BAB 3

Romance Series 7102

SERABUT! Itu sahaja yang mampu diluahkan oleh Ayla di sudut hatinya. Di ruang tamu itu, dia sedang bermundar-mandir tidak tentu arah. Televisyen yang terbuka dibiarkan tanpa ditonton.

Cincin permata putih yang bersinar tersemat elok di jarinya itu diperhatikan. Elok sangat tu. Televisyen perhati dia, dia perhati cincin.

Ayla menggigit bibirnya. Apa yang harus dia lakukan sekarang? Terima atau tolak? Seketika kemudian, dia menepuk dahinya sendiri.

Bodoh! Apahal aku biarkan dia sarungkan cincin ni?! Marahnya kepada dirinya sendiri. Ayla menjadi semakin tidak tentu hala. Dia mengetuk kepalanya sendiri berkali-kali.

Nak cabut ke tak eh? Fikirnya sendiri.

Entah di mana silapnya, malang tidak berbau, kaki kanannya pula tersadung di kaki meja kopi menyebabkan dia jatuh tersembam di atas karpet berbulu itu.

"Aduh!" Ayla mengaduh kesakitan.

Kaki dan hidungnya disengat rasa sakit yang serentak. Mujur tubuhnya mendarat di atas karpet berbulu. Kalau tidak? Pasti akan jadi lebih parah.

"Babi punya meja!" makinya sambil menyepak meja itu menggunakan kaki kirinya pula.

Seketika kemudian, dia mengaduh kesakitan lagi. Terbit rasa menyesal kerana menyepak meja itu. Dah terang lagi bersuluh dia yang salah. Ada hati nak salahkan meja yang diam statik tak berkutik di tempatnya. Eh? Dah terang buat apa nak suluh lagi kan?

Sudahnya Ayla melepaskan keluhan. Kata-kata Putera Thaqif sungguh membuatkannya hilang arah. Kenapa baginya saat ini masih terlalu awal? Atau hatinya belum terbuka untuk menerima mana-mana lelaki termasuk sahabatnya sendiri? Dia sendiri tak ada jawapannya.

Adegan mereka di Pantai Meritha serta-merta terimbas kembali...

"Apa kau buat ni Thaqif?" soal Ayla buntu dengan tindakan Putera Thaqif yang tiba-tiba sahaja melutut di hadapannya.

Kotak baldu berwarna merah yang belum dibuka sudah tentu membuatkan lidahnya kelu tanpa sebarang bicara.

Ayla membuka kotak baldu itu perlahan-lahan walhal dia sudah mengetahui lagi isi di dalam kotak itu, namun dia ingin kepastian. Tidak silap lagi, kotak baldu itu berisi cincin yang biasa digunakan oleh orang semasa hantaran atau perkahwinan atau lamaran.

Serta-merta mata Ayla terbeliak. Lamaran?! Adakah Putera di hadapannya yang telah digelar sahabat dan abang ini sedang melamarnya?

"Ayla Elysha, saya Putera Thaqif Aqmal bin Sultan Ghazali Shah mengaku yang saya cintakan awak sepenuh dan seikhlas hati saya. Sudah tiba masanya saya melamar awak sebelum awak dikebas orang lain. Sudikah awak menjadi permaisuri dan bidadari dalam hidup saya?"

Ayla terkebil-kebil. Ibaratkan terkena renjatan elektrik, dia terkejut dengan tindakan dan pengakuan Putera Thaqif sebentar tadi. Dia tidak memberikan kata putus namun Putera Thaqif sudah membuat keputusan.

"Awak diam tanda awak terima..."

Tanpa segan-silu, Putera Thaqif pantas menyarungkan cincin permata itu bersama sebuah harapan yang bersinar. Ya, harapan untuk menjadikan Ayla Elysha sebagai isterinya.

Beberapa orang pengunjung yang berada di pantai itu mula bertepuk tangan setelah menyaksikan adegan lamaran itu. Anehnya, tiada seorang pun yang perasan akan wajah sebenar putera muda yang bakal memerintah negara Amertha itu.

"Congratulations!" jerit salah seorang pengunjung di situ.

Putera Thaqif berdiri semula dan Ayla masih tidak berganjak. Dia menyentuh tangan mulus gadis itu sebelum menciumnya. Tidak dapat digambarkan betapa terharunya dirinya ketika itu.

Hampir sahaja bibir jejaka itu ingin mendarat di atas tangan Ayla, gadis itu terlebih dahulu menarik tangannya daripada dicium oleh orang yang masih bukan mahramnya.

"Hantar aku balik, Thaqif." pintanya perlahan.

Dahi Putera Thaqif berkerut. Kenapa tidak ada riak kebahagiaan di wajah bakal isterinya? Tidak gembirakah dia?

"Kenapa? Awak tak suka ke?" tanya Putera Thaqif.

Ayla mengukir senyuman kelat.

"Bagi saya masa dan hantar saya balik sekarang. Saya penat Thaqif," pintanya lagi. Panggilan pun sudah mula diubah.

Putera Thaqif tidak membantah. Sebaliknya, dia akur. Dia pasti bahawa Ayla sedang terkejut ketika ini.

***

SUASANA sunyi menghiasi dewan santapan pada pagi itu. Lauk-pauk yang bertemakan healthy food menjadi pilihan tiga beranak itu sebagai santapan sarapan.

Sultan Ghazali Shah memandang isterinya, Permaisuri Qasidah Afreen. Baginda membalas pandangan suaminya itu dengan pandangan hairan.

"Kenapa hari ni putera kita senyap je? Biasanya pagi-pagi ni dialah yang paling banyak mulut. Ada je topik yang nak dibahaskan," Sultan Ghazali Shah menyindir anak terunanya.

Bibir Permaisuri Qasidah Afreen membentuk 'O'. Barulah dia faham yang suaminya ingin dia menegur anaknya.

"Haahlah... Kenapa anak bonda ni senyap? Ada apa-apa masalah yang kami tak tahu ke?" Tanya Permaisuri Qasidah Afreen, lembut sahaja nadanya.

Tiba-tiba sahaja Putera Thaqif menyengih bagai kerang tak busuk tak wangi juga. Sengihan putera itu mengundang kerutan di dahi bonda dan ayahandanya.

"Amboi... Kenapa sengih-sengih pulak ni?" tanya Sultan Ghazali Shah.

"Hmmm... Nampaknya anak kita ada berita gembira ni," ujar Permaisuri Qasidah Afreen meleret.

Dari raut wajah milik Putera Thaqif, mereka yakin ada sesuatu yang sedang membahagiakan anak teruna mereka ini.

"Qif yakin Qif diterima..." dengan begitu yakinnya Putera Thaqif memberitahu bonda dan ayahandanya.

Confident itu kena ada!

Permaisuri Qasidah Afreen dan Sultan Ghazali Shah mula mengukir raut wajah gembira. Beberapa hari sebelum kedatangan Ayla, mereka sudah berbincang untuk membenarkan puteranya melamar gadis tercintanya itu walaupun Ayla tidak memegang pangkat puteri mahupun kerabat diraja.

Namun mereka tidak kisah. Asalkan anak teruna mereka bahagia bersama pilihan hatinya.

"Alhamdulillah. Rasanya kita perlulah percepatkan ke langkah seterusnya. Kamu sudah pujuk Ayla untuk berjumpa dengan ayahnya, Kamarul Fauzi?" soal Sultan Ghazali Shah.

Putera Thaqif mula menunduk. Kini, wajah mendung pula menghiasi wajahnya. Dia menggelengkan kepalanya.

"Ayla masih tak nak jumpa ayah dia," balas Putera Thaqif.

Sudu dan garpu diletakkan di atas pinggan. Tisu diambil lalu dilapkan di bibirnya yang comot dengan mayonis.

"Susahlah kalau begini, Qif..."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience