BAB 12

Romance Completed 8188

MAK mengusap bahuku lembut. Wajah itu muram. Bila aku berpaling, ternyata ayah dan Abang Iqbal juga ada sama di belakangku.

“Jangan risau. Eiy akan paksa diri Eiy terima Muiz seikhlas hati,” ucapku bila aku faham akan renungan resah mereka.

“Tak sayang…” Mak menggeleng. Jemariku diraih lalu digenggam erat.

“Ayah tak akan perdagangkan kebahagiaan anak ayah lagi semata-mata untuk kejayaan,” sela ayah tenang. Aku nampak kepedihan yang ada di bening mata tuanya yang dulunya terlalu bengis di mataku.

“Eiy tak pernah ada pilihan.” Aku lebih rela mengalah begini kerana takdir di luar sana terlalu menakutkanku.

“Jangan cakap macam tu, Eiy. Eiy dah buat pilihan yang betul,” tokok Abang Iqbal membuatkan aku langsung tidak dapat memahami kata-kata mereka.

“Eiy pernah buat pilihan, tapi ternyata silap. Eiy memang sentiasa tersilap, mak,” aduku pada mak. Pedih menerima hakikat cintaku dijual oleh Saif.

“Eiy tak pernah silap,” tekan mak lagi.

“Eiy cintakan Saif dan itu adalah pilihan yang hebat, Eiy. Berjuta kali lebih baik daripada Muiz. Betullah kata Saif dulu, kita tak akan kenal seseorang manusia itu kecuali Penciptanya saja. Dan hari ini, abang baru kenal Muiz dan baru juga kenal Saif,” jawab Abang Iqbal berkias.

“Saif lagi jahat daripada Muiz, bang. Eiy tak sanggup fikir pun yang dia minta bayaran sebab menjaga Eiy selama ni. Murahnya cinta Eiy pada mata dia.” Tangisanku semakin meninggi bila mak memelukku.

“Eiy, betul nak tahu berapa harga Saif minta malam tadi?” tanya ayah tenang. Bibirnya menguntum senyum. Begitu juga mak dan Abang Iqbal.

“Nah.” Abang Iqbal menghulurkan sehelai kertas buatku. Aku sambutnya dan kala aku menatap tinta tangan itu, mataku bulat.

“Senarai apa ni,bang?” tanyaku pelik.

“Ubat gigi, sabun mandi, pencuci muka, syampu, maggi, makan dekat gerai, 3 helai t-shirt, pakaian dalam…” Aku kembali renung abang dan ayah serta mak setelah membaca senarai yang tertera di dada kertas itu. Pelik sesungguhnya pelik.

“Ada jumlahnya sekali kan?” tanya ayah pula. Aku kembali melihat kertas itu.

“RM 249.50?” tanyaku. Mereka mengangguk dan terus melebarkan senyum.

“Itulah harga yang Saif minta daripada kami semalam, Eiy. Katanya, itulah jumlah perbelanjaan yang dia guna sewaktu menjaga Eiy setakat yang dia ingat. Lebih terkurang, dia minta halal. Dan bila ayah bagi RM 250.00 pada dia, ini yang dia pulangkan pada ayah.”

Ayah menghulurkan sekeping syiling 50 sen kepadaku. Aku terkedu sendiri. Bila aku sambutnya, ayah ketawa kecil.

“Itu duit baki yang ayah dapat daripada Saif semalam. Baki daripada jumlah RM249.50 yang dia minta tu. Lepas dia letakkan baki syiling ni kat tapak tangan ayah, dia terus berlalu,” sambung ayah lagi.

“Dan bila abang tawarkan lebih banyak duit pada dia, kerja juga dia kata dia dah tersangat kaya dan mampu hidup mewah setelah kenal dengan Eiy sebab dia kata dia mewah dan kaya dengan cinta Eiy pada dia. Dia akan hidup mewah dan kaya seumur hidup ini hanya dengan cinta Eiy. Yang lain dia tak perlukan,” tambah Abang Iqbal membuatkan aku terduduk di atas marmar putih bersih ini.

Airmataku laju lagi. Suara Saif terngiang-ngiang di telingaku. “Ganjaran itu cukup untuk buat Saif hidup mewah seumur hidup, Eiy,”

“Ya Allah, apa yang aku dah buat ni?” tanyaku pada diri sendiri.

“Tak terlambat lagi Eiy. Kami tak nak Eiy kahwin dengan Muiz sebab kami yakin, Saif tu yang terbaik buat puteri kami yang cantik ni,” ujar mak memujukku.

“Tapi, persiapan….”

“Jangan risau. Nanti abang uruskan dengan keluarga Muiz. Nak batalkan usahasama lantak dialah. Yang penting, senyuman di wajah adik abang ni, dan keikhlasan Saif pada Eiy je sekarang yang kami nampak,” sampuk Abang Iqbal pantas.

Aku peluk mak erat. Airmata yang bersisa, cepat-cepat aku seka. “Eiy nak cari Saif,” ucapku bersungguh-sungguh dan bila mereka bertiga mengangguk.

“Kerana Eiy pernah terluka, sekali Eiy melangkah, biarlah Eiy teruskan, ya?” tanyaku pada mak, ayah dan Abang Iqbal. Mereka mengangguk lagi dan aku terus bersiap, keluar mencari Saif sehelai sepinggang lagi tapi kali ini aku bawa bersama cinta ku pada dia dan juga syiling 50 sen itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience