BAB 9

Romance Completed 8187

BEBERAPA helai pakaian yang memang kepunyaanku yang telah Saif belikan itu, aku lipat kemas dan aku isi di dalam beg tangan. Sehelai t-shirt lusuh kepunyaannya juga aku sumbat sama. T-shirt yang mempunyai haruman tubuhnya itu akan menemani perjalananku nanti setelah aku berkeputusan hendak keluar daripada rumahnya dan berkelana sendiri.

Baru saja aku tarik tombol pintu, tubuh Saif sudah tegak berdiri di muka pintu dengan wajah yang jelas lelahnya.

“Nak ke mana malam-malam ni?” tanya dia.

“Eiy nak keluar daripada rumah ni. Ini rumah Saif.”

Dia senyum. “Dan bakal jadi rumah Eiy jugak nanti,” jawabnya tenang. Aku terkaku di situ. Beg tangan yang aku sandang, melurut jatuh ke kaki.

“Saif….” Hanya itu yang mampu aku katakan kala ini. Tidak percaya dengan kata-katanya itu. Kebenarankah atau sekadar mainan kata-kata saja?

“Eiy dah banyak kali mengaku Saif suami Eiy dan Saif nak ingatkan Eiy yang kata-kata ni umpama doa. Eiy jangan menyesal bila Saif jadikan diri Saif ni suami Eiy yang betul-betul.”Dia jungkit kening lebatnya tinggi.

Aku sudah tidak dapat menahan tangis. Andai tidak diingatkan adat dan agama, mahu saja aku peluk tubuh tinggi lelaki ini. Menyatakan rasa syukur yang amat atas penerimaannya.

“Eiy sanggup dan Eiy tak akan pernah menyesal,” sahutku tertahan-tahan.

“Tapi, tadi kenapa buat tak tahu je bile Eiy berlalu?” soalku kemudiannya.

“Eiy,” seru dia semakin mesra.

“Saif kan tengah kerja. Kalau Saif kejar tadi, sah-sah Saif kena buang kerja. Dahlah seminggu ni, 24 jam Saif kerja gantikan orang. Buat overtime saja bila hati ni tiba-tiba niat nak melamar Eiy kahwin dengan Saif. Lucu sungguh,” luahnya dan dia ketawa sendiri.

Aku melebarkan senyuman dalam tangisan. “Terima kasih, Saif sudi terima Eiy.”

Kali ini keluhan Saif makin berat menyapa telingaku. “Syarat utama nak jadi isteri Saif, Eiy tak boleh menangis sebab perjalanan kita nanti akan penuh dengan liku. Saif nak Eiy tabah. Jangan lemah sangat,” ucapnya menyindir.

“Lagi satu, perempuan cantik ni ingat dia makin cantik ke kalau menangis?”

Soalan itu aku terima dengan tangisan bersulam tawa. “Eiy terharu je,” protes aku lembut. Dia ketawa.

“Terharu, kita ucap syukur, Eiy. Bukan dengan tangisan. Janji dengan Saif,” pintanya lagi. Aku angguk dan menyeka airmata yang membasahi pipi. Aku benar-benar terharu bila dia memanggilku Eiy dan bukan lagi Iqlima. Kdengaran syahdu dan merdu saya suara itu.

“Dah habis nangis, jom kita berkelah kat taman,” ajak dia lalu dia terus melangkah tanpa menantiku yang masih terkial-kial hendak mengunci pintu. Pintu mahligai yang bakal aku kongsikan dengan dia nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience