BAB 6

Romance Completed 8187

SETIAP hari rasanya, begitu jugalah sikapnya. Bila aku bertanya, di manakah tempat dia tidur, dia diam. Andai berjawab, pastilah ayat yang sama. Dia lelaki. Bila aku bertanya tentang kerja, jawapannya juga menghampakan bila tempat kerjanya tidak memerlukan orang. Sudahnya, aku masih menghuni rumah ini tanpa melakukan apa-apa kerja. Hanya berharap pada Saif semata-mata.

Hari ini, sudah hampir dua minggu aku di sini. Setiap hari juga, Saif akan datang mengajak aku makan jika dia menerima gaji, atau makan maggi saja dipertengahan bulan. Hati aku pilu melihatkan dia. Namun, kenapa tenang benar dia menghadapi hidup ini? Tanpa aku sedar, rasa pilu ini bertukar menjadi cinta. Cinta yang tidak pernah aku hulurkan buat Muiz.

“Kenyang ke?” tanya dia sewaktu kami sama-sama keluar daripada sebuah gerai. Aku angguk dan tersenyum.

Dia tilik aku dari atas ke bawah kemudian dia menggeleng kecil. Bibir itu herot dengan senyuman sinis.

“Kenapa?” tanyaku ingin tahu.

“Sedih tengok penampilan awak. Pakai baju saya yang lusuh. Maaflah, Iqlima. Saya tak mampu lagi nak belikan awak pakaian. Carikan kerja pun tak dapat. Agaknya saya memang ditakdirkan untuk jaga awak seumur hidup ni kot,” ucapnya tenang. Dia ketawa kecil dan terus melangkah mendahuluiku yang terkedu dan terpaku dengan kata-katanya.

Tapi, bibirku pantas mengukir senyum yang telah lama tidak menghiasi bibirku. Belakang tubuh Saif aku pandang dan serta merta kaki ini berlari anak hendak mendapatkan dia. Baru saja aku melalui depan sebuah restoran, pintu ditolak daripada dalam dan aku langsung terlanggar pintu kaca tersebut membuatkan aku jatuh terduduk.

“Err, maaf cik,” ucapku tanpa melihat ke arah empunya diri.

“Heh, buta ke?” jerkah dia. Aku mengangkat wajah sambil menggosok siku yang sakit mencari wajah yang bersuara kasar itu. Bila aku pandang, ternyata dia.

“Nita,” seruku terkejut. Mata wanita itu menyala-nyala memandangku.

“Kau lagi?” tanya dia sambil bercekak pinggang. Aku hanya memandang tanpa mampu mengangkat tubuh. Apatah lagi bila wajah Muiz juga hadir dekat di belakang Nita.

“Eiy, buat apa kat sini?” Wajah Muiz berkerut merenungku. Dia hulurkan tangan tapi aku langsung tidak menyambut.

Baru saja hendak bangkit sendiri, ada tangan lain yang sudah memegang bahuku membantu aku bangkit. Bila aku pandang, entah bila Saif ada di sisiku tersenyum manis. Dua kali dia tersenyum begini padaku, hati aku tanpa perlu dipaksa menyelinap keluar daripada dada dan terus saja pergi kepada hati Saif. Mengetuk pintu hatinya tanpa aku mampu menyekat.

“Okey?” Saif jungkit kening. Aku angguk sekali.

“Eiy buat apa kat sini?” tanya Muiz lagi.

“Err, kami makan,” jawabku sedikit gagap. Muiz senyum padaku. Senyum seperti di awal perkenalan kami dulu sedangkan Nita sudah mencebikkan bibirnya.

“Emm, eloklah Muiz. You dah dapat bekas tunang you ni, so tak ada masalah lah kalau I blah tinggalkan you, kan?” Nita jungkit keningnya sebelah memandang aku dan Muiz silih berganti.

“Bukan you yang tinggalkan I, Nita. Tapi, I yang patut tinggalkan perempuan mata duitan dan murahan macam you ni,” balas Muiz keras.

Aku dan Saif berpandangan sesama sendiri. Pelik dengan pasangan dua sejoli ini. Andai dulu, beria-ia mahu meninggalkanku kerana Nita tapi hari inil lain pula ceritanya.

“Eh, kalau I perempuan mata duitan dan murahan pun, you tetap tinggalkan betina selekeh ni untuk I dulu, kan? Perempuan yang tak tahu malu melutut di kaki seorang lelaki masa tu,” sinis dia padaku. Aku ketap bibir dan waktu ini, aku dapat rasakan cengkaman tangan Saif di bahuku semakin kemas. Bila aku pandang dia, dia senyum lagi dan menggeleng.

“Heh, Nita. Kau jangan nak hina Eiy. Dia anak orang bermaruah tau tak? Heh, sedarlah diri tu sikit, kat mana dia kat mana kau?” jerkah Muiz lalu dia menarik tanganku mendekat pada dia.

“You may get lost, Nita. Hari ni, aku nak cakap dekat kau, betapa aku menyesal tinggalkan Iqlima dulu untuk betina murah macam kau ni.” Muiz semakin naik hantu. Hampir saja jemari itu menunjal kepala Nita andai aku tidak menghalang apabila kami sudah menjadi tontotan umum.

Saif hanya melihat aku di sisi Muiz. Aku tidak sedar bila dia melepaskan pelukannya di bahuku dan membiarkan aku di tarikh Muiz.

“Ahh, kau pun sama dengan dia lah, Muiz. Bodoh!” tempik Nita dan serentak itu dia terus berlalu dengan wajah yang keruh sambil menyumpah seranah aku dan Muiz.

Aku kelu. Tidak tahu hendak berbuat apa. Bila aku cuba leraikan pergelangan tanganku dari terus digenggam Muiz, semakin kemas dia mencengkam. Saif memandang tanpa perasaan lagi. Hilang sudah senyuman manis di bibirnya yang kemerahan itu.

“Err, Muiz, lepaskan tangan Eiy,” pintaku dan serentak itu aku rentap kasar daripada tangan Muiz. Dia mengeluh dan meraup wajahnya berkali-kali.

“Eiy, Iz minta maaf,” ucapnya tiba-tiba bila aku mahu melangkah bersama Saif membuatkan langkahku terhenti.

“Eiy dah lama maafkan, Iz. Tak ada dendam sikit pun,” jawabku jujur. Sungguh aku memaafkan dia. Malah berterima kasih pula, kerana dia aku bebas hidup sendiri biarpun terlalu sukar hendak mencari sesuap nasi sekalipun.

“Kita kahwin?” ajak dia tiba-tiba. Mataku bulat. Saif senyum lagi dan pantas aku paut lengan Saif. Minta dilindungi dan dibawa aku pergi seperti pertama kali dulu.

Aku menggeleng perlahan bila Muiz mahu mendekat. “Iz dah kahwin dengan Saif,” jawabku lancar.

“Iqlima!” tegur Saif berbisik. Keras saja nada suaranya. Dia merenungku tidak berkelip. Aku renung anak mata Saif menghantar rayuan agar dia diam atau mengiyakan saja.

“Betul, Iz. Kami dah kahwin sebab tu Eiy kena halau daripada rumah dulu dan Allhamdulillah kami bahagia, kan abang?” Aku pandang wajah Saif dan lama-lama dia mengangguk saja. Aku tidak tahu anggukan itu terpaksa aku dia sebenarnya ada suatu rasa di hatinya tentang aku.

“Jangan kacau isteri saya lagi, encik,” tokok Saif serius.

“Iz tak percaya,” bantah Muiz.

“Kalau Iz tak percaya, Iz boleh tanya keluarga Eiy. Tanya Abang Iqbal, mak atau ayah Eiy,” ucapku tenang. Serentak itu, aku terus menarik lengan Saif berlalu dan waktu ini, airmataku mengalir lagi dan entah untuk apa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience