedar bahawa dia telah salah faham. Murni sekali lagi terluka dan Zara segera memeluknya. Perasaan bersalah menghantuinya, dia mengakui dia begitu mencintai Farishi namun kerana egonya yang menjadi batu penghalang dia menafikan cintanya. Hatinya kesal teramat sangat kerana begitu kejam dia menolak perasaan sayang dari Farishi.

“Kau masih ada masa kalau nak jumpa dia, Murni.”

Lembut Zara memujuk Murni. Murni mengangkat muka dan terus memandang Zara dengan penuh harapan. Zara mengangguk dan dengan segera Murni mencapai tudungnya. Malam itu dengan kelebatan hujan yang turun secara tiba-tiba, mereka terus menuju ke hospital. Setiba di hospital Murni terus mencari bilik Farishi ditempatkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience