Completed
11138
Regret is a form of punishment itself
Mei, 2015
09:30 am
Kembali ke bilik siasatan. Dua orang pegawai polis yang sama melangkah masuk dan duduk di hadapanku. Pak! Terkejut aku melihat sebuah fail besar dihentak ke atas meja.
“Dalam fail ini, terdapat semua maklumat mengenai kegiatan awak selama ini. Awak sedar kan yang awak telah pun disabitkan kesalahan membunuh Adriana Sofea. Jadi saya percaya sudah tak ada sebab lagi awak perlu merahsiakan apa-apa daripada kami. Saya nak awak jawab soalan kami dengan jelas, setiap butiran yang awak ingat, semua perlu awak beritahu kepada kami. Faham?” salah seorang daripada pegawai polis itu berkata. Inspektor Jeffri namanya. Pandang namanya saja sudah cukup buat aku menyampah. Namanya sama seperti cikgu Sejarah yang suka mendenda aku untuk berdiri di luar kelas.
Aku sekadar mengangguk. Mereka buka fail besar itu. Satu demi satu gambar dibentangkan di atas meja itu, di hadapanku.
“Sekarang, saya nak awak tengok baik-baik gambar ini dan ceritakan mengenainya kepada kami,” aku pandang pegawai yang bercakap itu. Mazlan namanya.
Aku akui, aku teragak-agak untuk memulakan bicara. Tapi apa yang mereka katakan itu memang betul. Aku sudah pun mengaku kesalahanku. Aku sudah pun mengiyakan tuduhan bahawa aku memang mengamalkan kanibalisme. Aku tahu, aku sudah tiada pilihan lain, tapi, aku tidak boleh menyerah begitu sahaja. Aku takkan menyerah begitu sahaja!
“Apa yang saya dapat kalau saya beritahu mengenai gambar ini semua? Memang saya sudah mengaku saya terlibat dalam pembunuhan Adriana. Saya bersubahat. Tapi anda semua tak boleh terus tuduh saya ada kena mengena dengan pembunuhan semua orang yang ada dalam gambar ni,” aku cuba bercakap dengan tenang.
Tajam mata dua orang pegawai itu merenung mataku.
Mazlan menjawab, ”Kami dah agak awak akan cakap macam tu. Kami akan meringankan hukuman awak. Bergantung kepada sebanyak mana maklumat yang awak berikan itu berguna kepada kami”. Kami akan meneruskan siasatan sehingga kes ini selesai, maka kerjasama daripada kamu akan sangat memudahkan urusan kami.
Ah terima saja lah. Aku sudah pun terdesak sebenarnya sekarang. Sama ada aku ditimpa hukuman yang berat kerana menafikan kesalahanku atau berterus-terang dan terima sahaja hukuman yang bakal diberikan oleh pihak berkuasa. Tanpa berlengah, aku memilih 'option' yang kedua. Lantas aku memberitahu segala yang aku tahu tentang gambar mangsa-mangsa yang terbentang di hadapanku.
Share this novel