4

Action Completed 11138

A rule is of no value unless the punishment is enforced

“Encik Luqman, sila ikut kami ke bilik rawatan balai sekarang,” arah salah seorang daripada polis tersebut. Aku menurut sahaja permintaan mereka. Jika melawan nanti makin buruk padahnya. Malas aku mahu bikin kecoh di tempat yang asing ini.

Setibanya aku di bilik rawatan tersebut, aku dapat lihat beberapa orang muda yang memakai kot makmal. Doktor mungkin. Salah seorang daripada mereka mengarahkan aku untuk baring di katil pesakit. Aku baring. Tak semena-mena tangan dan kakiku diikat ketat kepada katil. Aku meronta-ronta; cuba untuk melepaskan diri. Terasa seperti satu gigitan semut hinggap di tanganku. Aku lihat siling. Kenapa siling itu berputar-putar? Aku pandang sekelilingku. Kabur. Sangat kabur. Aku sedaya upaya cuba untuk fokus. Aku cuba melihat tag nama doktor itu. Doktor Yusof. Makin aku cuba makin kabur dan tiba-tiba, pandanganku gelap.

“Encik? Encik Luqman?”

Aku cuba untuk membuka mata perlahan-lahan. Aku tidak kenal pun siapa wanita ini. Aku bingkas bangun namun badanku ditarik balik kembali kepada posisi baring. Oh, aku masih diikat. Aku pandang sekilas tag nama wanita tersebut. Jururawat rupanya.

“Kenapa saya berada di sini?” soalku kepada jururawat tersebut.

“Encik ditahan kerana disyaki mengamalkan kanibalisme. Saya difahamkan encik tak pernah mengaku walaupun pelbagai bukti telah diajukan. Jadi hari ini, pihak polis mengambil inisiatif untuk melakukan "truth serum test". Nama saya ialah Doktor Yusof. Encik boleh panggil saya Doktor dan saya lah yang akan menjalankan ujian ini terhadap encik,” seorang lelaki di sisi katilku menjawab.

“Kenapa saya perlu menjalani ujian ini pula? Saya rasa saya tidak melakukan sebarang kesalahan yang memerlukan ujian ini untuk dilakukan?”

"Sama ada encik memang tidak membuat sebarang kesalahan atau encik tidak sedar perbuatan itu salah? Haha, janganlah risau sangat. Kita cuma nak tahu je. Relakskan diri, ok?”

Pendek jawapan doktor itu. Tapi nadanya sinis.

“Dah sedia? Ok, sila kira satu hingga sepuluh secara terbalik dengan saya ya,” katanya lagi sambil memasukkan sesuatu ke dalam saluran IV ku.

10....9....8.......7.......6.......5..........em..........

Pening.

“Encik Luqman, dengar betul-betul ya apa yang saya bakal katakan dan sila beri perhatian terhadap gambar yang akan saya tunjukkan kepada encik” Doktor Yusof berkata.

Gambar pertama menunjukkan seorang gadis yang berada dalam posisi duduk dengan kedua-dua belah tangannya hanya tinggal tulang serta kehilangan telinga.

“Baiklah, soalan saya yang pertama, encik kenal gadis ini?”

“Er.. er.. kenal. Adriana,” tanpa sedar mulutku melontarkan kata-kata.

“Boleh encik ceritakan kepada saya mengenai perkenalan encik dengan gadis ini?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience