BAB 10

Romance Completed 8187

“SAIF pinang Eiy hanya dengan keikhlasan hati, Eiy. Saif pinang Eiy hanya kerana Allah sebab Saif tak punya apa-apa kecuali hati dan Allah saja bersama Saif untuk hidup bersama Eiy!” Jelas lagi di telingaku bila mana Saif dengan rasminya melamarku untuk menjadi suri yang halal untuknya.

Biarpun tanpa permata dan berkilauan, biarpun tiada mawar merah yang mewangi di seluruh laman, aku angguk pantas menerima lamarannya. Seikhlasnya terima kerana aku jua menyintai dia kerana Allah telah titipkan dia untukku. Menjadi pelindungku di kala aku bersendiri menongkah arus di dalam kelam yang berpanjangan selama ini.

“Tunggu Saif malam nanti, Saif ada kejutan buat Eiy,” beritahunya malam tadi. Bibir ini menguntum senyum. Aku sungguh tidak sabar hendak menerima kejutan daripada Saif yang telah dia janjikan untukku malam ini. Rasa waktu begitu lambat berlalu. Namun, penantian ini berakhir juga bila aku dengar ketukan di pintu. Cepat-cepat aku betulkan pakaian dan terus saja menapak ke pintu.

Tatkala daun pintu aku tarik, senyumku mati. Tiada Saif. Bukan dia malah rasanya dia mungkir janji denganku bila wajah ayah, abang Iqbal dan Muiz berada tepat di depan mataku.

“Err, macam mana jumpa rumah ni?” tanyaku gundah. Aku takut andai Saif tiba dan melihat mereka ada bersamaku. Aku bimbang jika Saif mengatakan aku mahu kembali kepada Muiz.

“Saif cakap dekat abang. Kami dah tahu semuanya. Eiy dengan dia tak kahwin pun,” jawab abangku tenang. Riaknya langsung tidak menunjukkan dia marah.

“Cakap apa?”

“Dia cakap suruh ambil Eiy kat rumah dia. Dia tak nak Eiy menumpang rumah dia lagi,’ sampuk Muiz tiba-tiba. Aku renung Muiz tajam.

“Tak….” Aku menggeleng. “Muiz tipu Eiy. Dulu pun Muiz tipu dan sekarang juga Miuz menipu,” tekan aku dalam ketakutan bila dia berkata demikian. Aku tidak mahu Saif membuang aku dari hidupnya aku lebih parah lagi, dia hanya mempermainkan hati dan perasaanku padanya.

“Betul ni, Eiy. Ayah ada tawarkan dia ganjaran sebab jaga Eiy dan dia setuju terima ganjaran tu, kalau Eiy nak tahu.” Ayah tenang menutur kata. Aku menggeleng lagi.

“Tak… Saif cintakan Eiy. Dia tak mungkin buat urusan jual beli Eiy dengan sesiapa. Lagipun, ayah dan abang dah buang Eiy. Muiz juga sama dan buang Eiy. Eiy cuma ada Saif je sekarang dan Eiy tahu, ayah, abang dan Muiz tipu Eiy, kan?” Aku cuba mengukir senyum biarpun airmata sudah bertali arus melalui lekuk di pipi.

“Buat apa nak tipu, Eiy. Baliklah dengan kami. Ayah, abang silap. Muiz dah mengaku semua dan dia nak berbaik semula dengan Eiy. Maafkan kami Eiy,” ucap Abang Iqbal menyatakan rasa sesalnya kerana bersikap begitu pada aku dulu. Tapi, aku tetap menggeleng. Tidak mahu mengikut mereka.

“Eiy tak percaya semua ni. Eiy maafkan semua orang. Tapi, Eiy tak boleh balik. Eiy dah janji dengan Saif. Dia suruh Eiy tunggu dia malam ni. Dia ada kejutan untuk Eiy, ayah. Abang pun, tolonglah faham,” rayuku bersama tangisan.

Abang Iqbal meraih aku ke dalam pelukannya. Kepalaku diusap lembut dan aku dapat rasa tangan ayah juga menyapa belakangku yang sedang teresak-esak di dada Abang Iqbal.

“Cinta dia pada Eiy tak ikhlas. Kalau benar dia ikhlas, tak mungkin dia minta harga bayaran selama menjaga Eiy selama ni?” Suara Abang Iqbal kali ini membuatkan aku semakin teresak-esak.

Sampai hati Saif buat Eiy macam ni? Sampai hati? Soal hatiku sendiri. Aku benci dia. Aku benci dia! Dan, aku tidak sedar bila kaki aku melangkah pergi bersama mereka semua. Yang pasti, meninggalkan mahligai yang telah bersepai sebelum gagah terbina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience