BAB 1

Romance Completed 795

Langkahnya semakin pantas, sepantas degupan jantungnya. Matanya kian liar memandang sekeliling seperti mencari sesuatu yang hilang. Sesekali tangannya mengesat peluh yang mula menitik di tebir dahinya. Mungkin penat kerana berjalan terlalu laju. Kerudung yang dipakainya pun turut dibetulkan agar kelihatan lebih kemas.

‘Dia dah tahu ke?... ishhh…’ Gusarnya di dalam hati. Mengimbau kembali kejadian di kafe tadi, dia semakin resah. Perasaan malu mula menjalar di hatinya.

“Murni, aku jumpa Qistina tadi. Qistina cakap kau ada bagi Farishi surat. Surat apa?”

Bisik Zara hampir di cupingnya. Jelas walaupun dilapik tudung. Sepantas kilat, Murni menoleh ke arah Zara di sebelahnya. Terlukis keceriaan dalam kecurigaan di wajah sahabatnya. Mimik muka Murni berubah, kerutan di dahinya semakin kelihatan dan pandangan matanya mula luruh memandang lantai.

‘Takkan Qistina da bagitahu. Hmm malunya aku…’

Monolog Murni resah dihatinya. Satu tepukan lembut di bahunya mematikan lamunannya seketika. Murni mendongakkan kepalanya memandang Zara yang sudah berdiri di sisinya. Wajah Zara kelihatan bingung, barangkali temannya tidak mengerti perlakuannya yang sedari tadi hanya mendiamkan diri seribu bahasa.

“Dahlah Murni tunggu kau cerita boleh berjanggut aku tau! Jom pergi makan dulu. Kita cerita time jalan nanti. Aku laparlah.”

Rengek Zara sambil memaut lengan Murni. Murni hanya tersenyum memandang sahabatnya. Zara yang tidak sabar terus berjalan ke muka pintu kelas, sambil memanggil namanya berulang kali. Murni berdiri memangku buku dan failnya di tangan kanannya sementara itu, beg tangannya disandang di bahu kiri. Dengan langkah yang perlahan Murni cuba tersenyum dan berjalan beriringan dengan Zara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience