BAB 1

Romance Completed 8187

Saat ini hanya ini sahaja yang terdaya ku lakukan. Aku tahu bodoh namun sungguh aku lemah dan tersungkur dengan beban yang menimpaku ini. Aku melutut di kaki Muiz. Airmataku gugur bagaikan hujan di musim bah. Usah dikira malu, aku lebih rela mencium kakinya jika itu yang Muiz inginkan.

“Jangan pergi, Iz. Jangan tinggalkan Eiy macam ni,” rayuku tanpa mempedulikan wajah wanita yang sedang berdiri di sebelah Muiz.

Cebikan dan herdikannya aku telan seboleh mungkin. Betapa pahit pun harus jua aku telan bila terbias di korneaku wajah mak, ayah dan juga abangku, Iqbal.

Wajah bengis Abang Iqbal menari-nari di mata. Raut sedih mak juga terbayang-bayang. Begitu juga dengan amukan ayah. Aku takut. Takut hendak menghadapi mereka jika Muiz terus nekad meninggalkanku di saat kami telah mengikat tali pertunangan dan akan dinikahkan dalam waktu terdekat ini.

“Eh, Iqlima… orang dah tak nak, yang kau dok melutut lagi tu kenapa? Tak ada maruah?” herdik wanita yang ku kenali sebagai Nita itu.

Dia paut lengan Muiz sedangkan aku masih menahan wajah memaut kaki Muiz agar tidak berlalu.

“Jangan pergi, Iz,” rayuku lagi tanpa mempedulikan herdikan Nita.

“Kita dah nak kahwin ni, Iz. Jangan buat keluarga Eiy macam ni. Macam mana keluarga Eiy nak hadapi semua ni, Iz?”

“Eiy, Iz minta maaf tapi rasanya kita memang tak serasi dah nak hidup bersama. Iz lebih selesa bersama Nita. Lagipun, cinta Iz pada Eiy dah tak ada!” Tenang saja Muiz menjawab tanpa memikirkan perasaanku.

Airmataku terus merembes bila Muiz merentap kakinya dari terus dipaut olehku.

“Iz minta maaf, Eiy. Nanti Iz hantar wakil untuk putuskan hubungan pertunangan kita dengan baik.” Tutur kata Muiz kali ini membuatkan semangatku lemah.

Aku lepas tanganku dari terus memaut lututnya. Rasanya sudah tiada guna aku memaksa Muiz terus hidup bersamaku bila dia berkata demikian. Betapa aku terluka. Sesungguhnya luka akibat tindakan Muiz kali ini.

Aku angkat tubuh. Berdiri dengan kekuatan yang berbaki. Sekarang ini, biarlah Muiz berlalu. Yang pasti, aku perlu menghadapi wajah keluarga pula. Perkara ini harus aku beritahu kepada mereka sebelum wakil daripada pihak Muiz datang memutuskan segala yang telah terikat selama setahun ini.

“Jomlah, Iz. Jangan dilayan perempuan tak tahu malu ni. Melutut bagai. Kalau aku lah, dah lama aku blah kalau orang dah tak nak,” cebik Nita lagi.

Wajahku menekur ke lantai. Pedih hendak menatap wajah mereka berdua. Andai begini pengakhirannya kisah aku dan Muiz, apalah daya hendakku halang.

“Sorry once again, Eiy. We are not meant to each other. Eiy carilah seseorang yang mampu bahagiakan, Eiy.”

Sesenang itu Muiz menuturkan maaf. Dulu dia pernah berjanji tapi kini dia telah mungkiri kerana seorang wanita yang kini berdiri rapat padanya. Memaut lengan sasa Muiz tanpa menghiraukan halal atau haram kulit itu padanya.

Lututku mula terasa longlai. Kepala sudah mula berpinar mungkin kerana air mata yang semakin galak mengalir. Pandanganku agak berbalam. Bila aku hampir rebah, tanpaku sedar, seseorang sudah memaut bahuku. Erat!

Aku bulatkan mata melihat empunya diri. Terlopong seketika bila seraut wajah tampan milik seorang lelaki berdiri tepat di sisiku. Masih memaut bahuku tanpa ada tanda hendak dilepaskan. Malah semakin kemas pula.

“Kan saya dah cakap. Kalau kata dia tak nak kan awak, saya sanggup terima awak,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Matanya langsung tidak berkedip. Dan aku pula, terus terdiam tanpa mampu berkata apa-apa. Kelu! Dia terus melarikan pandangan ke arah Muiz dan Nita.

“Terima kasih sebab kau sudi lepaskan dia. Sebab aku akan jaga dia sebaik mungkin. Lepas ni aku harap, kau tak akan muncul lagi,” tekan lelaki ini pada Muiz.

“Apa semua ni, Eiy?” Muiz berwajah tidak percaya. Nita juga terkejut habis namun dari riak matanya, aku tahu galak memandang ke arah lelaki ini.

“Er.. er.. Eiy…”

“Aku cintakan, Eiy. Dah lama tapi kesetiaan dia pada kau menghalang aku mendekati dia. Jadi, rasanya kau dengan dia tak tamat, kan? Jadi, tak ada apa lagi yang akan halang aku mendekati Eiy!”

Lelaki ini sudah mula menyebut namaku. Aku langsung tidak pelik kerana Muiz terlebih dahulu menyebut namaku tadi. Dan aku, terlopong tidak terkata apa. Tidak langsung rasa hendak menidakkannya.

“Err, kau siapa?” tanya Muiz tergagap-gagap.

“Aku Saif. Saifullah,” jawab lelaki ini tenang. Setenang air di kali.

Muiz mula mengerutkan wajahnya. Nita tersenyum manis pada lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Saif ini.

“Jom, Eiy. Saif hantar Eiy balik.” Dia terus saja menarik tanganku memaksa aku mengikutnya.

Aku hanya memerhatikan wajah itu yang selangkah mendahuluiku. Dia tenang melangkah dengan tangan yang masih menggenggam pergelangan tanganku.

“Okey, toksah ucap terima kasih.” Dia lepaskan tanganku selepas kami sudah jauh daripada Muiz dan Nita.

“Saya cuma menolong sebab tak sampai hati tengok awak dok merayu lelaki tak guna macam tu. Buat malu kaum hawa je. Kalau kata cinta pun, maruah tu biar terjunjung tak tercapai oleh mana-mana tangan. Jangan rendahkan harga diri sebab cinta yang belum tentu kekal untuk awak tu,” tekannya lagi lantas berlalu.

Aku terkedu. Tidak sempat berkata apa-apa untuk mempertahankan diri. Dia tidak pernah tahu yang aku sudah terhimpit di tengah-tengah. Antara maruah diri sendiri atau maruah keluarga. Pedih hati ini mendengarkan kata-kata Saif tadi. Setitis air mataku gugur jua.

Share this novel

Raqisna Nahd
2020-05-26 17:21:39 

simple but menarik. love it

Raqisna Nahd
2020-05-26 17:21:39 

simple but menarik. love it

Raqisna Nahd
2020-05-26 17:21:38 

simple but menarik. love it


NovelPlus Premium

The best ads free experience