BAB 8

Romance Series 7102

"AMPUN Tuan Putera, maaf mengganggu tumpuan tuan putera. Saya di sini ingin menyampaikan pesanan." ujar seorang pengawal yang sedang menunduk.

Putera Thaqif yang membelakangi pengawal itu segera mengangkat kepalanya daripada menunduk setelah hampir sejam menelaah sebuah buku bertajuk Empayar hasil karya Teme Abdullah, seorang penulis dan arkitek terkemuka di wilayah Amertha.

"Pesanan? Daripada siapa?" tanya Putera Thaqif.

Dia mengangkat punggungnya dari kerusi kayu jati mewah yang terdapat di dalam perpustakaan mini itu. Dia menghadap pengawalnya yang sedang berdiri tegak setelah memberi isyarat kepada pengawal berusia 30-an itu.

"Beliau hanya memperkenalkan dirinya sebagai sahabat tuan putera," jawab pengawal itu.

Dahi Putera Thaqif berkerut. Sahabat mana pulak ni? Ayla dah jadi bakal tunang. Mustahillah kekasih hatinya itu. Baru sahaja dia dihantar pulang ke apartmen. Masakan boleh datang semula tanpa memberitahunya.

"Sampaikan pesanan itu sekarang," perintahnya kepada pengawal itu.

"Beliau ingin berjumpa dengan tuan putera di taman yang terletak di belakang istana ini,"

Putera Thaqif menggembungkan pipinya. Dia mula bermundar-mandir di dalam perpustakaan itu. Si pengawal pula hanya menjadi pemerhati.

"Peliknya... Kenapa dia tak jumpa ayahanda dulu?" soalnya lebih kepada diri sendiri.

"Orang asing ke?" tanya putera muda itu lagi.

Pengawal itu menjongket bahu tanda kurang pasti.

"Saya kurang pasti, tuan putera. Mungkin penduduk Amertha atau tetamu dari wilayah lain?"

Mencurigakan. Putera Thaqif memegang dagunya yang tidak berjanggut itu. Tiba-tiba otaknya tidak dapat berfungsi untuk mengenal gerangan yang ingin berjumpa dengannya.

"Kamu ikut saya. Bawa dua orang pengawal lagi." Arahnya bernada tegas sebagai langkah berjaga-jaga.

Putera Thaqif mula mengorak langkah keluar dari perpustakaan mininya bersama seorang pengawal tadi.

Pengawal yang khas menjaga Putera Thaqif itu memberi isyarat kepada anak-anak buahnya agar mengekori putera mereka dari belakang.

"Qif?" sapa Permaisuri Qasidah Afreen apabila berselisihan dengan anak terunanya.

Langkah Putera Thaqif serta-merta terhenti. Namun malang tidak berbau, ketua pengawal yang mengikutinya dari belakang terlanggar Putera Thaqif menyebabkan putera itu hampir terjatuh. Mana tidaknya, tiba-tiba brek mengejut memang kena rempuhlah jawabnya.

"Opocot!" latah Putera Thaqif.

Dua orang pengawal yang berjaga di belakang ketua pengawal mereka menggemam bibir. Hareyy ketua ni! Timbul pula rasa ingin mentertawakan ketua mereka itu namun dibatalkan sahaja niat mereka sebelum menjadi satu masalah.

"Ma... Maaf tuan putera dan permaisuri. Saya tak sengaja..." ucap pengawal itu dengan penuh rasa bersalah.

Sungguh dia malu berketul-ketul ketika ini dek terlanggar anak sultan itu. Dia menundukkan kepalanya, tidak berani memandang putera itu.

Putera Thaqif menepuk bahu pengawalnya sebelum dia meletuskan ketawa kecil.

"My mistake, Azman sebab saya berhenti mengejut. Kamu tak bersalah," ujar Putera Thaqif dengan nada lembut.

"Ya, betul tu Azman. Awak tak salah. Lagipun awak tak sengaja kan terlanggar Putera Thaqif? Jadi tak jadi masalah pun," sambung Permaisuri Qasidah Afreen sebagai saksi.

Pengawal yang bernama Azman itu berasa terharu. Kalau beginilah layanan kerabat diraja ini terhadapnya, dia sanggup berjuang hingga ke hujung nyawanya demi pertahankan wilayah Amertha ini bersama-sama anak buahnya.

"Terima kasih tuan putera dan permaisuri,"

"Ha, kamu Qif. Nak pergi mana sampai bawa tiga orang pengawal ni?" tanya Permaisuri Qasidah Afreen sambil menjongket kening.

"Qif nak pergi taman. Kata Azman ada orang nak jumpa Qif. Jadi untuk langkah berjaga-jaga Qif angkutlah dia orang," jawab Putera Thaqif sambil menyengih.

"Pelik...malam-malam ni ada orang datang. Bonda ni pun kena pergi balairung. Setiausaha ayahanda kamu kata ada tetamu. Tapi tetamu apa malam-malam buta macam ni?" Permaisuri Qasidah Afreen menyuarakan kepelikannya.

Putera Thaqif menjongket bahu. Pelik memang pelik. Bahkan pelik bin ajaib. Takkan ada rakyat yang mengganggu mereka pada malam hari. Kawalan juga telah diketatkan untuk waktu malam.

"Tak apalah bonda. Qif pergi dulu. Nanti lambat pulak 'tetamu' kita tu tunggu,"

Permaisuri Qasidah Afreen tertawa kecil seraya mengangguk.

"Ya. Hati-hati pergi taman. Azman, pastikan ada lampu suluh di tangan kamu. Perhatikan anakanda saya dengan teliti. Kalau ada apa-apa terjadi kepada anakanda saya, kamu orang pertama saya soal." sempat permaisuri itu berpesan selaku seorang bonda kepada anakanda Thaqif Aqmal.

"Saya menjunjung perintah, Permaisuri," jawab Azman.

Tangan kanannya digenggam lalu dibawa ke dada menandakan dia tidak akan mengingkari perintah permaisurinya.

"Tak payahlah garang sangat bonda."

"Bonda tak garang, Qif. Tapi bonda bertegas sebab Qif satu-satunya putera bonda," jawab Permaisuri Qasidah Afreen.

Permaisuri itu sempat menguncup dahi anakandanya sebelum berlalu pergi ke balairung istana.

Putera Thaqif hanya menghantar bondanya melalui ekor matanya sahaja sebelum dia turut berlalu pergi menuju ke taman.

Sampai sahaja di taman, Azman memberikan lampu suluh itu kepada Putera Thaqif. Banyak jenis bunga yang ditanam di situ merupakan bunga kesayangan Permaisuri Qasidah Afreen terutamanya bunga Mawar merah yang berduri.

Taman itu akan dibersihkan sebanyak tiga kali sehari oleh dua orang tukang kebun yang terlatih. Sesiapa yang ingin masuk ke taman itu tidak dibenarkan memetik walaupun sekuntum bunga. Andai tidak, si pemetik akan dibawa menghadap permaisuri.

"Bougainvillea spp. Family of Nyctaginaceae. Hmmm, wangi."

Kedengaran desahan seseorang yang sedang menghidu bauan bunga itu. Langkah Putera Thaqif terhenti. Dia mencari empunya suara itu. Rasanya dia kenal suara itu. Matanya melilau mencari kelibat orang yang ingin menjumpanya itu.

"Bougainvillea..." Putera Thaqif pantas pergi ke lorong yang menempatkan bunga kertas.

Lampu suluh itu akhirnya menyuluh satu susuk tubuh yang memakai pakaian bangsawan. Matanya terjengil melihat wajah yang disuluhnya itu.

"Ikmal Ar-Hazreed! Kau rupanya!" terperanjat putera itu tatkala melihat wajah sahabatnya yang setelah sekian lama tidak bersua muka.

"Yow! Putera Thaqif Aqmal! Wassup!" sapa Putera Ikmal lantas dia mendekati sahabatnya untuk memeluk jejaka itu.

Malangnya pelukan sahabatnya dielak oleh Putera Thaqif.

"Baju macam kucing batu ada hati nak peluk aku," perli Putera Thaqif.

"Bangang kan kau ni. Kot ayahanda nampak baju kau macam kucing batu ni nahaslah kau, Mal." sambung Putera Thaqif lagi.

"Chillex. Benda ada sebab buat apa nak murka kan?" selamba Putera Ikmal menjawab.

Dia membetulkan rambutnya yang serabai dek terlalu lama bertapa dalam kereta. Putera Thaqif memeluk tubuh.

"Suka hati kaulah. Kena bebel aku tak tanggung,"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience