BAB 2

Romance Completed 8187

ESAKANKU semakin meninggi. Pedih pipi ini menerima tamparan daripada Abang Iqbal. Belum sempat aku membuka mulut, keluarga terlebih dahulu mendapat berita perpisahan aku dengan Muiz.

“Mana kami nak letak muka ni, Eiy? Kau buat tu, kau ada fikir tak pasal kami? Pasal mak dengan ayah? Pasal aku?” tengking dia lagi.

Mak ayah juga langsung tidak mempedulikan aku. Kala ini, aku amat memerlukan sokongan mak tapi dia juga sama seperti Abang Iqbal. Menyalahkanku.

“Eiy tak salah. Muiz yang nak putuskan pertunangan kami. Bukan Eiy,” beritahuku dalam esakan. Ayah menggeleng. Mak mengeluh dan Abang Iqbal pula merengus kasar.

“Kalau betul Iz yang tak nak dekat kau, masakan dia boleh datang jumpa kami cakap kau nak tinggalkan dia sebab kau ada jantan lain? Sekarang ni, aku nak tahu, kau memang ada jantan lain ke tidak sebab Muiz cakap lelaki tu sendiri pesan dekat dia jangan kacau kau lagi?”

Mataku bulat dengan kenyataan Abang Iqbal. Cepat betul Muiz bertindak sebelum aku. Dia sudah punyai Nita, kenapa masih mahu mengadu perkara yang bukan-bukan kepada keluarga aku? Dan dia… Dialah yang menjadi punca segalanya. Membuatkan aku ditampar oleh abangku.

“Eiy tak kenal siapa dia, bang. Sungguh Eiy tak kenal.”

“Kalau Eiy tak kenal, tak kan Eiy biarkan dia peluk bahu Eiy, lepas tu Eiy ikut je dia bila dia tarik Eiy?” soal mak pula. Dia sudah mula mengalirkan air mata. Wajahku langsung tidak dipandangnya.

“Masa tu Eiy…” Aku sudah tergagap-gagap. Sungguh aku tidak sedar apa yang telah terjadi padaku masa itu.

Tapi, aku rasa sedikit terbela bila Saif hadir tanpa aku duga. Walaupun tidak pernah mengenali wajah itu, aku terasa lega bila dia sudi menjaga maruah diriku di depan Muiz dan Nita.

“Masa tu apa, Eiy? Ini mesti salah kau ni. Kalau tak, tak kan Muiz mengadu nak putuskan pertunangan dia dengan kau. Betul dah tu, kau memang ada orang lain,” tekan ayah pula.

“Tak, yah. Eiy memang tak kenal dia. Masa tu dia nak tolong Eiy je bila dia lihat Eiy tengah merayu Muiz bila Muiz nak tinggalkan Eiy untuk perempuan lain,” ujarku berterus terang.

“Arhh, kau jangan ingat kami nak percaya, Eiy. Pepandai pulak kau cakap Muiz ada perempuan lain sedangkan kau tu yang ada jantan lain. Aku tak kira, kau pergi jumpa Muiz balik, jangan biar dia putuskan pertunangan ni. Majlis nikah dah tak lama dah, kau senang-senang buat perangai. Kalau aku jumpa budak Saif tu, tahulah aku ajar dia,” marah Abang Iqbal lagi lantas dia berlalu. Berdentum pintu itu dihempaskan. Aku pula hanya mampu mengalirkan air mata sendiri.

“Ayah tak kira, Eiy. Selagi Eiy tak dapat pujuk Muiz balik, selagi tu Eiy jangan balik rumah ni,” tekan ayah tegas.

“Eiy memang tak salah mak, ayah..” rengekku. Tapi, ayah terus berlalu dengan rengusan kasar. Hanya mak yang singgah sebentar di sisiku, menepuk bahuku lembut.

“Eiy dengarlah cakap Abang Iqbal. Pergi cari Muiz sekarang. Minta maaf pada dia,” ujar mak lemah lantas dia juga berlalu.

Tubuhku terasa longlai lalu aku jatuh terduduk di birai sofa. Pedih dengan layanan keluarga sendiri. Benci bila Muiz meletakkan aku sebagai punca untuk dia memutuskan hubungan ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience